Agama Ibrahim yang lurus (2)

 

 

From: Aku Shai
Date: 2009/9/28
Subject: Agama Ibrahim yang lurus
To:
ebacaan114@gmail.com

Salamun Alaikum

Semoga tuan berada dalam keadaan yang baik-baik di dalam lindungan-NYA

saya ingin bertanya sedikit pandangan tuan dengan artikel agama ibrahim yang lurus apa pendapat tuan dengan artikel berkenaan, tksh kerana membanu

Salam
 


Salamun alaikum,

Kepada pengirim telah diberitahu bahawa kami keberatan untuk membuat sebarang ulasan ke atas pendapat Mohammad Taufiq tetapi selepas itu fikiran kami berada dalam keadaan terganggu lalu bercadang mengubah pendirian. Terganggu kerana mengingatkan ayat-ayat al-Qur'an yang berkaitan artikel tersebut.

Antara ayat-ayat yang dimaksudkan berbunyi,

"Wahai Bani Adam, jika datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat-Ku, maka sesiapa bertakwa, dan membetulkan, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (7:35)

Bani Adam! Sekiranya diterima pendapat bahawa semua manusia yang ada pada hari ini, dan semua nenek moyang mereka, adalah Bani Adam maka semua manusia, sejak Adam, telah didatangi rasul-rasul yang menceritakan ayat-ayat Allah. Maka tiada seorang manusia pun, sejak Adam, yang tidak tahu tentang ayat-ayat-Nya.

Semua tahu tentang ayat-ayat-Nya. Pendapat disokong pula dengan beberapa ayat lain, contoh seperti diturunkan di bawah:

"Bagaimanakah pula ia, apabila Kami mendatangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi, dan apabila Kami mendatangkan kamu sebagai saksi ke atas mereka itu?" (4:41)

"Dan pada hari Kami membangkitkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi, kemudian bagi orang-orang yang tidak percaya tidak diizinkan, dan tidak juga mereka diredai." (16:84)

"Dan pada hari Kami membangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi ke atas mereka daripada kalangan mereka sendiri, dan Kami mendatangkan kamu sebagai saksi ke atas mereka itu. Dan Kami menurunkan kepada kamu al-Kitab, penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk, dan pengasihan, dan sebagai berita gembira, bagi orang-orang muslim." (16:89)

Kali in disebut tiap-tiap umat pula! Bermaksud semua umat di muka bumi, tiada yang berkecuali, telah didatangkan para saksi. Saksi-saksi atas kebenaran yang diturunkan Allah. Selain daripada saksi, tiap-tiap umat juga dikatakan telah didatangi oleh rasul. Firman-Nya,

"Tiap-tiap umat ada rasulnya; kemudian apabila rasul mereka datang, dengan adil perkara diputuskan antara mereka, dan mereka tidak dizalimi." (10:47)

"Sesungguhnya Kami telah membangkitkan dalam tiap-tiap umat seorang rasul, 'Sembahlah Allah, dan jauhilah Thagut.' Kemudian antara mereka ada yang Allah memberi petunjuk, dan antara mereka wajar dengan kesesatan. Maka mengembaralah di bumi, dan perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang mendustakan." (16:36)

Akan tetapi, rasul-rasul yang didatangkan dengan ayat-ayat-Nya kepada tiap-tiap umat telah, antara lain, didusta dan disangkal. Demikian difahamkan daripada ayat berbunyi,

"Kaum Nuh, sebelum mereka, telah mendustakan, dan golongan-golongan selepas mereka; tiap-tiap umat bermaksud terhadap rasul mereka, untuk mengambilnya, dan mereka membantah dengan yang palsu untuk menyangkal yang benar dengannya. Kemudian Aku mengambil mereka; dan bagaimanakah dengan pembalasan sewajar-Ku!" (40:5)

Ayat-ayat mengenai golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah daripada tiap-tiap umat ditambah dengan dua yang berikut:

"Pada hari Kami mengumpulkan daripada tiap-tiap umat, sekumpulan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dengan berbaris," (27:83)

"Dan Kami mengeluarkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi, dan Kami berkata, 'Kemukakanlah bukti kamu!' Kemudian mereka mengetahui bahawa yang benar (hak) kepunyaan Allah, dan sesatlah (hilanglah) daripada mereka apa yang mereka mengada-adakan." (28:75)

Justeru, terdapat daripada tiap-tiap umat orang-orang yang muslim dan yang tidak muslim. Apapun, semua telah didatangkan ajaran agama Allah. Tiada yang tidak didatangkan atau mengetahuinya. Perkara ini tidak harus diragukan.

Bagi Nabi Muhammad pula, mesej yang dibawanya adalah untuk tiap-tiap kaum. Firman Allah,

"Orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Mengapa satu ayat (mukjizat) tidak diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya?' Kamu hanyalah seorang pemberi amaran, dan seorang pemberi petunjuk bagi tiap-tiap kaum." (13:7)

Oleh kerana ia merupakan firman Allah, dan benar, maka tiap-tiap kaum di muka bumi ini, tentu tahu tentang agama yang dibawa Nabi Muhammad. Tentang itu, juga tidak ada keraguan ke atasnya.

Sehubungan dengan segala yang katakan di atas, kami menceduk pula sebahagian daripada kandungan buku kecil Ahmet Deedat berjudul "Atnatu", A NOVEL CONCEPT OF GOD. Kami ringkaskan seperti di bawah ini:

Orang-orang Zulu di Afrika Selatan memanggil Tuhan dengan nama uMVELINQANGI. Apabila disebut menurut loghat mereka ia berbunyi seperti sebutan Arab iaitu Walla-hu-gani yang bermaksud Dan Allah Yang Kaya. Bunyinya sama juga dengan Allegany perkataan orang-orang Red Indian Amerika Utara. Daripada bunyi dan maksud ia seolah islamik.

Apabila orang-orang Zulu ditanya siapa atau apakah uMVELINQANGI mereka akan menerangkan dalam bahasa mereka yang bermaksud:

"Oh Tuhan! Dia adalah murni dan Roh Suci, Dia tidak beranak dan Dia tidak diperanakkan, dan lagi tidak ada serupa Dia."

Tidakkah itu seakan serupa dengan bunyi Surah Ikhlas - "Katakanlah, 'Dia Allah, Satu. Allah, tempat perlindungan yang berkekalan, Yang tidak beranak, dan tidak diberanakkan, Dan yang setara dengan Dia, tiada sesiapa.'"

Tiap-tiap suku bangsa Afrika, ke selatan Sungai Zambesi akan menerangkan konsep yang murni lagi suci serupa konsep Zulu ke atas Allah. Mereka tidak membuat sebarang patung bagi Tuhan, dan jika ditanya mengapa, seorang tua menjelaskan, "Bagaimanakah kita membuat patung-patung yang menyerupai Dia padahal kita tahu Dia bukan seperti seorang manusia, Dia bukan seperti seekor monyet, atau gajah atau ular: Dia tidaklah seperti apa-apa yang kita boleh fikirkan atau bayangkan. Dia adalah murni dan Roh Suci."

Ahmet Deedat tidak pula menyebut konsep ketuhanan yang mirip Islam itu datang daripada ajaran Nabi Muhammad atau dari sebelum baginda. Tapi tentu ada rasul yang mengajar mereka.

Antara pelbagai konsep ketuhanan islamik yang tua di merata dunia dicatat oleh beliau, paling menggelikan hati ialah Atnatu (seakan bunyi Allahu) yang dipercayai orang asli di Australia. Mereka percaya bahawa Bapa di langit tidak terikat langsung kepada semua keperluan; Dia merdeka; Dia tidak memerlukan makanan atau minuman. Lantas Dia diberi nama Atnatu yang kurang lebih bermaksud "Suatu tanpa dubur - Suatu tanpa cela". Maksudnya lagi, Dia tidak makan. Seperti firman berbunyi, "Dia yang memberi makan, dan tidak diberi makan" (6:14).

Demikian sedikit contoh untuk membuktikan kebenaran Allah atas tiap-tiap umat atau kaum yang telah diutuskan-Nya para saksi atau rasul untuk menyampaikan ayat-ayat-Nya. Tiap-tiap umat atau kaum tahu tentang agama Allah.


Akhir sekali, ingin menyentuh mengenai agama Ibrahim yang lurus, yang diseru supaya ditegakkan dengan ungkapan-ungkapan seperti berikut:

"Mari saudara-saudaraku, kita saling bahu membahu menegakkan agama Ibrahim yang lurus" dan,

"Mari kita tegakkan agama Ibrahim yang lurus"

Bukan kami menolak agama Ibrahim yang lurus tetapi seruan untuk menegakkannya, pada hemat kami, akan menempuh jalan yang amat sukar atau buntu. Beberapa pertanyaan akan terbit, seperti di dalam kitab antara mereka yang diseru, mengatakan Nabi Ibrahim berkhatan, dan sebagainya. Atau orang-orang yang telah disebut di atas, seperti Zulu, puak-puak di selatan Afrika, Red Indian di Amerika Utara, dan orang asli Australia yang mungkin tidak pernah dengar nama Ibrahim dalam "keislaman" kepercayaan mereka yang lama.

Sebagai ganti, kami syorkan ikut al-Qur'an, yang di dalamnya tidak ada suruhan untuk menyeru menegakkan agama Ibrahim. Dalam membuat seruan, al-Qur'an ada menyatakan:

"Katakanlah, 'Ini jalanku. Aku berseru kepada Allah dengan bukti-bukti yang nyata, aku dan sesiapa yang mengikuti aku. Kepada Allah sanjungan! Dan aku tidak termasuk orang-orang yang menyekutukan.'" (12:108)

"Serulah ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Pemelihara kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia sangat mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (16:125)

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah apabila dia diseru kepada islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (61:7)

Lantaran itu, seruan yang sebenar ialah menyeru orang ramai kepada Allah, atau ke jalan-Nya, atau islam. Dan bukti-buktinya pun ada dengan, bukan sahaja nyata, tetapi banyak sekali.

Sekian. Diharap mana-mana pihak tidak tersinggung dengan hujah kami di sini.

Salam.


5 Oktober 2009

E-Mail

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman