Disucikan kepada selain Allah

 

From: mohdazmel
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Cc: mohdazmel@yahoo.com
Sent: Monday, March 23, 2009 9:49:27 AM
Subject: Surah 2: Ayat 173


Salamun Alaikum tuan.

Semoga tuan dan sekeluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati Allah sentiasa.

Terima kasih kerana menerbitkan kalimat 'Sabar' di ruangan Kalimat pilihan. Semoga dapat dikongsi dengan pembaca yang lain.

Saya ingin bertanya pendapat tuan apakah maksud frasa apa-apa yang disucikan kepada selain Allah.

"Hanyalah benda-benda ini yang Dia haramkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan dan tidak menderhakai, maka tidaklah berdosa kepadanya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:173)

Bagi saya pula, frasa "apa-apa yang disucikan kepada selain Allah" ialah apa sahaja benda-benda yang dibersihkan dengan menyebut nama selain Allah adalah haram. sekiranya benda-benda ini disucikan (dibersihkan) dengan menyebut nama Allah maka tidaklah haram kita memakannya. tiga senarai teratas disebut: bangkai, darah dan daging babi diharamkan oleh Allah meskipun disucikan kepada Allah melainkan kita terpaksa, tidak inginkan dan tidak menderhakai.

Contohnya buah-buahan di luar tokong yang lazimnya disucikan kepada berhala adalah haram sebab tidak disucikan kepada Allah.

Terima kasih.

Teruskan sampaikan ayat-ayat Al-Quran.

Salam.
 

Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi untuk bertanya suatu perkara yang agak berat tetapi tidak disedar ramai. Contoh yang diberi itu juga menarik dan tepat.

Bagi kami, perkataan-perkataan disucikan dan Allah pada frasa apa-apa yang disucikan kepada selain Allah menunjukkan ada kaitan dengan agama atau kepercayaan.

Selain Allah bermaksud segala yang selain daripada-Nya, seperti berhala. Berhala adalah sesuatu atau seseorang yang dihalakan (dalam niat umpamanya), misalan matahari, bulan, raksaksa, patung, nenek moyang, tok guru, imam besar, dan manusia lain seperti Nabi dan Rasul.

Ia juga bermaksud, pada hemat kami, ajaran yang bukan ajaran-Nya.

Lantaran itu, manusia didapati telah buat pengorbanan dengan sediakan makanan, yang kadang-kala dimakan oleh para hadirin pada sesuatu majlis agama, dengan niat dibaktikan kepada berhala, bukan Allah.

Mungkin orang-orang kita ada juga yang melakukan pengorbanan dengan beri makanan kepada orang ramai, pada sesuatu majlis atau upacara keagamaan, yang niat pembaktiannya khas kepada tok guru, syeikh, imam besar, Nabi atau Rasul, bukan Allah.

Walhal, semua sudah tahu dan diucap pula dalam solat firman Allah berbunyi,

"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, dan pengorbananku, dan hidupku, dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Pemelihara semua alam.'" (6:162)

Demikianlah hanya pandangan kami.

Salam.

24.3.09

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman