Doa & 3 Dibawa Mati

 

Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara zukeri ya yang menulis lagi kira-kira sepuluh hari lalu, tetapi hanya dibalas di sini sahaja hari ini. Kali ini jawapan kepada soalan-soalannya dijawab selepas setiap satu diturunkan. Justeru, jawapan kami berada di celah-celah e-melnya.

E-mel bermula seperti berikut:

From: zukeri ya
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Monday, July 28, 2008 10:54:25 AM
Subject: Re: Solat.

Salam,

Terima kasih atas jawapan tuan. Saya ada beberapa persoalan lain yang ingin saya utarakan di sini. Harap ia tidak jadi beban kepada tuan.

1) Adakah Allah menyuruh kita mendoakan sesuatu kebaikan terhadap orang lain. Contoh, doakan supaya anak lulus dalam peperiksaan, doa supaya pemimpin kita sentiasa baik dan selamat dan sebagainya.

Allah telah beri contoh beberapa doa untuk kebaikan orang lain, seperti doa Nabi Ibrahim berbunyi,

Wahai Pemelihara kami, bangkitkan di kalangan mereka seorang Rasul, seorang daripada mereka, yang akan bacakan mereka ayat-ayat Engkau, dan ajar mereka al-Kitab dan Kebijaksanaan, dan sucikan mereka; sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.'" (2:129)

Atau, doa untuk kebaikan bagi ibu bapa:

"Wahai Pemeliharaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka pelihara aku semasa aku kecil." (17:24)

Atau, untuk saudara:

"Wahai Pemeliharaku, ampunkanlah aku dan saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam pengasihan Engkau; Engkau yang paling berpengasihan daripada yang berpengasihan." (7:151)

Dan doa untuk orang-orang yang terdahulu dalam keimanan:

“Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah kami, dan saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam keimanan, dan janganlah Engkau letak di dalam hati kami sebarang perasaan dendam terhadap orang-orang yang percaya. Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya Engkau Lembut, Pengasih.” (59:10)

Pun begitu, terdapat juga doa memohon keburukan terhadap orang lain di samping yang baik. Contoh, doa Nabi Nuh:

“Wahai Pemeliharaku, janganlah tinggalkan di atas bumi orang-orang tidak percaya, walaupun seorang. Sesungguhnya jika Engkau tinggalkan mereka, mereka akan sesatkan hamba-hamba-Mu, dan mereka tidak beranakkan, kecuali kejahatan yang berdegil dalam ketidakpercayaan.
Wahai Pemeliharaku, ampunilah aku, dan ibu bapaku, dan sesiapa yang masuk rumahku sebagai seorang mukmin, dan orang-orang mukmin lelaki, dan orang-orang mukmin perempuan; dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang zalim, kecuali dalam kebinasaan!” (71:26-28)

Dan doa Nabi Musa untuk keburukan bagi Firaun dan pembesar-pembesar negeri, berbunyi,

"Pemelihara kami, Engkau telah beri Firaun dan pembesar-pembesarnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia ini. Pemelihara kami, biarkanlah mereka sesat daripada jalan Engkau. Pemelihara kami, hapuskanlah harta-harta mereka, dan keraskanlah hati mereka supaya mereka tidak percayai, sehingga mereka melihat azab yang pedih." (10:88)

Mengenai doa supaya anak lulus periksa, pada hemat kami, adalah baik memohon pertolongan-Nya sahaja dalam peperiksaan. Jika Dia mengizinkan dan beri pertolongan-Nya maka tidak mungkin anak itu dapat keputusan yang tidak memuaskan hatinya atau ibu bapanya.

Seperti doa Nabi Musa yang sedang lapar berbunyi, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku fakir (memerlukan) apa-apa kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku." (28:24). Sejurus kemudian dia dapat makanan, tempat perlindungan, dan akhirnya dapat seorang isteri pulak! Apa yang didapati tidak disebut di dalam doanya.

Beralaih kepada soalan seterusnya, iaitu:

2) Betulkah, apabila kita mati, kita hanya ada 3 benda yang kita bawa iaitu, amal ibadat kita, sedekah jariah kita dan anak-anak yang soleh yang selalu mendoakan kebaikan untuk kita.

Kalau tidak silap kepercayaan tersebut kena-mengena dengan seksa kubur, yang tidak akan berlaku.

Sebenarnya yang dibawa sampai ke Hari Kiamat hanya dua, iaitu amalan baik dan amalan jahat. Tidak ada yang lain. Sila lihat ayat berikut:

"Pada hari itu, manusia keluar secara berasingan untuk melihat amalan-amalan mereka, Dan sesiapa yang buat kebaikan seberat satu atom, akan melihatnya, Dan sesiapa yang buat jahat seberat satu atom, akan melihatnya." (99:6-8)

Menyebut tentang anak-anak, mereka tidak dapat menolong ibu bapa mereka pada Hari Kiamat, dan terdapat pula kes di mana sesetengah orang ingin menebus diri mereka daripada azab dengan anak-anak mereka sendiri. Firman-Nya,

"Sedang mereka saling melihat antara mereka. Orang yang berdosa inginkan bahawa dia dapat menebus dirinya daripada azab hari itu dengan anak-anaknya," (70:11)

Oleh itu, kepercayaan tentang 3 benda yang dibawa apabila seseorang mati adalah hanya rekaan manusia sahaja.

Dan soalan terakhir adalah:

3) Solat dalam ayat di bawah merujuk kepada solat yang mana satu,

"62:9. Wahai orang-orang yang percaya, apabila dipanggil untuk solat pada hari berkumpul, bersegeralah kepada mengingat Allah, dan tinggalkanlah jual beli; itu lebih baik bagi kamu jika kamu tahu."

Perkara tersebut sudah agak lama diterbitkan. Mungkin saudara pengirim terlepas pandang. Sila rujuk Solat pada Hari Berkumpul. Terima kasih.

 

E-melnya ditutup dengan ucap:

Sekian, terima kasih.

Sama-sama. Salam.

 

8 Ogos 2008

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman