Surah 49

BILIK-BILIK

(18 ayat)

 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

49:1. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendahului di hadapan Allah dan rasul-Nya; dan takutilah Allah. Sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui.

49:2. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah menaikkan suara-suara kamu di atas suara Nabi, dan jangan kamu melantangkan ucapan kamu kepada dia, seperti kelantangan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain, supaya tidak menjadi sia-sia amalan-amalan kamu, sedang kamu tidak menyedari.

49:3. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suara mereka di sisi rasul Allah, mereka itulah orang-orang yang hatinya Allah uji untuk takwa (takut kepada Tuhan); bagi mereka, keampunan dan upah yang besar.

49:4. Sesungguhnya orang-orang yang memanggil kamu dari belakang bilik-bilik, kebanyakan mereka tidak faham.

49:5. Dan jika mereka bersabar, sehingga kamu keluar kepada mereka, itulah yang lebih baik bagi mereka; dan Allah Pengampun, Pengasih.

49:6. Wahai orang-orang yang percaya, jika orang fasiq datang kepada kamu dengan satu berita, maka telitilah supaya kamu tidak menimpa satu kaum dalam kejahilan, dan kemudian menjadi menyesal daripada apa yang kamu buat.

49:7. Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita; tetapi Allah menjadikan cinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras.

49:8. Pemberian Allah, dan rahmat; Allah Mengetahui, Bijaksana.

49:9. Jika dua golongan orang-orang mukmin berperang, betulkanlah antara mereka; kemudian, jika satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh, sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika ia kembali maka betulkanlah antara mereka dengan adil, dan berlakuadillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil.

49:10. Sesungguhnya orang-orang mukmin bersaudara; maka betulkanlah antara dua saudara kamu, dan takutilah Allah supaya kamu dikasihani.

49:11. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah sesuatu kaum mengejek kaum yang lain, yang mungkin lebih baik daripada mereka; dan jangan juga perempuan-perempuan memperolok-olokkan perempuan-perempuan yang mungkin lebih baik daripada mereka. Dan jangan mencari kesilapan sesama sendiri, dan jangan juga menghina satu sama lain dengan nama-nama gelaran. Satu nama yang buruk ialah fasiq setelah iman. Dan sesiapa tidak bertaubat, maka mereka itu, merekalah orang-orang yang zalim.

49:12. Wahai orang-orang yang percaya, jauhilah kebanyakan sangkaan; sebahagian sangkaan adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan jangan juga mengumpat satu sama lain; adakah salah seorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Kamu membencinya! Dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Menerima Taubat, Pengasih.

49:13. Wahai manusia, Kami mencipta kamu lelaki dan perempuan, dan membuat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari.

49:14. Orang-orang Arab berkata, "Kami percaya." Katakanlah, "Kamu tidak mempercayai; tetapi katakanlah, 'Kami tunduk patuh'; kerana iman belum lagi masuk ke dalam hati kamu. Jika kamu mentaati Allah dan rasul-Nya, Dia tidak akan menyusutkan kamu sedikit pun daripada amalan-amalan kamu. Sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih."

49:15. Orang-orang yang mukmin ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian tidak ragu-ragu, dan berjuang dengan harta mereka dan jiwa mereka di jalan Allah; mereka itu, merekalah orang-orang yang benar.

49:16. Katakanlah, "Apa, adakah kamu akan mengajar Allah mengenai agama kamu, padahal Allah mengetahui apa yang di langit, dan apa yang di bumi? Dan Allah mengetahui segala sesuatu."

49:17. Mereka mengiranya sebagai satu budi baik kepada kamu bahawa mereka telah tunduk patuh! Katakanlah, "Janganlah kamu mengira bahawa keislaman kamu adalah sebagai satu budi baik kepadaku; tidak, tetapi Allah berbudi baik kepada kamu, dengan Dia memberi kamu petunjuk pada keimanan, jika sekiranya kamu orang-orang yang benar.

49:18. Sesungguhnya Allah mengetahui keghaiban di langit dan bumi; dan Allah melihat apa yang kamu buat.