Rasul itu Hadis?


From: nurul nabilah <nabeellas@yahoo.com>
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Friday, August 15, 2008 9:12:18 AM
Subject: ayat (4:136)

salam...

kalau dalam ayat 4:136 tu telah dikatakan bahawa kita mesti beriman pada Rasul, perlu ke kita tolak hadis?


Salamun alaikum,

Terima kasih. Nampak macam orang beriman kepada hadis. Bila nampak Rasul dia kata hadis. Tak tengok yang lain. Macam dah kena rasuk.

Sila lihat apa tidak dinampakkannya pada ayat tersebut, yang diturunkan di bawah:

"Wahai orang-orang yang percaya, percayalah kamu kepada Allah, dan Rasul-Nya, dan Kitab yang Dia turunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab yang Dia turunkan sebelumnya. Sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya, dan Rasul-Rasul-Nya, dan Hari Akhir, sesungguhnya dia sesat dalam kesesatan yang jauh." (4:136)

Yang tidak dinampakkan ialah perkataan "Rasul-Rasul-Nya". Bermaksud, bukan sahaja Rasul itu, tetapi semua Rasul-Nya patut dipercayai. Kalau percaya kepada Rasul itu bermaksud percaya kepada hadis apakah pula maksud percaya kepada Rasul-Rasul-Nya yang lain? Tentu hadis juga, iaitu hadis-hadis mereka.

Justeru, sekiranya anda perlu percaya kepada hadis Rasul (karya Bukhari, Muslim, dll.), maka percayalah juga hadis-hadis Rasul lain (yang ditulis oleh manusia seperti disebut itu). Kalau tidak anda sesat dalam kesesatan yang jauh.

Timbul masalah di mana berada hadis-hadis Rasul lain? Kalau ada, bolehkah dipercayai? Nampaknya, apa yang diadakan memakan diri sendiri!

Pun begitu, cerita (hadis) mereka dapat dibaca daripada al-Qur'an, tetapi tidak semua. Seperti firman Tuhan,

"Dan Rasul-Rasul yang Kami ceritakan kepada kamu sebelumnya, dan Rasul-Rasul yang Kami tidak ceritakan kepada kamu, dan kepada Musa, Allah telah berkata-kata secara langsung." (4:164)

Sebab diceritakan dapat diketahui daripada ayat berikut:

"Dan semua itu Kami ceritakan kepada kamu daripada berita Rasul-Rasul; dengannya Kami teguhkan hati kamu; dalam ini telah datang kepada kamu yang benar, dan satu teguran dan peringatan, bagi orang-orang mukmin." (11:120)

Cerita-cerita para Rasul di dalam al-Qur'an dapat teguhkan hati terhadap Allah dan yang benar. Cerita mereka berkisar pada mesej Allah yang dibawa, seruan dan tentangan dihadapi, dan janji Allah serta azab yang dikenakan. Ada juga yang dicerita kehidupan mereka dari usia kanak-kanak lagi.

Berbeza dengan cerita Rasul karangan Bukhari. Ia tidak mendorong kepada Allah dan mesej-Nya tetapi kepada yang lain sehingga timbul fahaman bermazhab dengan amalan selain daripada mesej-Nya sehingga jadi seperti agama baru. Ia dikatakan baru sebab kitab-kitabnya muncul lebih 200 tahun selepas al-Qur'an diturunkan.

Hadis Nabi Muhammad yang hak (bukan "sahih") pun ada di dalam al-Qur'an. Dan telah dikumpul di laman web ini. Dapat dibaca melalui ruangan Artikel.

nabeellas tidak membaca tulisan-tulisan mengenai hadis di laman ini, lalu tidak tahu, tetapi merempuh masuk membabi-buta, bertanyakan suatu yang sudah lama dijawab. Harap jangan buat lagi sebab kami dah tua, tidak suka dikejut lagi atas perkara itu yang tiada kaitan dengan al-Qur'an. Hadis daripada Bukhari atau manusia lain tidak disebut sebagai perkara yang harus diimani.

Tambahan pula, kami tidak lagi suka menulis mengenainya yang menyinggung perasaan ramai orang. Tapi jika orang lain ingin menulis atau mempamerkan hadis yang memburukkan Islam maka kami sedia menerima untuk diterbitkan. Jangan lupa tulis hadis siapa, kitab, jilid, dan bilangannya.

Seorang lagi, seperti nabeellas, yang kepercayaan kepada hadis Bukhari masih jadi rukun agamanya, telah menulis bertanyakan soalan yang agak serupa berserta soalan lain. Yang lain dipadam. Fokus hanya kepada yang ditinggalkan di dalam e-mel di bawah:

From: Mohd Shariman Mohd Sharif <mmohdsha@yahoo.com>
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Tuesday, July 29, 2008 8:37:12 AM
Subject: Hala Tuju Umat Islam Mengikut Al Quran

Salam.

Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

Saudara Pengurus Laman

<dipadam>

6) Kenapa Allah suruh kita " Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul [4:59]". Untuk taat Allah kita ada Al-Quran (Bacaan), itu jelas, tetapi untuk taat Rasul pada zaman sekarang ni melalui apa? (Bacaan sesuai untuk sepanjang zaman, tak mungkin ada ketidak jelasan) Sebab bila selisih kita kena kembali kepada Allah (Bacaan) dan Rasul (hadis???? itu tak mungkin). Jadi bagaimana nak kembali pada Rasul pada masa ini? Apa kaedahnya? Perintahnya kembali kepada Allah dan Rasul. Jika rujuk balik Al-Quran sahaja, baik Allah menyatakan kembali kepada Allah sahaja dalam ayat [4:59] tu. Tak mungkin Bacaan (Quran) yang ada ni ada kesilapan. BAGAIMANA?

Masalahnya sama seperti nabeellas tadi iaitu tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhan yang melarang ambil hadis selain daripada al-Qur'an. Dan ayat-ayat berkaitan Nabi yang hanya sampaikan al-Qur'an sahaja. Atau tidak yakin kepada mereka. Lalu timbul soalan seperti diajukan. Orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an tidak akan bertanya seperti itu.

Kalau sudah percaya atau yakin tentu mereka telah mencari jalan untuk melupakan apa yang dikatakan hadis nabi. Dan tidak mengisyaratkan terdapat percanggahan atau kebengkokan pada Kitab Allah.

Ayat 4:59 telah disebut dan dikatakannya "Perintahnya kembali kepada Allah dan Rasul. Jika rujuk balik Al-Quran sahaja, baik Allah menyatakan kembali kepada Allah sahaja dalam ayat [4:59] tu." Seolah ajar Allah apa yang harus dikatakan-Nya. Sindiran ke atas ajaran Allah disambung dengan kata-kata "Tak mungkin Bacaan (Quran) yang ada ni ada kesilapan. BAGAIMANA?"

Pada zaman Nabi Muhammad dahulu, adakah semua orang miliki kitab al-Qur'an? Atau mengetahuinya? Salahkah Tuhan menyebut Rasul, yang diturunkan ayat-ayat-Nya serta sampaikannya, supaya ditaati? Bagaimana hendak mentaati Allah jika tidak mentaati Rasul-Nya?

Sekarang Muhammad sudah tidak ada lagi tapi taat kepada Rasul masih ada. Adakah Rasul itu hanya bermaksud Muhammad sahaja? Bagi orang-orang yang agamanya berpegang kepada kitab Bukhari, bagi mereka, ia kelihatan hanya bermaksud Muhammad.

Bagaimana pula dengan ayat di bawah yang mengatakan Rasul-Nya ada di kalangan kita? Firman-Nya,

"Bagaimanakah kamu boleh tidak percaya sedang kepada kamu ayat-ayat Allah dibacakan, dan Rasul-Nya berada di kalangan kamu? Sesiapa berpegang teguh kepada Allah, dia diberi petunjuk pada jalan lurus." (3:101)

Muhammad sudah tidak ada lagi tetapi Rasul-Nya masih berada di kalangan kita. Apakah maksud Rasul-Nya di situ? Kitab Bukhari? Kemaluan terhadap Islam yang terkandung di dalamnya sudah banyak kali juga dipamerkan di sini. Mahukah orang-orang yang percayainya menilai semula pegangan mereka?

Ayat diakhiri dengan berpegang teguh kepada Allah (sahaja), bermaksud kedua-dua ayat-ayat Allah dan Rasul-Nya adalah satu. Salahkah jika ia difahamkan sebagai al-Qur'an?

Seperti nabeellas dia tidak membaca habis ayat yang disebut. Mungkin dengan sengaja tidak diperhatikan frasa "dan orang-orang yang dalam urusan antara kamu". Sila lihat ayat sebenar:

"Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada Rasul, dan orang-orang yang dalam urusan antara kamu. Jika kamu berbalah dalam sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; itu lebih baik, dan kesudahan yang lebih baik." (4:59)

Jika Allah di situ al-Qur'an, Rasul itu hadis (Bukhari dll), apakah pula maksud frasa "dan orang-orang yang dalam urusan antara kamu"? Kitab apa pulak? Mereka adalah yang ketiga selepas Allah dan Rasul.

Tidak juga dilihatnya kata-kata "jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; itu lebih baik, dan kesudahan yang lebih baik" yang jadi penutup ayat. Jika diperhatikan dengan jujur tentu nampak hanya Allah (selain Hari Akhir) disebut. Rasul tidak. Matlamatnya Allah. Apakah matlamat tulisan Bukhari dan orang-orang hadis serupanya?

Soalan-soalan berkaitan dengan maksud Rasul itu bukan hadis Bukhari, dan sebagainya, sudah dijawab dan berada di laman web ini. Kami tidak akan tunjukkan artikel-artikel berkenaan. Kalau benar-benar percaya kepada ayat-ayat Tuhan yang melarang percaya kepada selain daripada Kitab-Nya maka carilah. Itu satu jalan yang ditunjukkan di sini.

Kedua-dua alamat e-mel tidak disentuh, dengan harapan orang lain dapat beri penjelasan lebih baik, dan selain daripada yang terdapat di laman web ini. Kerana dikhuatiri mereka tidak akan menerima sebarang hujah di sini, atau tidak akan membacanya. Iman seseorang memang sukar diubah.

Sekiranya begitu, maka kami akhiri dengan baik, iaitu dengan memetik firman Allah berbunyi,

"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku!" (109:6)

Terima kasih.

19 Ogos 2008

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman