KEMATIAN
menurut ajaran al-Qur'an

 

"Kami tidak buat sesuatu makhluk sebelum kamu (Muhammad) untuk hidup dengan kekal" (21:34). Justeru, semua makhluk mati, termasuk Nabi Isa, yang sesetengah golongan percaya tidak wafat kerana akan turun ke bumi untuk selamatkan manusia sebelum datang Hari Kiamat. Bagi pihak yang berat menerima kenyataan tersebut Allah menegaskan pula dengan beberapa ayat al-Qur'an. Dua daripadanya adalah:

"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan matikan kamu ....'" (3:55)

"Aku (Isa) hanya kata kepada mereka apa yang Engkau perintahkan aku dengannya: 'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau matikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)

Ayat pertama menunjukkan kenyataan daripada Allah, dan kedua, kenyataan daripada Nabi Isa sendiri tentang kewafatannya. Isa yang hidup sebelum Muhammad telah wafat atau mati seperti makhluk lain. Kepercayaan bahawa dia akan turun ke bumi adalah kepercayaan Kristian yang turut hadir dalam Islam tanpa ajaran al-Qur'an.


Jiwa

Sebutan mengenai kematian manusia banyak terdapat di dalam Al-Qur'an. Ia didahulukan di sini dengan ayat berbunyi,

"Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian; kemudian kepada Kami kamu dikembalikan." (29:57)

Semua jiwa dimatikan untuk dikembalikan kepada Tuhan supaya upah dapat dibayar dengan penuh iaitu upah setelah dicuba dengan kejahatan dan kebaikan semasa hidup di dunia. Upah bakal diterima seseorang ialah Api atau Taman yang ditunaikan pada Hari Kiamat. Firman-Nya,

"Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian, dan sungguh, kamu akan dibayar sepenuhnya upah kamu pada Hari Kiamat; sesiapa yang disingkirkan daripada Api dan dimasukkan ke Taman, akan dapat kemenangan. Kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang memperdayakan." (3:185)

"Tiap-tiap jiwa akan rasa kematian; dan Kami uji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu dikembalikan." (21:35)

Dimatikan ialah jiwa manusia. Ia dimatikan dalam kematian mereka, dan semasa mereka tidur. Firman Allah,

"Allah mematikan jiwa ketika kematian mereka, dan yang belum mati, dalam tidurnya" (39:42).

Persamaan mati dengan tidur terletak pada jiwa, yang dimatikan atau dikeluarkan daripada jazad. Perbezaannya pula adalah pada nadi dan nafas yang tidak dapat dikesan pada orang mati.

Manusia mati dua kali dan hidup pun dua kali. Ayat-ayat di bawah dipetik sebagai bukti kepada kenyataan tersebut:

"Bagaimanakah kamu boleh tidak percaya kepada Allah memandangkan kamu adalah orang-orang yang mati, lalu Dia hidupkan kamu, kemudian Dia matikan kamu, kemudian Dia hidupkan kamu, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan?" (2:28)

"Mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, Engkau matikan kami dua kali, dan dua kali Engkau hidupkan kami; dan kami akui kesalahan-kesalahan kami. Adakah sebarang jalan untuk keluar?'" (40:11)

Dengan kata lain, manusia tidak miliki jiwa sebelum dihidupkan untuk tinggal di dunia. Setelah hidup, mereka dimatikan, lalu sekali lagi manusia berada dalam keadaan tidak berjiwa meskipun jasad masih terpelihara. Jiwa dikembalikan tatkala dihidupkan sekali lagi pada Hari Kiamat. (Jiwa yang dimatikan semasa tidur sengaja tidak disebut di sini.)

Memandangkan manusia pada mulanya mati kemudian dihidupkan maka mungkinkah jiwa itu mempunyai kaitan rapat dengan Roh-Ku yang disebut di dalam ayat berikut:

"Apabila Aku sudah membentuknya (Adam), dan hembus Roh-Ku ke dalamnya, jatuhlah kamu bersujud kepadanya." (15:29)

(Perkataan jiwa - atau soul dalam bahasa Inggeris - diterjemah daripada perkataan Arab nafs yang selanjutnya mempunyai beberapa maksud lain, seperti diri, diri sendiri, goda dan sebagainya. Sementara Roh pula tidak diterjemah kerana sebutannya sudah sedia maklum.)

