Surah 28
CERITA
(88 ayat)
Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.
28:1. Tha Sin Mim.
28:2. Inilah ayat-ayat Kitab yang jelas.
28:3. Kami membacakan kamu sesuatu daripada berita Musa dan Firaun dengan benar untuk kaum yang mempercayai.
28:4. Sesungguhnya Firaun meninggi di bumi, dan dia memecah-belahkan penduduknya kepada golongan-golongan, menghinakan segolongan antara mereka, mengorbankan anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka; sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang membuat kerosakan.
28:5. Namun begitu, Kami menghendaki untuk berbudi baik kepada orang-orang yang dihina di bumi, dan Kami melantik mereka imam-imam, dan Kami membuat mereka pewaris-pewaris,
28:6. Dan Kami meneguhkan mereka di bumi, dan Kami memperlihatkan kepada Firaun, dan Haman, dan tentera mereka, apa yang mereka takuti.
28:7. Maka Kami mewahyukan ibu Musa, "Susukanlah dia, kemudian apabila kamu takut terhadapnya, lemparlah dia ke laut, dan janganlah takut, dan jangan juga bersedih, kerana Kami akan mengembalikan dia kepada kamu, dan akan melantiknya seorang daripada para utusan."
28:8. Lalu keluarga Firaun memungutnya untuk menjadi musuh, dan kesedihan bagi mereka; sesungguhnya Firaun, dan Haman, dan tentera mereka, adalah antara orang-orang yang bersalah.
28:9. Berkata isteri Firaun, "Dia akan menjadi satu pendingin mata (kegembiraan) bagiku dan bagi kamu. Janganlah membunuhnya; mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita, atau kita mengambil dia sebagai anak." Dan mereka tidak menyedari.
28:10. Pada paginya, hati ibu Musa menjadi kosong, dan dia hampir-hampir menampakkan dia sekiranya Kami tidak menguatkan hatinya, supaya dia (ibu Musa) termasuk orang-orang mukmin.
28:11. Dan dia berkata kepada saudara perempuannya, "Ikutlah dia", dan dia melihatnya dari jauh, sedang mereka tidak menyedari.
28:12. Dan Kami mengharamkannya sebelum itu daripada disusukan oleh mana-mana ibu angkat; maka dia berkata, "Bolehkah aku menunjukkan kamu kepada keluarga daripada seisi rumah yang akan menjaganya untuk kamu, dan mengasuhnya?"
28:13. Maka Kami kembalikan dia kepada ibunya, supaya dia bergembira dan tidak bersedih, dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah adalah benar; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
28:14. Dan apabila dia telah dewasa, dan dia tegap, Kami memberikan dia putusan, dan pengetahuan; begitulah Kami membalas orang-orang yang berbuat baik.
28:15. Dan dia masuk ke kota sewaktu penduduknya sedang lalai, dan dia mendapati di dalamnya dua orang lelaki sedang berperang; yang satu adalah daripada golongannya sendiri, dan yang lain, daripada musuhnya. Kemudian yang daripada golongannya meminta pertolongan kepadanya terhadap musuhnya; maka Musa menumbuknya, dan menentukannya (mematikannya), dan berkata, "Ini adalah daripada amalan syaitan; sesungguhnya ia musuh yang menyesatkan, yang nyata."
28:16. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, aku telah menzalimi diriku. Ampunilah aku." Maka Dia mengampuninya; sesungguhnya Dialah Yang Pengampun, Yang Pengasih.
28:17. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, dengan apa yang Engkau merahmati aku, maka aku tidak menjadi penyokong bagi orang-orang yang berdosa."
28:18. Pada waktu pagi, dia berada di kota, takut-takut dan berjaga-jaga; dan tiba-tiba, orang yang meminta pertolongannya kelmarin meminta pertolongan kepadanya lagi. Musa berkata kepadanya, "Sesungguhnya kamu adalah orang yang bersalah yang nyata."
28:19. Tetapi apabila dia hendak menyerang orang yang menjadi musuh kepada mereka berdua, orang itu berkata, "Wahai Musa, adakah kamu menghendaki untuk membunuh aku sebagaimana kamu membunuh satu jiwa kelmarin? Kamu hanya menghendaki untuk menjadi penindas di bumi; kamu tidak menghendaki untuk menjadi daripada orang-orang yang membetulkan."
28:20. Kemudian datang seorang lelaki dari bahagian kota yang terjauh, berlari; dia berkata, "Wahai Musa, pembesar mereka sedang bermuafakat untuk membunuh kamu. Keluarlah kamu, aku termasuk penasihat-penasihat kamu."
28:21. Maka dia keluar darinya, takut-takut dan berjaga-jaga; dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim."
28:22. Dan apabila dia menghadapkan mukanya ke arah Madyan, dia berkata, "Mudah-mudahan Pemeliharaku memberi petunjuk kepadaku pada jalan yang betul."
28:23. Dan apabila dia sampai di perairan Madyan, dia mendapati satu umat manusia di sana yang memberi minum, dan dia mendapati, selain daripada mereka, dua orang perempuan sedang menahan ternak mereka. Berkata, "Apakah urusan kamu berdua?" Mereka berkata, "Kami tidak dapat memberi minum sehingga penggembala-penggembala menghalau, dan bapa kami telah lanjut usia tuanya."
28:24. Maka dia memberi minum untuk mereka; kemudian dia berpaling ke tempat yang teduh, dan dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku fakir (memerlukan) apa-apa kebaikan yang Engkau menurunkan kepadaku."
28:25. Kemudian datang seorang daripada dua perempuan kepadanya, berjalan dengan malu, dan berkata, "Bapaku memanggil kamu supaya dia membalas kamu dengan upah kerana kamu memberi minum untuk kami." Maka apabila dia datang kepadanya, dan telah menceritakan kepadanya ceritanya, dia berkata, "Jangan takut; kamu telah selamat daripada kaum yang zalim."
28:26. Berkata seorang daripada dua perempuan, "Ayah, ambillah upahan dia; sesungguhnya orang yang paling baik yang anda mengambil upahan ialah yang kuat, dipercayai."
28:27. Berkata, "Aku menghendaki untuk mengahwinkan kamu dengan seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan kamu mengambil upah daripada aku selama lapan tahun. Jika kamu menyempurnakan sepuluh, itu adalah daripada kamu; aku tidak menghendaki untuk memberatkan kamu. Kamu akan mendapati aku, jika Allah mengkehendaki, termasuk orang-orang yang salih."
28:28. Berkata, "Demikian itulah antara aku dan kamu. Yang mana sahaja daripada dua tempoh yang aku menunaikan, ia tidak ada permusuhan padaku; dan Allah wakil atas apa yang kita mengatakan."
28:29. Maka apabila Musa telah menyempurnakan tempoh, dan dia berpergian dengan keluarganya pada malam hari, dia melihat api di tepi gunung. Dia berkata kepada keluarganya, "Menetaplah kamu di sini; aku melihat api. Mudah-mudahan aku akan mendatangkan kepada kamu beritanya, atau berkas kayu daripada api, supaya kamu dapat memanaskan diri-diri kamu."
28:30. Apabila dia datang kepadanya, dia dipanggil dari tebing sebelah kanan lembah di tempat yang lekuk yang diberkati, datang dari pokok, "Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah, Pemelihara semua alam.
28:31. Lemparlah tongkat kamu." Dan apabila dia melihatnya menggetar-getar seperti seekor ular, dia berpaling, berundur, dan tidak menoleh. "Wahai Musa, tampillah ke muka, dan jangan takut; sesungguhnya kamu aman.
28:32. Selitkanlah tangan kamu ke dalam dada kamu, dan ia akan keluar putih tanpa keburukan; dan dakapkanlah kepada kamu tangan kamu supaya tidak gerun. Maka inilah dua bukti daripada Pemelihara kamu kepada Firaun, dan pembesar-pembesarnya; sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq."
28:33. Berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku telah membunuh satu jiwa daripada mereka, dan aku takut bahawa mereka akan membunuh aku.
28:34. Dan saudaraku Harun lebih fasih lidahnya (lisannya) daripada aku. Utuslah dia bersama aku sebagai pembantu, dan untuk mengesahkan aku kerana aku takut mereka akan mendustakan aku."
28:35. Berkatalah Dia, "Kami akan menguatkan tangan kamu dengan saudara kamu, dan Kami membuatkan kamu satu kuasa supaya mereka tidak sampai kepada kamu kerana ayat-ayat Kami; kamu, dan sesiapa yang mengikuti kamu, adalah orang-orang yang menang."
28:36. Maka apabila Musa datang kepada mereka dengan ayat-ayat Kami, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, "Tiadalah ini, melainkan sihir yang diada-adakan. Kami tidak pernah mendengar yang ini di kalangan bapa-bapa kami yang dahulu."
28:37. Tetapi Musa berkata, "Pemeliharaku sangat mengetahui siapa yang datang dengan petunjuk daripada-Nya, dan siapa yang mendapat tempat kediaman muktamad; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak beruntung."
28:38. Dan Firaun berkata, "Wahai pembesar-pembesar, aku tidak mengetahui bahawa kamu ada tuhan selain daripada aku! Nyalakanlah api untukku, wahai Haman, pada tanah liat, dan buatkanlah untukku sebuah menara yang tinggi, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa, kerana aku menyangka bahawa dia termasuk pendusta-pendusta."
28:39. Dan dia berlaku sombong di bumi, dia dan tenteranya, dengan cara yang salah; dan mereka menyangka bahawa mereka tidak dikembalikan kepada Kami.
28:40. Lalu Kami mengambil dia dan tenteranya, dan melemparkan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang zalim.
28:41. Dan Kami melantik mereka imam-imam yang menyeru ke Api; dan pada Hari Kiamat, mereka tidak ditolong.
28:42. Dan Kami mengikuti mereka di dunia ini dengan laknat, dan pada Hari Kiamat, mereka menjadi antara yang dibenci.
28:43. Dan Kami memberikan Musa al-Kitab, setelah Kami memusnahkan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi bukti-bukti yang nyata, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan bagi manusia supaya mereka mengingati.
28:44. Kamu tidak berada di sebelah barat, ketika Kami menentukan perintah kepada Musa, dan tidak juga kamu antara orang-orang yang menyaksikan.
28:45. Tetapi Kami menumbuhkan generasi-generasi, dan panjanglah umur mereka. Tidak juga kamu orang yang tinggal di kalangan penduduk Madyan, dengan membacakan mereka ayat-ayat Kami; tetapi Kami mengutus utusan-utusan.
28:46. Kamu tidak berada di tepi Gunung ketika Kami memanggil; tetapi kerana satu pengasihan daripada Pemelihara kamu, supaya kamu memberi amaran kepada kaum yang kepadanya tiada pemberi amaran telah datang sebelum kamu supaya mereka mengingati.
28:47. Supaya tidak, apabila penderitaan menimpa mereka kerana apa yang tangan-tangan mereka sendiri mendahulukan, mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau tidak mengutuskan seorang rasul kepada kami supaya kami mengikuti ayat-ayat Engkau, dan jadilah kami antara orang-orang mukmin?"
28:48. Namun begitu, apabila yang benar datang kepada mereka daripada Kami Sendiri, mereka berkata, "Mengapa dia tidak diberi yang serupa dengan apa yang Musa diberi?" Bukankah mereka tidak percaya kepada apa yang Musa diberi dahulu? Mereka berkata, "Dua ahli sihir yang saling membantu satu sama lain." Mereka berkata, "Kami tidak percaya kepada kedua-duanya."
28:49. Katakanlah, "Datangkanlah sebuah Kitab daripada Allah yang lebih memberi petunjuk daripada keduanya (al-Qur'an dan Taurat), dan ikutlah ia, jika kamu berkata benar."
28:50. Kemudian, jika mereka tidak menyahut kamu, ketahuilah bahawa mereka hanya mengikuti keinginan mereka; dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti keinginannya tanpa petunjuk daripada Allah? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
28:51. Sesungguhnya Kami mendatangkan kepada mereka Ucapan supaya mereka mengingati.
28:52. Orang-orang yang kepada mereka Kami telah memberikan al-Kitab sebelum ini mempercayainya.
28:53. Dan, apabila ia dibacakan kepada mereka, mereka berkata, "Kami percaya kepadanya; sesungguhnya ia adalah yang benar daripada Pemelihara kami. Sesungguhnya, sebelumnya kami telah muslim."
28:54. Mereka ini diberi upah mereka dua kali kerana mereka bersabar, dan menolak kejahatan dengan yang baik, dan menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka.
28:55. Apabila mereka mendengar percakapan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya, dan berkata, "Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak menginginkan orang-orang yang bodoh."
28:56. Kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang kamu mencintai, tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia sangat mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.
28:57. Mereka berkata, "Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, kami akan disambar daripada bumi." Tidakkah Kami meneguhkan bagi mereka tempat suci yang aman di mana dikumpulkan segala sesuatu buah-buahan, sebagai rezeki daripada sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
28:58. Dan berapa banyaknya bandar raya yang Kami telah memusnahkan yang kehidupannya bersenang-senang dengan keangkuhan! Itulah tempat-tempat tinggal mereka, yang tidak didiami selepas mereka, kecuali sedikit sahaja; Kami Sendiri adalah pewaris-pewaris.
28:59. Namun begitu, Pemelihara kamu tidak memusnahkan bandar-bandar raya sehingga Dia membangkitkan di ibu kotanya seorang rasul untuk membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan Kami tidak memusnahkan bandar-bandar raya melainkan bahawa penduduknya zalim.
28:60. Apa sahaja benda yang kamu diberi adalah kesenangan kehidupan dunia dan perhiasannya; dan apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Tidakkah kamu faham?
28:61. Apa, adakah orang yang Kami menjanjikan janji yang baik, dan dia menemuinya, sama dengan orang yang kepadanya Kami memberikan kesenangan kehidupan dunia, kemudian dia pada Hari Kiamat termasuk orang-orang yang dihadapkan?
28:62. Pada hari Dia memanggil mereka, dan Dia berkata, "Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang kamu mendakwa?"
28:63. Orang-orang yang ke atas mereka Ucapan telah wajar, mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, mereka inilah orang-orang yang kami telah membuat mereka bersalah; kami membuat mereka bersalah sebagaimana kami bersalah. Kami berlepas diri kepada Engkau; ia bukanlah kami yang mereka sembah."
28:64. Dikatakan, "Serulah sekutu-sekutu kamu!" Dan mereka menyerunya, tetapi mereka tidak menyahuti mereka, dan mereka melihat azab - sekiranya mereka mendapat petunjuk!
28:65. Pada hari apabila Dia memanggil mereka, dan Dia berkata, "Apakah jawapan yang kamu beri kepada para utusan?"
28:66. Pada hari itu, berita-berita digelapkan kepada mereka, maka mereka tidak saling bertanya.
28:67. Tetapi bagi orang yang bertaubat, dan percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, mudah-mudahan dia termasuk orang-orang yang beruntung.
28:68. Pemelihara kamu mencipta apa sahaja Dia mengkehendaki, dan Dia memilih; mereka tidak ada pilihan. Allah disanjung! Tingginya Dia daripada apa yang mereka menyekutukan!
28:69. Dan Pemelihara kamu mengetahui apa yang dada mereka menyembunyikan, dan apa yang mereka menyiarkan.
28:70. Dan Dia, Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Bagi-Nya segala pujian pada permulaan dan akhir, dan bagi-Nya juga Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan.
28:71. Katakanlah, "Apa pendapat kamu, jika Allah membuatkan malam berterusan kepada kamu sampai Hari Kiamat? Apakah tuhan, selain daripada Allah, yang mendatangkan sinaran kepada kamu? Tidakkah kamu mendengar?"
28:72. Katakanlah, "Apa pendapat kamu, jika Allah membuatkan siang berterusan kepada kamu sampai Hari Kiamat? Apakah tuhan, selain daripada Allah, yang mendatangkan kepada kamu malam untuk berehat padanya? Tidakkah kamu melihat?
28:73. Daripada pengasihan-Nya, Dia membuatkan untuk kamu malam dan siang, untuk kamu berehat padanya, dan untuk mencari pemberian-Nya, supaya kamu berterima kasih."
28:74. Pada hari apabila Dia memanggil mereka, dan Dia berkata, "Di manakah sekutu-sekutu-Ku yang kamu mendakwa?"
28:75. Dan Kami mengeluarkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi, dan Kami berkata, "Kemukakanlah bukti kamu!" Kemudian mereka mengetahui bahawa yang benar (hak) kepunyaan Allah, dan sesatlah (hilanglah) daripada mereka apa yang mereka mengada-adakan.
28:76. Sesungguhnya Karun adalah daripada kaum Musa; dia menjadi angkuh kepada mereka kerana Kami memberinya harta-harta simpanan yang kunci-kuncinya adalah beban yang sungguh berat untuk sekumpulan orang yang mempunyai kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, "Janganlah kamu berbangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membanggakan diri.
28:77. Tetapi carilah, dengan apa yang Allah memberikan kamu, tempat kediaman akhir, dan janganlah melupakan bahagian kamu di dunia ini; dan berbuatbaiklah, sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah mencari untuk membuat kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan."
28:78. Dia berkata, "Apa yang aku diberi hanyalah kerana pengetahuan yang ada padaku." Apa, tidakkah dia mengetahui bahawa Allah telah memusnahkan sebelum dia, generasi-generasi daripada orang-orang yang lebih kuat daripada dia dalam kekuatan, dan lebih banyak dalam kumpulan? Dan orang-orang yang berdosa tidak ditanya mengenai dosa-dosa mereka.
28:79. Maka dia keluar kepada kaumnya dengan perhiasannya. Orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia berkata, "Sekiranya kita mempunyai yang serupa dengan apa yang Karun diberi! Sesungguhnya dia seorang yang mempunyai peruntungan yang besar."
28:80. Tetapi orang-orang, yang kepada mereka diberi pengetahuan berkata, "Celakalah kamu! Ganjaran Allah adalah lebih baik bagi orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan; dan tiada yang akan menerimanya kecuali orang-orang yang sabar."
28:81. Maka Kami membuatkan bumi menelannya dan tempat tinggalnya dan tidaklah ada golongan yang menolongnya, selain daripada Allah, dan dia tanpa pertolongan.
28:82. Dan pada waktu pagi, orang-orang yang menginginkan tempatnya kelmarin berkata, "Aduhai, Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki daripada hamba-hamba-Nya. Sekiranya Allah tidak berbudi baik kepada kami, tentu Dia membuatkan kami ditelan juga. Aduhai, orang-orang yang tidak percaya tidak beruntung!"
28:83. Tempat kediaman akhir itu, Kami membuatnya untuk orang-orang yang tidak menghendaki kesombongan diri di bumi, dan tidak juga kerosakan. Kesudahan adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
28:84. Sesiapa yang datang dengan yang baik mendapat yang lebih baik daripada itu; dan sesiapa yang datang dengan kejahatan - orang-orang yang membuat kejahatan tidak dibalas melainkan apa yang mereka telah buat.
28:85. Dia yang menetapkan al-Qur'an kepada kamu benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali. Katakanlah, "Pemeliharaku sangat mengetahui siapa yang datang dengan petunjuk, dan siapa yang dalam kesesatan yang nyata."
28:86. Kamu tidak mengharapkan bahawa Kitab dilemparkan kepada kamu, melainkan ia sebagai satu pengasihan daripada Pemelihara kamu; maka janganlah kamu menjadi penyokong orang-orang yang tidak percaya.
28:87. Janganlah mereka menghalangi kamu daripada ayat-ayat Allah setelah ia diturunkan kepada kamu. Dan berserulah kepada Pemelihara kamu, dan janganlah kamu menjadi daripada orang-orang yang menyekutukan.
28:88. Dan janganlah menyeru tuhan yang lain berserta Allah; tidak ada tuhan melainkan Dia. Segala benda akan binasa, kecuali Wajah-Nya. Bagi-Nya Putusan, dan kepada-Nya kamu akan dikembalikan.