Surah 90

NEGERI / TANAH

(20 ayat)

 

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

90:1. Tidak! Aku bersumpah dengan negeri (tanah) ini,

90:2. Dan kamu seorang penumpang di negeri ini.

90:3. Demi yang memperanakkan, dan yang dia beranakkan,

90:4. Sesungguhnya, Kami mencipta manusia dalam kesusahan.

90:5. Apa, adakah dia menyangka bahawa tiada sesiapa yang berkuasa terhadapnya,

90:6. Dengan berkata, "Aku telah menghabiskan harta yang banyak"?

90:7. Apa, adakah dia menyangka bahawa tiada sesiapa yang melihatnya?

90:8. Tidakkah Kami membuatkan baginya dua mata, 

90:9. Dan satu lidah, dan dua bibir,

90:10. Dan memberinya petunjuk di atas dua jalan?

90:11. Namun begitu, dia tidak mendaki pendakian,

90:12. Dan tahukah kamu apakah ia pendakian?

90:13. Memerdekakan seorang hamba,

90:14. Atau memberi makan pada hari kelaparan,

90:15. Kepada anak yatim kaum kerabat yang dekat,

90:16. Atau seorang miskin dalam penderitaan. 

90:17. Kemudian dia termasuk antara orang-orang yang percaya, dan saling berwasiat untuk bersabar, dan saling berwasiat untuk menjadi yang berpengasihan.

90:18. Mereka itulah Orang-Orang Kanan.

90:19. Dan orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Kami, merekalah Orang-Orang Kiri,

90:20. Di atas mereka, Api yang menudungi.


Daftar Surah