Penulis tidak bercadang memanjangkan bicara mengenai jiwa dan roh kerana dikhuatiri akan lari jauh dari tajuk di samping menyentuh sesuatu berbau mutasyabihat.

Balik kepada tajuk. Kematian seseorang ditentukan oleh Allah. Hanya Dia, tiada yang lain. Firman-Nya,

"Kami tentukan antara kamu dengan kematian; Kami tidak didahului," (56:60)

"Dia yang menghidupkan dan mematikan; apabila Dia tentukan sesuatu perkara, Dia hanya berkata padanya, 'Jadilah', dan jadilah ia." (40:68)

Namun, terdapat juga manusia yang membantah dengan berkata segala yang musnah, termasuk kematian manusia, adalah disebabkan oleh masa. Itu dinafikan Allah dengan kata-kata berikut:

"Mereka berkata, 'Tiadalah ia, melainkan kehidupan dunia kita; kita mati, dan kita hidup, dan tiada yang musnahkan kita melainkan masa.' Mengenai itu mereka tidak mempunyai pengetahuan; mereka hanya menyangka." (45:24)

Tugas matikan jiwa diberi kepada malaikat, menurut ayat bermaksud,

"Katakanlah, 'Malaikat maut yang diamanahkan untuk kamu akan mematikan kamu, kemudian kepada Pemelihara kamu, kamu dikembalikan.'" (32:11)


Baik

Malaikat maut akan berkata-kata sebelum jiwa dimatikan, atau dikeluarkan, daripada jasad seseorang. Apabila ia datang untuk mematikan jiwa orang berkeadaan baik ia beri salam hormat serta memaklumkan tentang upah bakal diterima. Penjelasan sebenar berbunyi,

"Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka berkeadaan baik, dengan berkata, 'Salamun alaikum! Masuklah ke Taman kerana apa kamu buat.'" (16:32)

Orang-orang berkeadaan baik adalah penghuni-penghuni Taman (Syurga). Mereka terdiri daripada:

1. orang-orang yang benar dalam janji dengan Allah hingga mereka mati. Firman-Nya,

"Antara orang-orang mukmin terdapat lelaki-lelaki yang benar terhadap perjanjian mereka dengan Allah; antara mereka telah menunaikan sumpah mereka dengan kematian, dan antara mereka masih menunggu, dan mereka tidak menukarkan dengan sesuatu pertukaran," (33:23)

Sumpah yang dimaksudkan itu dipercayai berbunyi,

"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, dan pengorbananku, dan hidupku, dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Pemelihara semua alam.'" (6:162)

2. mereka yang terbunuh atau mati di jalan Allah. Firman-Nya,

"Jika kamu terbunuh, atau mati di jalan Allah, ampunan dan pengasihan daripada Allah adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan" (3:157) dan,

3. orang-orang yang mati sebagai penghijrah di jalan Allah. Dua ayat-Nya dipetik dan diturunkan di bawah ini:

"Dan sesiapa hijrah di jalan Allah, dia akan dapati di bumi banyak tempat perlindungan, dan keluasan. Dan sesiapa keluar dari rumahnya sebagai seorang penghijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian mendapatkannya, maka upahnya dijatuhkan kepada Allah; Allah Pengampun, Pengasih." (4:100)

"Dan orang-orang yang hijrah di jalan Allah dan dibunuh atau mati, Allah pasti akan beri rezeki kepada mereka dengan rezeki yang baik; dan sesungguhnya Allah, Dia yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (22:58)

Orang-orang yang terbunuh atau mati di jalan Allah, sebenarnya, menurut Allah, tidak mati. Mereka hidup di sisi-Nya dengan diberi rezeki. Dia jelaskan dengan ayat berikut:

"Janganlah sangka orang-orang yang terbunuh di jalan Allah sebagai sudah mati, tetapi hidup di sisi Pemelihara mereka, diberi rezeki oleh-Nya." (3:169)

Penulis berpendapat bahawa apa dikatakan hidup di situ adalah jiwa. Jika jiwanya dimatikan maka Tuhan tidak terangkannya sebagai hidup.

Jiwa, atau jiwa yang hidup, tidak dapat dilihat oleh manusia tetapi jasad yang mati boleh. Sebab itu mereka disangka sudah mati.

Oleh kerana tidak diketahui bentuk jiwa sebenar dan jenis rezeki yang diberi di sisi Allah maka penulis tidak dapat meneruskan beri pendapat lanjut mengenai mereka. Akan tetapi, penulis agak yakin jiwa tersebut tidak dapat dihubungi oleh mana-mana manusia yang sedang hidup di dunia atas sebab adanya barzakh dan keterangan daripada ayat bermaksud,

"Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu boleh tembus pembatasan langit dan bumi, tembusilah ia! Kamu tidak menembusinya kecuali dengan satu kuasa." (55:33)

Terakhir disebut tentang kematian di jalan Allah ialah orang-orang yang lari daripada kematian atau pembunuhan. Mereka yang lari, dari peperangan umpamanya, kerana tidak mahu mati atau dibunuh, hanya diberi sedikit sahaja kesenangan hidup di dunia. Demikianlah janji Allah dalam firman-Nya berbunyi,

"Katakanlah, 'Lari tidak bermanfaat kepada kamu, jika kamu lari daripada kematian atau pembunuhan, jika demikian, tidaklah kamu diberi kesenangan hidup, kecuali sedikit.'" (33:16)


Tidak Baik

Lain pula layanan yang diberi kepada orang-orang tidak berada dalam keadaan baik ketika didatangi kematian. Tentu sekali mereka tidak menerima salam hormat daripada malaikat sebelum mereka dimatikan. Mereka yang tidak baik itu terdiri daripada:

1. orang-orang yang mengatakan tidak benar terhadap Allah serta menyombong terhadap ayat-ayat-Nya. Firman-Nya,

"Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dia berkata, 'Kepada aku ia diwahyukan'; padahal tiada yang diwahyukan kepadanya, atau orang yang berkata, 'Aku akan turunkan yang serupa dengan apa yang Allah turunkan'? Jika kamu dapat lihat ketika orang-orang zalim dalam sengsara kematian, dan malaikat-malaikat menjulurkan tangan-tangan mereka, 'Keluarkanlah jiwa kamu! Hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan kerana kamu kata yang tidak benar terhadap Allah, dan sombong terhadap ayat-ayat-Nya.'" (6:93)

Mereka mati dengan sengsara, jiwa dipaksa keluar daripada jasad, dan diberitahu tentang azab bakal diterima.

2. orang-orang tidak percaya. Firman-Nya,

"Jika kamu dapat lihat ketika para malaikat mematikan orang-orang tidak percaya, dengan memukul muka-muka mereka, dan belakang mereka, 'Rasalah azab yang membakar,
Itu adalah kerana apa
yang tangan-tangan kamu telah dahulukan, dan kerana Allah bukanlah penganiaya hamba-hamba-Nya.'" (8:50-51)

Muka dan belakang mereka dipukul dan diberitahu tentang azab Api sebagai upah.

3. orang-orang yang benci apa diturunkan Allah dan ikut apa yang menyebabkan kemurkaan-Nya. Firman Allah,

"Maka bagimanakah ia, apabila malaikat-malaikat mematikan mereka (yang benci pada apa diturunkan Allah), memukul muka mereka dan belakang mereka?
Itu kerana mereka ikut apa yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan benci kepuasan hati-Nya, maka Dia jadikan sia-sia amalan-amalan mereka." (47:27-28)

Muka dan belakang mereka juga dipukul di samping amalan-amalan mereka dijadikan sia-sia sahaja.

4. orang-orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dustakan ayat-ayat-Nya. Firman Allah,

"Siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dustakan ayat-ayat-Nya? Mereka itu, bahagian mereka daripada Kitab akan sampai kepada mereka sehingga, apabila Rasul-Rasul Kami datang kepada mereka untuk matikan mereka, mereka berkata, 'Di manakah apa yang kamu seru selain daripada Allah?' Mereka berkata, 'Mereka sudah sesat (hilang) daripada kami', dan mereka saksikan terhadap diri-diri mereka sendiri bahawa mereka adalah orang-orang tidak percaya." (7:37)

Mereka ditanya tentang apa yang mereka seru selain Allah dan mereka mengaku bahawa mereka adalah orang-orang tidak percaya.

5. orang-orang yang menzalimi diri sendiri dan tidak mengaku buat jahat. Ayat yang menjelaskan bermaksud:

"'Yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka menzalimi diri-diri mereka sendiri.' Kemudian mereka lemparkan ketundukan, 'Kami tidak buat jahat.' 'Tidak, tetapi sesungguhnya Allah tahu apa kamu buat,'" (16:28)

Nak mati baru nak tunduk kepada Allah. Dan,

6. orang-orang yang menzalimi diri sendiri kerana tidak hijrah atau lari daripada kekejaman lalu mati. Firman-Nya,

"Dan orang-orang yang malaikat-malaikat matikan sedang mereka menzalimi diri-diri mereka, mereka (malaikat) berkata, 'Bagaimanakah kamu?' Mereka berkata, 'Kami adalah orang-orang yang dihina di bumi.' Mereka berkata, 'Bukankah bumi Allah itu luas untuk kamu hijrah di dalamnya?' Maka mereka itu, tempat menginap mereka ialah Jahanam - satu kepulangan yang buruk!" (4:97)

Soal-jawab sebelum jiwa dimatikan tidak didengar oleh sesiapa di sisi si mati. Mungkin begitu juga dalam sengsara yang dialami - tidak dapat dilihat.


Beberapa Lagi

Selain daripada kata-kata yang dikeluarkan oleh orang-orang tidak baik seperti disenaraikan di atas, al-Qur'an menyebut beberapa lagi. Kata-kata mereka di dalam ayat-ayat di bawah adalah daripada:

1. orang yang tidak buat kerja-kerja baik , berbunyi,

"Sehingga, apabila kematian datang kepada seorang daripada mereka, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, kembalikanlah aku,
Supaya aku buat kerja-kerja baik yang aku telah tinggalkan.
' Tidak, ia hanyalah satu kata yang dia ucapkan; dan di belakang mereka ada barzakh (tembok) hingga hari mereka dibangkitkan." (23:99-100)

Dia mohon supaya tidak dimatikan untuk buat kerja-kerja baik yang tidak dibuat.

2. orang yang tidak bersedekah. Firman Allah,

"Nafkahkanlah daripada apa yang Kami rezekikan kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu, dan dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, mengapa tidak Engkau tangguhkan aku kepada satu tempoh yang dekat, supaya aku bersedekah, dan jadilah aku termasuk orang-orang yang salih (baik).' (63:10)

Minta ditangguhkan kematian untuk memberi sedekah. Dan,

3. orang yang bertaubat ketika didatangi kematian. Ayat yang menyusul menjelaskan:

"Tetapi tidak diterima taubat orang-orang yang lakukan kejahatan sehingga, apabila salah seorang antara mereka didatangi kematian, dia berkata, 'Sesungguhnya sekarang saya bertaubat', dan tidak juga bagi orang-orang yang mati dengan tidak percaya; bagi mereka, Kami sediakan azab yang pedih." (4:18)

Nak mati baru bertaubat! Semasa hidup buat jahat dan tidak mahu percaya kepada Allah atau ayat-ayat-Nya.

Selalu terdapat orang-orang yang dalam keadaan nazak dibaca surah Ya Sin dan diajar Syahadah kepada mereka. Dapatkah amalan-amalan tersebut menolong orang-orang didatangi kematian seperti baru diceritakan? Atau mereka dapat mengubah senario-senario tadi setelah ditetapkan Allah?

Beberapa lagi pengajaran Allah mengenai kematian orang-orang tidak percaya ditambah di sini, seperti berikut:

1. Orang-orang yang mati sedang dalam keadaan tidak percaya dilaknat Allah, para malaikat, dan semua manusia. Tebusan emas sepenuh bumi daripada mereka tidak diterima. Bagi mereka yang tidak percaya dan halangi jalan Allah pula dosa-dosa mereka tidak diampun. Ayat-ayat yang menerangkan berbunyi,

"Tetapi orang-orang tidak percaya dan mati dengan tidak percaya, ke atas merekalah laknat Allah, dan para malaikat, dan manusia kesemuanya," (2:161)

"Sesungguhnya orang-orang tidak percaya, dan mati dengan tidak percaya, maka tidak akan diterima daripada seseorang pun antara mereka emas sepenuh bumi, jika dia tebus dirinya dengannya; bagi mereka azab yang pedih, dan mereka tidak ada penolong-penolong." (3:91) dan,

"Orang-orang tidak percaya, dan halangi jalan Allah, dan kemudian mati sedang mereka tidak percaya, merekalah yang Allah tidak akan ampunkan." (47:34)

2. Mereka yang murtad dan mati sedang tidak percaya hanya sia-siakan amalan mereka. Firman-Nya,

"Dan sesiapa daripada kamu berpaling (murtad) daripada agamanya, dan mati sedang tidak percaya, amalan mereka menjadi sia-sia, di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni-penghuni Api; di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:217) Dan,

3. Orang-orang yang di dalam hati ada penyakit, mereka mati sebagai orang-orang tidak percaya. Allah menjelaskan,

"Tetapi bagi orang-orang di dalam hati mereka ada penyakit, bagi mereka, ia menambahkan kotoran pada kotoran mereka, dan mereka mati sedang mereka orang-orang tidak percaya." (9:125)

Kematian kesemua mereka yang tidak berada dalam keadaan baik, atau sebagai orang-orang tidak percaya, adalah dengan sengsara, dan mereka tidak dirahmati, dan tidak diberi penghormatan dengan berdiri di kubur mereka. Firman Tuhan,

"Sengsara maut datang dengan benar; itulah apa yang kamu jauhkan diri daripadanya!" (50:19)

"Dan jangan kamu rahmati selama-lamanya ke atas sesiapa antara mereka apabila dia mati, dan jangan juga berdiri di kuburnya; mereka tidak percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mati sedang mereka orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." (9:84)


Tidak Dengar

Orang yang mati tidak dapat mendengar seruan orang yang hidup. Allah menegaskan dengan ayat bermaksud,

"Kamu tidak dapat jadikan orang yang mati mendengar, dan tidak juga kamu dapat jadikan orang yang pekak mendengar seruan apabila mereka berpaling, berundur." (27:80)

Maka amalan berkata-kata kepada mereka, terutamanya di kubur mereka, merupakan sia-sia belaka. Selain tidak dapat mendengar mereka juga tidak tahu bila mereka akan dibangkitkan. Firman Tuhan,

"Sudah mati, tidak hidup, dan tidak sedar bila mereka akan dibangkitkan." (16:21)

Selanjutnya, al-Qur'an beritahu bahawa tiada jiwa tahu di bumi mana dia akan mati, dengan ayat bermaksud,

"Tiada jiwa tahu apa yang ia akan usahakan esok, dan tiada jiwa tahu di bumi mana ia akan mati. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari." (31:34)

Jika tidak tahu apa yang akan diusahakan esok maka tentu dia tidak tahu juga bila dia akan mati. Manusia tidak tahu bila dia akan mati dan di mana dia akan mati.


Wasiat Nabi

Apabila seseorang didatangi kematian dia harus tunaikan satu kewajipan iaitu buat wasiat. Kandunagn wasiat dinyatakan dalam ayat di bawah:

"Dituliskan bagi kamu, apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia tinggalkan kebaikan (harta), supaya buat wasiat memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara dengan baik - suatu kewajipan kepada orang-orang bertakwa." (2:180)

Dan, mengenai saksi-saksi ke atas wasiat tersebut dihuraikan pula di dalam ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang empunya keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut timpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: 'Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan sembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa.'" (5:106)

Demikianlah adalah antara beberapa ayat mengandungi kalimat mati yang menyebut hal wasiat atas pembahagian harta si mati. Perihal wasiat yang lengkap adalah satu tajuk lain. Sila rujuk Wasiat dan Pembahagian Harta Pusaka. Terima kasih.

Turut ditulis dalam ajaran al-Qur'an adalah wasiat dua orang Nabi yang menyentuh kematian. Pertama, wasiat Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya berbunyi,

"Dan Ibrahim wasiatkan anak-anaknya dengan ini, dan Yaakub, 'Wahai anak-anakku, Allah telah pilih untuk kamu agama; maka jangan kamu mati kecuali dalam kemusliman.'" (2:132)

Dan kedua, wasiat Nabi Yaakub ketika didatangi kematian, iaitu,

"Kenapa, adakah kamu saksi-saksi apabila kematian datang kepada Yaakub? Apabila dia berkata kepada anak-anaknya, 'Apakah yang kamu akan sembah sesudahku?' Mereka berkata, 'Kami akan sembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu, Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, Tuhan Yang Satu; kepada-Nya kami muslim.'" (2:133)

Wasiat-wasiat tersebut harus dijadikan ikutan semua orang yang percaya kepada ayat-ayat-Nya.


Doa

Harus dijadikan ikutan juga adalah doa-doa berkaitan dengan kematian yang diajar Tuhan melalui Kitab-Nya. Lantas, di bawah ini diturunkan tiga ayat mengandungi doa-doa tersebut:

"Wahai Pemelihara kami, kami dengar seorang pemanggil yang memanggil kami kepada keimanan, 'Percayalah kamu kepada Pemelihara kamu.' Dan kami percaya. Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan lepaskanlah kami daripada kejahatan-kejahatan kami, dan matikanlah kami berserta orang-orang yang taat." (3:193)

"Dan kamu mendendami kami hanya kerana kami percaya kepada ayat-ayat Pemelihara kami apabila mereka datang kepada kami. Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran dan matikanlah kami dalam kemusliman." (7:126)

"Wahai Pemeliharaku, Engkau telah beri aku untuk memerintah, dan Engkau telah ajar aku interpretasi hadis (mimpi). Wahai Pemula langit dan bumi, Engkau Waliku (Pelindungku) di dunia dan akhirat. Matikanlah aku dalam kemusliman, dan satukanlah aku dengan orang-orang yang salih." (12:101)


Pesanan Allah

Tidak dilupakan ialah sebuah ayat mengandungi dua pesanan Allah kepada orang-orang yang percaya. Pertama, Dia menyuruh supaya Dia ditakuti, dan kedua berkenaan dengan kematian. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, takutilah Allah sebagaimana Dia patut ditakuti, dan janganlah kamu mati melainkan dalam kemusliman." (3:102)

Pengajaran daripada Allah mengenai kematian, yang diceduk daripada ayat-ayat mengandungi perkataan mati berhenti di sini. Ayat-ayat-Nya benar dan tidak boleh dibantah. Mereka yang membantah diibaratkan seperti dihalau kepada kematian dengan mata-mata mereka terbeliak. Firman Allah,

"Dengan membantah kamu mengenai yang benar setelah ia jadi jelas, seakan-akan mereka dihalau kepada kematian dengan mata-mata mereka terbuka luas." (8:6)

Allah Disanjung!


Sila rujuk:
Kalimat mati di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
21 Julai 2008

Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman