Contoh Sihir


From: penyapu
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Sunday, September 7, 2008 1:52:33 PM
Subject: syirik

Salamun alaikum,

Diharap tuan berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati Allah s.w.t. Saya mengagak umur tuan lebih dua kali daripada umur saya. Diharap tuan selesa dengan panggilan 'tuan' ini. Sebenarnya saya inginkan sedikit penjelasan/pandangan tuan tentang perkara dibawah. Saya minta maaf atas tulisan yg agak panjang ini. Setakat itu sahaja yg saya mampu ringkaskan.

 

1. Saya pernah mengalami sakit telinga pd suatu masa dahulu, lalu ibu saya membawa saya berjumpa dengan seorang yang dikatakan alim untuk mengubatinya. Cara beliau mengubat sakit telinga saya adalah dengan membaca beberapa surah pendek daripada Al-Quran dan hembus ke telinga saya. Dalam beberapa saat sahaja, telinga saya sudah kembali pulih dan tiada sakit lagi.

 

Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Alhamdulillah, semua baik tetapi agak slow sedikit dalam bulan puasa ini. Lagipun, seperti manusia lain, kami tidak terlepas daripada gangguan emosi, termasuk setelah membuat sesuatu keputusan atas al-Qur'an yang dikhuatiri silap, walaupun dibuat dengan pertimbangan mendalam. Gangguan jadi reda sedikit apabila mengingati ayat berbunyi,

"Apabila kamu sudah putuskan, tawakallah kepada Allah; sesungguhnya Allah suka orang-orang yang tawakal (mempercayakan)." (3:159)

Kerana kandungan e-mel panjang, pandangan atau penjelasan, atau hanya pendapat kami, ditulis selepas tiap-tiap perkara dicatat.

Mengenai perkara 1, yang pelik dalam kes perubatan ini ialah apabila orang lain membaca surah pendek berkenaan dan hembus ke dalam telinga pesakit ia tidak dapat menyembuhkan. Hanya orang alim itu sahaja mampu melakukannya.

Malah, kandunagn surah tersebut tentu tidak mengandungi sesuatu sebutan mengenai penyembuhan sakit telinga. Justeru, bukan surah pendek itu yang menyembuhkan tetapi suatu kuasa ghaib yang menolong orang alim tersebut.

Mungkin ada yang mengatakan bahawa Allah yang menyembuhkan. Benar, seperti Dia menyembuhkan atau memberi orang-orang yang menyembah pokok, batu, patung, dan sebagainya, apabila mereka memohon kepada apa yang disembah. Demikian itu, Dia hanya menghendaki supaya mereka berada lebih jauh dalam kesesatan mereka.

Mungkin juga ada orang berkata minta pertolongan bomoh sama dengan jumpa doktor. Bagi kami tidak, kerana doktor tidak guna jampi.


Beralih kepada perkara kedua yang terkandung di dalam e-mel:

2. Keluarga saya banyak membincangkan soal masalah samaada masalah sakit, dikhianati orang, dan juga masalah rezeki dengan seorang perempuan yang tahu 'ilmu penurun' (tidak pasti). Apabila diajukan soalan kepada perempuan berkenaan, secara tidak langsung akan dapat melihat perbezaan pada wajah dan percakapan perempuan berkenaan (kononnya syeikh.... masuk ke dlm tubuhnya). Dia akan mula bercakap jawa, atau melayu kuno (kononnya) untuk beri penjelasan kepada masalah yang diajukan. Kadang-kadang, dia menyanyikan lagu dalam bahasa yang x difahami (sungguh merdu) untuk menjelaskan tentang isi hati seseorang apabila diminta.

Percaya kepada orang-orang seperti itu agak lazim dalam masyarakat Melayu. Tidakkah orang-orang seperti itu menakutkan?

 

Kebolehannya menurun, berubah wajah, bercakap dalam bahasa yang pelik, menyanyi dengan merdu dalam bahasa yang tidak difahami, adalah bukti yang nyata bahawa orang itu didampingi suatu kuasa ghaib, iaitu jin.

 


Perkara ketiga tercatat seperti berikut:

3. Seorang lelaki (anak angkat ibu saya) ini pandai mengubat orang dan dikatakan boleh berhubung dengan makhluk ghaib. Malah beliau dikatakan mempunyai sebuah komputer (tidak nampak) yang apabila pesakitnya perlukan ubat atau bertanyakan masalah beliau akan menekan2 komputernya di depan kami. Saya tidak pernah nampak komputer yang dikatakan itu, tp hanya percaya ada sahaja.

Ilmu hitam pun sudah maju, dengan menggunakan komputer pulak! Tapi ia lebih maju daripada sains kerana komputernya tidak kelihatan. Magis! Satu contoh Sihir! Ahli sihir tidak beruntung (di akhirat), menurut ayat al-Qur'an berbunyi,

"Tetapi ahli-ahli sihir tidak beruntung." (10:77)

Makhluk ghaib yang dihubungi itu tentu bukan malaikat, tetapi jin. Mengenai percaya yang disebut itu, diharap jangan mudah melakukannya, sebab takut akan terjebak bersama mereka.

 


Ke perkara keempat pula:

4. Seorang lelaki (kawan ibu) dikatakan ada pendamping (tidak tahu makhluk jenis apa) yang akan menolongnya dalam masalah. Makhluk itu dikatakan selalu pergi menunaikan haji tapi tidak dapat dilihat oleh pandangan mata kasar.

Makhluk yang mendampinginya, pada hemat kami, adalah jin. Jin, seperti manusia, dicipta untuk sembah Allah. Jika ia menyembah Allah tentu tidak melakukan sihir. Tidak ada satu ayat pun di dalam al-Qur'an yang menyebut sihir sebagai suatu yang baik untuk diamal.

 

Mungkin jin yang didampingi itu disangka mempunyai pertalian seperti pertalian keluarga dengan Allah lalu dapat menolong seperti Allah menolong. Jika begitu, orang itu silap kerana,

"Mereka adakan satu pertalian keluarga antara Dia dan jin; dan jin tahu bahawa mereka akan dihadapkan." (37:158)

Dan jangan juga sangka jin tahu yang ghaib. Firman Allah,

"jin lihat dengan jelas bahawa sekiranya mereka tahu yang ghaib, tentu mereka tidak tetap dalam azab yang hina." (34:14)

Mengenai menunaikan haji pula, adalah didapati syaitan jenis manusia pun melakukannya.

 


Kenyataan kelima berbunyi,

5. Keempat-empat kategori orang yang saya maksudkan diatas termasuk seorang ustaz yang mengajar di surau-surau di kampung saya, mereka adakan satu majlis 'upacara' kononnya hendak naikkan harta karun keluarga kami yang telah lama tersimpan di dalam tanah. Ini  dikatakan arahan  orang yang  menjaga harta karun berkenaan untuk menyelesaikannya secepat mungkin. Majlis tersebut diadakan dengan berzikir sepanjang malam tapi mulai tengah malam di tengah-tengah bukit.

Ustaz! Ide yang dibawanya serupa cerita Nabi Musa dengan harta karun kepunyaan dua anak lelaki muda, tetapi tanpa "upacara", arahan orang yang menjaga harta karun (siapa?), atau berzikir sepanjang malam di tengah-tengah bukit! Ngerinya! Macam memuja syaitan pula! Adakah begitu cara mencari/mengeluarkan harta karun? Cuba tanya ahli arkeologi.

 

Sayugia diingatkan iaitu harta karun adalah hak milik kerajaan. Apa yang dikhuatiri berlaku ialah harta karun tidak dijumpai tetapi duit keluarga saudara akan lesap dengan banyak.

 


Perenggan terakhir di e-mel berbunyi,

Saya keliru dengan beberapa perkara yang saya telah jelaskan di atas. Yang saya agak, perkara kedua dan ketiga di atas adalah syirik. Mereka meminta bantuan daripada selain Allah s.w.t. Saya ingin meminta sedikit pandangan daripada tuan.

Terima kasih..

Apa yang mengelirukan ialah sihir atau pertolongan jin berlaku dengan benar, seperti sakit dapat disembuhkan. Apakah ia yang benar sebenarnya? Dua firman Tuhan diturunkan di bawah:

"Pada hari Dia kumpulkan mereka kesemuanya: 'Wahai golongan jin, kamu telah banyak ambil daripada manusia.' Kemudian wali-wali mereka di kalangan manusia berkata, 'Wahai Pemelihara kami, sebahagian kami telah dapat kesenangan daripada sebahagian yang lain, dan kami telah sampai tempoh yang Engkau tentukan bagi kami.' Dia berkata, 'Apilah tempat tinggal kamu, di dalamnya tinggal selama-lamanya'; kecuali seperti yang Allah hendaki; sesungguhnya Pemelihara kamu Bijaksana, Mengetahui." (6:128)

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6)

Dapat kesenangan daripada jin boleh mengheret kepada Api (neraka) di akhirat dan menambah dalam kekejian bagi orang yang mendampinginya. Itu yang benar.

Terima kasih.


12.9.08

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman