Maksum dan Tafsir

 

From: Megat
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Nabi Maksum?
Date: Thursday, January 26, 2006 7:46 AM

Salamunalaikum, 

Syukur Alhamdulillah saya diberi petunjuk oleh Allah melalui usaha tuan walaupun pada mulanya saya menetang keras usaha tuan tetapi setelah saya gunakan akal dan fikirkan ayat-ayat Allah yang tuan kemukakan saya telah yakin. Alhamdulillah.

Soalan saya :
1. Adakah Nabi Maksum?
2. Adakah frasa 'kamu' dalam 8:67 dimaksudkan kepada Nabi?
3. Adakah 9:34 dimaksudkan kepada habr kristian dan nasrani seperti kebanyakan terjemahan/tafsiran Quran yang saya baca?


Salamun alaikum,

Alhamdulillah, dan terima kasih kerana sudi menulis kepada kami.

Kerana menggunakan akal dan meluangkan masa untuk memikirkan ayat-ayat Allah yang dikemukakan maka seseorang dapat diselamatkan oleh Allah dengan diberi-Nya petunjuk, walaupun menentang keras sebelum itu.

Demikianlah dipelajari daripada kiriman di atas. Kiriman turut disertai tiga soalan untuk dijawab, mungkin untuk menyinarkan lagi keyakinan setelah keraguan yang terselit di dalam soalan-soalan tersebut dibisik oleh pihak tertentu.

Soalan dan jawapan adalah seperti di bawah ini:


1. Adakah Nabi Maksum?

Maksum atau tidak tidak dititikberatkan dalam ajaran al-Qur'an. Mungkin perkara tersebut ditonjolkan oleh pihak tertentu untuk mendewa-dewakan Nabi lalu banyak masa ditumpukan kepada apa yang kononnya baginda kata dan buat, atau tidak kata dan tidak buat, sehingga al-Qur'an diabaikan.

Daripada al-Qur'an dapat difahamkan bahawa Nabi pernah lakukan kesilapan yang bukan kecil. Dua kesilapan baginda yang tidak dapat dilupakan telah diriwayatkan Allah seperti berikut:

"Dia (Muhammad) bermuka masam, dan berpaling, bahawa seorang buta datang kepadanya. Dan tahukah kamu, boleh jadi dia menyucikan diri? Atau mengingati, lalu Peringatan bermanfaat padanya. Tetapi orang yang berasa kaya, kepadanya kamu layan, walaupun ia tidaklah di atas kamu jika dia tidak menyucikan dirinya. Dan orang yang datang kepada kamu dengan bersegera, dan takut-takut, kepadanya kamu tidak mempedulikan." (80:1-10) dan,

"Wahai Nabi, mengapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu, untuk mencari kepuasan hati isteri-isteri kamu? Dan Allah Pengampun, Pengasih." (66:1)

Nabi telah bermuka masam dan berpaling apabila seorang buta datang kepadanya tetapi melayan pula orang yang menganggap dirinya kaya. Dan baginda telah lakukan suatu yang lebih berat daripada itu, iaitu mengharamkan sesuatu yang Allah halalkan.

Kedua-dua peristiwa itu, bagi kami, menunjukkan bahawa Nabi bukan seorang yang maksum seperti yang diomong-omongkan oleh pihak tertentu, tetapi hanya seorang manusia biasa yang tidak sunyi daripada kesilapan. Sila lihat sabda Nabi menurut Kitab Allah -

"Aku (Muhammad) hanyalah seorang manusia yang serupa dengan kamu;" (18:110).

Nabi sebagai seorang manusia biasa, tetapi menerima wahyu daripada Allah, tentu dapat merangsang manusia lain bahawa mereka juga mampu dapat petunjuk daripada Allah tanpa jadi seperti makhluk yang luar biasa bernama malaikat.

Beralih kepada soalan kedua:


2. Adakah frasa 'kamu' dalam 8:67 dimaksudkan kepada Nabi?

Sebelum menjawab soalan tersebut adalah baik diturunkan dahulu firman berkenaan yang bermaksud,

"Tidak patut bagi seseorang Nabi untuk mempunyai tawanan, sehingga dia membunuh beramai-ramai di bumi, kerana kamu hendak keuntungan dunia, dan Allah hendakkan akhirat; dan Allah Perkasa, Bijaksana." (8:67)

Walaupun kelihatan kamu di situ ditujukan khas kepada Nabi, namun, pada hemat kami, ia bermaksud umum, iaitu Nabi dan orang-orang lain. Sebab pada ayat yang menyusul (8:68) perkataan 'kamu' yang terkandung di dalamnya dengan nyata bermaksud kamu semua. Ayat tersebut bererti,

"Sekiranya tidak kerana satu ketetapan (kitab) yang terdahulu daripada Allah, tentu telah menyentuh kamu (lamassakum), kerana apa yang kamu ambil, satu azab yang besar."

Justeru, mungkin telah terlintas di kepala Nabi dan orang-orang yang bersama baginda untuk mengambil tawanan perang yang peperangannya mereka tidak sertai, kerana hendak keuntungan dunia. (Sila perhatikan perkataan 'mungkin' yang diguna tadi.)

Nabi juga didapati berkhayal seperti para Rasul dan Nabi sebelum baginda, yang kesemuanya manusia biasa. Firman berikut jelaskannya:

"Kami tidak utus seseorang Rasul, dan tidak juga seseorang Nabi sebelum kamu, melainkan bahawa apabila dia berkhayal, syaitan lemparkan ke dalam khayalannya; tetapi Allah hapuskan apa yang dilempar syaitan, kemudian Allah tentukan ayat-ayat-Nya; Allah Mengetahui, Bijaksana." (22:52)

Dan, soalan terakhir adalah:


3. Adakah 9:34 dimaksudkan kepada habr kristian dan nasrani seperti kebanyakan terjemahan/tafsiran Quran yang saya baca?

Ayat yang disebut itu berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan habr, dan rahib, sesungguhnya mereka makan harta manusia dengan cara palsu, dan halangi jalan Allah. Orang-orang yang menyimpan emas dan perak, dan tidak nafkahkannya di jalan Allah, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih." (9:34)

Ayat ditujukan kepada sesiapa saja yang percaya (kepada Allah dan ayat-ayat-Nya), sama ada yang melabelkan diri sebagai Islam atau tidak. Maka habr di situ tidak hanya bermaksud habr Kristian atau Yahudi sahaja. Islam pun boleh. Malahan, sesetengah habr Islam juga didapati memakan harta manusia dengan cara palsu, dan halangi jalan Allah.

Kalaulah benar habr di situ hanya daripada golongan Kristian dan Yahudi, dan Allah mengutuk perbuatan tersebut, maka ia tidak bermaksud bahawa habr Islam diizinkan Allah untuk memakan harta manusia dengan cara palsu dan halangi jalan Allah.

Tafsiran yang bengkok serupa itu didapati tidak terbatas pada ayat tersebut sahaja tetapi pada ayat-ayat lain pun ada, seperti 2:79, 2:136 dan 30:32. Sila lihat BACAAN - jawapan kepada ulama (atau Terjemahan atau Tafsiran untuk menghayati al-Qur'an?) untuk keterangan lanjut.

Dengan rujukan itu jawapan kami kepada tiga soalan yang diajukan berakhir.

Mengapa harus berlaku pemalsuan terhadap sifat Nabi dan maksud sebenar ayat-ayat al-Qur'an oleh pihak tertentu tidak kami ketahui dengan tepat. Apapun, bagi kami, mereka adalah hanya ujian yang duduk mencangkung di jalan lurus, yakni jalan Allah.


28 Januari 2006


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman