Surah 8
RAMPASAN
PERANG
(75 ayat)
Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.
8:1. Mereka tanya kamu mengenai rampasan perang. Katakanlah, "Rampasan perang adalah kepunyaan Allah dan Rasul; maka kamu takutilah Allah, dan betulkanlah antara kamu, dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu orang-orang mukmin."
8:2. Orang-orang mukmin hanyalah yang, apabila Allah diingatkan, hati mereka gementar, dan apabila ayat-ayat-Nya dibacakan kepada mereka, ia menambahkan mereka dalam keimanan, dan kepada Pemelihara mereka, mereka tawakal (mempercayakan),
8:3. Orang-orang yang melakukan solat, dan nafkahkan (belanjakan) daripada apa yang Kami rezekikan mereka.
8:4. Mereka itulah sebenarnya orang-orang mukmin; bagi mereka darjat-darjat di sisi Pemelihara mereka, dan ampunan, dan rezeki yang mulia.
8:5. Semasa Pemelihara kamu keluarkan kamu dari rumah kamu dengan yang benar, dan segolongan orang-orang mukmin membencinya,
8:6. Dengan membantah kamu mengenai yang benar setelah ia jadi jelas, seakan-akan mereka dihalau kepada kematian dengan mata-mata mereka terbuka luas.
8:7. Dan apabila Allah janjikan kamu bahawa salah satu daripada dua golongan itu adalah untuk kamu, dan kamu inginkan yang tidak mempunyai perlengkapan senjata untuk kamu; tetapi Allah hendaki untuk membenarkan yang benar dengan kata-kata-Nya, dan memotong orang-orang yang tidak percaya hingga sisa terakhir,
8:8. Dan supaya Dia membenarkan yang benar, dan membatalkan yang palsu, walaupun orang-orang yang berdosa membencinya.
8:9. Apabila kamu mohon kepada Pemelihara kamu untuk pertolongan, dan Dia sahut kamu, "Aku akan bantu kamu dengan seribu malaikat yang datang di belakang kamu."
8:10. Allah tidak buatkan ini melainkan sebagai berita gembira, dan supaya hati kamu tenteram dengannya; pertolongan hanyalah daripada Allah; sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana,
8:11. Apabila jadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan turunkan kepada kamu air dari langit untuk membersihkan kamu dengannya, dan untuk hilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk menguatkan hati kamu, dan untuk memperteguhkan kaki kamu dengannya.
8:12. Apabila Pemelihara kamu wahyukan para malaikat, "Aku bersama kamu; maka teguhkanlah orang-orang yang percaya. Aku akan melempar ke dalam hati orang-orang yang tidak percaya ketakutan yang amat sangat; maka pukullah di atas leher, dan pukullah tiap-tiap jari mereka."
8:13. Itu kerana mereka melawan Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa yang melawan Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya.
8:14. Itulah bagi kamu, maka rasalah ia; dan bahawa azab Api adalah bagi orang-orang yang tidak percaya.
8:15. Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu bertemu orang-orang yang tidak percaya maju untuk berperang, janganlah kamu palingkan belakang kamu kepada mereka.
8:16. Sesiapa yang memalingkan belakangnya pada hari itu kepada mereka, kecuali berundur untuk berperang lagi, atau beralih untuk bergabung dengan pasukan lain, dia dipenuhi beban kemurkaan Allah, dan tempat menginapnya ialah Jahanam - satu kepulangan yang buruk!
8:17. Kamu tidak bunuh mereka tetapi Allah yang bunuh mereka; dan apabila kamu membaling, bukanlah kamu yang membaling tetapi Allah yang membaling, supaya Dia uji orang-orang mukmin dengan ujian yang baik; sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui.
8:18. Itulah bagi kamu; dan bahawa Allah melemahkan muslihat orang-orang yang tidak percaya.
8:19. Jika kamu meminta kemenangan, kemenangan telah datang kepada kamu; dan jika kamu berhenti, ia adalah lebih baik bagi kamu. Tetapi jika kamu kembali, Kami akan kembali, dan golongan kamu tidak akan berguna bagi kamu sedikit pun, walaupun ia ramai; dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang mukmin.
8:20. Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah berpaling daripada-Nya, sedang kamu mendengar.
8:21. Dan jangan jadi seperti orang-orang yang berkata, "Kami dengar", tetapi mereka tidak dengar.
8:22. Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak faham.
8:23. Jika Allah tahu sebarang kebaikan pada mereka, tentu Dia jadikan mereka mendengar; dan jika Dia jadikan mereka mendengar, tentu mereka berpaling, dan mereka palingkan.
8:24. Wahai orang-orang yang percaya, sahutlah Allah dan Rasul, apabila Dia seru kamu kepada sesuatu yang menghidupkan kamu; dan ketahuilah bahawa Allah berdiri di antara seorang lelaki dan hatinya, dan bahawa kepada-Nya kamu akan dikumpulkan.
8:25. Dan takutilah satu cubaan yang tidak akan menimpa hanya orang-orang yang buat kezaliman antara kamu; dan ketahuilah bahawa Allah keras dalam pembalasan sewajarnya.
8:26. Dan ingatlah ketika kamu sedikit dan hina di bumi, dan takut-takut manusia akan sambar kamu; tetapi Dia beri kamu perlindungan dan Dia kukuhkan kamu dengan pertolongan-Nya, dan rezekikan kamu dengan benda-benda yang baik, supaya kamu berterima kasih.
8:27. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah khianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu khianati amanat-amanat kamu sedang kamu mengetahuinya.
8:28. Dan ketahuilah bahawa harta kamu dan anak-anak kamu adalah cubaan, dan sesungguhnya Allah, di sisi-Nya adalah upah yang besar.
8:29. Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu bertakwa kepada Allah, Dia akan adakan untuk kamu satu Pembeza, dan lepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan ampunkan kamu; Allah mempunyai pemberian yang besar.
8:30. Dan apabila orang-orang yang tidak percaya buat tipu daya terhadap kamu, untuk menahan kamu, atau membunuh kamu, atau mengusir kamu, dan buat tipu daya, dan Allah buat tipu daya; dan Allah yang terbaik daripada pembuat-pembuat tipu daya.
8:31. Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, mereka berkata, "Kami telah pun dengar; jika kami kehendaki, tentu kami dapat berkata yang serupa dengan yang ini. Tiadalah ini, melainkan dongeng orang-orang dahulu kala."
8:32. Dan apabila mereka berkata, "Ya Allah, jika ini yang benar daripada Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih."
8:33. Tetapi Allah tidak akan azab mereka sedang kamu berada di kalangan mereka, dan Allah tidak akan azab mereka sedang mereka meminta ampun.
8:34. Tetapi, apakah yang mereka ada, bahawa Allah tidak akan azab mereka, apabila mereka menghalangi daripada Masjidil Haram, padahal mereka bukanlah wali-walinya (pelindung-pelindungnya)? Pelindungnya hanyalah orang-orang yang takwa tetapi kebanyakan mereka tidak tahu.
8:35. Dan solat mereka di Rumah tidak lain hanya siulan dan tepukan tangan; maka kamu rasalah azab kerana ketidakpercayaan kamu!
8:36. Orang-orang yang tidak percaya nafkahkan (belanjakan) harta-harta mereka untuk menghalang jalan Allah, dan mereka masih akan nafkahkannya, hingga ia adalah satu penyesalan bagi mereka, kemudian dikalahkan; dan orang-orang yang tidak percaya akan dikumpulkan di dalam Jahanam,
8:37. Supaya Allah memisahkan yang buruk daripada yang baik, dan supaya Dia letak yang buruk, sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, lalu Dia melonggokkan mereka kesemuanya, dan letak mereka di dalam Jahanam; mereka itulah orang-orang yang rugi.
8:38. Katakanlah kepada orang-orang yang tidak percaya, jika mereka berhenti, Dia akan ampunkan mereka atas apa yang telah lalu; tetapi jika mereka mengulangi, sunnah (resam) orang-orang dahulu kala telah pun berlalu!
8:39. Perangilah mereka sehingga tidak ada lagi penganiayaan, dan agama semuanya untuk Allah; kemudian jika mereka berhenti, maka sesungguhnya Allah lihat apa yang mereka buat.
8:40. Tetapi jika mereka berpaling, ketahuilah bahawa Allah ialah Pelindung kamu - Pelindung yang sangat baik, Penolong yang sangat baik!
8:41. Ketahuilah bahawa apa sahaja rampasan perang yang kamu ambil, satu per limanya kepunyaan Allah, dan kepunyaan Rasul, dan kepunyaan sanak saudara yang dekat, dan kepunyaan anak-anak yatim, dan untuk orang-orang miskin, dan musafir, jika kamu percaya kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada Hari Pembeza, hari dua kumpulan bertemu; dan Allah berkuasa atas segala sesuatu.
8:42. Ketika kamu di pinggir lembah yang dekat, dan mereka di pinggir lembah yang jauh, dan rombongan besar yang berkuda di bawah kamu; dan sekiranya kamu adakan janji temu bersama, tentu kamu berselisih dalam janji temu itu; tetapi supaya Allah memutuskan satu urusan yang telah dibuat, bahawa sesiapa yang binasa akan binasa dengan satu bukti yang jelas, dan dengan satu bukti yang jelas, hiduplah orang yang hidup; dan sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui.
8:43. Apabila Allah lihatkan kepada kamu mereka sebagai sedikit dalam tidur kamu; dan sekiranya Dia lihatkan mereka banyak kepada kamu, tentu kamu berkecut hati, dan berbalah dalam urusan; tetapi Allah selamatkan - Dia tahu apa yang di dalam dada.
8:44. Apabila Allah lihatkan kepada kamu mereka sebagai sedikit di mata kamu, apabila kamu bertemu, dan buatkan kamu sedikit di mata mereka, supaya Allah memutuskan satu urusan yang telah dibuat; dan kepada Allah segala urusan dikembalikan.
8:45. Wahai orang-orang yang percaya, apabila sahaja kamu bertemu satu pasukan, maka berdiriteguhlah kamu, dan ingatlah akan Allah dengan banyak agar kamu beruntung.
8:46. Dan taatlah kepada Allah, dan Rasul-Nya, dan janganlah berbalahan, lalu kamu berkecut hati dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah; sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
8:47. Janganlah jadi seperti orang-orang yang keluar dari tempat-tempat tinggal mereka dengan rasa angkuh untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan menghalang jalan Allah; dan Allah meliputi apa yang mereka buat.
8:48. Dan apabila syaitan nampakkan amalan-amalan mereka indah bagi mereka, dan berkata, "Pada hari ini, tiada manusia akan menang terhadap kamu kerana aku jiran kamu." Tetapi apabila kedua-dua pasukan berlihat-lihatan, ia berundur di atas tumit-tumitnya, dengan berkata, "Aku berlepas diri daripada kamu, kerana aku lihat apa yang kamu tidak lihat. Aku takut kepada Allah; dan Allah keras dalam pembalasan sewajarnya."
8:49. Apabila orang-orang munafik, dan orang-orang di dalam hati mereka ada penyakit, berkata, "Agama mereka telah menipu mereka"; tetapi sesiapa tawakal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana.
8:50. Jika kamu dapat lihat ketika para malaikat mematikan orang-orang yang tidak percaya, dengan memukul muka-muka mereka, dan belakang mereka, "Rasalah azab yang membakar,
8:51. Itu adalah kerana apa yang tangan-tangan kamu telah dahulukan, dan kerana Allah bukanlah penganiaya hamba-hamba-Nya."
8:52. Seperti keadaan keluarga Firaun, dan orang-orang yang sebelum mereka yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah; Allah ambil mereka kerana kesalahan-kesalahan mereka. Sesungguhnya Allah Kuat, keras dalam pembalasan sewajarnya.
8:53. Itu adalah kerana Allah tidak akan ubah rahmat-Nya yang Dia anugerahkan satu kaum sehingga mereka ubah apa yang ada pada diri mereka sendiri; dan sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui.
8:54. Seperti keadaan keluarga Firaun, dan orang-orang yang sebelum mereka yang mendustakan ayat-ayat Pemelihara mereka, lalu Kami musnahkan mereka kerana kesalahan-kesalahan mereka, dan Kami tenggelamkan keluarga Firaun; dan semuanya adalah orang-orang yang zalim.
8:55. Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang tidak percaya, yang tidak akan percayai,
8:56. Orang-orang yang kamu telah buat perjanjian dengan mereka, kemudian mereka melanggar perjanjian mereka setiap kali, dengan tidak bertakwa (takut kepada Tuhan).
8:57. Maka, jika kamu jumpa mereka di mana-mana dalam peperangan, hamburkanlah orang-orang yang di belakang mereka, supaya mereka mengingati.
8:58. Dan jika kamu takut akan pengkhianatan daripada satu kaum, maka lemparkanlah kepada mereka yang sama; sesungguhnya Allah tidak suka pengkhianat-pengkhianat.
8:59. Dan janganlah kamu sangka bahawa orang-orang yang tidak percaya akan mendahului Kami; sesungguhnya mereka tidak dapat mengandaskan.
8:60. Siapkanlah untuk mereka apa sahaja kekuatan dan barisan-barisan kuda yang kamu dapat, untuk menakutkan dengannya musuh Allah dan musuh kamu, dan orang-orang lain selain mereka yang kamu tidak tahu. Allah tahu mereka. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan di jalan Allah akan dibayar kepada kamu sepenuhnya; kamu tidak dizalimi.
8:61. Dan jika mereka condong kepada perdamaian, hendaklah kamu condong kepadanya, dan kamu tawakallah kepada Allah; sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui.
8:62. Dan jika mereka hendaki untuk menipu kamu, maka cukuplah Allah bagi kamu; Dia kukuhkan kamu dengan pertolongan-Nya, dan dengan orang-orang mukmin.
8:63. Dan Dia satukan hati mereka. Sekiranya kamu nafkahkan kesemua yang di dalam bumi, tentu kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka; tetapi Allah menyatukan antara mereka; sesungguhnya Dia Perkasa, Bijaksana.
8:64. Wahai Nabi, cukuplah Allah bagi kamu, dan orang-orang mukmin yang ikuti kamu.
8:65. Wahai Nabi, gesalah orang-orang mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh antara kamu, orang-orang yang sabar, mereka akan kalahkan dua ratus; jika ada antara kamu seratus, mereka akan kalahkan seribu orang yang tidak percaya, kerana mereka adalah kaum yang tidak faham.
8:66. Sekarang Allah meringankan untuk kamu, dengan mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan. Jika ada seratus antara kamu, orang-orang yang sabar, mereka akan kalahkan dua ratus; jika ada antara kamu seribu, mereka akan kalahkan dua ribu, dengan izin Allah; Allah berserta orang-orang yang sabar.
8:67. Tidak patut bagi seseorang Nabi untuk mempunyai tawanan, sehingga dia membunuh beramai-ramai di bumi, kerana kamu hendaki keuntungan dunia, dan Allah hendaki akhirat; dan Allah Perkasa, Bijaksana.
8:68. Sekiranya tidak kerana satu ketetapan (kitab) yang terdahulu daripada Allah, tentu telah menyentuh kamu, kerana apa yang kamu ambil, satu azab yang besar.
8:69. Makanlah daripada apa yang kamu ambil sebagai rampasan perang, yang halal, yang baik; dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
8:70. Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang di tangan kamu, "Jika Allah tahu sebarang kebaikan di dalam hati kamu, Dia akan beri kamu yang lebih baik daripada apa yang diambil daripada kamu, dan Dia akan ampun kamu; dan Allah Pengampun, Pengasih."
8:71. Dan jika mereka hendaki pengkhianatan terhadap kamu, mereka telah khianati Allah sebelumnya; tetapi dia beri kamu kuasa terhadap mereka; dan Allah Mengetahui, Bijaksana.
8:72. Orang-orang yang percaya, dan berhijrah, dan berjuang dengan harta mereka dan jiwa mereka di jalan Allah, dan orang-orang yang memberi perlindungan, dan pertolongan - mereka itu adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain. Dan orang-orang yang percaya tetapi belum lagi berhijrah, maka kamu tidak ada kewajipan persahabatan untuk melindungi mereka sedikit pun, sehingga mereka berhijrah; namun begitu, jika mereka meminta pertolongan kepada kamu, demi agama, maka adalah atas kamu untuk menolong mereka, kecuali terhadap kaum yang antara kamu dan mereka ada perjanjian; dan Allah lihat apa kamu buat.
8:73. Bagi orang-orang yang tidak percaya, mereka adalah wali-wali satu sama lain. Jika kamu tidak buat ini, akan jadilah penganiayaan di bumi, dan kerosakan yang besar.
8:74. Dan orang-orang yang percaya, dan berhijrah, dan berjuang di jalan Allah, dan orang-orang yang memberi perlindungan, dan pertolongan, mereka itulah sebenarnya orang-orang mukmin, dan bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia.
8:75. Dan orang-orang yang percaya kemudian, dan berhijrah, dan berjuang bersama kamu, mereka itu adalah daripada kamu; tetapi orang-orang empunya pertalian darah adalah lebih dekat dengan satu sama lain di dalam Kitab Allah; sesungguhnya Allah tahu segala sesuatu.