Surat kepada Rektor U.I.A

 

Berbelas tahun lalu, Rektor Universiti Islam Antarabangsa ketika itu, telah menulis sebuah buku kecil berjudul “Irrationality of the Anti-Hadith Heretics”, bertujuan untuk mengecam orang yang berpegang kepada al-Qur'an. Berikutan itu, sepucuk surat telah dikirim kepadanya, yang menjawab tuduhan-tuduhan serta menjelaskan lagi ajaran sebenar al-Qur’an kepadanya. Surat ini bertarikh 13 Oktober 1988, dan telah dibukukan sebanyak dua kali (pada tahun 1989 di Kuala Lumpur dan 1992 di England) dalam bahasa asal, iaitu bahasa Inggeris. Rektor tersebut tidak menjawab. Sebaliknya, beliau bersara dari UIA dua bulan kemudian.

Yang di bawah ini pula adalah terjemahan kepada surat tersebut.

- Download artikel ini di sini
- versi Bahasa Inggeris


Saudara Profesor,

"Salamun alaikum" (Q 6:54)

Saya ucapkan tahniah atas karangan tuan berjudul "Irrationality of the Anti-Hadith Heretics"  (Ketidakrasionalan dalam Penyelewengan Anti-Hadith) yang sangat luas publisiti dan edarannya. Tuan telah berbudi baik kepada kumpulan, yang sendirinya bernama Pro-Qur'an, dengan membetulkan kesilapan mereka apabila tuan menulis di halaman 10, berbunyi, "Mereka mendakwa bahawa subjek kata ganti nama untuk perbuatan: 'Dia namakan kamu Muslim' pada ayat ini (22:78) ditujukan kepada Ibrahim, tetapi sebenarnya ia ditujukan kepada Allah." Usaha ini, Profesor, seharusnya disambut baik oleh, khususnya mereka yang menyanjung-nyanjungkan Kitab itu.

2.   Minat saya dalam penulisan sarjana tuan bermula setelah pertama kali membaca tesis tuan, bertajuk "Al-Yakin: Authenticity of Al-Hadith" (Yang Yakin: Kesahihan Al-Hadith), yang dibukukan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (1986). Terjemahan ayat al-Qur'an tuan yang pertama, di halaman 2 buku itu, telah mendorong saya supaya berfikir panjang, kerana ia ditulis seperti di bawah:

"Dan apa-apa yang Rasul beri kamu, hendaklah kamu pegang dan ikut; dan apa-apa yang dilarangnya kamu buat, hendaklah kamu menjauhinya kesemuanya." (59:7).

Terjemahan tuan bagi ayat 59:7 tersebut didapati berlainan apabila dibandingkan dengan beberapa terjemahan al-Qur'an yang lain, iaitu hasil karya berbilang sarjana, yang ada dalam koleksi saya. Yang di bawah ini adalah lima daripadanya:

"Maka ambillah apa yang Rasul menguntukkan untuk kamu, dan kamu nafikan apa yang dia menahankan daripada kamu." - Abdullah Yusuf Ali.

"Kerana itu, terimalah (dengan rela) apa-apa yang Rasul beri kamu (dari itu), dan tahanlah diri daripada (meminta) apa-apa yang dia tahan daripada kamu." - Muhammad Asad.

"Dan apa sahaja yang Rasul beri kamu, ambillah ia. Dan apa-apa yang dilarangnya, jauhkanlah (dari itu)." - Mohammed Marmaduke Pickthall.

"Apa-apa yang Rasul beri kamu, terimalah ia; dan apa-apa yang kamu dilarangnya, tahanlah diri daripadanya." - Dar al-Choura.

"Dan apa-apa yang Rasul beri kamu, terimalah ia, dan daripada apa kamu dilarangnya, jauhkanlah," - M. H. Shakir.

Sementara itu kita telah diajar Tuhan dengan jelas agar kita mendengar semua kata, atau pendapat, dan ikut yang terbaik daripadanya. Oleh kerana terjemahan tuan itu mengandungi bukti-bukti yang ia telah dicemari kerana ditokok-tambah (dengan kata-kata “pegang dan ikut”, dan “dilarangnya kamu buat”), maka tesis tuan itu kini dicurigai.

"Yang mendengar ucapan, dan ikut yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah beri petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang empunya minda." (39:18)

Mengapakah orang menokok-tambah kandungan ayat-ayat al-Qur'an? Apakah yang diharapkannya? Jawapannya, dalam kes tuan ini, tercatat di halaman 2 tesis tuan yang telah disebut, Authenticity of Al-Hadith, di mana tuan menyatakan ayat tersebut (59:7) membenarkan al-Hadith. Apa? Ayat yang tuan cemari itu diguna untuk menghalalkan Hadith yang sentiasa dipertikaikan!

Bukanlah kerana ini sahaja (iaitu pencemaran ayat Allah) yang menyebabkan saya berfikir panjang, atau menyebabkan tesis tuan dicurigai. Malahan pula, dengan hanya mengutarakan kata-kata tersebut, tuan telah, dengan disedar, sembunyikan kebanyakan daripada kata, atau mesej yang sebenar, yang terkandung di dalam ayat Allah itu. Inilah bunyi ayat tersebut dengan lengkap:

"Segala apa yang Allah beri Rasul-Nya (rampasan perang) daripada penduduk bandaraya-bandaraya adalah kepunyaan Allah, dan Rasul-Nya, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, supaya ia jangan bergilir di antara orang-orang kaya di antara kamu. Apa sahaja yang Rasul beri kamu, ambillah; apa sahaja yang dia larang kamu daripadanya, hentikanlah. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam balasan-Nya." (59:7).

Dan, izinkan saya meneruskan petikan ke ayat selanjutnya untuk mengesahkan konteksnya, iaitu pembahagian harta rampasan perang:

"Ia adalah untuk penghijrah-penghijrah yang fakir (memerlukan), yang diusir daripada tempat tinggal mereka dan harta benda mereka, untuk mencari pemberian daripada Allah dan kepuasan hati, dan menolong Allah dan Rasul-Nya; mereka itu, merekalah orang-orang yang benar." (59:8) 

Seseorang boleh melihat dengan jelas bahawa apa diberiNabi dan apa yang dilarangnya itu bukanlah al-Hadith seperti yang tuan dakwa.

Bagaimanakah seseorang boleh tersilap dengan ayat yang bukan mutasyabihat seperti ini? Mengapakah seseorang tidak dapat mengenal yang hak? Jawapan kepada soalan-soalan ini tercatat di halaman 1 buku kecil yang disebut di perenggan pertama surat ini (“Irrationality of the Anti-Hadith Heretics” - mulai dari sini, di dalam surat ini, segala perbahasan merujuk kepada buku kecil karangan tuan ini, yang berbahasa kesat) di mana anda, Tuan Profesor, menganggap diri anda berkelulusan dalam hal-hal agama apabila anda turunkan kata-kata "tiada seorang pun antara mereka yang berkelayakan buat demikian" (perenggan 3, baris 3).

3.   Mengenai kelayakan untuk sampaikan mesej Tuhan, ia telah tercatat dengan jelas di dalam al-Qur'an, dan satu daripadanya berbunyi, 

"Ikutlah orang yang tidak minta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar." (36:21)

Maka seseorang yang tidak menerima upah atau gaji adalah orang yang dapat petunjuk. Manakala seseorang yang menerima upah atau gaji itu, bukan sahaja Allah tidak memberinya petunjuk, tetapi juga, tidak boleh diikuti. Lantaran, satu daripada kelulusan penting untuk sampaikan agama Allah ialah dengan tidak digaji untuknya!

4.   Kes ayat 59:7 ini bukanlah sebab yang tunggal mengapa saya mencurigai tanggapan dan kepatuhan tuan terhadap ayat-ayat al-Qur'an. Diturunkan di sini empat ayat untuk mengetahui darjat kepatuhan tuan kepada ayat-ayat Allah:

“Dan Kami telah datangkan kepada mereka sebuah Kitab yang Kami jelaskan, berdasarkan pengetahuan, menjadi satu petunjuk, dan satu pengasihan, bagi kaum yang percayai” (7:52),

"Apa, adakah aku akan cari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang turunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas" (6:114),

"Ia (al-Qur'an) bukanlah Hadith yang diadakan, tetapi satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan, bagi kaum yang percayai." (12:111),

"Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab" (6:38).

Sesungguhnya Tuhan berkata benar! Apakah reaksi anda, Profesor, terhadap ayat-ayat Allah tersebut? Bukan sahaja tuan telah menolaknya, malah, tuan telah menyatakan penolakan tuan dengan sindiran berbunyi,

"Qur'an yang Suci itu dengan penuh kasih sayang dikatakan (oleh mereka) ... sebagai 'terperinci'" (halaman 20, perenggan 4, baris 2).

Memang ada kebebasan, Tuan Rektor, untuk percayai (beriman) atau mengingkari (kafir) kepada ayat-ayat Tuhan seperti yang dijelaskan-Nya dengan ayat ini:

"Katakanlah, 'Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu; maka hendaklah sesiapa yang hendak, percaya; dan hendaklah sesiapa yang hendak, tidak percaya.'" (18:29)

Tambahan pula, hanya kepada mereka yang ingin percayainya, hanya kepada merekalah al-Qur'an itu jadi petunjuk dan rahmat. Sila renungkan ayat 7:52 dan 12:111 di atas.

5.   Sebelum kata-kata sindiran tadi, yang tuan buat terhadap al-Qur'an, tuan telah kemukakan beberapa soalan demi membela penanaman kepercayaan kepada al-Hadith ke dalam Islam sebagai satu perkara wajib (halaman 19, di dalam buku yang menyedihkan itu).

Soalan tuan: Jika kita menolak Hadith, bagaimanakah kita mengenali orang buta yang disebut dalam ayat Qur'an 80:2 itu sebagai 'Abd Allah Ibn Umm Maktum?

Jawapan saya: Ceritanya yang sebenar adalah:

"Dia (Muhammad) bermuka masam, dan berpaling, bahawa seorang buta datang kepadanya. Dan tahukah kamu, boleh jadi dia menyucikan diri? Atau mengingati, lalu Peringatan bermanfaat padanya. Tetapi orang yang berasa kaya, kepadanya kamu layan, walaupun ia tidaklah di atas kamu jika dia tidak menyucikan dirinya. Dan orang yang datang kepada kamu dengan bersegera, dan takut-takut, kepadanya kamu tidak mempedulikan." (80:1-10)

Terdapat banyak pengajaran di sini, seperti, bahawa:

 - kita tidak harus bermuka masam dan membelakangkan orang (seperti yang Nabi Muhammad lakukan) yang matanya mungkin buta tetapi hatinya tidak, dan beri perhatian pula kepada orang yang matanya celik tetapi hatinya buta.

"Ia bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada." (22:46),

- kita tidak harus bermuka masam dan membelakangkan orang miskin sementara beri perhatian kepada orang kaya,

- kita tidak harus bermuka masam dan berpaling daripada orang yang kelihatan buta atau “bodoh” - dan seterusnyalah!

- Nabi Muhammad tidaklah “maksum” atau tidak mempunyai kesilapan seperti yang diajar ulama silam lagi dikatakan warak, yang diikuti pula dengan kasihnya oleh orang-orang terpelajar dalam agama Islam hari ini,

- nama orang buta itu tidak akan disoal kelak, firman-Nya "Sesungguhnya ia (al-Qur'an) adalah Peringatan bagi kamu, dan bagi kaum kamu; dan sungguh, kamu akan ditanya." (43:44)

Soalan tuan:  Atau bagaimanakah kita mengenali bahawa 'Amr Ibn Hisham, (Abu Jahl) ialah orang yang ditujukan dalam ayat-ayat 96:9-19?

"Adakah engkau melihat orang yang menghalangi seorang hamba (Allah) ketika dia bersembahyang?" 96:9-10

Jawapan saya: Saya menahan diri daripada perbuatan mengumpat melainkan disebut namanya dengan jelas seperti di dalam surah 111 (di mana nama Abu Lahab disebut).

- Tidakkah ayat itu boleh ditujukan kepada sesiapa jua? Seperti firman-Nya yang berbunyi “Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan" (17:89)

Soalan tuan:  Tanpa Hadith, bagaimanakah kita tahu bahawa Nabi wafat dalam bilik isterinya yang muda Aishah, di atas ribanya dan kepalanya yang luhur bersandar di dadanya?

Jawapan saya: Tentulah Aishah itu besar orangnya sehingga dapat meriba Nabi! Namun begitu, ini bukanlah Hadith Nabi. Adakah dalam keadaan begini orang Islam patut mati? Jika kita tidak mati dalam kedudukan begini, adakah kita akan masuk neraka?

Kisah dan cerita lain di dalam perarakan Hadith tuan, di halaman 19 dan 20, adalah hanya jadi bahan makanan bagi penagih Hadith, atau cerita-cerita untuk waktu tidur bagi yang lain, atau, bagi segelintir manusia, hanya khabar angin dan desas-desus semata-mata. Sebenarnya, selain daripada al-Qur'an kita dapati banyak perselisihan di dalamnya.

Firman-Nya, "Tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)

6.   Di tengah-tengah perarakan Hadith tuan yang berseri-seri terdengar pula satu teriakan tuan yang memilukan berbunyi "... ini dan banyak lagi perenggan Qur'an akan jadi hanya teka-teki" (halaman 19, baris 15). Akan tetapi, al-Qur'an menyatakan yang sebaliknya pula –

"Sesungguhnya Kami mudahkan al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya?" (54:17, 22, 32, 40).

Seperti tercatat di dalam kurungan, ayat ini telah diulang, kata demi kata, sebanyak EMPAT kali di dalam sebuah surah yang mengandungi lima puluh lima ayat. Mengapa pula tidak diendahkan? Dan, Tuan Rektor, Universiti Islam Antarabangsa, al-Qur'an itu bukan sebuah buku teka-teki tetapi sebuah buku Hikmat (Bijaksana)!

"Alif Lam Ra. Inilah ayat-ayat Kitab Hikmat (yang bijaksana)." (10:1)

7.   Contoh-contoh Hadith yang tuan menyenaraikan sebagai bukti untuk mempertahankan Hadith sebagai satu kepercayaan wajib dalam Islam, tentunya datang dari gedung karya-karya penulis silam yang terpilih, yang juga dikatakan warak. Tuan beri sebagai contoh di halaman 18, Hadith “suci” yang berbunyi,

"Seorang wanita memeluk Islam, dan oleh sebab itu perkahwinannya dengan yang kafir secara automatik dimansuhkan. Setelah tamat iddahnya dia berkahwin dengan seorang muslim. Tetapi, berlaku pula sementara itu, suaminya yang pertama memeluk Islam. Maka dia pergi kepada Nabi dan tuntut isterinya. Nabi perintah dia balik kepada suaminya yang pertama kerana perkahwinannya yang kedua tidak sah disebabkan suami yang asal jadi muslim sebelum itu."

Eloklah dilakukan “acid test” (ujian muktamad) pada Hadith tersebut. Justeru, saya kemukakan sebuah ayat al-Qur'an mengenai perkara itu:

"Mereka (wanita beriman) adalah tidak halal bagi orang-orang yang kafir (tidak percaya), dan tidak juga orang-orang yang kafir halal bagi mereka. Berikan orang-orang yang kafir apa yang mereka telah nafkahkan (belanjakan); dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk kahwini mereka, apabila kamu beri mereka upah (mas kahwin) mereka." (60:10).

Sekiranya apa yang telah dinafkahkan oleh suaminya dipulangkan, wanita itu tidak perlu mengalami kepedihan bercerai dengan suami yang kedua, yang mungkin telah timbul padanya perasaan kasih yang mendalam. Terdahulu sekali, adakah Hadith itu benar? Adakah Nabi atau sahabat-sahabatnya lupa mengenai pemulangan nafkah tersebut? Tidak, dia tidak lupa. Ia, Hadith (yang kononnya datang daripada penulis yang didakwa warak) itu gagal dalam ujian ini.

"Sesungguhnya Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar supaya kamu hakimkan di antara manusia dengan apa yang Allah perlihatkan kepada kamu." (4:105)

Mengenai dua lagi kes seperti yang disebut dalam Hadith yang tuan rakamkan di halaman 18, seseorang hanya memerlukan al-Qur'an sahaja sebagai rujukan (seperti dilakukan oleh Nabi Muhammad sendiri) untuk mendapatkan putusannya, bukan daripada timbunan buku Hadith yang, menurut ayat 4:82, penuh dengan perselisihan.

Meskipun saya bersetuju dengan tuan apabila tuan menyatakan "Qur'an yang Suci menyuruh Nabi menghakimi manusia dengan mengambil kira petunjuk Qur'an" (halaman 16, baris 12 dari bawah), namun, tetap dianggap keji apabila sekali lagi tuan menokok-tambah kandungan ayat Tuhan dengan masukkan rangkai kata tersebut seperti ini:

"Dan sesungguhnya Kami telah turunkan Kitab kepadamu dengan yang benar supaya kamu mengadili di antara manusia dengan mengambil kira apa yang Allah telah ajar kamu." (4:105, halaman 16, baris terakhir).

Sila lihat terjemahan ayat itu yang betul, di atas. Sila renungkan juga sama ada Hadith tuan mengenai wanita yang memeluk Islam tadi ambil kira petunjuk Qur'an, atau tidak?

8.   Di halaman 15 pula, tuan petik sebuah ayat al-Qur'an, dan diikuti satu penjelasan ringkas, seperti di bawah:

"'Dialah (Allah) yang mengutus di antara yang buta huruf (kaum) seorang Rasul di kalangan mereka sendiri (bangsa) untuk bacakan mereka ayat-ayat-Nya, dan untuk sucikan mereka, dan untuk ajar mereka Kitab dan Hikmah.' 62:2. 

Menurut teks Qur'an ini, Nabi Muhammad telah diutus untuk sampaikan dua perkara: Kitab dan Hikmah. Hikmah di sini menurut Imam Shafi'i ialah petunjuk yang terkandung di dalam Hadith."

Kitab dan Hikmah (Kebijaksanaan) di sini bukanlah dua yang berlainan tetapi satu. Contoh, seperti saya berkata, "Surat saya dan soalan-soalan saya", adakah ia bermaksud dua yang berasingan? Tidak, Profesor! Sila kaji ayat-ayat berikut:

"Pemelihara (Tuhan) kamu tentukan bahawa kamu tidak sembah sesuatu melainkan Dia, dan buat baik kepada ibu bapa, sama ada seorang atau kedua-dua mereka telah sampai umur tua di sisi kamu, maka janganlah berkata kepada mereka, 'Cis!', dan jangan juga herdik mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah kepada mereka sayap rendah diri dari pengasihan, dan katakan, 'Wahai Pemeliharaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka pelihara aku semasa aku kecil.'

Pemelihara kamu sangat-sangat tahu apa yang di dalam jiwa kamu jika kamu orang-orang salih (baik); sesungguhnya Dialah Pengampun kepada orang-orang yang kesal. Dan berikan sanak saudara haknya, dan orang-orang miskin, dan musafir; dan janganlah boros, memboroskan. Orang-orang yang boros adalah saudara syaitan, dan syaitan tidak berterima kasih (kafir) kepada Pemeliharanya. Tetapi jika kamu berpaling daripada mereka, untuk inginkan pengasihan daripada Pemelihara kamu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang lemah lembut. Dan janganlah buatkan tangan kamu terbelenggu pada leher kamu, dan jangan juga menjulurkannya dengan segala huluran, atau kamu akan duduk tercela, menyesal. Sesungguhnya Pemelihara kamu menjulur dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa Dia hendaki; sesungguhnya Dia menyedari, melihat hamba-hamba-Nya.

Dan jangan bunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan; Kami beri rezeki untuk kamu dan mereka. Sesungguhnya pembunuhan mereka adalah kesalahan besar.

Dan janganlah mendekati zina; sesungguhnya ia satu kesumbangan, dan jalan yang jahat.

Dan jangan bunuh jiwa yang Allah mengharamkan, kecuali dengan patut, dan sesiapa yang dibunuh dengan tidak adil, kami beri walinya (warisnya) kuasa; tetapi janganlah dia membazir (berlebihan) dalam pembunuhan; dia ditolong.

Dan janganlah mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang paling baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah perjanjian; sesungguhnya perjanjian ditanya.

Dan tepatilah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang lurus; itulah yang lebih baik, dan lebih baik kesudahannya.

Dan jangan ikut apa yang kamu tiada pengetahuan mengenainya; pendengaran, dan penglihatan, dan hati - semua itu ditanya.

Dan janganlah berjalan di bumi dengan sangat gembira; sesungguhnya kamu tidak dapat pecah belahkan bumi, dan kamu tidak akan sampai ketinggian gunung-gunung. Semuanya itu, kejahatannya dibenci di sisi Pemelihara kamu.

Itu adalah daripada Kebijaksanaan (Hikmah) yang Pemelihara kamu wahyukan kamu." (17:23-39)

Apa yang tuan atau Shafi'i katakan itu adalah tidak benar, kerana kita tidak nampak banyak, atau sebarang hikmah, pada Hadith yang tuan muatkan di dalam buku kecil tulisan tuan itu. Misalnya, anak perempuan saya pun tahu apa yang harus dilakukan apabila berlaku wabak sesuatu penyakit, dengan tanpa mengetahui Hadith tuan yang berikut; dan, dia mungkin akan ambil suatu keputusan yang lebih wajar dengan adanya perubatan moden pada hari ini! Inilah bunyi Hadith tuan yang kononnya berhikmah:

"Jika berlaku sesuatu wabak di tempat yang kamu sedang berada, duduklah di situ dan janganlah tinggal tempat itu. Jika kamu tidak tinggal di situ, janganlah kamu masukinya (untuk sementara waktu)." (halaman 4)

9.   Al-Qur'an beritahu kita bahawa Tuhanlah yang menjelaskan al-Qur'an. Firman-Nya,

"Janganlah menggerakkan lidah kamu dengannya untuk menyegerakannya. Atas Kamilah untuk mengumpulkannya, dan untuk membacakannya. Maka, apabila Kami membacanya, kamu ikutlah bacaannya. Kemudian atas Kamilah untuk menjelaskannya." (75:16-19)

Akan tetapi, dalam usaha tuan untuk mengenakan kepercayaan kepada Hadith, tuan menulis dengan tegasnya, iaitu dengan huruf besar, berbunyi ANTARA TUGAS NABI IALAH MENJELASKAN DAN beri BUTIR-BUTIR KHUSUS, (halaman 14). Tuan kemukakan tiga ayat sebagai bukti. Satu daripadanya berbunyi, "Dan Kami turunkan kepadamu Peringatan agar kamu menerangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka" (16:44).

Seseorang harus berhati-hati, atau berakademik, dengan ayat-ayat al-Qur'an apabila dia buat sesuatu kesimpulan mengenainya. Marilah teliti konteksnya dahulu:

"Kami tidak utus sebelum kamu, melainkan lelaki-lelaki yang kepada mereka Kami wahyukan*. Tanyalah ahli Zikir (Peringatan) jika kamu tidak tahu; dengan bukti-bukti yang jelas, dan Zabur; dan Kami turunkan Peringatan kepada kamu supaya kamu menjelaskan kepada manusia apa diturunkan kepada mereka; dan supaya mereka fikirkan." (16:43-44)

*Yang berikut ini adalah pendapat Muhammad Asad mengenai ayat tersebut dalam “The Message of the Qur'an: Translation & Explanation” (1980), halaman 400:

"Petikan ini mengandungi dua maksud: pertama, ia mengaitkan dengan kenyataan yang memaklumkan pada ayat 36 bahawa Rasul-Rasul Tuhan telah muncul, pada sesuatu masa, di tiap-tiap masyarakat atau tamadun, dan bahawa, kerananya, tiada kumpulan manusia yang wujud pernah ditinggalkan tanpa petunjuk Illahi; kedua, ia menjawab tentangan yang selalu dihadapkan oleh orang-orang kafir bahawa Muhammad tidak mungkin jadi pembawa mesej Tuhan kerana dia 'hanya seorang manusia biasa'."

Merujuk kembali kepada ayat-ayat 16:43-44 yang baru dipetik, adakah ia menunjukkan bahawa Nabi telah menjelaskan dan beri butir-butir khusus seperti yang tuan tonjolkan? Tidak. Nabi telah menggunakan al-Qur'an untuk menjelaskan kepada orang ramai apa yang telah diwahyukan kepada mereka, kerana al-Qur'an itu telah diwahyu kepada orang ramai melalui dia. Sekalipun Nabi telah menjelaskan al-Qur'an, bagaimanakah, pada pendapat tuan, dia menjelaskan ayat-ayat 75:16-19 yang terdahulu disebut?

Mungkin setakat ini anda tidak bersetuju dengan saya, Profesor. Bagaimanakah Tuhan menjelaskan al-Qur'an? Satu daripada caranya ialah dengan meneruskan bacaan apabila menemui sesuatu kerumitan dalam memahami maksud sesebuah ayat, seperti ini, sehingga akhirnya ia terjawab sendiri. Dalam hal ini, Prof., anda tidak perlu pergi jauh - hanya dua puluh ayat di hadapan terletak jawapannya yang berbunyi,

"Dan Kami tidak turunkan kepada kamu Kitab melainkan supaya kamu menjelaskan kepada mereka apa yang padanya mereka selisihkan, dan sebagai satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi kaum yang percayai." (16:64)

Sekiranya tuan masih tidak yakin lagi, sila teruskan bacaan hingga ke ayat 89 yang berbunyi,

"Dan Kami turunkan kepada kamu al-Kitab, penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan, dan sebagai berita gembira, bagi orang-orang muslim." (16:89)

Sebenarnya Profesor, anda telah pun memetik ayat ini, dan ia diikuti penjelasan tuan yang nyata menyimpang tercatat di halaman 14 dan 15 buku “Heretics” tuan itu yang berbunyi:

"'Dan Kami turunkan Kitab kepadamu sebagai penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu.' 16:89. Maksud di sini ialah segala yang berkaitan dengan kepercayaan kepada satu Tuhan khususnya."

Mengapa tuan menghentikan petikan ayat itu di situ? Adakah kerana halusinasi (atau rayan) bahawa al-Qur'an itu hanya memperkatakan mengenai hal keesaan Tuhan sahaja? Apakah pula maksud tuan berkata “segala yang berkaitan dengan kepercayan kepada satu Tuhan khususnya”?

Dalam penjelasan tuan di atas, tuan telah mendedahkan satu stunt yang lazim dilakukan oleh orang-orang yang digelar pakar-pakar agama - iaitu sekiranya mereka dilihat dengan jelas sedang berjalan di atas tight-rope, mereka akan berkeras mengatakan mereka sedang terbang di atas permaidani ajaib! Setiap kali Tuhan mengatakan sesuatu, mereka akan beri maksudnya yang berlainan! Di sini, semua terjemahan, termasuk terjemahan tuan (!!), menyatakan tiap-tiap sesuatu, TETAPI (sentiasa terdapat tambahan “tetapi”) tuan mengatakan segala yang berkaitan dengan kepercayaan kepada satu Tuhan khususnya pula!

Selanjutnya, apabila mereka yang mendokong al-Qur'an menunjukkan ayat-ayat al-Qur'an yang Tuhan terangkan sebagai yang benar, dalam hujah mereka, tuan gelar mereka heretics (orang yang menyimpang dari agama). Apakah jenis indoktrinasi ini? Apabila Tuhan sebut empat bahagian anggota dalam wuduk, tuan dan indoktrinasi tuan tambah beberapa bahagian lagi! Apabila Tuhan suruh bersolat dengan nada suara yang pertengahan, tuan dan kepercayaan tuan mengatakan itu adalah hanya untuk solat-solat tertentu - dan seterusnya.

Apa yang lebih hina lagi, dalam indoktrinasi ini, iaitu segala tambahan atau kekurangan yang diamalkan dikaitkan pula dengan Nabi yang mereka semua dakwa telah memberinya "kasih dan hormat yang tidak terhingga"! (halaman 13, baris 2).

"'Aku (Muhammad) hanya ikut apa yang diwahyukan kepadaku.' Katakanlah, ‘Adakah orang yang buta dengan orang yang melihat sama? Tidakkah kamu fikirkan?’" (6:50).

10.   Sebuah lagi ayat, atau dengan tepat, sebahagian daripada ayat, yang tuan utarakan untuk menghalalkan Hadith yang haram (ditulis dan dikumpul oleh orang-orang 'warak', yang terawal antara mereka lahir pada 40 Hijrah, menurut tuan di halaman 3) ialah TAATLAH KEPADA ALLAH DAN TAATLAH KEPADA RASUL. Ia adalah, dengan meminjam kata-kata di halaman 12 buku Heretics tuan, suatu kenyataan yang benar tetapi diguna untuk menyebar yang palsu”.

Mentaati Rasul bermaksud (menurut tuan) percayai Hadith. Apakah sebenarnya maksud tuan? Cuba kembalikan situasi kepada zaman Nabi Muhammad dahulu. Adakah maksud tuan bahawa apabila baginda bermasam muka dan berpaling daripada orang buta itu, semuanya turut bermasam muka dan berpaling daripada 'Abd Allah Ibn Umm Maktum? Atau, apabila baginda terpatah giginya, adakah semuanya mula mencabut sebatang gigi seorang? Atau, apabila baginda menggerakkan kaki kanannya, semuanya ikut pergerakan itu? Atau, apabila baginda bernikah kali keempat, semuanya mula memburu buat kali keempat? Atau, apabila baginda gemar makan rusuk kambing, semuanya sibuk membeli rusuk kambing? Daripada Hadith kita dapati bahawa Nabi sentiasa diawasi; malah, apa-apa yang dilakukannya di dalam bilik air, atau di dalam bilik tidur, semuanya disaksikan - disaksi oleh orang-orang warak lagi dipercayai itu!

Untuk kukuhkan dakwaan tuan, kira-kira dua puluh nombor ayat sebagai rujukan telah tuan utarakan. Pada kesemuanya tidak ada satu pun ayat yang menyatakan dengan jelas bahawa mentaati Rasul bererti percayai Hadith. Tidak ada satu pun rangkai kata “percaya kepada Hadith Nabi” terdapat di dalam seluruh al-Qur'an.

Sekiranya perkara percaya kepada Hadith Nabi jadi wajib dalam Islam, tentu Tuhan telah meyatakannya dengan jelas, sejelas perintah-perintah yang disebut di halaman 5 surat ini.

“Dia yang turunkan kepada kamu al-Kitab, di dalamnya ayat-ayat muhkamat (yang menentukan). Itu ibu al-Kitab, dan yang lain mutasyabihat (yang serupa). Bagi orang-orang di dalam hati mereka menyimpang, mereka ikut yang mutasyabihat daripadanya untuk inginkan pertikaian, dan inginkan interpretasinya.” (3:7)

Sebenarnya, perkataan “Hadith” disebut sebanyak kira-kira 35 kali di dalam al-Qur'an, dan tiada satu pun dibayangkan kepada apa yang kononnya dipanggil Hadith Nabi. Berikut adalah beberapa contoh:

"Maka dengan HADITH apakah sesudah ini (al-Qur'an) yang mereka akan percayai?" (77:50),

"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan HADITH apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai?" (45:6), dan,

"Di antara manusia, ada yang membeli HADITH yang menghiburkan untuk menyesatkan daripada jalan Allah" (31:6).

Antara berbilang ayat sebagai rujukan yang mengandungi kata-kata “taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul” yang tuan sebut di halaman 13, dua daripadanya (yang di bawah ini) patut menarik perhatian tuan, agar tuan berfikir lagi sebelum buat sebarang kesimpulan:

"Dan taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas (al-Qur'an)." (5:92), dan,

"Dan taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul; tetapi jika kamu berpaling, hanyalah atas Rasul Kami untuk sampaikan yang jelas (al-Qur'an)." (64:12).

Terdapat lagi bukti yang menunjukkan tuan telah sembunyikan yang benar untuk menyebar yang palsu, pada halaman yang sama, iaitu 13, di mana di tengah pelbagai petikan al-Qur'an tuan untuk meyakinkan kepercayaan kepada Hadith, tuan telah dengan segaja lakukan kesalahan yang keji yang dituduh itu. Inilah separuh kebenaran yang tuan tunjukkan:

"Katakanlah, 'Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul ... jika kamu taatinya (Rasul) kamu dapat petunjuk.'" (24:54)

Mengapa pula tuan menghentikan petikan di situ? Inilah bunyinya yang sebenar:

"Katakanlah, 'Taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul; kemudian, jika kamu berpaling, hanyalah kepadanya apa yang dibebankan kepadanya, dan kepada kamu, apa yang dibebankan kepada kamu. Jika kamu taati dia, kamu akan dapat petunjuk. Adalah hanya atas Rasul untuk sampaikan yang jelas (al-Qur'an).'" (24:54)

11.   Sebuah lagi ayat yang tuan keluarkan dari lengan baju dalam adegan silap mata tuan ialah:

"Kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan kepada penguasa di antara mereka, tentu akan mengetahuinya orang-orang yang menyelidikinya." (baris terakhir halaman 13 dan bersambung di halaman yang berikutnya).

Dan, ini pula ayatnya yang lengkap:

"Apabila datang kepada mereka suatu urusan, sama ada daripada keamanan atau ketakutan, mereka siarkannya; tetapi jika mereka kembalikannya kepada Rasul, dan kepada orang-orang yang dalam urusan mereka, orang-orang di antara mereka yang ditugaskan untuk selidikinya, tentu akan ketahuinya." (4:83)

Adakah seseorang dapati di sini satu, atau dua, Hadith? Dia dapati dua Hadith, iaitu daripada Rasul, dan daripada penyelidik, atau pakar. Akan tetapi, yang ditegaskan di sini ialah hadith orang yang pakar, seperti yang disebut, “orang-orang di antara mereka yang ditugaskan untuk menyelidikinya, tentu akan mengetahuinya.” Ayat ini adalah mengenai ketenteraman awam - maka serahkan kepada pakar! Sekalipun Rasul telah beri pendapatnya tentang hal itu, bolehkah ia dipakai pada hari ini? Adakah masalah ketenteraman awam yang kita hadapi di Malaysia pada tahun 1988 ini sama dengan apa yang telah dihadapi Rasul di Medinah atau Mekah lebih 1,400 tahun dahulu?

12.   Kepercayaan tuan kepada Hadith tidak berasas. Tuan tidak berhak mengenakan kepercayaan itu kepada orang-orang Malaysia yang tidak berdosa. Tuan telah lakukan kesalahan menurut Hukum Allah dengan mencemuh mereka yang berpegang kepada al-Qur'an.

Ingatkah Tuan Profesor, kepada bala yang Tuhan timpakan ke atas orang Mesir (profesor ini orang Mesir) apabila mereka dustakan Petunjuk, seperti diriwayatkan di dalam Surah 7, Kitab Suci al-Qur'an? Mereka ditimpa kebuluran, kerosakan tanaman, penyakit pes, banjir, belalang juta, kutu, katak, dan darah. Adakah tuan nampak salah satu daripadanya menimpa negara-negara yang bergelar Islam?

Saya sayang negara saya. Saya bimbang akan akibat tindakan tuan, dan orang-orang lain yang serupa tuan, kepada mereka yang berpegang kepada al-Qur'an, takut nanti negeri saya menerima nasib yang sama.

"Dan ikutlah yang paling baik daripada apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu, sebelum azab datang kepada kamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak sedar." (39:55)

13.   Selanjutnya, kita selidik dengan ringkas kenyataan tuan yang “ilmiah” yang lain, yang terkandung di dalam buku kecil itu:

a.   "pada mulanya, kebanyakan Sahabat Nabi enggan merekodkan Hadith secara bertulis kerana bimbangkan keutuhan Qur'an yang Suci itu." (halaman 3)

- Mereka berpandangan jauh ke depan. Mengapa tuan dan orang-orang lain yang seperti tuan tidak ikut mereka?

b.   "keengganan orang Islam (menulis Hadith) beransur-ansur hilang kebimbangannya dan pada masa yang sama penyusunan Hadith berkembang luas berserta bilangannya dengan menulis apa yang tersimpan dalam ingatan." (halaman 3).

- Perkembangan yang luas berserta bilangannya adalah seperti kanser.

- Apa yang “tersimpan dalam ingatan” itu akhirnya jadi sangkaan dan khabar angin.

c.   "Lagi sedikit (pencerita Hadith) adalah lagi baik kerana kesilapannya kurang berlaku."  (halaman 9)

- Dengan kenyataan ini tuan mengaku bersalah.

d.   "Abu Ubaidah ... seorang daripada Sepuluh Mulia yang diberi berita gembira tergolong di kalangan Penghuni Syurga." (halaman 4).

- Satu dosej yang digemari penagih Hadith untuk berkhayal dapat tempat tempahan di syurga.

- Malahan, Nabi Muhammad sendiri yang kita sedia maklum akan berada di syurga telah diperintah Tuhan supaya berkata, "Aku tidak tahu apa yang akan diperbuatkan terhadapku," (46:9). Tuan tidak ikut teladan Nabi yang mulia itu.

e.   "Imam Malik ... beri kuasa kepadanya untuk melakukan ijtihad dan beri fatwa." (halaman 6).

- Seperti itulah cara Mafia!

- Masihkah diingati ayat 39:18 yang menyuruh mendengar semua pandangan, dan ikut yang terbaik!

f.   "Kerana tuan ajar saya (dengan kuasa tuan), dengan kuasa al-Zuhri, yang ceritakan dengan kuasa Abu Salamah Ibn 'Abd-al-Rahman, yang kemudiannya ceritakan dengan kuasa Umm Salamah (janda Nabi), yang ceritakan cerita ..." (halaman 5). (Perkataan “dengan kuasa” yang di dalam kurungan adalah tambahan penulis untuk menjelaskan maksud.)

- Apa, penguasa-penguasa untuk bercerita?

g.   "Mereka yang menolak Hadith adalah anti-Qur'an." (halaman 13).

- Al-Qur'an itu sendiri anti-Hadith. Sila rujuk kepada ayat-ayat Allah yang tercatat di perenggan 20.4 di atas.

- "Katakanlah, 'Datangkanlah sebuah Kitab daripada Allah yang lebih beri petunjuk daripada keduanya (Taurat dan Qur'an), dan ikutlah ia, jika kamu berkata benar.'" (28:49)

h.   "dengan nyata terdapat banyak perkara yang tidak diberi atau dijelaskan dalam Qur'an seperti ibadah-ibadah solat, zakat, puasa dan haji" (halaman 15).

- Seperti itulah kata-kata orang yang tidak dapat petunjuk (36:21)

- "Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab" (6:38)

- Sememangnya terdapat banyak perbezaan antara ibadah yang diajar di dalam al-Qur'an dengan ibadah-ibadah Sunni, Kristian, Yahudi, Buddha, atau Hindu!

i.   "Qur'an yang Suci itu juga tidak beri perincian mengenai kuasa nuklear atau penemuan sains terkini termasuk penguasaan di angkasa lepas, atau sebab-sebab penyakit yang membunuh yang dipanggil AIDS! (halaman 15).

- "Mengapakah dengan kamu, bagaimanakah kamu hakimkan? Atau, adakah kamu sebuah Kitab, di dalamnya kamu mempelajari, yang di dalamnya bagi kamu apa yang kamu pilih?" (68:36-38)

j.   "Perisytiharan Nabi sebagai contoh yang sempurna sekali gus membayangkan kesahihan dan kuasa Hadith." (halaman 7).

- Sebelum cepat-cepat melompat kepada kesimpulan, marilah loncat dan langkah dahulu. Mari buat lompat kijang kerana jaraknya lebih jauh. Tuan mengatakan mengenai ayat 33:21. Untuk konteksnya sila baca ayat-ayat 20, 21, dan 22. Apakah konteksnya apabila Tuhan mengatakan Muhammad itu contoh yang sempurna? Sekiranya tuan asingkan juga ayat 21, tuan dapati pula di dalam al-Qur'an segala contoh teladan yang tuan perlukan. Lihatlah perenggan 23.d.ii di atas, sebagai contoh. Atau, adakah tuan akan bermasam muka dan berpaling daripada orang buta?

k.   "Jika dia (Muhammad) hanya sampaikan Qur'an yang Suci dan tiada yang lain, bagaimanakah dia boleh jadi contoh bagi ummah?" (halaman 8).

- Dia bukan sahaja sampaikan tetapi juga mentaati al-Qur'an.

- Sekali lagi tuan kata ajaran Tuhan itu tidak sempurna!

l.   "mereka yang kononnya 'rasional', 'intelektual', 'berpendidikan barat' sungguh cetek dan lemah" (halaman 20).

- "Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya (egonya) menjadi tuhannya? Adakah kamu jadi wakil kepada mereka? Atau, kamu sangka kebanyakan daripada mereka mendengar atau memahami? Mereka, tidak  lain, adalah seperti binatang ternak; tidak, mereka lebih jauh sesat daripada jalan." (25:43-44).

- Wabak ego ini telah menjangkiti kebanyakan daripada “soldadu” Islam yang mencari kemewahan dewasa ini.

m.   "peraturan yang rumit dan seni bahasa Qur'an" (halaman 20).

- Peraturan-peraturan itu (untuk memahami al-Qur'an) dicipta oleh manusia dan dikenakan pula dalam indoktrinasi. Sungguh rumitnya ia sehingga mangsa-mangsa tidak dapat melihat kebenaran yang nyata!

- Akan tetapi, Tuhan menyatakan yang sebaliknya, "Sesungguhnya Kami memudahkan ia (Qur'an) dengan bahasa kamu, supaya mereka mengingati." (44:58).

- Sila rujuk halaman 4 surat ini sekali lagi dan lihat perenggan nombor 6. Terima kasih.

n.   "bahan 'second hand' yang ditulis oleh sarjana yang cetek dalam bahasa-bahasa bukan Qur'an" (halaman. 21)

- Wabak yang disebut di (l) tadi telah pun menjangkiti tuan.

- Sila rujuk halaman pertama surat ini dan bandingkan kejujuran tuan dengan kejujuran sarjana-sarjana yang dikatakan cetek itu.

- Pada Tuhan, bahasa bukanlah satu isu. Berapa juta makhluk berbahasa Arab yang ingkar kepada al-Qur'an? Adakah tuan nampak seorang daripadanya? Saya sudah pun nampak. Firman-Nya, "Jika Kami membuatnya sebuah Qur'an dalam bahasa asing, tentu mereka berkata, 'Mengapakah ayat-ayatnya tidak dijelaskan? Adakah dalam bahasa asing sedang orangnya berbahasa Arab?' Katakanlah, 'Bagi orang-orang yang percaya, ia adalah satu petunjuk, dan satu penyembuhan; tetapi orang-orang tidak percayai, di dalam telinga mereka ada sumbatan, dan bagi mereka, ia adalah satu kebutaan'" (41:44)

14. Dalam muslihat tuan menentang orang-orang yang mendokong al-Qur'an, tuan telah didatangkan banyak ayat Allah yang mereka guna dalam hujah mereka, tetapi tuan mendiamkan diri, dan kerana ini, tuan mungkin bersalah kerana sembunyikan (telah saya buktikan dalam surat ini), mengabaikan, menyingkirkan, mengalpakan, dan menolak Kebenaran, yang datang daripada Allah.

Seseorang boleh melihat dengan jelas iaitu tuan telah membaca dengan teliti artikel NST itu, tetapi tuan berkeras menyatakan ada hubungan antara ahli-ahli pro-Qur’an dengan tokoh-tokoh yang tuan hinakan. Mengapa tuan bersungguh-sungguh menentang mereka yang berpegang kepada al-Qur'an?

"Namun begitu, bukanlah kamu yang mereka dustakan, tetapi orang-orang zalim, ia adalah ayat-ayat Allah yang mereka sangkal." (6:33)

Salam!

t.t.
Othman Ali

s.k:
- Pengerusi UIA
- Saudara Islam yang lain

- Download artikel ini di sini
- versi Bahasa Inggeris


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman