Surah 63

ORANG-ORANG MUNAFIK

(11 ayat)

 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih. 

63:1. Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu, mereka berkata, “Kami mempersaksikan bahawa kamu benar-benar rasul Allah.” Dan Allah mengetahui bahawa kamu adalah benar-benar rasul-Nya, dan Allah mempersaksikan bahawa orang-orang munafik adalah benar-benar pendusta-pendusta.

63:2. Mereka mengambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka menghalangi daripada jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa yang mereka buat.

63:3. Itu adalah kerana mereka telah percaya, kemudian mereka tidak percaya; maka satu penutup diletakkan pada hati mereka, lalu mereka tidak memahami.

63:4. Apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka mengagumkan kamu; dan apabila mereka berkata, kamu mendengar ucapan mereka dan mereka seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka menyangka bahawa tiap-tiap teriakan adalah terhadap mereka. Mereka adalah musuh; maka berhati-hatilah terhadap mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan!

63:5. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah, dan rasul Allah akan meminta ampun untuk kamu”, mereka memaling-malingkan kepala mereka, dan kamu melihat mereka memusingkan muka-muka mereka, dengan sombong.

63:6. Sama sahaja bagi mereka, sama ada kamu meminta ampun untuk mereka, atau kamu tidak meminta ampun untuk mereka; Allah tidak akan mengampuni mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.

63:7. Merekalah orang-orang yang berkata, “Janganlah kamu menafkahkan kepada mereka yang dengan rasul Allah, sehingga mereka bersurai”; namun begitu, kepunyaan Allah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik tidak memahami.

63:8. Mereka berkata, “Jika kita kembali ke Kota, orang-orang yang perkasa daripadanya akan mengusir orang-orang yang lebih hina”; namun begitu, kemuliaan adalah bagi Allah, dan bagi rasul-Nya, dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik tidak mengetahuinya.

63:9. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah harta-harta kamu dan jangan juga anak-anak kamu memesongkan kamu daripada mengingati Allah; sesiapa yang berbuat demikian itu, merekalah orang-orang yang rugi.

63:10. Nafkahkanlah daripada apa yang Kami merezekikan kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu, dan dia berkata, “Wahai Pemeliharaku, mengapa tidak Engkau menangguhkan aku kepada satu tempoh yang dekat, supaya aku bersedekah, dan jadilah aku termasuk orang-orang yang salih (baik).”

63:11. Tetapi Allah tidak akan menangguhkan mana-mana jiwa apabila tempohnya datang. Dan Allah menyedari apa yang kamu buat.