Umrah

 

From: husmali
Date: 2009/10/30
Subject: Bulan-bulan haji
To:
ebacaan114@gmail.com


Salaamun alaikum,
Tuan Pengurus Laman,
Semoga berbahagia selalu.
 
Tujuan saya menulis pada kali ini ialah untuk bertanya pendapat tuan tentang bulan-bulan haji dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya berdasarkan panduan Quran.
 
Pada surah 2 ayat 197:
 
Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui; sesiapa yang menetapkan untuk Haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya, dan tidak boleh berbuat fasiq, dan tidak boleh berbantahan semasa dalam Haji. Dan apa-apa kebaikan yang kamu buat, Allah mengetahuinya, dan berbekallah kamu, tetapi bekal yang paling baik ialah takwa; maka kamu takutilah Aku, wahai orang-orang yang mempunyai minda.
 
1)  Adakah bulan-bulan haji sama dengan bulan-bulan haram yang mempunyai 4 bulan jumlahnya
 
2)  Apakah nama untuk bulan-bulan haji dan bulan-bulan haram
 
3)  Bolehkah ibadat haji dikerjakan pada bulan-bulan haji selain Zulhijjah
 
4)  Bolehkah umrah dikerjakan dalam bulan-bulan selain bulan-bulan haji
 
5)  Apakah intisari-intisari ibadah umrah berdasarkan Quran
 
Harap maaf, jika soalan-soalan di atas mengganggu dan memberatkan tuan pengurus laman.
 
Husmali


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Soalan-soalan didapati baik, namun kami tidak memberi tumpuan kepada semua kerana antaranya terdapat perkara sudah disentuh, seperti kaitan empat bulan haram dengan bulan-bulan Haji yang bermula pada bulan Zulhijjah.

Tumpuan hanya kepada soalan mengenai Umrah. Untuk memulakan memberi pendapat diturunkan ayat al-Qur'an yang mengandung kalimat berkenaan iaitu,

"Sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah; tetapi jika kamu dihalangi, maka pemberian yang mudah didapati, dan jangan mencukur kepala kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban. Jika sesiapa antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban. Apabila kamu berasa aman, sesiapa yang menikmati Umrah sehingga Haji, maka hendaklah pemberiannya daripada yang mudah didapati, atau jika dia tidak mendapati sesuatu, maka berpuasalah tiga hari dalam Haji, dan tujuh apabila kamu kembali. Itulah sepuluh, genap; demikian itu adalah bagi orang yang keluarganya tidak hadir di Masjidil Haram. Dan takutilah Allah, dan ketahuilah bahawa Allah keras dalam pembalasan sewajarnya." (2:196)

Daripada ayat di atas dapat difahamkan bahawa Haji dan Umrah adalah dua nama ibadah yang berlainan, sekali gus menunjukkan terdapat perbezaan, kecil atau besar, dalam amalan dan mungkin juga dalam masa untuk melaksanakan mereka.

Kalimat asal 'umrah (perkataan jenis nama) telah diterjemah kepada umrah juga seperti pada ayat tadi. Sebuah lagi ayat yang di dalamnya mengandungi terjemahan yang sama tetapi kalimatnya (daripada akar yang sama) berbunyi lain sedikit kerana ia jenis perbuatan pula. Kalimat yang dimaksudkan ialah i'tamara, dan ayat yang membawanya berbunyi,

"Safa dan Marwa adalah antara tanda-tanda Allah, maka sesiapa melakukan Haji di Rumah, atau berkunjung (Umrah), tidaklah bersalah ke atasnya untuk bertawaf antara keduanya; dan sesiapa mengerjakan kebaikan dengan sukarela, maka sesungguhnya Allah Mensyukuri (Berterima Kasih), Mengetahui." (2:158)

Ayat kedua dan terakhir yang mengandungi perkataan umrah juga menunjukkan bahawa ibadah Haji dan Umrah adalah bukan satu, dan kelihatan juga tidak dilakukan pada masa yang sama.

Ketidaksamaan selanjutnya dapat difahamkan daripada beberapa ayat mengenai Haji pula. Contoh ayat ialah berbunyi,

"Mereka menanyai kamu mengenai bulan-bulan baru. Katakanlah, "Mereka adalah waktu-waktu yang ditetapkan bagi manusia, dan Haji." (2:189)

Hanya Haji disebut. Maka umrah boleh dilakukan pada hari-hari selain hari bulan baru, atau hari pertamanya.

 

Selanjutnya didapati Haji disempurna pada pada bulan-bulan sudah diketahui. Sekali lagi Umrah tidak disebut bersama Haji. Sila lihat ayat di bawah:

"Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui; sesiapa yang menetapkan untuk Haji padanya, tidak boleh bercampur dengan isterinya, dan tidak boleh berbuat fasiq, dan tidak boleh berbantahan semasa dalam Haji." (2:197)

Dengan itu boleh disimpulkan bahawa umrah boleh dilakukan pada bulan-bulan lain, selain daripada empat yang diketahui.

 

Akhir sekali, didapati hanya Haji disebut sebagai ibadah wajib dan ia disuruh supaya menyeru manusia untuk menyempurnakannya. Dua ayat berikut menjelaskan:

"Adalah kewajipan manusia terhadap Allah untuk datang berhaji ke Rumah, jika dia boleh membuat jalannya ke sana." (3:97)

 

"Dan serulah manusia kepada Haji, dan mereka akan datang kepada kamu berjalan kaki, dan di atas tiap-tiap haiwan yang kurus, mereka datang dari tiap-tiap jurang yang dalam," (22:27)

Pun begitu, terdapat persamaan pada mereka iaitu mereka berdua disempurnakan hanya untuk Allah semata, bukan untuk tujuan lain - contoh, untuk meningkatkan perniagaan dan sebagainya. Firman Allah,

"Sempurnakanlah Haji dan Umrah kerana Allah" (2:196).

Orang-orang yang bertujuan lain atau berdoa untuk mendapatkan dunia akan hanya diberi dunia, tetapi di akhirat kelak mereka tidak mendapat sebarang bahagian atau bermaksud tidak akan mendapat tempat di syurga. Firman-Nya,

"Antara manusia ada yang berkata, 'Wahai Pemelihara kami, berilah kami di dunia", dan tiadalah baginya bahagian di akhirat.'" (2:200)

Kemudian didapati Umrah dan Haji boleh dilakukan berturut-turut seperti disebut di dalam ayat 2:196 tadi, berbunyi,

"sesiapa yang menikmati Umrah sehingga Haji, maka hendaklah pemberiannya daripada yang mudah didapati,"

Frasa menikmati Umrah sehingga Haji membayangkan seseorang boleh berada di sana sebelum hari-hari ibadah Haji bermula. Haji bermula dari Arafah. Lantaran itu orang-orang yang mengerjakan umrah tidak perlu membuat perjalanan dari Arafah dan berakhir di Rumah seperti orang Haji.

 

Rumah tersebut dibuat oleh Allah untuk menjadi tempat berkunjung, dan tempat aman, bagi manusia. Firman-Nya,

"Dan apabila Kami membuatkan Rumah untuk menjadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman" (2:125)

Tidak pula disebut had berkunjung seperti had empat bulan bagi bulan-bulan haram/haji. Oleh itu ia boleh dikunjungi pada bila-bila masa.

 

Kawasan di sekitar Rumah di panggil Medan Ibrahim. Sesiapa memasukinya dia akan berasa aman. Di situ juga menjadi tempat solat. Firman Tuhan,

"Ambillah bagi kamu Medan Ibrahim untuk tempat solat." (2:125)

 

"medan Ibrahim, dan sesiapa memasukinya dia berasa aman." (3:97)

Seterusnya difahamkan iaitu Rumah, atau Kaabah pada hemat kami, adalah juga untuk manusia mengelilinginya, atau tawaf, selain beriktikaf dan melakukan solat. Firman-Nya,

"Bersihkanlah Rumah-Ku untuk orang-orang yang mengelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud." (2:125)

Suruhan yang hampir sama disebut lagi di dalam ayat berikut:

"Dan kamu bersihkanlah Rumah-Ku untuk orang-orang yang mengelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud." (22:26)

Lantaran itu, orang-orang yang mengunjungi Medan Ibrahim dan mereka yang mencari ketenangan, seperti orang-orang yang melakukan Umrah, mereka bertawaf, beriktikaf dan melakukan solat di situ di samping bertawaf di Safa-Marwa jika mereka mahu. Sehubungan itu, diingatkan pesanan Allah berbunyi,

"sesiapa memuliakan tanda-tanda Allah, itu adalah daripada ketakwaan hati." (22:32)

Untuk amalan lain, misalan bersedekah, berpakaian baik untuk mengerjakan solat terutama di Masjid, dan sebagainya, tidak perlu disebut lagi sebab sudah menjadi basahan bagi orang-orang mengikuti ajaran-Nya yang terkandung di dalam al-Qur'an.

 

Akhir kata, daripada pendapat kami yang telah diutarakan, kami percaya bahawa Umrah dilaksana bila-bila masa selain pada bulan-bulan untuk Haji. Pelaksanaannya pula umpama berkunjung sahaja, tetapi dengan beberapa petunjuk.

 

Terima kasih.
Salam.

 


16 Nov 2009

E-Mail

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman