Orang-Orang tidak tahu

 

From: Abd. Aziz
Subject: Orang-orang yang tidak tahu
Date: Monday, June 13, 2005 11:41 AM

Salamun'alaikum. 

Saya mendoakan agar saudara serta keluarga berada dalam kasih dan rahmat Allah jua.

Saudara yang dikasihi,
Jarang-jarang kita terjumpa ayat mengenai orang-orang yang tidak tahu disebut dan dalam ayat ini mereka disamakan dengan orang Yahudi dan orang Kristian. Orang kafir, munafik dan orang tidak percaya sangat jelas dalam kebanyakan ayat. Orang-orang yang tahu dan berdusta serta sembunyikan ayat-ayat Allah boleh dikatogarikan sebagai orang-orang tidak percaya dan orang-orang yang munafik. Munafik adalah kerana mereka mengetahui dan sembunyikan kebenaran kemudian mereka mencari yang lain untuk mengelirukan sedang mereka mengetahuinya. 

2:113. Orang-orang Yahudi berkata, "Orang-orang Kristian tiada sesuatu", dan orang-orang Kristian berkata, "Orang-orang Yahudi tiada sesuatu"; dan mereka baca al-Kitab. Demikianlah juga orang-orang yang tidak tahu berkata, serupa ucapan mereka. Allah akan hakimkan antara mereka pada Hari Kiamat mengenai apa yang mereka selisihkan.

Adakah orang-orang yang tidak tahu ini adalah golongan pengikut buta "the blind followers" Saya fikir kumpulan orang-orang tidak tahu ini adalah golongan yang paling ramai, dan mereka selesa dengan kejahilan mereka. Mereka menyerahkan al-Quran ini kepada golongan elite agama termasuk ulama (habr) dan mengatakan bahawa mereka inilah akan menanggung dosa dan menerima akibat sekiranya mereka ini berdusta. Selain dari itu, mereka berkata " takkan lah mereka ini nak berbohong, berdusta dan sembunyikan kebenaran" 

Ini pendapat saya sahaja. Saya melihat majoriti masyarakat orang yang mengaku Islam ini, tidak tahu dan juga tidak memahami. Apakah mereka ini yang dimaksudkan oleh Allah dalam ayat ini? 

Saya harap saya dapat berkongsi pandangan saudara mengenai perkara ini.

Salam
Abd. Aziz


Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara Abd. Aziz. Kepadanya dan keluarganya kami juga mengharapkan semoga Allah melimpahkan kasih sayang-Nya yang berkekalan.

Setelah mendiamkan diri seperti ubi buat seketika, beliau tiba-tiba timbul dengan suatu pandangan yang menarik berkenaan ayat 2:113. Pendapat beliau mengenai orang-orang yang tidak tahu yang disebut di dalam ayat tersebut sungguh tidak diduga, dan kami bersetuju dengannya.

Sepintas lalu, kami nampak orang-orang yang tidak tahu di situ seperti mereka yang tidak membaca al-Kitab, iaitu bertentangan dengan orang-orang Kristian dan Yahudi yang dikatakan telah membacanya dan sepatutnya berkata seperti orang-orang yang tahu. Tetapi mereka berkata seperti orang-orang yang tidak tahu. Untuk menyenangkan rujukan, ayat tersebut diturunkan sekali lagi di sini:

"Orang-orang Yahudi berkata, 'Orang-orang Kristian tiada sesuatu', dan orang-orang Kristian berkata, 'Orang-orang Yahudi tiada sesuatu'; dan mereka baca al-Kitab. Demikianlah juga orang-orang yang tidak tahu berkata, serupa ucapan mereka. Allah akan hakimkan antara mereka pada Hari Kiamat mengenai apa yang mereka selisihkan." (2:113)

Pandangan saudara Abd. Aziz bahawa orang-orang yang tidak tahu itu adalah mereka yang berada di dalam golongan pengikut buta, pada hemat kami, merupakan satu langkah di depan. Syabas! Kerana pengikut buta lazimnya terdiri daripada orang-orang yang tidak membaca al-Kitab.

Keterangan lanjut mengenai pengikut buta yang beliau utarakan, pada hemat kami lagi, sukar disangkal oleh mana-mana pihak kerana kebenaran yang wujud di dalamnya.

Izinkan kami menyambung sedikit lagi tentang orang-orang Kristian, Yahudi, dan mereka yang dikatakan tidak tahu tersebut. Mungkin apa yang kesemua mereka tidak tahu ialah mengenai kebenaran daripada Allah berbunyi:

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62)

Ayat tersebut telah dibincang di dalam e-mel berjudul Ayat 2:62.

Kembali memperkatakan mengenai orang-orang yang tidak tahu. Di dalam ayat-ayat al-Qur'an yang lain mereka dikatakan tidak tahu atas beberapa sebab lain pula. Misalan, tidak diberi al-Kitab. Firman-Nya,

"Dan antara mereka yang ummiy (yang tidak diberi Kitab), tidak tahu al-Kitab melainkan hanya dengan khayalan, dan semata-mata sangkaan." (2:78)

Atau, lemparkan Kitab Allah setelah menerimanya. Firman-Nya,

"Apabila datang kepada mereka seorang Rasul daripada Allah, mengesahkan apa yang bersama mereka, segolongan daripada mereka yang diberi Kitab melemparkan Kitab Allah ke belakang punggung mereka, seolah-olah mereka tidak tahu." (2:101)

Atau, kerana hati mereka tidak yakin. Firman-Nya,

"Dan orang-orang yang tidak tahu berkata, 'Mengapa Allah tidak berkata-kata kepada kami? Mengapa satu ayat (isyarat) tidak datang kepada kami?' Demikianlah berkata orang-orang sebelum mereka, seperti ucapan mereka ini; hati mereka serupa. Namun demikian, Kami jelaskan ayat-ayat bagi kaum yang yakin." (2:118)

Atau, kerana mereka ikut bapa-bapa mereka yang tidak tahu. Firman-Nya,

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Marilah kepada apa yang Allah turunkan, dan Rasul,' mereka berkata, 'Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati pada bapa-bapa kami.' Apa? Meskipun bapa-bapa mereka tidak tahu sesuatu, dan mereka tidak dapat petunjuk?" (5:104)

Atau, kerana sekutukan Allah seperti ikut perkataan-perkataan yang datang selain daripada Allah. Firman-Nya,

"Dan jika seseorang daripada orang-orang yang sekutukan minta perlindungan kamu, berilah dia perlindungan sehingga dia dengar perkataan-perkataan Allah; kemudian kamu sampaikan dia di tempat yang aman baginya. Itu kerana mereka adalah kaum yang tidak tahu." (9:6)

Atau, akhirnya, kerana mereka tidak percaya lalu hati mereka ditutup oleh Allah. Firman-Nya,

Sesungguhnya Kami buatkan untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan; dan jika kamu datangkan kepada mereka satu ayat, orang-orang tidak percaya pasti akan berkata, 'Tiadalah kamu, melainkan orang-orang yang buat kepalsuan.' Begitulah Allah tutup hati orang-orang yang tidak tahu." (30:58-59)

Demikianlah beberapa faktor yang menyebabkan manusia jadi tidak tahu tentang kebenaran.

Dengan itu juga pandangan kami untuk dikongsi bersama berakhir. Betulkanlah mana yang tidak kena. Sebagai penutup, diturunkan dua ayat Tuhan yang melarang kita ikut orang-orang yang tidak tahu, berbunyi:

"Berkata, 'Seruan (doa) kamu disahuti; maka hendaklah kamu berlaku lurus, dan jangan ikut jalan orang-orang yang tidak tahu.'" (10:89)

"Kemudian Kami buat kamu di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia, dan jangan ikut keinginan orang-orang yang tidak tahu." (45:18)

Terima kasih.

14 Jun 2005


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman