Golongan Allah Bertambah Ramai

 

 

Salamun alaikum, para pembaca dan pengirim-pengirim e-mel di halaman ini.

Dalam tempoh lebih setahun, bermula bulan Mac tahun lepas (2006) hingga beberapa hari lalu, banyak e-mel telah diterima walaupun tempoh itu memperlihatkan kami tidak membuat sebarang penulisan. Oleh keadaan tidak mengizinkan, lalu kebanyakannya tidak dibalas, termasuk daripada orang-orang Golongan Allah. Ia sangat mengecewakan kami. Kami mohon maaf.

Antara e-mel golongan tersebut yang diterima adalah tiga yang dipampang di sini. Pertama, daripada seorang wanita yang sedang menuntut di peringkat kedoktoran, berbunyi,

From: "afizah nor"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Cc: <afizah_nor@......
Subject: Salaamun'alaikum
Date: Friday, July 14, 2006 6:16 PM

Kepada penulis bacaan,

Sebenarnya telah 2 bulan dan mungkin lebih, saya mengunjungi laman web e-bacaan ini. Membuat sedikit kajian mengenai kandungan laman web ini di dalam kesibukan mentelaah pelajaran di peringkat kedoktoran yang perlu juga saya teruskan. Di dalam kesibukan itu, syukur kepada Allah yang telah menganugerahi masa yang panjang untuk saya menamatkan proses mentadabbur ayat-ayat AlQuran untuk kali yang pertama, dan sudah pastinya saya akan meneruskannya lagi.

Alhamdulillah, saya menyokong laman web ini yang telah menyampaikan ayat-ayat AlQuran. Sepanjang hidup saya yang berumur 25 tahun, tidak pernah saya membaca terjemahan AlQuran dengan agak berkesan seperti hari ini. Saya yakin dengan pertolongan Allah, yang akan memberi kefahaman kepada hamba-hambaNya yang meminta dan terus-menerus meminta untuk diberi kefahaman tentang AlQuran. 

Di dalam kesibukan belajar ini, memang agak sukar untuk saya mencari masa menulis kepada laman web e-bacaan walaupun hati ini teringin sekali menghantarnya. Telah beberapa kali cuba menulis dan melontarkan idea untuk dikongsi bersama dan untuk dihantar kepada laman web e-bacaan, namun, tidak kesampaian. Akhirnya penulisan tersebut tersimpan di dalam komputer sahaja. Dan hanya ini sahaja yang dapat saya sampaikan buat kali ini. InsyaAllah, saya cuba menulis lagi di masa yang akan datang. 

Wa salaam. 

Sekiranya ada kesalahan, harap dapat diperbetulkan.

Terima kasih kerana sudi menulis walaupun tengah sibuk. Kesibukan tidak menghalanginya daripada membaca dan meneliti kandungan al-Qur'an. Perbuatan itu tidak mudah, memerlukan banyak berfikir dan merenung.

Al-Qur'an sudah menjadi teman dan beliau akan terus-menerus memohon pertolongan Allah dalam memahami isi kandungannya. Sebagai peringatan, doa yang diajar-Nya untuk ditambahkan pengetahuan dalam al-Qur'an ialah:

"Wahai Pemeliharaku, tambahkanlah aku dalam pengetahuan." (20:114)

Maka Allah diibaratkan bagai sahabat, iaitu tempat minta tolong, dan Dia atas kemahuan untuk mendalami al-Qur'an, Kitab karya-Nya, pasti akan menolong.

Lazimnya pertolongan diberi kepada orang-orang yang segolongan, dan dalam konteks di sini, segolongan dalam kepercayaan kepada Allah. Golongan tersebut dipanggil Golongan Allah.

Golongan Allah terdiri daripada orang-orang yang percaya kepada Allah, dan menjadikan Allah sahabatnya, di samping rasul-Nya, serta orang-orang yang percaya yang lain. Demikian dijelaskan oleh firman Allah bermaksud,

"Sesiapa yang menjadikan Allah sahabatnya, dan rasul-Nya (yang menyampaikan ayat-ayat-Nya), dan orang-orang yang percaya, maka golongan Allah, merekalah orang-orang yang menang." (5:56)

Selain daripada memohon pertolongan Allah, beliau berkeinginan akan menulis supaya buah fikiran dapat dikongsi antara sahabat-sahabat laman web ini. Keinginannya indah, dan pasti termakbul, dengan izin Allah, demi kemanfaatan mereka yang percaya kepada al-Qur'an.

Beralih kepada pengirim kedua. Beliau, antara lain, mengatakan sangat berhajatkan pengasihan Allah supaya dipilih masuk ke dalam Golongan-Nya. E-mel disuratkan begini:

From: "malumali malomale"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Semuga Tuan di beri jalan yang mudah lagi dipermudahkan
Date: Monday, June 05, 2006 8:01 PM

Salamun Alaikum

Saya merupakan pelayar yang baru sahaja singgah beberapa kali di laman Tuan. Saya amat tertarik dengan ungkapan Lebih baik membaiki rumah sendiri dari sibuk memperihalkan rumah orang. Jadi disini bila saya membaca dan meperhalusi dan cuba memahami apa yang pihak tuan sampaikan dilaman ini, maka saya mengambil keputusan untuk 'KEMBALI' memikirkan bukan sahaja untuk memperbaiki rumah sendiri, malahan memperkukuhkan segala asas-asas dan tiang-tiangnya agar ia terus dapat dijadikan tempat 'berlindung dari panas beracun dan hujan berbisa yang amat merbahaya. Semuga kita mendapat hidayah dan di pertunjukkan jalan yang lurus sehingga tamat fana ini. InsyaAllah. 

Cuma saya disini terasa kesunyian memandangkan saya hanya bermonolog sementara menunggu tindakbalas dari Tuan. Saya amat memerlukan bimbingan serta buah fikiran (juga bertukar-tukar pendapat) dalam hal ISLAM yang sebenar. Saya amat ingin dipilih oleh ALLAH agar sentiasa berada dalam JAMAAH yang ALLAH maksudkan itu. Ya ALLAH makbulkan doaku ini.

Mula dengan pihak kami memohon maaf kerana tidak dapat tunaikan permintaan untuk bersama dalam mengkaji al-Qur'an. Keadaan tidak begitu mengizinkan.

Namun, sebab utama kami keberatan memberi bimbingan secara peribadi adalah atas keyakinan bahawa saudara akan mendapat penjelasan daripada Allah sendiri. Ketika membaca al-Qur'an tentu saudara menemui ayat-ayat berikut:

"Yang Pemurah,
Mengajar al-Qur'an.
Dia mencipta manusia,
Dan Dia mengajarnya Penjelasan." (55:1-4)

Ayat-ayat tersebut tidak kami ragu-ragukan kebenarannya. Iaitu bahawa Allahlah yang mengajar al-Qur'an dan penjelasannya sekali. Kami berhenti di situ untuk memberi laluan kepada renungan kendiri.

Seterusnya, daripada tindakan saudara untuk KEMBALI (atau meninggalkan kepercayaan yang sedia dianuti) kami merasakan perjalanan menuju ke jalan lurus melalui al-Qur'an tidak menjadi sukar. Tindakan itu akan memudahkan kefahaman dalam al-Qur'an, sejajar dengan ketetapan Allah iaitu:

"Tiada yang menyentuhnya (al-Qur'an) kecuali orang-orang yang dibersihkan," (56:79)

Hanya orang-orang yang dibersihkan daripada kepercayaan agama ajaran manusia (atau dalam konteks al-Qur'an, ajaran tuhan lain) yang harus memegang Kitab-Nya. Selagi tidak dibuang maka ajaran Allah sukar menjadi peringatan.

Oleh yang demikian, saudara tidak memerlukan bimbingan kami. Dan jangan sangka saudara keseorangan, sebab Allah, sebagai sahabat, sentiasa berada di sisi saudara. "Allah Mendengar, Mengetahui." (2:224)

Akan keinginan yang mendalam dan pelaksanaan yang wajar maka kami berserta saudara memohon pengasihan Allah agar kita sama-sama diizinkan masuk ke dalam Golongan-Nya.

E-mel terakhir mengandungi berita mengenai Golongan Allah yang berada di sebuah negara jiran, tertulis:

From: "Adley Subakti"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Cc: "Ele Yahoo"
Subject: Salaam dari Indonesia
Date: Sunday, November 05, 2006 8:18 PM

Salaam saudara-saudara E-Bacaan,

Saya dari Indonesia dan sebenarnya sudah lama mengetahui keberadaan site E-Bacaan. Saya juga satu paham/konsep dengan apa yang ditulis di E-Bacaan.

Selamat atas kerja kerasnya, semoga ALlah memberikan balasannya.

Saya juga ingin memberitahukan atau menginformasikan suatu kabar gembira bahwa telah berdiri/eksis situs Allah-Semata (http://www.allah-semata.org) dan forumnya (http://www.allah-semata.org/forum) yang bisa dikunjungi oleh saudara-saudari Indonesia ataupun Malaysia (sudah ada beberapa kawan Malay yang join di sana).

Semoga berita ini bisa disambut baik, terutama oleh para saudara/i Indonesia yang setia mengunjungi situs E-Bacaan.

Keep up the good hard work.
May ALlah bless you all!

=adley=

Terima kasih kepada saudara Adley terhadap berita gembira mengenai situs baru dari Indonesia. Tahniah kepada mereka yang menerbitkannya. Usaha pasti jaya, dengan izin Allah.

Jelas bahawa ahli Golongan Allah (andaikata kita semua diterima-Nya sebagai ahli) sudah menjadi bertambah ramai. Lantaran itu ayat-ayat al-Qur'an akan dikhabarkan lebih luas di muka bumi ini. Alhamdulillah.

Secebis lagi mengenai Golongan Allah sebelum bicara mengenainya ditamatkan. Selain menjadikan Allah, rasul-Nya dan orang-orang yang percaya sebagai sahabat, mereka mempercayai Allah dan Hari Akhir (mengikut ajaran al-Qur'an) di samping tidak menyayangi sesiapa jua yang menentang Allah dan rasul-Nya. Ayat berikut menyatakan dengan lebih lanjut:

"Kamu tidak mendapati sesuatu kaum yang mempercayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan rasul-Nya (yang menyampaikan ayat-ayat-Nya), walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka. 
Mereka itu, Dia menuliskan (menetapkan) keimanan dalam hati mereka, dan Dia mengukuhkan mereka dengan Roh daripada Dia Sendiri; 
dan Dia memasukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, sedang Allah sangat berpuas hati terhadap mereka, dan mereka sangat berpuas hati terhadap-Nya. Mereka itu golongan Allah; sesungguhnya golongan Allah, merekalah orang-orang yang beruntung." (58:22)

Lantas, orang-orang Golongan Allah akan ditentang. Termasuk yang menentang adalah ahli keluarga. Itu merupakan ujian besar bagi mereka. Akan tetapi, pemberian daripada Allah, seperti menetapkan keimanan di dalam hati mereka, sesungguhnya suatu jauh lebih besar daripada penentangan orang-orang tertentu. Mereka pasti kalah dan rugi fasal orang-orang Golongan Allahlah yang akan menang dan beruntung.

Allah disanjung!


11.5.07
 

E-Mail
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman