Hafiz al-Qur'an

 


From: Idham
To: pengurus bacaan <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Tuesday, November 18, 2008 1:14:54 AM
Subject: Al-Hafiz

Salamun ‘alaikum sdr pengurus laman dan bertemu lagi.

 

Kebelakangan ini ramai anak-anak dihantar ke sekolah agama dan disarankan mengambil mata pelajaran agar hafiz Al-Qur’an. Kerajaan juga turut menggalakan usaha ini dengan memberi kemudahan dan inisiatif kepada pelajar sekolah agama khasnya. Malah setiap tahun Pertandingan Menghafaz Al-Qur’an juga dilaksanakan diperingkat daerah, negeri dan kebangsaan. Saya kira niat dan saranan tersebut amatlah baik kerana apa yang saya pernah dengar orang alim berkata “Jika sesiapa yang hafaz Al-Qur’an maka ia akan masuk syurga tanpa di hisab? Benarkah?. Apakah ada ayat qur’an yang menegaskan begitu.

 

Jika begitu tak payahlah solat, puasa Ramadan dsbnya dikerjakan lagi bagi para penghafiz al-Quran?

 

Apakah seorang Al-Hafiz juga wajib hafal makna setiap ayat-ayat yang dipelajarainya? Atau sekadar hanya tahu menghafal ayat quran dalam bahasa Arab itu sahaja.

 

Jika hafaz al-Quran tanpa tahu maknanya bukankah sama jika kita belajar lagu Tamil, Cina atau Belanda?. Tahu melagukan dan menyebut dengan tepat namun tak tahu makna bacaan kita itu? Orang yang mendengar sudah pasti berkata hebat kita menyanyikan lagu-lagu tersebut bukan? Sedangkan sepatah habuk pun kita tak tahu akan maknanya.

 

Bagi saya adalah wajar jika mengetahui makna ayat-ayat Allah sepertimana yang diusahakan oleh ‘Bacaan’ ini dalam bahasa yang kita fahami dari menjadi Al-Hafiz sedangkan kita tak tahu apa yang kita baca.

 

Teringat saya kepada kisah seorang tua. Lelaki ini sudah berumur 70 tahun lebih. Satu hari dia pergi ke rumah seorang ustaz untuk belajar bahasa Arab. Apabila ditanya mengapa dia ingin berbuat sedemikian, beliau menjawab bahawa dia takut apabila didalam kubur nanti dia tak dapat menjawab soalan Mungkar dan Nangkir yang sudah pasti bertanyakan soalan dalam bahasa Arab kerana Al-Qur’an ditulis dalam bahasa Arab jelasnya!

 

Apa pendapat sdr tentang perkara ini?

Idham

Salamun alaikum,

Sekali lagi sahabat kita mendatangkan tajuk yang menarik. Terima kasih.

Suatu masa dahulu, lebih 20 tahun, kami ditemukan dengan seorang dikatakan hafiz al-Qur'an. Dia dibawa oleh seorang pegawai agama yang tinggi pangkatnya. Tujuan mereka datang adalah untuk menyiasat tentang kepercayaan kami. Kebetulan beberapa orang sahabat berada di rumah kami.

Pegawai tersebut mengajukan soalan-soalan berkaitan kekepercayaan kepada hadis. Semua dijawab dengan ayat-ayat al-Qur'an. Dan hafiz menganggukkan kepala kepada pegawainya menandakan ayat-ayat itu benar.

Akan tetapi, beberapa hari kemudian kami mendapat berita iaitu pejabat agama telah menghukum kami sekeluarga sebagai sesat, dan tidak boleh dibetulkan lagi.

Sejak peristiwa itu kami tidak menghabiskan masa, walapun sedikit, memikirkan tentang hafiz al-Qur'an. Mungkin satu hari nanti kami ditemukan pula dengan seorang hafiz yang mempercayai ayat-ayat yang dihafal, mengamalkannya, serta menyuruh orang lain mempercayai dan mengamalkan ayat-ayat Tuhan. Lalu dia menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat dan tidak membazirkan duit pihak-pihak yang membiayainya.

Turut menjadi membazir, pada hemat kami, ialah perbelanjaan ke atas orang-orang yang mengajar bahawa hafiz akan masuk syurga tanpa dihisab, dan soalan-soalan kepada si mati di dalam kubur. Mereka tidak disebut di dalam al-Qur'an, lantas menjadi antara ajaran-ajaran yang disifatkan sebagai berlebih-lebihan dalam agama. Sehubungan itu sebuah firman diturunkan di bawah:

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, janganlah berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan janganlah mengikuti keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan menyesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul.'" (5:77)

Amalan atau kepercayaan yang berlebih-lebihan dalam agama adalah sesat. Tidak mungkin itu menjadi pilihan orang-orang yang berkata percaya kepada Allah.
 

20.11.08

E-Mail
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman