Keharusan Berdusta

 

Bahagian pertama isi kandungan surat di bawah dipadam, dan tinggalkan isi yang jadi perkara untuk dibincang di halaman ini. Harap maaf.



From: azwar69@
Subject: Keharusan Berdusta...Darurat
Date: Tuesday, October 07, 2003 11:50 AM

Salam,

<dipadam>

Walaupun Islam telah mengharamkan perbuatan dusta atau bohong, dan mejadikannya satu dari dosa yang paling hina dan keji, namun Islam telah mengecualikan dari itu dalam beberapa keadaan; iaitu untuk kepentingan atau muslihat umum, seperti dusta pada masa peperangan dengan musuh, atau untuk mendamaikan antara dua yang bersengketa, sama ada antara orang perseorangan, atau antara dua kumpulan atau antara dua kaum, atau bangsa dan negara 

Ini menunjukkan fleksibiliti malah dalam Islam contohnya daging babi itu halal dalam keadaan darurat dan banyak lagi perkara-perkara yang haram tetapi dalam keadaan darurat dibenarkan sehingga kita dibenarkan melafaz kita akan keluar dari Islam jika kita dipaksa buat demikian asalkan hati kita tidak berkata begitu.

Harap dapat kiranya saudara maklumkan pada saya ayat-ayat Al Quran yang menyentuh situasi Darurat ini.

Terima Kasih


Salamun alaikum. Terima kasih.

Kami berpendapat bahawa dosa yang paling hina dan keji dalam dusta yang dilakukan seseorang adalah berdusta terhadap Allah. Seperti orang yang mengatakan "Ini halal, dan ini haram" yang tidak dihalal atau diharamkan Allah. Allah mengingatkan tentang kewujudan dusta ini dengan firman bermaksud,

"Dan jangan kata apa yang lidah kamu terangkan dengan dusta, 'Ini halal, dan ini haram,' supaya kamu ada-adakan dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah tidak akan beruntung." (16:116)

Dusta lain juga didapati dalam "Islam". Lazimnya mereka yang ada-adakan dusta terhadap Allah adalah mereka yang menganggap diri mereka suci. Mereka juga tergolong dalam kumpulan orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Firman-Nya,

"Perhatikan bagaimana mereka (yang menyucikan diri-diri mereka, atau, yang menganggap diri mereka suci) ada-adakan dusta terhadap Allah; dan cukuplah itu sebagai dosa yang nyata." (4:50)

"Mereka hanya ada-adakan dusta, yang tidak percayai ayat-ayat Allah, dan mereka itu, merekalah pendusta-pendusta." (16:105)

Orang-orang seperti itu adalah sebenarnya penipu. Terhadap mereka Allah telah mengingatkan hamba-hamba-Nya yang lain supaya jangan membiarkan diri mereka ditipu oleh penipu. Firman-Nya,

"dan janganlah sekali-kali penipu dapat menipu kamu terhadap Allah." (31:33)

Berat juga dalam gejala dusta adalah menganggap ayat-ayat Allah sebagai dusta, atau, tidak benar. Lalu orang-orang yang terlibat tidak percayainya. Firman-Nya,

"orang-orang tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)

Dengan pengajaran dusta seperti dinyatakan, kanak-kanak dapat dijauhkan daripada tabiat suka berdusta. Apakah lagi untuk berdusta terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya!

Selanjutnya, kanak-kanak harus diajar supaya menjauhi ucapan dusta, bukan menggalakkan mereka dengan tajuk seperti sunat dalam dusta, dan sebagainya. Ucapan dusta harus dijauhi sama sekali! Firman-Nya,

"dan jauhilah ucapan dusta," (22:30).

Berdusta tidak digemari Allah. Dia turut melarang daripada mencari rezeki dengannya. Firman-Nya,

"Adakah kamu buatkan ia rezeki kamu untuk berdusta?" (56:82)

Dusta atau bohong tidak seharusnya didengarkan. Allah beri satu contoh, iaitu orang-orang yang tidak datang kepada Nabi, dan hanya mendengar cakap orang lain sahaja, dan mengelirukan makna-makna perkataan seraya menyuruh orang lain menerima apa yang diberinya pula. Firman-Nya,

"dan daripada orang-orang Yahudi, yang dengar yang dusta, yang dengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan kelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberi, maka berhati-hatilah kamu.'" (5:41)

Dengan itu, kanak-kanak diajar supaya tidak menerima bulat-bulat apa yang disampaikan orang, seperti mengenai Nabi atau agama. Itu agar mereka tidak ditipu. Untuk agama mereka harus diajar supaya merujuk kepada al-Furqan, dan untuk yang lain, misalnya makna perkataan, mereka merujuk kepada kamus.

Bukan sahaja dusta atau bohong itu tidak didengarkan, malah, tidak dimenyaksikan juga. Larangan Allah yang tersebut berbunyi,

"Dan orang-orang yang tidak saksikan yang dusta, dan apabila mereka melalui percakapan yang sia-sia, mereka melaluinya dengan mulia," (25:72)

Dan akhirnya, bersumpah bohong. Allah menyebut mengenai amalan yang tidak digemari-Nya itu dalam firman-Nya yang bermaksud,

"dan mereka bersumpah bohong, sedang mereka mengetahuinya." (58:14)

Maka jelaslah sudah pengajaran mengenai dusta atau bohong di dalam al-Qur'an. Perbuatan itu salah.

Kembali kepada kandungan surat di atas. Penulisnya telah menyatakan "Islam" telah mengecualikan sesetengah bohong seperti "untuk mendamaikan antara dua yang bersengketa, sama ada antara orang perseorangan, atau antara dua kumpulan atau antara dua kaum, atau bangsa dan negara".

Seperti yang sudah maklum, pengecualian seperti itu tidak diajar dalam agama Islam ajaran Allah. Bagi keadaan begitu, adalah lebih baik berkata benar, kerana pembohongan yang dilakukan boleh berkesudahan sebaliknya lalu jadikan keadaan lebih buruk. Mungkin juga perbuatan bersumpah bohong akan dilakukan dalam pembohongan tersebut.

Sehubungan itu, Allah ada beri petunjuk, tetapi bagi dua golongan orang-orang mukmin yang berperang, berbunyi:

"Jika dua golongan orang-orang mukmin berperang, betulkanlah antara mereka; kemudian, jika satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh, sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika ia kembali maka betulkanlah antara mereka dengan adil, dan berlakuadillah. Sesungguhnya Allah suka orang-orang yang adil." (49:9)

Allah menyuruh membetulkan dan berlaku adil, bukan berbohong.

Bagi penulis surat, pembohongan tersebut adalah "fleksibilti .... dalam Islam". Selanjutnya beliau beri contoh iaitu "daging babi itu halal dalam keadaan darurat".

Kami tidak mengatakan beliau bersalah, cuma, ingin mengingatkan supaya berhati-hati apabila menggunakan perkataan "halal" bagi sesuatu yang diharamkan Allah. Kerana yang haram tetap haram. Sila lihat contoh ayat yang berkaitan, berbunyi:

"sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan dan tidak menderhakai, maka tidaklah berdosa kepadanya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:173)

Kami tidak dapati perkataan "halal" dalam ayat Allah di atas, tetapi hanya "tidaklah berdosa". Ini bermaksud, daging babi yang diharamkan Allah untuk dimakan, tetapi jika dimakan dalam keadaan terpaksa dan sebagainya, adalah tidak berdosa pula. Ia tetap haram, tapi dosanya tiada.

Seperkara lagi, oleh kerana terdapat kalimat "Allah Pengampun" pada ayat itu, maka kami berpendapat bahawa setelah makan daging babi dalam keadaan tersebut, adalah baik bagi pemakan untuk meminta ampun kepada-Nya. Namun, itu hanya pendapat sahaja.

Kembali kepada dusta. Penulis surat mengatakan ia dibolehkan dalam Islam untuk peperangan dengan musuh. Untuk itu Islam tidak perlu ajar. Orang Islam yang menggunakan akal akan menggunakannya dengan bijaksana tanpa diajar oleh orang agama. Orang-orang yang tidak menerima ajaran Islam pun tahu, dan mungkin mereka lebih mahir dalam mengadakan penipuan tersebut.

Memang dalam perang ada pengecualian. Seperti membunuh orang yang dilarang keras oleh Allah. Dia didapati bukan sahaja menyuruh membunuh musuh dalam peperangan, malah, diajar-Nya pula di bahagian mana harus dipukul. Lihat ayat yang berikut:

"maka pukullah di atas leher, dan pukullah tiap-tiap jari mereka." (8:12)

Selanjutnya, pembohongan seperti kata penulis surat "kita dibenarkan melafaz kita akan keluar dari Islam jika kita dipaksa buat demikian asalkan hati kita tidak berkata begitu" memang diajar oleh Islam sebenar. Ayat-ayat al-Qur'an yang berkaitan berbunyi:

"Sesiapa yang tidak percaya kepada Allah sesudah keimanannya - kecuali orang yang dipaksa, dan hatinya tenteram dalam keimanannya - tetapi sesiapa yang dadanya dilapangkan dalam ketidakpercayaan, maka kepada merekalah kemurkaan daripada Allah, dan bagi mereka, azab yang besar." (16:106)

"Kemudian berkata seorang lelaki yang mukmin daripada keluarga Firaun yang sembunyikan keimanannya, 'Apa, adakah kamu akan bunuh seorang lelaki kerana dia berkata, 'Pemeliharaku ialah Allah' walaupun dia datangkan kepada kamu bukti-bukti yang jelas daripada Pemelihara kamu?'" (40:28)

Sedangkan berbohong tentang keimanan diizinkan Allah dalam darurat, apatah lagi berbohong dalam peperangan yang mengguna banyak tipu helah!

Pengecualian dalam lakukan dusta tidak diajar Allah di dalam al-Qur'an. Tidak ada ajaran bohong sunat seperti perkara yang telah dibincang, atau kepada isteri iaitu ibu kepada anak-anak. Kanak-kanak tidak seharusnya diajar tajuk itu kerana ia akan membuka minda mereka untuk buat kebohongan selanjutnya. Takut nanti apabila sampai umur dewasa, atau tua, pakaian suka berbohong, termasuk terhadap Allah dan agama, tidak dapat ditanggalkan lagi.


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman