Surah 73

YANG BERSELIMUT

(20 ayat)

 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

73:1. Wahai kamu yang berselimut,

73:2. Berjaga-jagalah pada waktu malam, kecuali sedikit,

73:3. Separuh daripadanya, atau mengurangkan sedikit,

73:4. Atau menambahkan sedikit, dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar.

73:5. Sesungguhnya Kami akan melemparkan kepada kamu ucapan yang berat.

73:6. Sesungguhnya bahagian pertama malam lebih berat dalam pijakan, dan lebih tegak dalam ucapan.

73:7. Sesungguhnya pada siang hari kamu ada pekerjaan yang panjang.

73:8. Dan ingatlah nama Pemelihara kamu, dan abdilah kepada-Nya dengan pengabdian yang bersungguh-sungguh.

73:9. Pemelihara Timur dan Barat; tidak ada tuhan melainkan Dia; maka ambillah Dia sebagai Wakil.

73:10. Dan bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka mengatakan, dan tinggalkanlah mereka dengan tinggalan yang manis.

73:11. Tinggalkanlah Aku dengan orang-orang yang mendustakan, yang mewah, dan tangguhkanlah mereka sedikit,

73:12. Kerana di sisi Kami ada belenggu-belenggu, dan Jahim,

73:13. Dan makanan yang mencekik kerongkong, dan azab yang pedih,

73:14. Pada hari apabila bumi dan gunung-gunung bergentar, dan gunung-gunung menjadi timbunan pasir yang tercurah.

73:15. Sesungguhnya Kami mengutus kepada kamu seorang rasul sebagai saksi ke atas kamu, sebagaimana Kami mengutus kepada Firaun seorang rasul.

73:16. Tetapi Firaun menentang rasul itu, maka Kami mengambil dia dengan pengambilan yang kejam. 

73:17. Maka, jika kamu tidak percaya, bagaimanakah kamu akan bertakwa (menjaga diri) daripada satu hari yang membuatkan kanak-kanak beruban?

73:18. Kerananya langit terbelah, dan janji-Nya dilakukan.

73:19. Sesungguhnya ini Peringatan; maka sesiapa yang menghendaki mengambil kepada Pemeliharanya satu jalan.

73:20. Pemelihara kamu mengetahui bahawa kamu berjaga-jaga hampir dua per tiga malam, atau separuhnya, atau satu per tiganya, dan segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah menentukan malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak akan menjumlahkannya, dan Dia menerima taubat kamu. Maka bacalah daripada al-Qur’an semudah yang dapat. Dia mengetahui bahawa antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi, mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah daripadanya semudah yang dapat. Dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah kepada Allah satu pinjaman yang baik. Apa sahaja kebaikan yang kamu mendahulukan untuk jiwa kamu, kamu akan mendapatinya di sisi Allah yang lebih baik, dan upah yang lebih besar. Dan mintalah ampunan Allah; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.


Daftar Surah