Beban Orang Lain
From: "mohd fared"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: beban dalam ayat 29:13
Date: Friday, April 08, 2005 9:43 AM
Salam,
29:13. Sungguh, mereka akan memikul beban-beban mereka, dan beban-beban yang lain bersama beban-beban mereka, dan pada Hari Kiamat, mereka pasti akan ditanya mengenai apa yang mereka mengada-adakan.Y.Ali: They will bear their own burdens, and (other) burdens along with their own, and on the Day of Judgments they will be called to account for their falsehoods.
Pickthal: But they verily will bear their own loads and other loads beside their own, and they verily will be questioned on the Day of Resurrection concerning that which they invented.
Shakir: And most certainly they shall carry their own burdens, and other burdens with their own burdens, and most certainly they shall be questioned on the resurrection day as to what they forged.
Saya ingin mengetahui pendapat saudara maksud beban dalam ayat tersebut, adakah ia bermaksud dosa? Jika ia bermaksud dosa maka ia bercanggah dengan ayat 29:12, 35:18, 39:7, 53:38, 53:39. Pada pendapat saya, beban disitu adalah beban - syariat Islam dalam Alquran (koleksi hadis yang terbaik) beban-beban lain - syariat Islam selain dalam Alquran (koleksi hadis himpunan manusia) yang mereka cipta sendiri.
Ayat ini juga bagai menyokong pendapat diatas,
39:41. Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu Kitab untuk manusia dengan yang benar. Sesiapa yang mendapat petunjuk hanyalah mendapat petunjuk untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, dia sesat hanyalah terhadapnya sendiri; kamu bukanlah seorang wakil bagi mereka.
Salamun alaikum, saudara.
Terima kasih atas undangan untuk berselisih pendapat (senyum). Namun, dalam perselisihan ini kami tetap bersetuju, seperti saudara percaya, bahawa ayat-ayat Allah tidak bercanggah dengan satu sama lain. Cuma kerana berlainan pendekatan terhadap ayat-ayat di atas yang menyebabkan perselisihan pendapat di antara kita.
Yang menimbulkan perselisihan ialah mengenai perkataan 'beban' (29:13) yang kami bersetuju diertikan kepada "dosa", tetapi tidak dipersetujui oleh pihak saudara. Kerana itu frasa "memikul .... beban-beban yang lain" di dalam ayat tersebut, menurut pendapat saudara, akan menjadi bercanggah dengan ayat-ayat yang menyatakan seseorang tidak memikul beban orang lain, seperti dalam ayat yang terdahulu (29:12).
Untuk kejelasan kami turunkan ayat-ayat berkenaan:
29:12. Orang-orang yang tidak percaya berkata kepada orang-orang yang percaya, "Ikutlah jalan kami, dan biarlah kami memikul pelanggaran-pelanggaran kamu", padahal mereka tidak boleh memikul sesuatu, walaupun pelanggaran-pelanggaran mereka sendiri; mereka sebenarnya pendusta-pendusta.
29:13. Sungguh, mereka akan memikul beban-beban mereka, dan beban-beban yang lain bersama beban-beban mereka, dan pada Hari Kiamat, mereka pasti akan ditanya mengenai apa yang mereka mengada-adakan.
Ayat 29:12 menyatakan bahawa pelanggaran tidak dipikul oleh orang-orang yang tidak percaya, yang mengajak orang-orang yang percaya supaya mengikuti jalan mereka. Bagi kami, ia tidak dipikul di dunia. Kerana orang-orang yang mengajak didapati hidup dengan dihormati, dengan senang, kaya-raya, dan tidak dihukum.
Beban (yang tidak disebut di dalam ayat tadi) disebut pula di dalam ayat yang menyusul (29:13) dan ia selanjutnya didapati dipikul pada Hari Kiamat. Maka pelanggaran mereka hanya menjadi beban pada Hari Kiamat, dan dipikul pada hari itu, tetapi tidak di dunia.
Tambahan pula, ayat itu menyatakan mereka akan ditanya mengenai apa yang mereka ada-adakan lalu menjadikannya beban lain yang dipikul pada Hari Kiamat.
Sama seperti keadaan orang-orang yang sesat lagi menyesatkan (orang-orang lain). Satu contoh ayat berbunyi,
"dan janganlah mengikuti keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan menyesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul.'" (5:77)
Tidak mungkin kaum yang sesat itu akan terlepas daripada kesalahan mereka menyesatkan orang lain. Mereka akan ditanya mengenainya.
Keadaan umpama itu, sebenarnya, disebut di dalam sebuah ayat yang dijadikan rujukan di dalam e-mel di atas, berbunyi,
"Bahawa orang yang dibebankan tidak memikul beban orang lain, Dan bahawa tiadalah bagi manusia melainkan apa yang dia mengusahakan," (53:38-39).
"Apa yang dia mengusahakan" tentu termasuk usahanya yang menyesatkan orang lain. Tetapi beban orang lain tidak dipikulnya.
Sehubungan itu, kami petik satu senario di akhirat, yang menayangkan kutukan orang-orang yang disesatkan ke atas orang-orang yang menyesatkan. Ayat berkaitan berbunyi,
"'Wahai Pemelihara kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, maka berilah mereka azab dua kali ganda daripada Api.' Berkata, 'Bagi masing-masing dua kali ganda, tetapi kamu tidak mengetahui.'" (7:38)
Dua golongan tersebut menerima azab yang sama. Orang-orang yang menyesatkan menerima azab dua kali ganda mungkin disebabkan kesesatan yang ada pada diri mereka dan perbuatan mereka menyesatkan orang lain.
Sementara orang-orang yang disesatkan, yang turut menerima azab dua kali ganda, mungkin kerana mengambil orang yang menyesatkan sebagai sekutu Allah (dalam petunjuk), atau sebagainya, dan kerana tidak menggunakan akal, tidak mendengar semua pendapat, tidak membaca al-Qur'an, atau lain-lain.
Termasuk apa yang dimaksudkan dengan seseorang tidak memikul beban orang lain ialah beban ketidakpercayaan setelah dia memberi amaran. Bukti bagi kenyataan tersebut dapat dibaca daripada keterangan sebuah lagi ayat yang disebut di dalam e-mel di atas, berbunyi:
"Orang yang memikul beban tidak akan memikul beban, beban orang lain; dan jika orang yang bebannya berat menyeru supaya dipikul, tiadalah dipikul sesuatu daripadanya, walaupun dia sanak saudara yang dekat. Kamu hanya memberi amaran kepada orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dalam keadaan ghaib, dan melakukan solat; dan sesiapa yang menyucikan dirinya, hanyalah menyucikan untuk jiwanya sendiri. Kepada Allah kepulangan." (35:18)
Maksud "orang yang dibebankan" itu pula, pada hemat kami, ialah dia yang dibebankan dengan (atau menerima) ayat-ayat Allah. Dia tidak memikul beban orang yang sesat setelah dia memberi amaran dengannya.
Serupa keadaan Nabi Lut yang tidak memikul beban isterinya, atau Nabi Nuh yang tidak memikul beban anak lelaki dan isterinya, atau Nabi Muhammad yang tidak memikul beban Abu Lahab berserta isterinya.
Bukan itu sahaja, seperti Nabi, seseorang tidak pula menjadi wakil bagi orang lain yang mendapat petunjuk, dan tidak juga bagi orang yang sesat. Ayat yang menjelaskan turut disalin di dalam e-mel di atas, di bahagian hujung, dan ia adalah seperti berikut (kurungan dan perkataan di dalamnya beserta beberapa perkataan yang dikasarkan adalah tambahan daripada kami untuk menjadi lebih jelas):
39:41. Sesungguhnya Kami menurunkan kepada kamu (Muhammad) Kitab untuk manusia dengan yang benar. Sesiapa yang mendapat petunjuk hanyalah mendapat petunjuk untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, dia sesat hanyalah terhadapnya sendiri; kamu bukanlah seorang wakil bagi mereka (yang mendapat petunjuk dan yang sesat).
Lantaran itu nyatalah, seperti yang dikatakan oleh pengirim e-mel di atas, bahawa pada ayat-ayat Allah tidak terdapat sebarang percanggahan.
11 April 2005
Terkini Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles