Surah 61

BARISAN-BARISAN

(14 ayat)

 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih. 

61:1. Segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah; Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana.

61:2. Wahai kamu yang percaya, mengapakah kamu mengatakan apa yang kamu tidak buat.

61:3. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang kamu tidak buat.

61:4. Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan-barisan, seakan-akan mereka sebuah bangunan yang padu.

61:5. Dan apabila Musa berkata kepada kaumnya, “Wahai kaumku, mengapakah kamu menyakiti aku, walaupun kamu mengetahui bahawa aku adalah rasul Allah kepada kamu?” Apabila mereka menyimpang Allah menyimpangkan hati mereka; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.

61:6. Dan apabila Isa putera Mariam berkata, “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya Ahmad (dipuji).” Maka, apabila dia datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, “Ini, sihir yang nyata.”

61:7. Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah apabila dia diseru kepada islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.

61:8. Mereka menghendaki untuk memadamkan, dengan mulut-mulut mereka, cahaya Allah; tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang tidak percaya membencinya.

61:9. Dia yang mengutus rasul-Nya dengan petunjuk, dan agama yang benar, supaya Dia mempertinggikannya di atas setiap agama, walaupun orang-orang yang menyekutukan membencinya.

61:10. Wahai orang-orang yang percaya, mahukah Aku menunjukkan kamu perdagangan yang akan menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?

61:11. Kamu mempercayai Allah dan rasul-Nya, dan berjuang di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

61:12. Dia akan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu, dan memasukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Taman-Taman Adn; itulah kemenangan yang besar,

61:13. Dan yang lain yang kamu menyukai, pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat. Berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin (yang mempercayai)!

61:14. Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?” Pengikut-pengikut yang setia berkata, “Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.” Dan segolongan daripada Bani Israil percaya, dan segolongan tidak percaya. Maka Kami mengukuhkan orang-orang yang percaya terhadap musuh mereka, dan mereka menjadi orang-orang yang menguasai.


Daftar Surah