Surah 65
PERCERAIAN
(12 ayat)
Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.
65:1. Wahai Nabi, apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikanlah mereka apabila mereka sampai tempoh mereka. Hitunglah tempoh itu, dan takutilah Allah, Pemelihara kamu. Janganlah mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga membiarkan mereka keluar, kecuali mereka melakukan kesumbangan yang nyata. Itulah hudud (had-had) Allah; sesiapa mencabuli hudud Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak mengetahui mungkin setelah itu Allah mengadakan perkara yang baru.
65:2. Kemudian, apabila mereka telah sampai tempoh mereka, tahanlah mereka dengan baik, atau berpisahlah daripada mereka dengan baik. Dan adakanlah saksi, dua orang yang mempunyai keadilan di kalangan kamu; dan lakukanlah kesaksian kepada Allah Sendiri. Dengan ini ditegurkan sesiapa yang mempercayai Allah dan Hari Akhir. Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia membuatkan untuknya satu jalan keluar,
65:3. Dan Dia memberi rezeki kepadanya dari arah yang dia tidak menjangkakan. Dan sesiapa mempercayakan (tawakal) kepada Allah, Dia akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sesungguhnya Allah mengadakan ukuran bagi segala sesuatu.
65:4. Bagi perempuan-perempuan kamu yang berputus asa daripada haid selanjutnya, jika kamu ragu-ragu, maka tempoh mereka ialah tiga bulan, dan mereka yang tidak datang haid hingga kini. Dan mereka yang hamil, tempoh mereka ialah apabila mereka melahirkan kandungan mereka. Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan membuatkan untuknya, daripada perintah-Nya, yang mudah.
65:5. Itulah perintah Allah yang Dia menurunkan kepada kamu. Dan sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan melepaskannya daripada kejahatan-kejahatannya, dan Dia memberinya upah yang besar.
65:6. Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal, menurut kemampuan kamu, dan janganlah menekan mereka untuk menyempitkan keadaan mereka. Jika mereka mempunyai kandungan, nafkahkanlah mereka sehingga mereka melahirkan kandungan mereka. Jika mereka menyusukan untuk kamu, berilah mereka upah mereka, dan bermuafakatlah antara kamu dengan baik. Jika kamu berdua menemui kesukaran, maka perempuan yang lain akan menyusukannya.
65:7. Hendaklah orang yang mempunyai keluasan menafkahkan menurut keluasannya. Bagi orang yang rezekinya disempitkan kepadanya, maka hendaklah dia menafkahkan daripada apa yang Allah memberinya. Allah tidak membebani sesuatu jiwa melainkan dengan apa yang Dia memberikannya. Sungguh, Allah akan membuatkan, setelah kesukaran, yang mudah.
65:8. Berapa banyaknya bandar raya yang memandang rendah pada perintah Pemeliharanya dan rasul-rasul-Nya, kemudian Kami memperhitungkannya dengan perhitungan yang keras, dan mengazabnya dengan azab yang dahsyat!
65:9. Maka ia merasakan keburukan daripada urusan mereka, dan kesudahan urusannya adalah kerugian.
65:10. Allah menyediakan bagi mereka azab yang keras. Maka takutilah Allah, wahai orang-orang yang mempunyai minda! Orang-orang yang percaya, Allah telah menurunkan kepada kamu satu peringatan,
65:11. Seorang rasul dengan membacakan kamu ayat-ayat Allah yang menjelaskan, supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan dari kegelapan kepada cahaya. Sesiapa mempercayai Allah, dan membuat kerja-kerja kebaikan, Dia akan memasukkannya ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya, dan selamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan baginya rezeki yang baik.
65:12. Allah yang mencipta tujuh langit, dan daripada bumi yang serupa dengan mereka, di antara mereka Perintah turun, supaya kamu mengetahui bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu, dan bahawa Allah meliputi segala sesuatu dalam pengetahuan.