Di manakah Letaknya Keagungan Ayat-Ayat Allah Di Sisi Umat Islam?

Oleh: Nadia

 

Sedang saya membaca ayat-ayat Allah daripada kitabnya, Al Quran, saya dapati satu ayat yang tidak boleh saya ketepikan. Ayat 2:79 yang berbunyi, “Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, ‘Ini daripada Allah’, supaya mereka menjualnya untuk harga yang sedikit; kecelakaanlah bagi mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka tulis dan kecelakaanlah bagi mereka kerana usaha-usaha mereka.”

Seringkali kita disajikan dengan pelbagai kata hikmah daripada ustaz dan ustazah yang menyebabkan ramai umat Islam mengagungkan kata-kata manusia daripada ayat-ayat Allah. Contoh ini dapat dilihat di laman sosial Facebook (antaranya) – ramai orang gemar memetik ayat daripada seseorang ustaz dan juga ustazah. Disebabkan ‘kebijaksanaan’ ustaz dan ustazah ini, ramai yang menjunjung mereka sehinggakan dapat status ‘idola’ dan ‘selebriti’ ramai!

Sebagai seorang yang berpegang pada ayat-ayat Allah, saya sedih dan juga marah dengan junjungan ini. Bukankah kita patut menyanjung Allah sahaja dan bukan manusia? Ini membawa persoalan saya, “Di manakah letaknya keagungan ayat-ayat Allah?”

Fahaman biasa umat Islam lain yang mengatakan bahawa hadis itu melengkapkan Al Quran buat saya tertanya-tanya, “Adakah anda mencadangkan bahawa ayat-ayat Allah itu tidak benar dan tidak lengkap?”

Bukankah ayat di atas sudah menjelaskan segala-galanya? Ayatnya yang mengatakan kecelakaan kepada orang-orang yang menulis al-Kitab dengan sendiri kemudian berkata bahawa ayat yang ditulis adalah daripada Allah. Mengikut fahaman saya, ini adalah fitnah yang boleh (dan biasa) dilihat.

Dengan itu, saya akhiri coretan saya dengan ayat 6:25 yang berbunyi “Dan antara mereka ada yang dengarkan kamu, dan Kami letak penudung pada hati mereka, supaya mereka tidak faham, dan di dalam telinga mereka, sumbatan; dan jika mereka lihat sebarang ayat pun, mereka tidak percayainya, supaya apabila mereka datang kepada kamu, mereka bantah kamu. Orang-orang tidak percaya berkata, ‘Tiadalah ini, melainkan dongeng orang-orang dahulukala.”

Moga-moga kita terselamat daripada segala sumbatan dan penudung hati.

Allah disanjung!

20 Jun 2012


Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman