Hadis Lagi! - Respon II

 

Sejurus selepas Hadis Lagi! - Respon diterbitkan seorang hamba Allah telah menulis kepada kami untuk membela rakan sefahamannya. E-mel beliau diturunkan di bawah ini tanpa dibuat sebarang perubahan pada kandungan, kecuali fontnya sahaja.

 

From: "Rosli" <melan@streamyx.com>
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Laman e-bacaan
Date: Saturday, April 23, 2005 12:41 PM

Assalamu'alaikum;

Saya hanya nak beritau bahawa laman yang saudara & rakan-rakan sediakan amatlah merbahaya kepada semua dan generasi Islam se Malaysia...

Jangan dok gelak, senyum dan sengih jika orang lain tegur.

Harapan saya kepada anda semua... bacalah Al-Quran dengan cara yang diajar oleh Jibrail kepada Nabi s.a.w

Cara korang nie...  bagi orang bodo macam aku nie adalah ... TAK BETUL ...SESAT...LAGI sesatkan...

Ambillah nasihat saya ni, akhirat nanti insyaAllah kita jumpa....

Wassalamu'alaikum.

Salam,

Teringat zaman kanak-kanak dahulu, semasa takut kepada anjing-anjing "paria" yang berkeliaran, lalu datang orang-orang beri nasihat supaya membaca "shummun bukmun 'umyun fahum laa yarji'uuna" apabila anjing-anjing itu menghampiri dan menyalak. "Jampi" itu kononnya dapat menghalau mereka.

Akan tetapi, ia dilupakan setelah menjadi besar sedikit dan pandai membaling batu yang kena tepat pada sasaran.

Jampi tersebut tidak diketahui maknanya sehingga 30 tahun kemudian ketika mengkaji kandungan al-Qur'an. Ketika itu barulah diketahui maknanya iaitu,

"Pekak, bisu, buta; maka mereka tidak akan kembali." (2:18)

Untuk pengetahuan saudara, yang dikatakan pekak, bisu, dan buta itu adalah orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Mereka dikatakan pekak kerana tidak mendengar ayat-ayat Tuhan, bisu kerana tidak menyebut ayat-ayat Tuhan, dan buta kerana tidak melihat ayat-ayat Tuhan. Orang-orang seperti itu tidak akan kembali untuk mempercayai ayat-ayat Tuhan.

Sesungguhnya saudara telah ditemukan dengan ayat-ayat Allah semasa membaca Hadis Lagi! Tapi saudara ...

Seterusnya saudara mengatakan suatu yang memeranjatkan berbunyi "bacalah Al-Quran dengan cara yang diajar oleh Jibrail kepada Nabi s.a.w"! Bermaksud al-Qur'an yang kami baca bukan yang diberi kepada Nabi. Inilah kali pertama kami dilontar dengan tohmah demikian.

Untuk membetulkan keadaan, sila semak bacaan dan terjemahan kami, ke atas ayat 54 surah Al An'aam berbunyi, 

"Wa idzaa (dan apabila) 
jaa-aka (datang kepadamu [Muhammad]) 
-lladziina
(orang-orang yang) 
yu' minuuna
([mereka] percaya/beriman) 
bi-aayaatinaa
(kepada ayat-ayat Kami) 
faqul
(maka katakanlah) 
salaamun
(kesejahteraan) 
'alaikum
(ke atas kamu)."

Sekiranya tidak ada kesilapan (setelah maafkan transliterasi) maka bacaan kami tentulah seperti yang diajar kepada Nabi Muhammad. 

Tetapi menurut saudara Jibril ajar Nabi (cara beri salam) yang lain pulak, berbunyi "Assalamu'alaikum"!

Justeru, mungkin tidak keterlaluan kalau kami bertanya, siapakah yang pekak, bisu dan buta dalam hal ini? Kami, atau, saudara? 

Maafkan kami bertanya lagi, siapa pula yang mendustakan ayat Tuhan tersebut? 

Sementara itu, saudara sangka saudara betul, tidak sesat lagi menyesatkan, dengan berkata "Ambillah nasihat saya ni, akhirat nanti insyaAllah kita jumpa...."

Maaflah saudara! Kami tidak dapat terima nasihat saudara yang saling tak tumpah serupa nasihat yang diberi semasa kami kecil dahulu, dan lagi, tidak pula menyuruh ikut apa yang Nabi diajar dengan sebenarnya. Sebaliknya, saudara kelihatan menyuruh kami tidak percaya dan mendustakannya.

Dan, maaf lagi, kerana kami tidak mahu berjumpa dengan saudara di akhirat nanti. Kami sedang berusaha agar tidak berjumpa dengan saudara, dengan mencuba sedaya upaya untuk percaya dan tidak mendustakan ayat-ayat Tuhan. 

Sebab kami tidak mahu berjumpa dengan saudara, kalau saudara tidak kembali, dijelaskan di dalam ayat Tuhan yang berikut,

"Dan, orang-orang tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)

Di sini, kami ingin menyatakan bahawa kami tidak berniat untuk membahayakan umat Islam di Malaysia. Kami yakin ayat-ayat Tuhan akan membawa kesejahteraan kepada mereka, baik di dunia mahupun di akhirat.

Yang membahayakan adalah si anjing paria itu, yang ke atasnya dibaca jampi yang padan baginya.

Saudara juga turut tidak akan membahayakan sebab saudara bukan seorang bodoh, dan akan kembali, dengan izin Allah.


29 April 2005
 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman