Respon Kepada 250,000 Murtad


oleh
Azahidi

 

Mengandaikan berita yang disiarkan oleh Harakah, satu penerbitan oleh satu kumpulan yang kononnya memperjuangkan Islam, itu betul maka mengikut fahaman kumpulan tersebut, seramai 250,000 orang akan di hukum bunuh sekiranya tidak kembali kepada Islam cara mereka termasuklah percaya kepada hadith yang menyatakan bahawa hukuman kepada murtad ialah bunuh.

Banyak yang telah membuat analisa dalam berbagai website termasuk e-bacaan berkenaan tentang isu tersebut. Tidak kurang juga usaha yang sedang dibuat oleh NGO yang ‘berlandaskan Islam’ untuk menekan kerajaan supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dalam isu tersebut.

Quran telah menyatakan bahawa majoriti manusia termasuk dalam golongan yang tidak percaya.

Walaupun kamu sangat menginginkan, tetapi kebanyakan manusia tidak mukmin (mempercayai) (12:103).

Apa yang Quran kata adalah jelas, benar dan tepat pada bila-bila masa sehingga kiamat. Kalau kita percaya sepenuhnya kepada ayat 12:103 yang disebut di atas, maka sehingga kiamat majoriti manusia akan terdiri daripada golongan yang tidak percaya. Ianya  termasuklah 250,000 yang telah (kononnya) murtad dan selainnya yang tidak percaya sepenuhnya kepada Quran termasuklah ahli-ahli kumpulan yang kononya memperjuangkan Islam tapi tidak percaya sepenuhnya daripada Quran.

Berkenaan murtad, Quran telah menyatakan dengan mudah dan jelas bahawa tiada paksaan dalam ugama.

Tidak ada paksaan dalam agama. Yang benar telah jelas daripada yang salah. Maka sesiapa yang tidak percaya kepada Thagut, dan mempercayai Allah, dia berpegang pada pemegang yang paling kukuh, yang tidak akan putus; Allah Mendengar, Mengetahui. (92:256)

Siapa yang nak percaya kepada Allah, percayalah. Inilah yang Allah suruh. Siapa yang nak percaya kepada Thagut atau rekaan manusia atau selainnya, percayalah. Allah tidak rugi sedikit pun. Allah tahu dan Allah menyediakan balasan yang setimpal di akhirat nanti.

Sebelumnya, sebagai petunjuk bagi manusia, dan Dia menurunkan Pembeza. Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, bagi mereka, azab yang keras; dan Allah Perkasa, Pendendam. (3:4)

Quran juga memberi contoh tentang orang-orang yang bertukar keprcayaan beberapa kali. Allah tidak akan mengampuni dan tidak akan memberi petunjuk hanya sekiranya mereka akhirnya bertambah tidak percaya.

Orang-orang yang percaya, kemudian tidak percaya, kemudian percaya, kemudian tidak percaya, kemudian bertambah dalam ketidakpercayaan (kekafiran), Allah tidak akan mengampuni mereka, dan tidak juga memberi petunjuk kepada mereka pada sebarang jalan. (4:137)

Adakah mereka yang percaya sepenuhnya kepada Allah akan kerugian dengan adanya mereka yang murtad? Bagi mereka yang percaya tidak rugi sesuatu pun. Quran sebagai panduan akan sentiasa kekal sehingga kiamat kerana Allah menjanjikan demikian.

Kamilah yang menurunkan Peringatan, dan Kamilah yang menjaganya. (15:9)

Walau pun demikian akan masih terdapat mereka yang tidak percaya, sebagaimana dijelaskan oleh ayat 12:103 tersebut di atas.

Jadi bagaimana pula pendekatan kita? Patutkah kita berasa sedih dan tersentak kepada suasana 250,000 orang murtad? Perasaan dan emosi adalah semulajadi manusia sebagaimana juga perasaan gembira, takut, keliru, dan lainnya. Walau pun apa perasaan kita, kita mesti teruskan arahan Allah untuk berusaha menjaga keluarga kita dari ketidakpercayaan.

Wahai orang-orang yang percaya, lindungilah diri kamu dan keluarga kamu daripada Api yang bahan bakarnya manusia dan batu, dan di atasnya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak mengingkari Allah pada apa yang Dia memerintahkan mereka, dan membuat apa yang mereka diperintahkan. (66:6)

Kita hanya boleh berusaha. Jelas Allah menyatakan dalam ayat berikut bahawa kita tidak mampu mengubah manusia kepada kepercayaan.

Katakanlah, "Aku tidak ada kuasa untuk memanfaatkan diriku atau memudaratkan, kecuali seperti yang Allah mengkehendaki. Sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentu aku mengambil banyak kebaikan, dan keburukan tidak akan menyentuhku. Aku hanyalah seorang pemberi amaran dan pembawa berita gembira bagi kaum yang mempercayai." (7:188)

Nabi Muhammad tidak boleh mengubah kepercayaan bapa sudaranya. Nabi Nuh tidak boleh mengubah kepercayaan anaknya sendiri. Nabi Ibrahim tidak boleh mengubah kepercayaan bapanya sendiri.

Maka, jika mereka berpaling, bagi kamu hanyalah untuk menyampaikan yang jelas. (16:82)

Akhir kata kita mesti ingat bahawa majoriti manusia adalah yang tidak percaya sepenuhya kepada Allah dan tidak mempedulikan Quran.

Rasul berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (25:30)


6 Mac 2006

Sila rujuk:
250,000 Murtad di Malaysia
250,000 murtad & Masjid Dibedal & Kecewa


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman