Tatu & Hukum Arak Hanafi

 

From: Jackal
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Sunday, June 15, 2008 2:53:37 AM
Subject:

Salammualaikum,

Saya ingin bertanya saudara tentang hukum bertatu dalam Islam kerana saya amat keliru tentang isu ini. Adakah tertulis di dalam ayat Quran tentang tatu & satu lagi soalan berkaitan hukum arak. Mengikut Mazhab Hanafi hukum bagi meminum arak yang bukan diperbuat dari anggur dan kurma adala dibolehkan tetapi jangan sampai mabuk atau hilang kawalan kerana arak adalah sejenis minuman beralkohol yang terdapat di negara2 arab & terlalu banyak minuman yang beralkohol di dalam dunia ini.

NAM 


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis untuk bertanya mengenai dua perkara, yang diterima sebagai subjek menarik untuk diketengahkan kali ini.

Sebelum tentukan hukum (penulis tidak gemar guna perkataan ini atau yang berkaitan, iaitu fatwa, kerana nampak macam ulamak) yang ditanya ke atas perkara pertama, tatu, adalah baik diketahui dahulu serba sedikit mengenainya.

Tatu adalah satu tanda yang kekal dibuat dengan masukkan dakwat ke dalam lapisan-lapisan kulit untuk menukarkan pigmen supaya jadi sesuatu hiasan atau tujuan-tujuan lain. Tatu pada manusia adalah sejenis pengubahsuaian pada badan untuk hiasan, sementara pada haiwan adalah kebanyakannya untuk pengecaman atau jenis.

Ia diamal sejak zaman purba lagi, dan kini diamal di merata tempat seluruh dunia. Tujuan bertatu adalah banyak seperti tuntutan agama, tanda taraf kedudukan atau pangkat, tanda kurniaan untuk keberanian, tarikan seksual dan tanda kesuburan, jaminan dalam percintaan, hukuman, tangkal, perlindungan, dan tanda bagi orang-orang terbuang, hamba abdi dan penjenayah. Hari ini manusia bertatu untuk tujuan kosmetik, kenangan, keagamaan, sihir, dan tanda keahlian dalam sesuatu golongan atau geng. Ada juga manusia bertatu untuk dapat perlindungan daripada kuasa ghaib yang jahat atau meningkatkan nasib.

Apabila diguna untuk kosmetik, tatu jadi makeup yang kekal demi mencantikkan lagi alis, bibir (liner dan/lipstik), mata (liner) dan juga tahi lalat. Ia juga bertujuan untuk sembunyikan warna kulit yang berubah atau menyekatnya.

Tatu turut diguna dalam perubatan atas sebab-sebab kesihatan, contoh, beri isyarat pesakit penyakit kronik untuk menerima sesuatu rawatan, bantuan dalam radiotherapy, dan dalam membentuk semula payudara selepas dibedah kerana kanser. Ia juga dapat menunjukkan jenis penyakit atau alahan yang dihidapi seseorang.

Sebab ia perlu memecahkan dinding-dinding lapisan kulit, tatu boleh datangkan risiko ke atas kesihatan, termasuk jangkitan (misalan HIV, hepatitis, tetanus untuk menyebut tiga sahaja) dan alahan, yang timbul daripada dakwatnya - (Terima kasih kepada Wikipedia dan Britannica).

Kembali kepada soalan saudara NAM. Tidak, tatu tidak disebut di dalam al-Qur'an. Maka ia bukan sesuatu yang boleh dilabel dengan senang sebagai haram, atau tidak. Lantas beberapa ayat Allah, pengetahuan, dan akal, diperlukan untuk buat kesimpulan atas amalan bertatu.

Pada tatu terdapat sedikit kebaikan iaitu dalam bidang perubatan, dan dalam sesetengah kosmetik seperti masalah warna kulit. Kecacatan pada bibir atau bahagian lain juga, pada hemat penulis, boleh ditatukan supaya kelihatan sempurna. Kerana kecacatan tidak datang daripada Allah. Daripada Allah adalah semua yang baik, sempurna.

Satu misalan lain, bagi tindakan tersebut, iaitu anak yang dilahir cacat dengan bibir sumbing. Bagi penulis, dia tidak harus dibiar dalam keadaan begitu kerana bibirnya boleh disempurnakan melalui perubatan moden.

Usaha untuk membaiki keadaan tubuh badan atau anggota yang tidak sempurna, walau pun semula jadi, bagi penulis, adalah tidak salah.

Bagi tujuan bertatu yang lain, penulis berpendapat ia tidak harus dilakukan kerana Allah telah “cipta segala sesuatu dengan baik” (32:7). Jika sudah baik mengapa pula dibaiki lagi! Bagi orang yang benar-benar takut kepada Allah (bukan takut jangkitan HIV) ayat tersebut akan mendorongnya supaya tidak bertatu untuk hiasan badan, tanda kasih dan tujuan lain.

Atau dia tidak bertatu kerana adanya ayat berkait berbunyi,

"Dan sungguh, aku (syaitan yang nyata) akan sesatkan mereka, ...... aku akan suruh mereka dan mereka akan ubah ciptaan Allah." (4:119)

Oleh demikian, orang yang buat tatu di badan dengan tidak memerlukannya, atau dengan perkataan lain, mengubah ciptaan Allah yang sedia baik, adalah, menurut ayat di atas, orang sesat. Sementara orang yang memerlukan tidak mungkin jadi sesat juga, kerana dimaafkan, seakan orang yang terpaksa makan daging babi setelah diharamkan Allah dengan nyata.

"Maka sesiapa yang terpaksa (makan daging babi), dalam kekosongan, dan tidak condong untuk maksud buat dosa, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (5:3)

Pertanyaan NAM yang kedua ialah mengenai hukum minum arak mazhab Hanafi berbunyi "hukum bagi meminum arak yang bukan diperbuat dari anggur dan kurma adalah dibolehkan tetapi jangan sampai mabuk atau hilang kawalan".

Kelihatan pada hukum tersebut, arak daripada selain buah anggur dan kurma pun sama dengannya, kerana masing-masing boleh memabukkan atau buat orang hilang kawalan. Jadi, tidak ada perbezaan di antara arak daripada anggur dan kurma dengan yang lain, seperti beras, kelapa, epal dan sebagainya. Arak tetap arak. Apabila Allah menyebutnya Dia tidak bezakan daripada buah atau bahan apa ia dibuat.

Minum jangan sampai mabuk atau hilang kawalan, katanya! Cakap memang senang. Mula-mula minum dengan tidak mahu mabuk tetapi kemudian, kerana ia daripada syaitan, minum sampai mabuk jadi macam satu keseronokan pulak. (Sila betulkan penulis di sini. Terima kasih.)

Mengapa hukum tersebut tidak ambil kira kata-kata Allah bahawa arak adalah dosa besar, kotoran, amalan syaitan, dan disuruh pula supaya dijauhi serta berhenti daripada meminumnya? Demikianlah dinyatakan di dalam ayat-ayat Allah di bawah:

"Mereka tanya kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.'" (2:219)

"Wahai orang-orang yang percaya, arak, judi, berhala-berhala dan ramalan anak-anak panah, adalah kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung." (5:90)

"Syaitan hanya hendak sebabkan permusuhan dan kebencian antara kamu dalam arak dan judi, dan untuk halangi kamu daripada Peringatan Allah, dan daripada solat. Mahukah kamu berhenti?" (5:91)

Bagi orang yang percaya kepada Tuhan dan takut kepada-Nya tentu dia akan menolak pelawaan syaitan untuk minum arak, tetapi daripada yang manfaatkan, misal yang terdapat pada ubat-ubatan, dia menerimanya tanpa ragu-ragu.

Pada tatu dan arak ada sedikit sahaja kebaikan tetapi keburukannya, dengan kehadiran sentuhan syaitan, membuatnya amalan amat dikesali pada masa depan. Dengan kata-kata itu, pandangan penulis terhadap tatu dan hukum arak menurut mazhab Hanafi berakhir.

Terima kasih.

16 Julai 2008

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
 Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

  Tulis kepada Pengurus Laman