Surah 11
HUD
(123 ayat)
Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.
11:1. Alif Lam Ra. Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya menentukan, dan kemudian dijelaskan, daripada yang Bijaksana, Menyedari.
11:2. "Janganlah kamu sembah siapa pun melainkan Allah." Aku, kepada kamu, adalah seorang pemberi amaran daripada-Nya, dan seorang pembawa berita gembira.
11:3. Dan, "Hendaklah kamu meminta ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, dan Dia akan memberi kesenangan yang baik kepada kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan, dan Dia memberi daripada pemberian-Nya kepada setiap orang yang mempunyai kelebihan. Tetapi jika kamu berpaling, aku takut untuk kamu akan azab hari yang besar.
11:4. Kepada Allah kamu kembali; Dia berkuasa atas segala sesuatu."
11:5. Lihatlah, mereka menutup dada mereka untuk menyembunyikannya daripada-Nya; lihatlah, waktu mereka menyelimutkan diri mereka dengan pakaian mereka, Dia mengetahui apa yang mereka merahsiakan, dan apa yang mereka menyiarkan; sesungguhnya Dia mengetahui apa yang di dalam dada.
11:6. Tiada makhluk yang merayap di bumi melainkan atas Allah rezekinya, dan Dia mengetahui tempat menginapnya, dan tempat simpanannya, semuanya di dalam Kitab yang jelas.
11:7. Dia yang mencipta langit dan bumi dalam enam hari, dan Arasy-Nya di atas air, kerana Dia hendak menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik dalam amalannya. Dan jika kamu berkata, "Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan setelah kematian kamu", orang-orang yang tidak percaya berkata, "Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata."
11:8. Dan jika Kami menangguhkan azab daripada mereka hingga waktu perhitungannya, mereka akan berkata, "Apakah yang menahannya?" Sesungguhnya, pada hari ia datang kepada mereka, ia tidak akan dipalingkan daripada mereka, dan mereka diliputi oleh apa yang mereka memperolok-olokkan.
11:9. Dan jika Kami merasakan kepada seseorang manusia dengan pengasihan daripada Kami, dan kemudian Kami merampasnya daripada dia, dia berputus asa, tidak berterima kasih (kafir).
11:10. Tetapi jika Kami merasakannya kemakmuran setelah kesusahan menyentuhnya, dia akan berkata, "Keburukan telah pergi daripadaku"; tiba-tiba dia sangat gembira dan membanggakan diri.
11:11. Kecuali orang-orang yang bersabar, dan membuat kerja-kerja kebaikan; bagi mereka, keampunan dan upah yang besar.
11:12. Boleh jadi kamu meninggalkan sebahagian daripada apa yang diwahyukan kepada kamu, dan dada kamu menjadi sempit dengannya, kerana mereka berkata, "Mengapa harta simpanan tidak diturunkan kepadanya, atau malaikat tidak datang bersama dia?" Kamu hanyalah seorang pemberi amaran; dan Allah Wakil atas segala sesuatu.
11:13. Atau mereka berkata, "Dia mengada-adakannya"? Katakanlah, "Datangkanlah sepuluh surah yang serupa dengannya, yang diada-adakan itu, dan panggillah sesiapa yang kamu boleh, selain daripada Allah, jika kamu berkata benar."
11:14. Kemudian, jika mereka tidak menyahuti kamu, ketahuilah bahawa ia diturunkan dengan pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia. Maka sudahkah kamu muslim?
11:15. Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan membayar kepada mereka sepenuhnya untuk amalan-amalan mereka di dalamnya, dan mereka tidak dirugikan di dalamnya.
11:16. Mereka itulah orang-orang yang tiada bagi mereka di akhirat kecuali Api, dan usaha mereka menjadi sia-sia di dalamnya, dan palsulah kerja-kerja mereka.
11:17. Dan bagaimanakah dengan orang yang di atas bukti yang jelas daripada Pemeliharanya, dan seorang saksi daripada-Nya membacanya, dan sebelumnya ialah Kitab Musa untuk imam dan pengasihan? Mereka itu mempercayainya; tetapi sesiapa yang tidak percaya kepadanya, sedang dia seorang daripada golongan-golongan, maka janji temunya ialah Api. Maka janganlah kamu dalam keraguan daripadanya; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai.
11:18. Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah? Mereka itu akan dikemukakan kepada Pemelihara mereka, dan para saksi berkata, "Mereka itulah orang-orang yang berdusta terhadap Pemelihara mereka." Ingatlah, laknat Allah adalah ke atas orang-orang yang zalim,
11:19. Orang-orang yang menghalangi daripada jalan Allah, dengan menginginkannya menjadi bengkok, dan mereka tidak percaya kepada akhirat.
11:20. Mereka tidak boleh mengandaskan-Nya di bumi, dan mereka tidak ada wali (pelindung) selain daripada Allah. Bagi mereka azab akan dilipatgandakan; mereka tidak dapat mendengar, dan tidak juga mereka melihat.
11:21. Mereka itulah yang merugikan jiwa mereka sendiri, dan apa yang mereka mengada-adakan telah sesat (hilang) daripada mereka.
11:22. Mereka, tidak syak lagi, adalah orang-orang yang paling rugi di akhirat.
11:23. Tetapi orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan merendahkan diri kepada Pemelihara mereka, mereka itu menjadi orang-orang Taman; di dalamnya tinggal selama-lamanya.
11:24. Persamaan dua golongan itu seperti orang buta dan pekak, dengan orang yang melihat dan mendengar; adakah mereka sama dalam persamaan? Tidakkah kamu mengingati?
11:25. Dan Kami mengutus Nuh kepada kaumnya, "Aku, bagi kamu, adalah seorang pemberi amaran yang jelas.
11:26. Janganlah kamu sembah siapa pun melainkan Allah. Aku takut untuk kamu akan azab hari yang pedih."
11:27. Maka berkatalah pembesar-pembesar daripada orang-orang yang tidak percaya daripada kaumnya, "Kami tidak melihat kamu selain daripada seorang manusia yang serupa dengan kami, dan kami tidak melihat mana-mana yang mengikuti kamu melainkan yang paling hina antara kami, dengan tanpa pertimbangan. Kami tidak melihat kamu mempunyai terhadap kami sebarang kelebihan; tidak, tetapi kami menyangka bahawa kamu adalah pendusta-pendusta."
11:28. Dia berkata, "Wahai kaumku, apa pendapat kamu, jika aku berada di atas bukti yang jelas daripada Pemeliharaku, dan Dia memberi aku pengasihan daripada-Nya, dan ia dibutakan kepada kamu? Adakah kami akan memaksa kamu sedang kamu benci padanya?
11:29. Wahai kaumku, aku tidak meminta harta kepada kamu untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah daripada Allah, dan aku tidak akan mengusir orang-orang yang percaya; sesungguhnya mereka akan menemui Pemelihara mereka. Tetapi aku melihat kamu satu kaum yang bodoh.
11:30. Wahai kaumku, siapakah yang akan menolongku terhadap Allah, jika aku mengusir mereka? Apakah kamu tidak mengingati?
11:31. Aku tidak berkata kepada kamu, 'Aku mempunyai perbendaharaan Allah'; aku tidak mengetahui yang ghaib, dan aku tidak berkata, 'Aku seorang malaikat.' Tidak juga aku berkata kepada orang-orang yang mata-mata kamu mengeji, 'Allah tidak akan memberi mereka sebarang kebaikan'; Allah sangat mengetahui apa yang di dalam diri-diri mereka. Sesungguhnya aku, jika begitu, tentulah termasuk orang-orang yang zalim."
11:32. Mereka berkata, "Wahai Nuh, kamu telah berbantah dengan kami, dan membuat banyak bantahan terhadap kami. Maka datangkanlah kepada kami apa yang kamu menjanjikan kami, jika kamu berkata benar."
11:33. Berkata, "Allah akan mendatangkannya kepada kamu jika Dia mengkehendaki, dan kamu tidak dapat mengandaskan.
11:34. Dan nasihatku tidak bermanfaat kepada kamu jika aku menghendaki untuk memberi nasihat kepada kamu, jika Allah menghendaki untuk membuat kamu bersalah; Dia Pemelihara kamu, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan."
11:35. Atau mereka berkata, "Dia mengada-adakannya." Katakanlah, "Jika aku mengada-adakannya, maka atas akulah dosaku, dan aku berlepas diri daripada dosa-dosa yang kamu buat."
11:36. Dan diwahyukan kepada Nuh, "Tiada seorang pun daripada kaum kamu akan mempercayai, kecuali orang yang telah percaya; janganlah kamu berdukacita dengan apa yang mereka buat.
11:37. Buatlah kapal di bawah mata (pengawasan) Kami, dan seperti wahyu Kami, dan janganlah kamu mengucapkan kepada Aku mengenai orang-orang yang membuat kezaliman; mereka akan ditenggelamkan."
11:38. Dan dia membuat kapal; dan setiap kali pembesar-pembesar kaumnya melaluinya, mereka mengejeknya. Berkata, "Jika kamu mengejek kami, sungguh, kami akan mengejek kamu sebagaimana kamu mengejek,
11:39. Dan kamu akan mengetahui kepada siapa yang akan datang azab yang mengaibkannya, dan kepada siapa turun azab yang kekal."
11:40. Sehingga, apabila perintah Kami datang, dan tanur mendidih, Kami berkata, "Bawalah di dalamnya dua daripada tiap-tiap jenis, dan keluarga kamu, kecuali orang yang kepadanya perkataan telah pun diucapkan, dan sesiapa yang percaya." Dan tidak ada yang percaya bersamanya melainkan sedikit.
11:41. Dia berkata, "Naiklah ke dalamnya; dengan nama Allah pelayarannya dan pelabuhannya. Sesungguhnya Pemeliharaku Pengampun, Pengasih."
11:42. Maka ia berlayar dengan mereka di tengah-tengah gelombang yang seperti gunung-gunung; dan Nuh memanggil anak lelakinya yang berdiri terpisah, "Wahai anakku, naiklah bersama kami, dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang tidak percaya."
11:43. Berkata, "Aku akan mencari perlindungan di gunung, yang akan menjagaku daripada air." Berkata, "Pada hari ini, tidak ada pelindung daripada perintah Allah, selain daripada orang yang Dia mengasihani." Dan gelombang-gelombang tiba di antara keduanya, dan dia adalah antara orang-orang yang ditenggelamkan.
11:44. Dan dikatakan, "Wahai bumi, telanlah air kamu; dan langit, berhentilah!" Dan air pun surut, dan urusan disempurnakan, dan kapal bertenggek di atas al-Judi, dan dikatakan, "Nyahlah kaum yang zalim!"
11:45. Dan Nuh memanggil Pemeliharanya, dan berkata, "Wahai Pemeliharaku, anak lelakiku adalah daripada keluargaku, dan janji Engkau benar. Engkau yang paling adil antara para hakim."
11:46. Berkatalah Dia, "Wahai Nuh, dia bukanlah daripada keluarga kamu; dia adalah amalan yang tidak salih, maka janganlah kamu menanyai Aku apa yang kamu tiada pengetahuan mengenainya. Aku menegurkan kamu supaya kamu jangan menjadi antara orang-orang yang bodoh."
11:47. Berkata, "Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau supaya aku tidak menanyai Engkau apa yang aku tiada pengetahuan mengenainya; kerana jika Engkau tidak mengampuni aku, dan tidak mengasihani aku, tentu aku menjadi antara orang-orang yang rugi."
11:48. Dikatakan, "Wahai Nuh, turunlah kamu dengan kesejahteraan daripada Kami, dan keberkatan ke atas kamu, dan ke atas umat-umat yang bersama kamu; dan umat-umat, Kami akan memberikan mereka kesenangan, kemudian akan menyentuh mereka, daripada Kami, azab yang pedih."
11:49. Itu adalah daripada berita-berita ghaib yang Kami mewahyukan kamu; kamu tidak mengetahuinya, dan tidak juga kaum kamu sebelum ini. Maka bersabarlah; kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
11:50. Dan kepada Ad, saudara mereka Hud. Dia berkata, "Wahai kaumku, sembahlah Allah. Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia; kamu, tidak lain, hanyalah mengada-adakan.
11:51. Wahai kaumku, aku tidak meminta upah kepada kamu untuk ini; upahku, tidak lain, hanyalah atas Yang memulakan aku. Tidakkah kamu memahami?
11:52. Dan, wahai kaumku, mintalah ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, dan Dia akan mengutus langit dengan hujan lebat kepada kamu, dan Dia akan menambahkan kamu dalam kekuatan ke dalam kekuatan kamu; dan janganlah kamu berpaling sebagai orang-orang yang berdosa."
11:53. Mereka berkata, "Wahai Hud, kamu tidak mendatangkan kepada kami satu bukti yang jelas, dan kami tidak akan meninggalkan tuhan-tuhan kami kerana apa yang kamu mengucapkan; kami bukanlah orang-orang mukmin pada kamu.
11:54. Tiadalah kami mengatakan melainkan bahawa satu daripada tuhan-tuhan kami telah menimpakan kepada kamu dengan kejahatan." Berkata, "Aku bersaksikan Allah, dan saksilah kamu bahawa aku berlepas diri daripada apa yang kamu menyekutukan,
11:55. Selain daripada Dia; maka lakukanlah muslihat kamu terhadapku, kesemuanya, kemudian janganlah kamu memberi aku tangguh.
11:56. Sesungguhnya aku mempercayakan kepada Allah, Pemeliharaku dan Pemelihara kamu; tidak ada makhluk yang merayap melainkan Dia mengambilnya daripada ubun-ubun. Sesungguhnya Pemeliharaku adalah di atas jalan lurus.
11:57. Tetapi jika kamu berpaling, aku telah menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutus dengannya kepada kamu, dan Pemeliharaku akan menjadikan satu kaum yang selain daripada kamu, pengganti-pengganti; kamu tidak akan memudaratkan-Nya sedikit pun. Pemeliharaku Penjaga atas segala sesuatu."
11:58. Dan apabila perintah Kami datang, Kami menyelamatkan Hud dan orang-orang yang percaya bersama dia dengan pengasihan daripada Kami, dan menyelamatkan mereka daripada azab yang keras.
11:59. Itulah Ad; mereka menyangkal ayat-ayat Pemelihara mereka, dan mengingkari rasul-rasul-Nya, dan mereka mengikuti perintah tiap-tiap penguasa yang degil.
11:60. Dan mereka diikuti di dunia ini oleh laknat, dan pada Hari Kiamat, "Sesungguhnya Ad tidak percaya kepada Pemelihara mereka; maka nyahlah Ad, kaum Hud."
11:61. Dan kepada Tsamud, saudara mereka Salleh; dia berkata, "Wahai kaumku, sembahlah Allah. Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia. Dialah yang menumbuhkan kamu daripada bumi dan menetapkan kamu di dalamnya; maka mintalah ampun kepada-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Pemeliharaku dekat, dan menyahuti."
11:62. Mereka berkata, "Wahai Salleh, kamu sampai sekarang menjadi satu harapan di kalangan kami. Apa, adakah kamu melarang kami daripada menyembah apa yang bapa-bapa kami sembah? Sesungguhnya kami adalah dalam keraguan terhadap apa yang kamu menyerukan kami, dengan kebimbangan."
11:63. Berkata, "Wahai kaumku, apa pendapat kamu, jika aku di atas bukti yang jelas daripada Pemeliharaku, dan Dia memberi aku pengasihan daripada-Nya? Siapakah yang akan menolong aku terhadap Allah jika aku mengingkari-Nya? Tiadalah kamu, bagiku, melainkan menambahkan kerugianku.
11:64. Wahai kaumku, ini ialah unta betina Allah, untuk menjadi satu ayat bagi kamu. Tinggalkanlah ia supaya ia boleh makan di bumi Allah, dan janganlah menyentuhnya dengan kejahatan, supaya kamu tidak diambil oleh azab yang dekat."
11:65. Tetapi mereka melukainya; dan dia berkata, "Bergembiralah kamu di dalam tempat tinggal kamu selama tiga hari. Itulah janji yang tidak didustakan."
11:66. Dan apabila perintah Kami datang, Kami menyelamatkan Salleh, dan orang-orang yang percaya bersama dia, dengan pengasihan daripada Kami, dan daripada kerendahan hari itu; sesungguhnya Pemelihara kamu, Dia Yang Kuat, Yang Perkasa.
11:67. Dan orang-orang yang membuat kezaliman diambil oleh Teriakan; pagi mendapati mereka, di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak,
11:68. Seolah-olah mereka tidak tinggal di dalamnya. "Sesungguhnya Tsamud tidak percaya kepada Pemelihara mereka, maka nyahlah Tsamud!"
11:69. Rasul-rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita gembira; mereka berkata, "Salam!" Dia berkata, "Salam"; dan sebentar kemudian, dia mendatangkan seekor anak lembu panggang.
11:70. Apabila dia melihat tangan-tangan mereka tidak sampai padanya, dia memandang aneh pada mereka, dan dia sangsi terhadap mereka, dan berasa takut. Mereka berkata, "Jangan takut; kami diutus kepada kaum Lut."
11:71. Dan isterinya sedang berdiri dekat; dia tertawa, maka Kami menyampaikan kepadanya berita gembira dengan Ishak, dan selepas Ishak, Yaakub.
11:72. Berkata, "Celakalah aku! Adakah aku akan beranak padahal aku sudah tua, dan suamiku ini seorang yang tua? Sesungguhnya ini sesuatu yang ajaib."
11:73. Mereka berkata, "Apa, adakah kamu berasa hairan pada perintah Allah? Pengasihan Allah dan keberkatan-Nya ke atas kamu, wahai ahli Rumah! Sesungguhnya Dia Terpuji, Indah."
11:74. Maka, apabila rasa takut telah pergi daripada Ibrahim, dan berita gembira datang kepadanya, dia berdebat dengan Kami mengenai kaum Lut.
11:75. Ibrahim adalah penyantun, lembut hati, berkesesalan.
11:76. "Wahai Ibrahim, berpalinglah daripada ini. Sesungguhnya perintah Pemelihara kamu telah datang, dan datang kepada mereka azab yang tidak dapat dikembalikan."
11:77. Dan apabila rasul-rasul Kami datang kepada Lut, dia berasa susah terhadap mereka, dan berasa cemas untuk mereka, dan dia berkata, "Inilah hari yang amat berat."
11:78. Dan kaumnya datang kepadanya, berlari-lari ke arahnya, dan sejak dahulu mereka membuat kejahatan. Dia berkata, "Wahai kaumku, inilah anak-anak perempuanku; mereka lebih bersih bagi kamu. Maka takutilah Allah, dan janganlah mengaibkan aku pada tetamu-tetamu aku. Apa, adakah tidak ada seorang lelaki antara kamu yang berfikiran waras?"
11:79. Mereka berkata, "Kamu mengetahui bahawa kami tidak patut terhadap anak-anak perempuan kamu, dan kamu mengetahui benar apa yang kami mengkehendaki."
11:80. Dia berkata, "Sekiranya aku ada kekuatan terhadap kamu, atau aku berlindung di sebuah tonggak yang kuat!"
11:81. Mereka berkata, "Wahai Lut, kami adalah rasul-rasul Pemelihara kamu. Mereka tidak akan sampai kepada kamu; maka berjalanlah, kamu dengan keluarga kamu, pada sebahagian malam, dan janganlah seseorang daripada kamu berpaling ke belakang, kecuali isteri kamu; dia akan ditimpa dengan apa yang menimpa mereka. Waktu yang mereka dijanjikan ialah subuh (pagi); bukankah subuh sudah dekat?"
11:82. Maka apabila perintah Kami datang, Kami menterbalikkan yang atasnya ke bawahnya, dan menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah liat yang dibakar, bertubi-tubi,
11:83. Ditanda di sisi Pemelihara kamu, dan ia tidak jauh daripada orang-orang yang zalim.
11:84. Dan kepada Madyan, saudara mereka Shuaib; dia berkata, "Wahai kaumku, sembahlah Allah. Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia. Dan janganlah mengurangi sukatan dan timbangan. Aku melihat kamu baik (makmur); dan aku takut untuk kamu akan azab hari yang meliputi.
11:85. Wahai kaumku, tepatilah sukatan dan timbangan dengan adil, dan janganlah mengurangi sesuatu bagi manusia, dan janganlah membuat kecelakaan di bumi dengan membuat kerosakan.
11:86. Sisa Allah adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu orang-orang mukmin. Dan aku bukanlah penjaga kepada kamu."
11:87. Mereka berkata, "Wahai Shuaib, adakah solat kamu menyuruh kamu supaya kami meninggalkan apa yang bapa-bapa kami sembah, atau untuk membuat seperti yang kami mengkehendaki dengan harta-harta kami? Kamu penyantun, berfikiran waras."
11:88. Dia berkata, "Wahai kaumku, apa pendapat kamu, jika aku di atas bukti yang jelas daripada Pemeliharaku, dan Dia merezekikan aku dengan rezeki yang baik daripada-Nya; dan aku tidak menghendaki untuk menentang kamu pada apa yang aku melarang kamu; aku hanya menghendaki untuk memperbetulkan, sebarang yang aku boleh, dan pertolonganku hanyalah dengan Allah. Kepada-Nya aku mempercayakan (tawakal), dan kepada-Nya aku berkesesalan.
11:89. Wahai kaumku, janganlah perpecahan dengan aku mendesak kamu supaya menimpa kamu yang serupa dengan apa yang menimpa kaum Nuh, atau kaum Hud, atau kaum Salleh; dan kaum Lut, yang tidak jauh daripada kamu.
11:90. Dan mintalah ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; sesungguhnya Pemeliharaku Pengasih, Penyayang."
11:91. Mereka berkata, "Wahai Shuaib, kami tidak banyak memahami apa yang kamu mengatakan. Sesungguhnya kami melihat kamu lemah antara kami; tetapi, jika tidak kerana kumpulan kamu, tentu kami merejam kamu, dan kamu tidaklah kuat terhadap kami."
11:92. Dia berkata, "Wahai kaumku, adakah kumpulanku lebih kuat terhadap kamu daripada Allah? Dan Dia, adakah kamu mengambil Dia sebagai sesuatu yang dilemparkan ke belakang kamu? Pemeliharaku meliputi apa yang kamu buat.
11:93. Wahai kaumku, beramallah (berbuatlah) menurut tempat kamu; aku sedang beramal, dan sungguh kamu akan mengetahui kepada siapa datang azab yang mengaibkannya, dan siapa dia pendusta. Dan berjaga-jagalah; aku bersama kamu, menjagai."
11:94. Dan apabila perintah Kami datang, Kami menyelamatkan Shuaib dan orang-orang yang percaya bersama dia dengan pengasihan daripada Kami, dan orang-orang yang membuat kezaliman diambil oleh Teriakan; pagi mendapati mereka, di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak.
11:95. Seakan-akan mereka tidak tinggal di dalamnya, "Maka nyahlah Madyan, sebagaimana Tsamud telah hapus."
11:96. Dan Kami telah mengutus Musa dengan ayat-ayat Kami, dan kuasa yang nyata,
11:97. Kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya; tetapi mereka mengikuti perintah Firaun, dan perintah Firaun adalah tidak waras.
11:98. Dia mendahului kaumnya pada Hari Kiamat, dan memimpin mereka turun ke Api - buruknya tempat pengairan untuk diturunkan!
11:99. Dan mereka diikuti di dunia ini oleh laknat, dan pada Hari Kiamat - buruknya tawaran yang ditawarkan!
11:100. Itu adalah daripada berita bandar-bandar raya yang Kami menceritakan kepada kamu; ada yang masih berdiri, dan ada yang menjadi tunggul.
11:101. Dan Kami tidak menzalimi mereka, tetapi mereka menzalimi diri-diri mereka sendiri. Tuhan-tuhan mereka tidak berguna bagi mereka, yang mereka seru selain daripada Allah sedikit pun, apabila perintah Pemelihara kamu datang; dan mereka tidak menambah bagi mereka, kecuali dalam kebinasaan.
11:102. Demikian itulah pengambilan Pemelihara kamu, apabila Dia mengambil bandar-bandar raya yang zalim; sesungguhnya pengambilan-Nya pedih, keras.
11:103. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi orang yang takut akan azab akhirat; itulah satu hari di mana manusia dikumpulkan, satu hari untuk menyaksikan.
11:104. Dan Kami tidak akan menangguhkannya, kecuali ke satu tempoh perhitungannya.
11:105. Pada hari ia datang, sesuatu jiwa tidak berkata-kata kecuali dengan izin-Nya; sebahagian mereka sengsara, dan sebahagian berbahagia.
11:106. Bagi orang-orang yang sengsara, mereka berada di dalam Api, di dalamnya bagi mereka keluhan, dan erangan.
11:107. Di dalamnya tinggal selama-lamanya, selama ada langit dan bumi, kecuali seperti yang Pemelihara kamu mengkehendaki; sesungguhnya Pemelihara kamu menyempurnakan apa yang Dia mengkehendaki.
11:108. Dan bagi yang berbahagia, mereka berada di dalam Taman, di dalamnya tinggal selama-lamanya, selama ada langit dan bumi, kecuali seperti yang Pemelihara kamu mengkehendaki; sebagai kurnia yang tidak putus-putus.
11:109. Maka janganlah kamu berada dalam keraguan mengenai apa yang mereka ini sembah; mereka hanya menyembah seperti bapa-bapa mereka menyembah dari dahulu; dan sesungguhnya Kami akan membayar kepada mereka sepenuhnya bahagian mereka tanpa dikurangi.
11:110. Dan Kami telah memberikan Musa Kitab; dan berlakulah perselisihan mengenainya, dan jika tidak kerana satu kata yang terdahulu daripada Pemelihara kamu, tentu ia telah diputuskan antara mereka; dan mereka adalah dalam keraguan padanya, kebimbangan.
11:111. Sesungguhnya masing-masing mereka, Pemelihara kamu akan membayar kepada mereka sepenuhnya untuk amalan-amalan mereka; Dia menyedari apa yang mereka buat.
11:112. Maka hendaklah kamu berlaku lurus, sebagaimana kamu diperintahkan, dan sesiapa yang bertaubat bersama kamu; dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu buat.
11:113. Dan janganlah cenderung kepada orang-orang yang membuat kezaliman supaya Api menyentuh kamu; kamu tidak ada pelindung selain daripada Allah, dan kemudian kamu tidak akan ditolong.
11:114. Dan lakukanlah solat pada dua tepi siang, dan awal malam; sesungguhnya perbuatan baik menghilangkan kejahatan. Itu adalah satu peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat.
11:115. Dan bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik.
11:116. Mengapakah tidak ada daripada generasi-generasi sebelum kamu, orang-orang dari peninggalan yang melarang kerosakan di bumi - kecuali sedikit daripada orang-orang yang Kami telah menyelamatkan; tetapi orang-orang yang membuat kezaliman mengikuti kesenangan yang mereka diberi untuk bersukaria, dan menjadi orang-orang yang berdosa.
11:117. Namun begitu, Pemelihara kamu tidak memusnahkan bandar-bandar raya dengan kezaliman, sedang penduduknya membetulkan.
11:118. Sekiranya Pemelihara kamu menghendaki, tentu Dia membuat manusia satu umat, tetapi mereka tidak berhenti-henti berselisih,
11:119. Kecuali orang-orang yang kepada mereka Pemelihara kamu mengasihani. Untuk itulah Dia mencipta mereka, dan sempurnalah pelaksanaan kata Pemelihara kamu, "Sungguh, Aku akan memenuhi Jahanam dengan jin dan manusia kesemuanya."
11:120. Dan semua itu Kami menceritakan kepada kamu daripada berita rasul-rasul; dengannya Kami meneguhkan hati kamu; dalam ini telah datang kepada kamu yang benar, dan satu teguran dan peringatan, bagi orang-orang mukmin.
11:121. Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak mempercayai, "Beramallah kamu menurut tempat kamu; kami sedang beramal.
11:122. Dan lihat dan tunggulah; kami juga melihat dan menunggu."
11:123. Kepunyaan Allah keghaiban di langit dan bumi, dan kepada-Nya seluruh perkara dikembalikan; maka sembahlah Dia, dan percayakanlah kepada-Nya. Pemelihara kamu tidak lalai daripada apa yang kamu buat.