Memberi makan orang miskin

 

 

 

 

Ayat-ayat pertama ditemui di dalam al-Qur'an mengenai memberi makan kepada orang miskin memberi kesedaran bahawa ia merupakan amalan yang penting dalam agama, dilakukan untuk menebus sesuatu yang tidak dapat dilaksana dengan penuh dalam sesuatu ibadah, atau kesalahan dalam membuat sesuatu janji.

 

Dalam ibadah puasa Ramadan, perbuatan memberi makan orang miskin dikenakan untuk menebus hari-hari yang tidak dapat berpuasa, apabila tidak dapat diganti dengan berpuasa pada hari-hari lain. Perbuatan itu adalah umpama membuat kebaikan. Firman Tuhan,

 

"(Puasa Ramadan) Pada hari-hari yang terhitung; dan jika sesiapa antara kamu sakit, atau jika dia dalam perjalanan, maka sebilangan daripada hari-hari lain; dan bagi orang-orang yang tidak boleh, ditebus dengan memberi makan seorang miskin, tetapi lebih baik baginya, yang membuat kebaikan dengan sukarela, bahawa kamu berpuasa adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (2:184)

 

Selain puasa ia menjadi salah satu daripada penebusan bagi sumpah yang tidak dapat dijaga. Kali ini 10 orang miskin pula yang dikehendaki untuk diberi makan, dengan makanan yang biasa diberi kepada keluarga. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

 

"Allah tidak mempertanggungjawabkan kamu kerana sumpah kamu yang tidak sengaja, tetapi Dia mempertanggungjawabkan kerana ikatan yang kamu buat dengan sumpah-sumpah itu. Penebusannya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang biasa kamu memberikan keluarga kamu, atau memberi pakaian mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Jika sesiapa tidak mendapatkannya, hendaklah dia berpuasa tiga hari. Itulah penebusan bagi sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah; jagalah sumpah-sumpah kamu. Begitulah Allah memperjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu berterima kasih." (5:89)

 

Sedikit penjelasan lanjut mengenai sumpah. Ia didapati dikaitkan dengan perjanjian. Antara ayat-ayat yang menunjukkan kaitan tersebut adalah dua yang berikut. Salah satu daripadanya menyebut Perjanjian Allah, yang antara lain merangkumi perjanjian antara sesama manusia, contoh, perjanjian dalam hutang-berhutang (3:75-77). Ayat-ayat dimaksudkan adalah:

 

"Tetapi jika mereka memungkiri sumpah-sumpah mereka setelah perjanjian mereka, dan membidas agama kamu, maka perangilah imam-imam (ketua-ketua) orang-orang yang tidak percaya; bagi mereka tidak ada sumpah, supaya mereka berhenti." (9:12)

 

"Tepatilah perjanjian Allah apabila kamu membuat perjanjian, dan jangan melanggar sumpah-sumpah setelah mengukuhkannya, dan kamu membuat Allah penjamin kamu; sesungguhnya Allah mengetahui apa kamu buat." (16:91)

 

Dan, amalan memberi makan orang miskin sebagai penebusan didapati dituntut dalam ibadah Haji. Ia dituntut setelah melakukan kesalahan membunuh binatang buruan. Selain tuntutan itu, kesalahan tersebut dapat ditebus dengan berpuasa atau mengorbankan binatang ternak. Firman Allah.

 

"Wahai orang-orang yang percaya, jangan membunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram); sesiapa antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, akan ada balasannya dengan yang serupa apa dia bunuh, daripada binatang ternak, yang dihakimkan dua orang yang adil antara kamu, sebagai pemberian yang dibawa ke Kaabah; atau penebusan - memberi makan orang-orang miskin, atau yang sama dengan itu dalam puasa, supaya dia merasai keburukan daripada pekerjaannya. Allah memaafkan apa yang telah lalu, tetapi sesiapa mengulanginya, Allah akan melepaskan dendam kepadanya; Allah Perkasa, Pendendam." (5:95)

 

Demikian itu adalah tiga ayat pertama ditemui atas perkara memberi makan orang miskin. Kesemuanya mengenai penebusan. Terdapat satu lagi ayat agak berkaitan, tetapi terletak jauh ke dalam kandungan al-Qur'an, iaitu mengenai menzihar isteri pula. Atas kesalahan itu, hukumannya ialah memerdekakan seorang hamba, atau berpuasa dua bulan berturut-turut, atau memberi makan 60 orang miskin! Itu adalah Hudud Allah, disebut di dalam ayat-ayat berbunyi,

 

"Dan orang-orang yang menzihar isteri-isteri mereka, kemudian mereka menarik kembali apa yang mereka telah mengatakan, mereka akan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dengan itu kamu ditegurkan; dan Allah menyedari apa kamu buat.

Tetapi sesiapa yang tidak mendapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dan jika sesiapa yang tidak boleh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin - itu, supaya kamu mempercayai Allah dan rasul-Nya. Itulah hudud (had-had) Allah; dan bagi orang-orang yang tidak percaya, azab yang pedih." (58:3-4)

 

Amalan memberi makan orang miskin tidak terbatas dalam hal penebusan sahaja. Ia menjadi tuntutan dalam agama Allah. Sesiapa yang mempecayai-Nya diberi tanggungjawab tersebut. Kesalahan bukan sahaja dalam tidak melaksanakannya malah dalam tidak menggesa orang lain untuk berbuat demikian juga! Atas kesalahan tidak menggesa orang lain, pesalah disifatkan sebagai tidak mempercayai Allah Yang Agung! Ini berat. Firman-Nya,

 

"Sesungguhnya dia tidak pernah mempercayai Allah Yang Agung, Dan dia tidak menggesa untuk memberi makan orang-orang miskin." (69:33-34)

 

Perbuatan tidak menggesa selanjutnya disamakan dengan mendustakan Agama pula. Ini juga berat. Firman-Nya, "Sudahkah kamu melihat dia yang mendustakan Agama (Pengadilan)? Itulah dia yang menolak anak yatim, Dan tidak menggesa untuk memberi makan orang miskin." (107:1-3)

 

 

Orang-orang yang tidak menggesa memberi makan orang miskin di samping tidak memuliakan anak yatim akan disempitkan rezeki oleh Allah. Sila lihat ayat-ayat berikut:

 

"Tetapi apabila Dia mengujinya, dan menyempitkan rezekinya baginya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku menghina aku.' Tidak sekali-kali! Tetapi kamu tidak memuliakan anak yatim, Dan kamu tidak menggesa memberi makan orang miskin," (89:16-18)

 

Memberi makan orang miskin adalah sebenarnya termasuk dalam amalan-amalan menyembah Allah, kerana jika tidak dilakukan adalah serupa dengan tidak menyembah-Nya. Orang-orang yang tidak melakukannya adalah berdosa dan dimasukkan ke dalam Saqar (neraka), dan kekal di dalamnya. Firman Allah,

 

"Mengenai orang-orang yang berdosa, 'Apakah yang mengasakkan kamu ke dalam Saqar?' Mereka berkata, 'Kami tidak termasuk orang-orang yang menyembah, Dan kami tidak memberi makan orang-orang miskin,'" (74:41-44)

 

Namun, terdapat manusia yang enggan menafkah daripada apa yang Allah merezekikan mereka dengan memberi makan orang miskin. Gesaan orang-orang yang percaya ditolak dengan menyatakan bahawa Allah boleh memberi mereka makan! Atau yang serupa kata-katanya. Dia menjelaskan,

 

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Nafkahkanlah daripada apa yang Allah telah merezekikan kamu', orang-orang yang tidak percaya berkata kepada orang-orang yang percaya, 'Apa, adakah kami memberi makan kepada orang yang, jika Allah menghendaki, Dia memberinya makan? Kamu hanya dalam kesesatan yang nyata!'" (36:47)

 

Memberi makan pada hari kelaparan kepada anak yatim kerabat yang dekat, atau orang miskin dalam penderitaan, adalah antara pendakian yang didaki untuk mencapai darjat Orang Kanan. Dewasa ini hari kelaparan berlaku di sana sini di dunia ini. Tanpa memanjangkan lagi ceritanya, diturunkan ayat-ayat berkenaan di bawah ini:

 

"Namun begitu, dia tidak mendaki pendakian, Dan tahukah kamu apakah ia pendakian? Memerdekakan seorang hamba, Atau memberi makan pada hari kelaparan, Kepada anak yatim kerabat yang dekat, Atau seorang miskin dalam penderitaan. Kemudian dia termasuk antara orang-orang yang percaya, dan saling berwasiat untuk bersabar, dan saling berwasiat untuk menjadi yang berpengasihan. Mereka itulah Orang-Orang Kanan." (90:11-18)

 

Maka manusia berlumba-lumba dalam pendakian, lalu menafkah melalui memberi makan orang miskin, dengan tanpa menghendaki balasan atau kesyukuran daripada mereka, tetapi hanya kerana mencintai-Nya serta mengharapkan Wajah (sokongan) Allah.  Disudahi dengan firman berbunyi,

 

"Mereka memberi makan, kerana mencintai-Nya, kepada orang miskin, dan anak yatim, dan tawanan, 'Kami memberi makan kepada kamu hanya kerana mengharapkan Wajah Allah; kami tidak menghendaki balasan daripada kamu, dan tidak juga kesyukuran,'" (76:8-9)

 

Allah disanjung!

 


Penulis Bacaan

13 Mei 2011

 

Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim  
Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman