Puasa 10 hari saja?

 

Masih dalam bulan puasa, dan akan meneruskan puasa hingga akhir Ramadan, kecuali orang-orang yang menetapkan bilangan berpuasa hanya 10 hari. Penetapan itu, pada hemat mereka, adalah menurut ayat berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, dituliskan bagi kamu berpuasa sebagaimana dituliskan bagi orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa. Pada hari-hari yang terhitung;" (2:183-184)

Perkataan "terhitung" dikasarkan kerana jadi pokok perbincangan di sini. Ia bermaksud sudah dihitung, seperti frasa buku tercetak yang bermaksud buku sudah dicetak.

Menurut Concordance (Kassis) kalimat ma'duud bermaksud numbered, counted, reckoned (muka surat 218), yang dalam bahasa kita bermaksud sudah dikira atau terhitung.

Pada ayat-ayat tersebut, tersirat pertanyaan iaitu mengapa harus berpuasa dan bilakah hari-hari terhitung itu? Jawapannya terletak di dalam ayat yang menyusul berbunyi,

"Bulan Ramadan yang padanya Al-Qur'an diturunkan untuk menjadi satu petunjuk bagi manusia, dan sebagai bukti-bukti yang jelas daripada Petunjuk itu, dan Pembeza. Maka hendaklah orang-orang antara kamu yang menyaksikan (hadir) pada bulan itu, berpuasa;" (2:185).

Justeru, puasa adalah pada bulan Ramadan kerana al-Qur'an diturunkan padanya. Lantaran itu bilangan hari bulan Ramadan dikira. Ia dikira sesudah menetapkan bila bulan berikut (Syawal) akan bermula. Maka terhitung sudah bilangan hari bagi bulan Ramadan.

Merujuk kepada ayat itu lagi. Ia didapati tidak menunjukkan dengan jelas bahawa puasa hanya dilakukan selama sebilangan daripada hari-hari bulan Ramadan. Dan apabila ia tiba, tiada seorang pun boleh berkata dia tidak hadir pada bulan tersebut. Lalu dia berpuasa selama berada dalam bulan itu. Menurut yang lazim sudah dikira, atau terhitung, oleh orang-orang berpengetahuan, bilangan hari bulan Ramadan adalah 29 atau 30.

Bilangan hari terhitung sudah difahamkan. Namun, terdapat orang berkata, bila datang Ramadan dia berniat (kepada Allah) akan berpuasa selama 10 hari saja. Al-Qur'an tidak ajar niat seperti itu, maka ia tidak datang daripada Allah. Dan tidak juga disebut 10 hari pada mana-mana ayat puasa Ramadan. Cuma bulan Ramadan yang disebut. Satu bulan.

Kerana berpegang pada al-Qur'an dia mungkin memilih bilangan hari puasa pada ayat-ayat lain yang tiada kaitan dengan puasa Ramadan. Puasa di luar Ramadan merupakan penebus atas sesuatu kesilapan yang dilakukan, atau suatu cara taubat kepada Allah. Tidak seperti puasa Ramadan, yang tidak merupakan suatu penebus, atau taubat, tetapi hanya kerana al-Qur'an diturunkan padanya.

Puasa di luar Ramadan terakam di dalam ayat-ayat berikut:

"Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan silap..... jika dia tidak dapatkan, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah;" (4:92)

"Jika sesiapa tidak dapatkannya, hendaklah dia berpuasa tiga hari. Itu penebus bagi sumpah-sumpah kamu apabila kamu bersumpah; jagalah sumpah-sumpah kamu" (5:89).

"Dan orang-orang yang menzihar isteri-isteri mereka, kemudian mereka menarik kembali apa yang mereka telah mengatakan..... maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya menyentuh satu sama lain" (58:3-4)

Dan ayat yang disyaki diikuti untuk berpuasa 10 hari adalah mengenai dihalang daripada menyempurnakan Haji dan umrah, berbunyi,

"Sempurnakanlah Haji dan umrah kerana Allah; tetapi jika kamu dihalang..... maka berpuasalah tiga hari dalam Haji, dan tujuh apabila kamu kembali. Itu sepuluh, genap; demikian itu adalah bagi orang yang keluarganya tidak hadir di Masjidil Haram." (2:196)

Lihat! 3 hari di tempat Haji (Mekah), dan ditambah 7 apabila kembali ke kampung halaman. Maka puasa di kampung halaman hanya 7 hari, menurut perintah Tuhan yang amat jelas. untuk menjadikan 10 maka haruslah dahulukan berpuasa 3 hari di Mekah. Itu juga perintah Tuhan. Turut diingatkan iaitu bulan Haji adalah bukan bulan Ramadan.

Pilihan yang dia buat tidak dianjur Allah di dalam Kitab-Nya. Apa kata kalau Allah sudah tetapkan puasa selama sebulan tetapi dia sebaliknya mengatakan ingin berpuasa hanya 10 hari? Mungkinkah pilihan itu sama berat dengan mengatakan kepada-Nya, misalan, hanya ingin memilih 2 bahagian anggota badan untuk dibersihkan sebelum solat, sedangkan Dia suruh buat 4?

Puasa dikatakan oleh saintis sebagai satu amalan yang baik, contoh, mampu memanjangkan hayat seseorang. Penulis tidak fikir kebaikan itu dapat dirasakan dengan berpuasa hanya 10 hari.

Sebenarnya penulis tidak suka menidakkan kepercayaan orang lain terutama atas perkara sudah dibincang. Tidak juga menyuruh sesiapa ikut pendapatnya tetapi hanya untuk kesedaran anak cucu tentang adanya ajaran 10 hari puasa di kalangan masyarakat. Di samping berpesan supaya membaca petunjuk-Nya (al-Qur'an) tanpa henti - Dia yang mengajar al-Qur'an dan hanya Dia yang beri petunjuk - kerana itu lebih jauh bermanfaat daripada suka mendengar cakap orang, walaupun sungguh manis!


Allah disanjung!

Tajuk berkaitan:
Dua Tahun Mencari Makna Bulan Ramadan -
sule31
Ramadan: Bulan, Hari & Cara Sendiri -Rizal.Ayleen.Aku Shai

Penulis Bacaan
22 Ogos 2011 (Ramadan)
 

Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman