Antara Wanita, Tudung Kepala dan…. Ajaran Kristian?


Oleh: Nadia

 

 

Isu rambut di kalangan kaum wanita Islam sentiasa dibincangkan. Dengar sahaja mana-mana ceramah “agama” oleh para manusia yang bergelar ustaz dan ustazah, ada sahaja yang menyentuh tentang perkara ini. Ada yang mencaci dan ada yang memberi bentuk balasan sendiri kepada wanita yang tidak bertudung kepala. Antara penipuan yang pernah didengarkan: Setiap helai rambut yang ditunjukkan kepada kaum lelaki bukan mahram dengan sengaja akan dibalas dengan 70,000 tahun di neraka.

Saya berasa amat kasihan dengan umat yang mendengar kata-kata para ulama’. Apa yang lebih menyedihkan, mereka tidak mencari jawapan yang sudah terkandung di dalam kitab suci Al-Quran. Semuanya hendak berpegang kepada hadis dan kata-kata ustaz dan ustazah sahaja – ayat-ayat suci Allah daripada kitab Al-Quran tidak lengkap katanya..

Ayat Al-Quran yang berbunyi dan katakan kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka, dan tidak nampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya; dan hendaklah mereka letak penudung mereka pada dada mereka, dan tidak nampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau perempuan mereka, atau apa yang tangan kanan mereka miliki, atau lelaki yang melayan mereka yang tanpa mempunyai keinginan seks, atau kanak-kanak kecil yang belum mengerti aurat (bahagian-bahagian sulit) perempuan; dan janganlah juga mereka hentakkan kaki mereka supaya perhiasan mereka yang tersembunyi diketahui. Dan bertaubatlah semua bersama kepada Allah, wahai orang-orang mukmin, agar kamu beruntung (24:31).” tidak pun mengatakan bahawa golongan wanita harus menutup kepalanya.

Penulisan saya kali ini bukanlah bertujuan untuk mengejek atau mencaci umat yang berpegangkan kepada kata-kata para manusia yang bergelar ulama’ tetapi, penulisan ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada semua. 

Tahukah anda bahawa ajaran menutup kepala adalah ajaran Kristian? Seringkali kita mendengar umat Islam mengejek dan mencerca orang Kristian tetapi ironinya, mereka tidak sedar bahawa antara ajaran asas yang dipegang adalah daripada ajaran Kristian sendiri.

Di dalam kitab Injil (Bible), terdapat pelbagai verse yang menunjukkan bahawa kaum wanita harus menutup kepala walhal di dalam Al-Quran, tiada satu verse pun yang berkata sedemikian. Antara verse yang boleh dijumpa di dalam kitab Injil adalah 1 Corinthians 11:6 yang berbunyi, For if a wife will not cover her head, then she should cut her hair short. But since it is disgraceful for a wife to cut off her hair or shave her head, let her cover her head.”

Terjemahannya, “Bagi isteri yang tidak menutup kepala, mereka haruslah memotong rambut mereka. Memandangkan perbuatan memotong rambut atau membotakkan kepala adalah sesuatu yang memalukan, mereka haruslah menutup kepala mereka.

Secara jujurnya, tudung kepala juga mengingatkan saya kepada rahib-rahib di gereja. Selain itu, amalan menutup kepala ini juga dapat dilihat di dalam ajaran Yahudi. Lakukanlah mana-mana carian di internet mengenai wanita Yahudi – saya pasti anda akan disajikan dengan pelbagai gambar wanita Yahudi yang menutup kepala.

"Segala puji bagi Allah yang selamatkan kami daripada kaum yang zalim." (23:28)

Moga-moga Allah menyelamatkan kami daripada kaum yang zalim.

Allah disanjung!


Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman