Antara ciri kesesatan
From: achedeen
Date: 2009/9/11
Subject: Antara ciri kesesatan
To: Pengurus Laman <ebacaan114@gmail.com>
Salamun alaikum,
Kehadapan sahabat yang dikasihi, semoga sahabat dan semua sahabat-sahabat yang berAl-Qur'an berada dalam keadaan sihat wal'afiat dan dilimpahi dengan pengasihan dan keredhoan-Nya.
Di sini saya ingin berkongsi sedikit cerita.
Baru-baru ini salah seorang sahabat usrah kami ada memberitahu kepada kawannya (golongan tabligh) tentang laman web e-bacaan ini dan memintanya membaca dengan pemikiran yang terbuka. Walaubagaimanapun setelah beliau membaca (mungkin) beberapa artikel dari e-bacaan teruslah ia melenting dan memberitahu kepada sahabat usrah kami bahawa apa yang ada di e-bacaan sangat bahaya, sesat dan boleh menyesatkan, lalu dia melarang sahabat usrah kami dari membaca e-bacaan.
Pada saya, malang sungguh orang itu, kerana dia telah membuat kesimpulan dan keputusan yang tergesa-gesa tanpa membuat penelitian yang serius terhadap apa yang ditulis di dalam e-bacaan ini, malahan dia melarang pula orang lain dari membaca e-bacaan. Itulah antara sikap orang-orang yang kononnya beriman tetapi sebenarnya masih meragui akan kesempurnaan Al-Qur'an. Begitu banyak tulisan dalam e-bacaan ini yang menampakkan kesalahan dalam pengamalan-pengamalan mereka yang tidak menurut Al-Qur'an tetapi dengan tergesa-gesa mereka membantahnya.
Benarlah Firman Allah:
21:36. Apabila orang-orang yang tidak percaya melihat kamu, mereka hanya mengambil kamu untuk ejekan, "Inikah orang yang mengingat-ingatkan (menyebut-nyebut) tuhan-tuhan kamu?", sedang mereka, kepada Peringatan Yang Pemurah adalah orang-orang yang tidak percaya.
21:37. Manusia dicipta bersifat tergesa-gesa. Sungguh, Aku akan memperlihatkan kepada kamu ayat-ayat-Ku; maka janganlah kamu minta disegerakan.
Maka dengan sifatnya yang tergesa-gesa itu menyebabkan mereka menolak kebenaran, mendustakan ayat-ayat Allah sebelum mereka mengetahui dengan sepenuhnya, menyebabkan mereka menzalimi diri mereka sendiri.
10:39. Tidak, tetapi mereka mendustakan apa yang mereka tidak mengetahui pengetahuannya, dan yang interpretasinya belum datang kepada mereka. Begitulah orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang zalim.
Apa yang kita sampaikan ibarat mencurah air ke daun keladi, mereka tidak mahu mendengar (atau membaca) penerangan yang kita sampaikan walaupun yang disampaikan itu adalah ayat-ayat Allah.
2:6.. Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya, sama sahaja bagi mereka, sama ada kamu memberi amaran kepada mereka, atau tidak memberi amaran kepada mereka, mereka tidak mempercayai.
2:7. Allah meletakkan penutup pada hati mereka, dan pada pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka, penudung; dan bagi mereka, azab yang besar.
Hati, pendengaran dan penglihatan mereka telah tertutup, maka pemikiran, akal dan mindanya tidak dapat dipergunakannya untuk memahami ayat-ayat Allah. Kita sampaikan macam mana sekalipun mereka tetap tidak dapat menerimanya, malahan kita pula yang dikatakannya sesat.
Dengan mudah mereka mendakwa orang-orang yang berbeda pendapat dengan mereka sebagai sesat, menyeleweng dan sebagainya.
Pada hal orang-orang yang sesat itu adalah orang-orang yang menutup pemikirannya, tak mahu menggunakan hati, pendengaran dan penglihatannya (yakni akal) untuk memahami, mendengar dan memerhati ayat-ayat Allah. Mereka tidak dapat menerima sebarang perbedaan pendapat dan yang lebih malangnya mereka tidak mahu mendengar, membaca dan memerhati apa-apa sahaja yang berbeda dari amalan kebiasaan mereka.
Pada Allah, mereka lebih sesat dari binatang ternak;
7:179. Kami menciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat. Mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai.
Maka kesimpulannya merekalah yang sesat, bukannya kita, mereka lalai dari ayat-ayat Allah tetapi mereka tidak menyedarinya.
Contohnya; setiap malam jumaat mereka ada yasinnan (Baca Surah Yasin: surah 36) tetapi mereka tak faham pun maksud ayat yang menyebut tentang diri mereka sendiri;
36:7. Wajarlah Ucapan ke atas kebanyakan mereka, lalu mereka tidak mempercayai.
36:8. Sesungguhnya, Kami meletakkan pada leher-leher mereka belenggu-belenggu sampai ke dagu, lalu kepala-kepala mereka ditinggikan,
36:9. Dan Kami meletakkan di hadapan mereka satu benteng, dan di belakang mereka satu benteng; dan Kami menutup mereka, lalu mereka tidak melihat.
36:10. Sama sahaja bagi mereka, sama ada kamu memberi amaran kepada mereka atau kamu tidak memberi amaran kepada mereka, mereka tidak mempercayai.
Di hadapan dan di belakang mereka ada di dinding, maksudnya pemikiran mereka sempit dan tertutup, hanya berfikir di dalam kotak pemikiran yang sempit dan tertutup, berfikiran jumud, beku dan tak boleh berfikir di luar kotak sepeti katak bawah tempurung. Mereka tidak dapat menerima lain-lain pandangan apatah lagi pandangan yang menyentuh amalan kebiasaan mereka.
Maka pada Allah, merekalah yang sesat.
Malahan sikap buruk mereka adalah menghalang pula orang lain untuk belajar, membaca, berusrah dan sebagainya bagi mencari kebenaran.
4:167. Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya dan menghalangi daripada jalan Allah, mereka sesat dalam kesesatan yang jauh.
Mereka tidak puas hati terhadap orang-orang yang berusaha mempelajari Al-Qur'an, mereka menakut-nakutkan kita dengan pelbagai perumpamaan dan istilah seperti sesat, antihadis, kafir, ahli sihir dan sebagainya.
17:45. Apabila kamu membaca al-Qur'an, Kami meletakkan antara kamu dan orang-orang yang tidak mempercayai akhirat, satu tabir yang mengadang,
17:46. Dan Kami meletakkan penudung pada hati mereka supaya mereka tidak memahaminya, dan di dalam telinga mereka sumbatan. Dan apabila kamu mengingatkan (menyebut) Pemelihara kamu satu-satunya di dalam al-Qur'an, mereka berpaling ke belakang mereka dalam pelarian.
17:47. Kami sangat mengetahui bagaimana mereka mendengarkannya, apabila mereka mendengarkan kamu, dan apabila mereka berbicara rahsia, apabila orang-orang yang zalim berkata, "Kamu hanyalah mengikuti seorang lelaki yang kena sihir."
17:48. Perhatikanlah bagaimana mereka membuat persamaan-persamaan terhadap kamu, dan menjadi sesat, dan tidak boleh mendapatkan jalan.
Itulah antara cabaran bagi kita yang berAl-Qur'an, dihimpit dan diserang dari segenap sudut oleh mereka yang tidak percaya. Hanya dengan membaca ayat-ayat Allah dan mengingati-Nya sahaja dapat menenangkan jiwa kita. Pelbagai ayat Allah jelaskan di dalam kitab-Nya agar kita berasa gembira dengan petunjuk-Nya..
39:23. Allah menurunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab, yang serupa (mutasyabihat) dalam pengulangannya, dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka; kemudian kulit mereka dan hati mereka menjadi lembut (saya tafsirkan sebagai tenang) pada mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengannya Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki; dan sesiapa yang Allah menyesatkan, maka tidak ada baginya yang memberi petunjuk.
Dan yang paling pentingnya, Allah berjanji kepada kita (orang-orang yang percaya) bahawa mereka yang sesat itu tidak akan dapat memudaratkan kita yang benar-benar mengikuti wahyu-Nya.
5:105. Wahai orang-orang yang percaya, jagalah jiwa kamu sendiri. Orang yang sesat tidak memudaratkan kamu jika kamu mendapat petunjuk yang benar. Kepada Allah kamu kembali, kesemuanya, dan Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu telah buat.
Alhamdulillahhirabbil'alamin, begitulah sedikit coretan dari saya kepada sahabat-sahabat semua sempena bulan yang diturunkan Al-Qur'an, yang baik dan benar semuanya dari Allah, yang silap adalah dari kelemahan saya sendiri, semoga Allah memaafkan saya.
Terima kasih.
Subhanakallahumma : Engkau disanjung Ya Allah
Alhamdulillahhirabbil'alamin : Segala puji bagi Allah Pemelihara semua alam
Che Deen.Salam.
Salamun alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis lagi, kali ini memberi peringatan tentang orang sesat pula.
Pendek kata, al-Qur'anlah yang menjadi penentu bagi orang yang dikatakan mendapat petunjuk dan orang yang dalam kesesatan yang nyata. Firman Allah,
"Dan untuk membaca al-Qur'an. Maka sesiapa mendapat petunjuk, hanyalah mendapat petunjuk bagi dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat, katakanlah (Muhammad), 'Aku hanya seorang pemberi amaran.'" (27:92)
"Dia yang menetapkan al-Qur'an kepada kamu benar-benar akan mengembalikan kamu ke tempat kembali. Katakanlah, 'Pemeliharaku sangat mengetahui siapa yang datang dengan petunjuk, dan siapa yang dalam kesesatan yang nyata.'" (28:85)
Salam.
13 Sept 2009
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles