Hari Natal

 

From: nadzri
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Wednesday, December 17, 2008 11:19:32 AM
Subject: RE: Hari Natal

 

Salamun alaikum

 

Jumpa lagi di arena perbincangan yang begitu menarik sekali dalam mendalami kalam Allah.

 

Tuan,

 

Tidak lama lagi (25th December 08), sepert lazimnya  saban tahun majority penganut Kristian akan menyambut perayaan hari natal. Setelah  saya bertanyakan kawan2 yang  beragama Kristian (di Malaysia), mereka bersetuju bahawa perayaan ini tiada dianjurkan dalam agama mereka tetapi diilhamkan dari idea barat.

 

Rentetan dari itu saya bertanyakan pula  rakan2 dari Asia Barat  seperti Lebanon (50% penduduknya arab Kristian) , Syria, Pelestin, Iraq  mengenai perayaan ini di kalangan penganut Arab Kristian di sana. Mereka mengatakan ia ( Natal ) adalah satu adat yg sebati di kalangan mereka dan mereka merayakan  secara harmoni dgn saudara2 (perkahwinan dgn wanita ahli kitab dibenarkan ) serta rakan taulan yg beragama Kristian. Maksudnya tiada halangan langsung merayakan Hari Natal di kalangan orang Islam, malah mereka akan ziarah menziarahi.

 

Soalan saya:

 

  1. Apa pendapat Tuan di atas scenario di atas.
  2. Terdapat ulama2 di Malaysia keluarkan “fatwa” haram mengucap salam hari natal/meraikan pada penganut Kristian.

 

Harap Tuan dapat menyuarakan pendapat utk tatapan semua.

 

T.kasih


Salamun alaikum,

Terima kasih. Senario di Asia Barat itu, semasa menyambut Hari Natal, pada hemat kami, adalah menurut kehendak Allah seperti dirakamkan di dalam Kitab-Nya, supaya manusia hidup mengenali satu sama lain dan aman damai.

Hari Natal dirai untuk memperingati kelahiran Nabi Isa, yang dipercayai berlaku di antara 7 dan 2 SM. Tanggal 25 Disember pula tidak difikirkan sebagai tarikh sebenar kelahirannya, dan tarikh tersebut telah dipilih untuk secocok dengan suatu perayaan Rom musim sejuk, iaitu ibadah menyanjung Mithra, yang popular di kalangan golongan tentera mereka.

Para pengkaji al-Qur'an pula turut mengatakan tarikh tersebut bukan tarikh Isa dilahirkan berdasarkan ayat di mana Mariam disuruh "Goyangkanlah kepada kamu batang palma; ia akan menjatuhkan kepada kamu kurma yang segar dan masak" (19:25) ketikan dia dalam kesakitan sejurus sebelum melahirkannya. Mereka berpendapat waktu buah kurma mudah digugurkan dengan mengoyangkan batang pokoknya adalah bukan bulan Disember tetapi Oktober (kalau kami tidak silap).

Apapun, mereka telah tetapkan untuk memperingati kelahiran Isa dan memilih tanggal 25 Disember sebagai hari meraikannya.

Kelahiran Isa, seoang Nabi Islam yang membawa Kitab Allah, adalah suatu mukjizat, tanda kebesaran-Nya, disebut di dalam al-Qur'an, dan dipercayai oleh semua orang Islam kerana wajib percayainya. Kalau orang-orang Islam enggan meraikan kejadian besar itu, mengapa pula memfitnah orang-orang yang ingin buat demikian? Fitnah dibangkitkan oleh para ulama mereka dengan fatwa haram bukan sahaja untuk meraikannya malah mengucap Selamat Hari Natal pun haram juga.

Pertanyaan diteruskan. Mengapa pula meraikan kelahiran Nabi Muhammad, yang turut tidak disuruh Allah? Adakah kerana al-Qur'an? Bagaimana pula dengan Injil yang juga wajib dipercayai?

Atau sengaja ingin bezakan antara Nabi-Nabi-Nya? Tidakkah ada disebut larangan ke atas amalan beza-bezakan para Nabi Allah di dalam mana-mana kitab yang mereka imani? Jawapannya, tentu tidak ada.

Tetapi di dalam Kitab Allah ada. Al-Qur'an menyebutnya bukan sekali sahaja, malah lebih daripada itu, seperti berikut:

"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan apa diberi kepada Musa dan Isa, dan apa diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)

 

"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan kepada apa diberi kepada Musa dan Isa, dan Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (3:84)

Dan bagi Rasul juga dua kali (bukankah Isa seorang Rasul Allah?):

"Rasul percaya kepada apa diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya, dan orang-orang mukmin, dan tiap-tiap seorang  percaya kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya, dan Rasul-Rasul-Nya. "Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara Rasul-Rasul-Nya." Mereka berkata, "Kami dengar dan kami taat. Wahai Pemelihara kami, kurniakanlah kami ampunan-Mu; kepada Engkau kepulangan.'" (2:285)

 

"Dan orang-orang yang percaya kepada Allah, dan Rasul-Rasul-Nya, dan mereka tidak beza-bezakan antara seorang pun antara mereka, maka mereka itu, pasti Kami akan beri mereka upah mereka; Allah Pengampun, Pengasih." (4:152)

Kalau disebut hanya sekali boleh beri alasan terlepas pandang. Tapi kalau empat kali, apakah pula alasan untuk bezakan para Nabi dan Rasul Allah? Alasannya tiada lain, melainkan "Kami dengar dan kami tentang".

 

Ayat-ayat Allah diajar supaya diingkari. Tambahan kepada ayat-ayat tadi fatwa tersebut turut menyuruh orang-orang Islam hidup bertentangan dengan ajaran al-Qur'an. Sehubungan itu, kami rujuk artikel Etiket Hidup Anjuran Quran karangan Azahidi (terima kasih sahabat!), dan petik beberapa tajuk kecil, yang kemudiannya kami selitkan sedikit ulasan supaya maksud kami jadi jelas, dan mereka disenaraikan di bawah ini:

 

2)      Buat Kebaikan

 

Yang betul, untuk beri amaran akan bencana yang keras daripada-Nya, dan untuk beri berita gembira kepada orang-orang mukmin yang buat kerja-kerja baik , bahawa bagi mereka upah yang baik, (18:2)

 

Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , sesungguhnya Kami tidak sia-siakan upah orang yang amalannya baik. (18:30)

 

Ulasan Kami:
beri ucap Selamat Hari Natal dan berkunjung ke rumah apabila dijemput, pada hemat kami, adalah lakukan kerja-kerja baik .

 

 

4)      Berkata-kata Dengan Baik

 

Tidakkah kamu lihat bagaimana Allah buat persamaan? Kata yang baik seperti pokok yang baik - akarnya teguh, dan cabangnya di langit, (14:24) Ia memberi hasilnya setiap masa dengan izin Pemeliharanya. Begitulah Allah buat persamaan-persamaan bagi manusia supaya mereka mengingati. (14:25)

 

Ulasan Kami:
beri ucap Selamat Hari Natal adalah kata yang baik.

 

 

5)      Jangan Berkata Buruk

 

Dan persamaan kata yang buruk seperti pokok yang buruk - membantun di atas bumi, tanpa kestabilan. (14:26)

 

Ulasan Kami:
Haram seperti pada fatwa di atas adalah kata yang buruk, sebab Allah tidak menganjurkannya.

 

 

8)      Jangan Sombong

 

Janganlah palingkan pipi kamu daripada manusia, dan janganlah berjalan di bumi dengan sangat gembira; Allah tidak suka setiap orang yang sombong dan banggakan diri. (31:18)

 

Ulasan Kami:
Bersikap negatif terhadap Hari Natal dan orang-orang yang meraikannya adalah sombong.

 

 

13)        Jangan Mencaci Mereka Yang Tidak Sehaluan Dengan Kita

 

Jangan mencaci-maki orang-orang yang mereka seru selain daripada Allah, atau mereka akan mencaci-maki Allah dalam membalas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami nampakkan indah bagi setiap umat amalan-amalan (perbuatan) mereka, kemudian kepada Pemelihara mereka, mereka kembali, dan Dia beritahu mereka apa mereka buat. (6:108)

 

Ulasan Kami:
Hukum haram itu serupa mencaci, kerana ia juga bermaksud tidak suci atau kotor.

 

Keburukan yang lahir daripada fatwa haram itu adalah banyak. Ia lahir kerana tidak ikut ajaran al-Qur'an. Bukankah peranan ulama untuk memastikan orang-orang Islam ikut Tuhan mereka, Allah, dan Kitab-Nya dengan taat? Dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan di kalangan masyrakat dengan fatwa-fatwa berdarjat separuh pandai.

 

Maaf dan Salam.

 

19 Dis 2008

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman