Tidak boleh sentuh Quran

oleh
Azahidi

 

Ramai daripada orang yang mengaku Islam percaya bahawa adalah haram bagi mereka membaca atau pun menyentuh Quran dalam keadaan berikut :

1) Tidak berwudhu’ yaitu tidak ambil air sembahyang.

2) Perempuan yang dalam keadaan haidh atau nifas.

3) Dalam keadaan berjunub.


Perempuan yang datang haidh bukan sahaja tidak boleh menyentuh Quran malah tidak boleh juga sembahyang, puasa atau masuk mesjid.


Hukum tersebut telah diputuskan oleh para ulamak.  Ianya dibukukan dan diajarkan meluas di sekolah, mesjid, madrasah, surau dan lain-lain institusi pengajian Islam. Sedangkan tiada satu ayat pun yang mengatakan bahawa perempuan tidak boleh puasa, sembahyang atau baca Quran dalam keadaan haidh atau nifas. Ini adalah rekaan semata-mata.


Quran diturunkan untuk dibaca dan dihayati mesejnya. Awal-awal lagi Quran menjelaskan : Kitab itu, di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang bertakwa (2:2). Dan banyak lagi ayat-ayat yang menganjurkan kita membaca Quran.


Semasa ayat pertama di turunkan, Nabi Muhammad masih belum dimaklumkan tentang wudhu. Ayat pertama ialah “Bacalah dengan nama Pemelihara kamu yang mencipta” (96:1). Sudah tentu Nabi Muhammad patuh membaca dan menghayati ayat-ayat yang diturunkan tanpa berwudhu.


Ayat yang berkaitan dengan wudhu ialah 4:43 dan 5:6. Ianya adalah suruhan Allah berkaitan dengan solat. Mengikut sejarah dan kronologi penurunan surah, surah 4 (al-Nisaa’) adalah surah ke-92 diturunkan dan surah 5 (al Maidah) adalah  yang ke-112, keduanya antara yang terakhir dan ianya diturunkan di Madinah. Mengikut fakta sejarah tersebut maka orang-orang Islam pada masa itu termasuk Nabi Muhammad sendiri telah membaca Quran tanpa berwudhu.


Dalam 5:6 tiada kaitan langsung dengan larangan menyentuh, memegang atau membaca Quran. Tiada kaitan langsung dengan larangan kepada siapa yang tidak boleh menyentuh dan membaca al-Quran.


Kita tahu dan percaya bahawa Quran adalah jelas dan menyeluruh dalam mesejnya.


6:38. Tiada makhluk yang merayap di bumi, tiada burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka adalah  umat-umat yang serupa dengan kamu. Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab; kemudian kepada Pemelihara mereka, mereka akan dikumpulkan.

6:114. Apa, adakah aku akan cari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang turunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas; dan orang-orang yang kepada mereka Kami beri Kitab tahu bahawa ia diturunkan daripada Pemelihara kamu dengan yang benar; maka jangan kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu.


Sekiranya pembacaan Quran perlu kepada berwudhu’ sudah tentu ianya akan disebut dalam sekurang-kurangnya satu ayat dalam Quran.


Kepercayaan bahawa tidak boleh membawa dan membaca Quran tanpa wudhu’ hanya akan menyusahkan, menghindarkan dan menjauhkan manusia daripada membaca Quran, terutamanya perempuan. Sudah tentu ianya tidak mempromosikan pembacaan Quran di dalam perjalanan jauh, di stesyen keretapi atau kapalterbang, di atas bas dan sebagainya.


Ulamak sekarang mempertahankan hukum tersebut dengan mengatakan bahawa pengharaman hanyalah kepada pembacaan Quran dalam bahasa Arab dan tidak kepada pembacaan terjemahan. Masakan, sebab hukum tersebut adalah ditetapkan zaman dahulu lagi, semasa Quran semuanya dalam bahasa Arab dan tiada lagi terjemahan dibuat.


Satu lagi sebab ialah ulamak mengatakan bahawa kesucian Quran perlu dijaga. Yang suci hanyalah mesej Quran. Huruf-huruf, tanda-tanda, dakwat, kertas dan kulit Quran adalah buatan manusia. Huruf-huruf yang digunakan sama dengan huruf-huruf yang digunakan untuk akhbar-akhbar Arab. Kertas, kulit dan dakwat yang digunakan adalah sama dengan yang digunakan untuk berbagai-bagai buku lain. Tapi Mesej Quran adalah daripada Pemelihara. Sekiranya tidak boleh baca Quran tanpa wudhu, maka tidak bolehlah seseorang fikir dan bincang fasal mesej Quran tanpa wudhu, kerana mesej itu lebih suci daripada tulisan.


Walau pun apa, fahaman bahawa tidak boleh baca Quran tanpa wudhu adalah tiada asas dalam Quran. Kita mestilah merdeka daripada fahaman tersebut dan memajukan diri dengan membaca, memahami dan mempraktikkan mesej Quran dimana saja, dengan atau tanpa wudhu.


Azahidi
Mac 2005


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman