Wahai Manusia
Al-Qur'an diturunkan untuk menjadi petunjuk bagi orang-orang bertakwa, atau yang takut kepada Tuhan. Hanya mereka akan diselamatkan di akhirat. Sebelum mencapai peringkat tersebut mereka harus percaya dan melakukan beberapa perkara seperti mempercayai yang ghaib, melakukan solat, menafkah sebahagian daripada apa yang direzekikan, mempercayai apa yang diturunkan kepada Rasul, dan apa yang sebelumnya, dan yakin akan akhirat, menurut ayat ketiga dan keempat surah al-Baqarah.
Mereka yang percaya harus pula melakukan beberapa suruhan lagi terutama melalui ayat-ayat yang menyeru mereka, bermula frasa "Wahai orang-orang yang percaya" yang banyak terdapat di dalam al-Qur'an.
Seruan yang khas umpama itu terdapat lagi di dalam al-Qur'an. Misalan, kepada segolongan manusia, contoh, Wahai Bani Israil, wahai orang-orang yang mempunyai minda, Wahai ahli Kitab, Wahai orang-orang yang diberi al-Kitab, Wahai golongan jin (bukan manusia), Wahai Bani Adam, Wahai rasul-rasul, wahai orang-orang mukmin, Wahai isteri-isteri Nabi, Wahai ahli Rumah, wahai orang-orang yang berdosa, Wahai golongan jin dan manusia, dan, wahai orang-orang yang mempunyai mata (penglihatan) menurut kronologi di dalam al-Qur'an.
Kepada individu juga ada, contoh, Wahai Adam, Wahai Musa, Wahai Isa, dan Nabi-Nabi lain seperti Nuh, Ibrahm, Zakaria, Yahya, Daud, di samping kepada Muhammad seperti Wahai Nabi, Wahai rasul, dan sebagainya. Tidak ketinggalan seruan khas kepada Iblis, iaitu Wahai Iblis.
Dia didapati turut membuat seruan kepada ciptaan-Nya yang lain seperti Wahai bumi, Wahai api, dan Wahai gunung-gunung!
Kepada siapa atau apa pun Dia seru namun seruan-Nya menjadi peringatan bagi seluruh manusia. Apatah lagi jika seruan itu khas kepada mereka, dan menjadi yang pertama pula di dalam al-Qur'an.
Seruan bermula kata Wahai yang sulung di dalam al-Qur'an berbunyi,
"Wahai manusia, sembahlah Pemelihara kamu yang mencipta kamu, dan orang-orang yang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa," (2:21).
Dari awal lagi manusia diseru menyembah Pemelihara mereka. Maksud sembah dijelaskan pula dengan dua ayat yang menyusuli ayat di atas, berbunyi seperti berikut:
"Yang membuatkan bagi kamu bumi sebagai sofa, dan langit, bangunan, dan menurunkan dari langit, air; dengannya Dia mengeluarkan buah-buahan untuk rezeki kamu. Maka janganlah mengadakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya.
Dan jika kamu dalam keraguan mengenai apa yang Kami menurunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah sebuah surah yang serupa dengan ia, dan panggillah saksi-saksi kamu, selain daripada Allah, jika kamu orang-orang yang benar." (2:22-23)
Justeru, menyembah Allah adalah dengan tidak melakukan dua perkara yang telah ditetapkan-Nya iaitu:
Tidak mengadakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya. Contoh mengadakannya dapat dilihat dengan jelas daripada tulisan seorang pengirim e-mel kepada penulis iaitu "demi haknya Muhammad dan keluarganya, Allahumma solli ala Muhammad wa aali Muhammad" setelah tersiar jawapan penulis atas perkara berkaitan, yang antara lain menyatakan bahawa sebutan itu tidak diajar Allah di dalam Kitab-Nya. Pengirim diajar oleh orang-orang, yang selanjutnya mengatakan sebutan itu adalah hak, dan peneriman ajaran tersebut adalah umpama menerima rakan-rakan yang diadakan bagi Allah, kerana hak dalam agama adalah milik Allah sahaja.
Tidak ragu-ragu terhadap al-Qur'an. Tindakan yang dilakukan itu merupakan juga suatu keraguan terhadap ayat-ayat Kitab-Nya, atau lebih buruk daripada itu.
Tentang mengada-adakan orang-orang seperti dinyatakan, atau dikatakan selain daripada Allah, manusia seterusnya diperingatkan dengan seruan berikut:
"Wahai manusia, satu persamaan dijadikan; maka dengarlah padanya. Sesungguhnya orang-orang yang kamu seru, selain daripada Allah, tidak akan dapat mencipta seekor lalat, walaupun mereka berkumpul untuknya; dan jika seekor lalat merampas sesuatu daripada mereka, mereka tidak akan dapat menyelamatkannya daripada ia. Lemahlah sungguh yang mencari, dan yang dicari!" (22:73)
Mereka yang diseru tidak mampu mencipta seekor lalat, dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, mereka tidak dapat menyelamatkannya! Begitu buruk misalan diberi! Mengapa pula manusia menyeru dan mentaati mereka?
Dan tentang ragu-ragu terhadap al-Qur'an, terdapat dua lagi seruan mengenai Kitab tersebut, diturunkan di bawah ini:
"Wahai manusia, satu bukti telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu, dan Kami menurunkan kepada kamu satu cahaya yang terang." (4:174)
"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu satu teguran daripada Pemelihara kamu, dan satu penyembuhan bagi apa yang di dalam dada, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan, bagi orang-orang mukmin." (10:57)
Daripada dua ayat di atas dapat difahamkan bahawa al-Qur'an merupakan:
satu bukti daripada Allah,
satu cahaya yang terang,
satu teguran daripada Allah,
satu penyembuhan bagi apa di dalam dada,
satu petunjuk, dan
satu pengasihan bagi orang-orang mukmin.
Dengan sifat-sifat begitu mulia diberi Allah, mengapa pula manusia terutama yang bergelar Islam ragu-ragu atau tidak percaya kepadanya?
Seruan kedua kepada manusia, menurut kronologi di dalam al-Qur'an, ialah mengenai makanan berbunyi,
"Wahai manusia, makanlah apa yang di bumi, yang halal dan baik, dan janganlah mengikuti langkah-langkah syaitan; ia adalah musuh yang nyata bagi kamu." (2:168)
Seperti seruan utama, seruan ini juga kelihatan sukar ditaati manusia. Kali ini dengan jelas dikaitkan dengan syaitan yang selanjutnya dikatakan musuh yang nyata. Maka syaitan yang dimaksudkan ialah daripada golongan manusia. Mungkin apa yang dibuatnya ialah menghalalkan apa yang Allah haramkan, atau mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya.
Kerana makanan merupakan rahmat dan rezeki daripada Allah maka diturunkan satu lagi seruan-Nya yang berkaitan berbunyi,
"Wahai manusia, ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu; adakah pencipta, selain daripada Allah, yang memberi rezeki untuk kamu dari langit dan bumi? Tidak ada tuhan melainkan Dia; maka bagaimanakah kamu boleh berpaling?" (35:3)
Allah yang memberi rezeki dari langit dan bumi, tetapi manusia mengadakan tuhan selain daripada Dia, yang cuba membuat manusia melupakannya dengan misalan mengadakan hukum haram bagi yang tidak diharamkan-Nya seperti baru disebut. Tuhan lain yang memalingkan manusia daripada-Nya adalah tidak syak lagi daripada golongan manusia juga.
Seruan ketiga, Wahai manusia atau Yaa ayuha -nnassu, dalam bahasa asal, menyuruh manusia menakuti-Nya, bermaksud,
"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya, dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan; dan takutilah Allah yang kepada-Nya kamu saling meminta, dan rahim-rahim; sesungguhnya Allah menjagai kamu." (4:1)
Sebab-sebab menakuti-Nya yang dapat penulis fahamkan daripada ayat di atas ialah:
nikmat yang dikecapi daripada ciptaan lelaki dan perempuan, dan daripada rahim-rahim ibu, manusia dilahirkan-Nya, dan
kepada-Nya manusia meminta.
Telah ada dua lagi tertulis seruan Allah menyuruh manusia supaya menakuti-Nya. Mereka adalah:
"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu! Sesungguhnya kegoncangan Saat adalah satu hal yang besar." (22:1)
"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu, dan takutilah akan satu hari apabila tiada bapa akan membela anaknya, dan tiada juga anak membela bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah benar; maka janganlah kehidupan dunia menipu kamu, dan janganlah sekali-kali penipu dapat menipu kamu terhadap Allah." (31:33)
Dengan dua ayat itu, sebab-sebab menakuti-Nya ditambah lagi, dan diringkaskan seperti di bawah:
kedatangan Saat, dan
Hari Kiamat, apabila tiada bapa akan membela anaknya, dan tiada juga anak membela bapanya sedikit pun.
Saat dan Kiamat adalah berkaitan dengan Kebangkitan. Ayat berikut menyeru manusia supaya tidak meragui tentang Kebangkitan di samping mengingatkan mengenai ciptaan dan kematian mereka. Ayat berbunyi,
"Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan mengenai Kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian daripada dadih darah, kemudian daripada seketul daging, berbentuk dan tidak berbentuk, supaya Kami memperjelaskan kepada kamu. Dan Kami menetapkan di dalam rahim-rahim apa yang Kami mengkehendaki hingga satu tempoh yang dinyatakan, kemudian Kami mengeluarkan kamu sebagai bayi, supaya kemudian kamu sampai dewasa; dan antara kamu mati, dan antara kamu dikembalikan kepada umur yang paling hina hingga mereka, setelah mengetahui sesuatu, tidak mengetahui apa-apa. Dan kamu melihat bumi kehitaman, kemudian apabila Kami menurunkan air kepadanya, ia bergetar dan menggelembung, dan menumbuhkan tiap-tiap jenis yang menggirangkan." (22:5)
Cara menakuti-Nya pula dijelaskan dengan ayat-ayat lain, seperti diturunkan di bawah:
"Dan percayalah kepada apa yang Aku menurunkan ....
dan janganlah menjadi yang pertama tidak percaya kepadanya,
dan janganlah menjual ayat-ayat-Ku untuk harga yang sedikit;
dan kamu takutilah Aku.
Dan janganlah mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu,
dan jangan menyembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya.
Dan lakukanlah solat,
dan berikanlah zakat,
dan tunduklah bersama orang-orang yang tunduk." (2:41-43)
Seruan Allah keempat mengandungi amaran, iaitu Dia mampu menghapuskan manusia dan mendatangkan yang lain, berbunyi,
"Jika Dia menghendaki, Dia menghapuskan kamu, wahai manusia, dan mendatangkan yang lain; Allah adalah berkuasa atas yang demikian itu." (4:133)
Dengan berfikir secara nakal, mungkin yang diganti itu adalah sifat manusia yang tiada sifat kemanusiaan lagi. Lalu menjadi manusia-beruk atau manusia-babi. Atau seperti dalam cerita Planet of tha Apes. Atau menjadi haiwan-haiwan di ladang dalam Animal Farm.
Kembali kepada amaran tadi. Amaran serupa itu diberi mungkin kerana sifat manusia yang angkuh. Terhadap sifat itu, Allah mengingatkan dengan seruan bermaksud,
"Wahai manusia, keangkuhan kamu hanyalah terhadap diri kamu sendiri; kesenangan kehidupan dunia ini, kemudian kepada Kami kamu kembali, kemudian Kami memberitahu kamu apa yang kamu telah buat." (10:23)
Seruan Allah kelima kepada manusia adalah mengenai Rasul. Firman-Nya,
"Wahai manusia, seorang rasul telah datang kepada kamu dengan yang benar daripada Pemelihara kamu, maka percayalah; itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan jika kamu tidak percaya, maka kepunyaan Allah segala yang ada di langit, dan di bumi; dan Allah adalah Mengetahui, Bijaksana." (4:170)
Manusia disuruh percaya kepada yang benar daripada Allah, iaitu Kitab al-Qur'an, yang datang bersama Rasul. Jika mereka enggan untuk mempercayainya maka kerugian itu tidak luak pada segala yang ada di sisi-Nya.
Rasul telah juga menyeru manusia dengan kata-kata tertentu atas perintah Allah. Terdapat empat seruan umpama itu, seperti berikut:
"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, aku adalah rasul Allah kepada kamu semua, yang bagi-Nya kerajaan langit dan bumi. Tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka percayalah kepada Allah, dan rasul-Nya, Nabi yang ummiy, yang mempercayai Allah dan kata-kata-Nya, dan ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk.'" (7:158)
"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan terhadap agamaku, maka aku tidak menyembah orang-orang yang kamu sembah selain daripada Allah, tetapi aku menyembah Allah yang akan mematikan kamu, dan aku diperintah supaya menjadi antara orang-orang mukmin." (10:104)
"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, yang benar telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu. Sesiapa mendapat petunjuk, hanyalah mendapat petunjuk bagi dirinya sendiri, dan sesiapa sesat, dia sesat hanyalah terhadap dirinya sendiri. Aku bukanlah wakil kepada kamu." (10:108)
"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, aku bagi kamu hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas.'" (22:49)
Daripada empat sabdanya dapat difahamkan dengan jelas bahawa baginda:
percaya kepada Allah dan kata-kata-Nya,
tidak menyembah orang tetapi menyembah Allah dalam agamanya. Contoh menyembah orang - seorang pengirim e-mel telah memberi salam berbunyi, "Salam wa rahmah.." lalu penulis bertanya dari mana dapat salam tersebut kerana Allah (dan Rasul) tidak mengajarnya. Dia menjawab "mazhab saya membenarkan penggunaan 'salam' (itu)." Bergolongan dalam agama dilarang Allah dan Rasul, dan keadaan menjadi lebih berat apabila orang yang memulakan atau mengepalai mazhab dituruti, atau disembah, bukan Allah, dalam agama. Rasul tidak menyembah orang seperti itu. Baginda hanya menyembah Allah.
bukan wakil bagi manusia, yang akan mendapat petunjuk atau menjadi sesat atas Kitab yang dibawanya, dan
hanya seorang pemberi amaran yang jelas.
Kini sampai di hujung perbincangan dengan hanya tiga seruan-Nya yang terakhir tinggal untuk dibentang di sini. Mereka adalah:
"Wahai manusia, janji Allah adalah benar; maka janganlah kehidupan dunia menipu kamu, dan janganlah seorang penipu dapat menipu kamu mengenai Allah." (35:5)
"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan (fakir) Allah, dan Dia Yang Kaya, Yang Terpuji." (35:15)
"Wahai manusia, Kami mencipta kamu lelaki dan perempuan, dan membuat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari." (49:13)
Mesej-mesej daripada tiga ayat di atas adalah jelas di mana Allah memperingatkan manusia bahawa:
janji-Nya benar,
mereka tidak membiarkan kehidupan dunia menipu mereka,
mereka tidak ditipu mengenai Allah oleh penipu dalam agama,
merekalah yang memerlukan Allah (Allah tidak memerlukan mereka), dan
Seruan Allah terakhir kepada manusia memperingatkan bahawa semua lelaki dan perempuan daripada pelbagai bangsa dan suku harus hidup saling mengenali satu sama lain, atau hidup berbaik-baik,
dan
mereka tidak seharusnya rasa lebih mulia daripada manusia lain, kerana mereka yang paling mulia di sisi-Nya ialah yang paling bertakwa, dan cukuplah Dia sebagai yang Mengetahui dan Menyedari siapa mereka.
Penulis Bacaan
19 April 2010
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman