Ayat 2:62 dan 3:85

 

From: tj.tokjanggut
Date: 2009/11/25
Subject: Antara Islam, Yahudi, Kristian dan Sabiin
To: e-bacaan <
ebacaan114@gmail.com>


Salamunalaikum,

Di sini saya akan memetik 2 ayat iaitu yang pertama:

 

2:62. Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.

 

Dan yang kedua ialah:

 

3:85. Sesiapa mencari agama selain daripada Islam, ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirat dia adalah antara orang-orang yang rugi.

 

Boleh tak tuan berikan sedikit pencerahan tentang dua ayat di atas?


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Bagi kami, nama-nama Yahudi, Kristian dan Sabiin adalah hanya panggilan yang mereka guna terhadap kepercayaan mereka. Atau label yang mereka pakai. Sehubungan itu, sebagai contoh diturunkan sebuah ayat, atau lebih tepat sebahagian daripada ayat yang menunjukkan pemakaian tersebut, berbunyi,

"orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian'" (5:82).

Pada hemat kami, bagi Allah, dalam penyembahan kepada-Nya (manusia dan jin dicipta untuk menyembah-Nya) hanya terdapat tiga golongan besar bagi manusia iaitu:

  1. orang-orang yang percaya
     

  2. orang-orang tidak percaya, dan,
     

  3. orang-orang yang berkata percaya, tetapi sebenarnya tidak percaya.

Tiga golongan itu didapati dikisahkan dari awal lagi di dalam al-Qur'an surah al-Baqarah. Nama-nama kepercayaan tidak disebut. Perkataan Islam pun tidak disebut di situ. Namun, mereka boleh diertikan dengan perkataan lain kepada (1) orang-orang Islam, (2) orang-orang kafir, dan (3) orang-orang munafik.

 

Ayat 2:62 mengkategorikan orang-orang Yahudi, Kristian dan Sabiin bersama golongan pertama tadi, iaitu orang-orang yang percaya - "Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin..." - dan orang-orang yang percaya pula telah diterangkan sebagai Islam.

 

Ciri-ciri yang membolehkan manusia jadi Islam juga disebut di dalam ayat tersebut, iaitu percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik . Ayat tersebut dirakamkan sekali lagi di sini, seperti berikut:

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62)

Tentu sekali mereka yang dinamakan di dalam ayat telah percaya dan lakukan apa yang dinyatakan di situ.

 

Mereka yang memakai label Yahudi, Kristian dan Sabiin mungkin tidak sedar bahawa jiwa mereka adalah sebenarnya Islam. Seperti terjadi kepada seorang paderi Kristian-Katolik di sebuah negara Barat yang tidak begitu senang dengan kepercayaan agama yang diterima, lalu beralih gereja dari Katolik ke Protestant, tetapi setelah membaca sebuah terjemahan al-Qur'an, mengatakan dalam dirinya bahawa itulah yang dia percaya selama itu, lantas terus mencari sebuah masjid di dalam Directory untuk memeluk agama Islam. Beliau kemudian berganding bahu dengan Ahmet Deedat dalam penyebaran Islam dan kitab al-Qur'an.

 

Ini buktikan bahawa di kalangan Kristian pun ada orang yang berjiwa Islam. Begitu juga dalam dua lagi grup yang disebut tadi.

 

Merujuk pula kepada ayat ke-2 yang diutarakan di atas berbunyi, "Sesiapa mencari agama selain daripada Islam, ia tidak akan diterima daripadanya, dan di akhirat dia adalah antara orang-orang yang rugi" (3:85). Apabila ia dicantumkan dengan ayat pertama maka dapat diadakan label seperti orang yang percaya-Islam, Kristian-Islam, Yahudi-Islam, dan Sabiin-Islam.

 

Demikianlah kaitan yang terdapat pada kedua-dua ayat, menurut hemat kami.

 

Selanjutnya, dengan berbekalkan bukti-bukti yang tercatat di beberapa halaman di laman web ini atas kehadiran ajaran Kristian dalam amalan Islam-manusia maka boleh diadakan satu lagi label, seperti tadi, tetapi bunyinya terbalik sedikit, iaitu Islam-Kristian!

 

Pendapat kami atas perkara diaju berakhir di situ.

 

Salam.

 


27 Nov 2009

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman