"Aku diberitahu" (66:3)

 

 

From: "Ashraff ali"
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Saya ada sedikit kemuskilan
Date: Thursday, March 10, 2005 12:58 PM

Salamun Aalaikum sdr, 
semoga sdr sihat selalu

Saya ada satu soalan;

66:3. Dan apabila Nabi memberitahu secara rahsia kepada seorang daripada isteri-isterinya mengenai sesuatu hadis; dan kemudian, apabila dia (isteri) memberitahukannya, dan Allah memberitahunya kepada dia (Nabi), dia (Nabi) memberitahu sebahagian daripadanya, dan memalingkan sebahagian daripadanya; kemudian, apabila dia memberitahunya (isteri) daripadanya, dia (isteri) berkata, “Siapakah yang memberitahu ini kepada kamu?” Dia berkata, “Aku diberitahu oleh Yang Mengetahui, Yang Menyedari.”

Saya kurang faham dengan situasi ayat ini. Isteri Nabi menanyakan siapa yang memberitahu ini. Nabi menjawab "“Aku diberitahu oleh Yang Mengetahui, Yang Menyedari.”

Persoalan saya. Apakah yang diberitahu Allah dan adakah ayat yang menyatakan "Apa" yang diberitahu oleh Allah itu. Jika Nabi hanya menerima Al-Quran sebagai wahyu tentunya ayatNya ada didalam Al-Quran kan? Maaf bertanya. saya keliru. Terima Kasih.

Salamun alaikum,

Terima kasih. Maaf terlewat memberi jawapan di sini.

Pada hemat kami, ayat tersebut menceritakan Nabi memberitahu suatu rahsia kepada salah seorang daripada isteri-isterinya. Kemudian isteri itu memberitahu isteri Nabi yang lain pula. Allah memberitahu Nabi tentang rahsia yang telah dibocorkan itu.

Apa yang Nabi beritahu adalah sebahagian daripada hadis (berita) yang rahsia itu. Apabila Nabi memberitahunya, baginda telah ditanya oleh isterinya dengan soalan yang Nabi menjawab “Aku diberitahu oleh Yang Mengetahui, Yang Menyedari.”

Sayugia diingat iaitu perkataan 'wahyu' tidak diguna di dalam ayat tadi, tetapi hanya 'memberitahu' dan 'diberitahu'. 

Dalam situasi seperti ini, andaikata berita tersebut didapati daripada seorang manusia lain, namun memang wajar bagi Nabi untuk mengatakan ia diberitahu oleh Tuhan.

Serupa dengan suatu peristiwa semasa tsunami tidak lama dahulu, apabila seorang kanak-kanak memberitahu keluarganya bahawa tsunami akan tiba setelah dilihatnya air laut surut amat jauh dari pantai. Kanak-kanak itu dan keluarganya terselamat daripada bencana yang melanda. Sebenarnya, Tuhanlah yang memberitahu keluarga kanak-kanak tersebut, melaluinya.

Oleh kerana bukan wahyu, lagi tidak berkaitan dengan petunjuk bagi manusia, maka "apa" atau "rahsia" sebenar di situ tidak perlu dimuatkan di dalam al-Qur'an. Kerana, seperti yang sedia maklum, al-Qur'an adalah sebuah buku (yang memberi) petunjuk ke jalan lurus.

Mesej sebenar, pada hemat kami lagi, adalah mengenai menyimpan rahsia. Terutamanya, atau termasuk, rahsia yang dikhabarkan oleh suami.

Perbuatan dua isteri Nabi yang terlibat, selepas itu, dikatakan menentang baginda. Akibatnya pula dijelaskan di dalam ayat-ayat yang menyusuli ayat tadi, berbunyi,

66:4. Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, hati kamu pasti condong, tetapi jika kamu bantu membantu terhadap dia, maka Allah, Dia Pelindungnya, dan Jibril, dan yang salih di kalangan orang-orang mukmin; dan sesudah itu, malaikat-malaikat adalah penyokong-penyokongnya.

66:5. Mungkin, jika dia menceraikan kamu, Pemeliharanya akan menukarkan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang muslim, yang mukmin, yang patuh, yang bertaubat, yang warak, yang berpergian, yang janda, dan yang dara.

Daripada ayat kedua di atas dapat difahamkan tentang adanya perempuan-perempuan lain, pada masa itu, yang lebih baik daripada dua isteri Nabi yang terlibat. Mungkin itu merupakan satu lagi pengajaran daripada ayat 66:3 yang menjadi tajuk perbincangan di sini.

22 April 2005

Senarai pengirim E-Mail


Terkini   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman