Meraikan kemenangan perjudian
From: husmali
Date: 2009/11/19
Subject: Merai'kan kemenangan perjudian
To: e-bacaan <ebacaan114@gmail.com>
Salaamun alaikum,
Tuan Pengurus Laman.
Semoga Tuan Pengurus sentiasa berada di dalam pemeliharaan Allah dengan penuh ketenangan dan bahagia.
Di dalam bertanyakan tentang keadaan Tuan, ingin pula mengambil kesempatan untuk mendapatkan penjelasan Tuan berdasarkan pengajaran Quran tentang merai'kan teman sejawat yang memenangi penjudian cabutan empat nombor dan cabutan TOTO yang begitu popular dan mengancam di tempat saya.
Bila ada saja pemenang daripada cabutan empat nombor atau TOTO, kami sepejabat akan diberi habuan yang berupa makanan dan minuman oleh sipemenang itu. Beliau ini berbesar hati dengan kemenangannya itu lantas memberi makan dan minum kepada kami secara percuma.
Perasaan was-was segera timbul di anatara kami yang berugama Islam. Sebahgian dengan segera telah menghukumkan haram ke atas makanan yang sedemikian dan yang lain pula mengambil sikap berdiam diri di dalam soal ini.
Demi menjaga kemurnian perhubungan di pejabat keseluruhan yang beragama Islam di tempat saya berkerja tidak pernah mengutarakan hal ini kepada pihak pemenang dan rakan-rakan bukan muslim mereka.
Saya pun terkadang terbawa-bawa oleh rasa was-was sebegini kerana memakan makanan yang di"belanjakan" oleh pemenang permainan judi empat nombor atau TOTO.
Diharap dapatlah Tuan memberikan pandangan yang berdasarkan AlQuran apakah boleh dimakan makanan yang didapati daripada hasil perjudian atau sebaliknya.
Terimakasih dan semoga dirahmati Allah. Salaam.
Salamun alaikum,
Terima kasih. Perasaan sahabat atas subjek yang disebut, pada hemat kami, adalah Quranik.
Judi tidak merupakan amalan baik, walaupun dikatakan terdapat sedikit manfaat padanya. Syaitan dan dosa besar adalah antara perkataan yang Allah guna untuknya. Dan perkara yang berdosa adalah haram, menurut-Nya lagi.
Dengan kata-kata itu, jenis judi yang diamal rakan sahabat kita, pada hemat kami seterusnya, harus dijauhi. Seterusnya, perbuatan dia didapati mencubit pihak lain pula. Lantas, sesuatu tindakan harus dilakukan.
Satu daripada tindakan mampu dilakukan ialah menolak makanan yang dibelanja atas kemenangan perjudian tersebut. Penolakan dibuat dengan manis, contoh, dengan bersenyum dan kata-kata yang lembut dan baik. Besar kemungkinan dia tidak bertanya kerana sudah tahu. Andaikata dia bertanya, maka jawab dengan ringkas bahawa permainan empat nombor itu adalah judi. Firman Allah,
"Orang-orang yang bersabar, dengan menginginkan Wajah Pemelihara mereka, melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang menolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad," (13:22).
Membuat sesuatu yang tidak disuruh atau dilarang Allah adalah serupa dengan bertuhankan selain daripada Dia. Lalu makanan yang diberi untuk meraikan kemenangan tersebut telah dibelanja atas sesuatu yang selain daripada Allah. Oleh itu, ia tidak harus dimakan.
Kami faham "menjaga kemurnian perhubungan di pejabat" itu penting. Ia adalah antara beberapa perkara penting dalam kehidupan kita. Namun, bagi kami, antara perkara-perkara yang penting ada pula yang menjadi keutamaan atau priority. Dalam kes ini, keutamaannya ialah Wajah Allah.
Sekiranya Allah diutamakan dan yang penting dibelakangkan maka kami percaya tindakan tersebut tidak akan menimbulkan sebarang kesedihan bagi orang yang berbuat demikian, dengan izin Allah.
Sekian.
Allah disanjung!
23 Nov 2009Halaman Utama Terkini Perpustakaan Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles