Menyentuh Perempuan dan Junub

 

From: janggutputih
Date: 2009/11/27
Subject: Bersentuhan.
To:
ebacaan114@gmail.com

 

Salamun'alaikum Tuan.

4:43. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu mengucapkan, dan jangan dalam junub, kecuali kamu menyeberangi satu jalan, sehingga kamu mandi; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu telah menyentuh perempuan, dan kamu mendapati tiada air, maka bertayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka-muka kamu dan tangan-tangan kamu; sesungguhnya Allah adalah Pemaaf, Pengampun.

Pada frasa, ' atau kamu telah menyentuh perempuan '; apakah maksudnya menyentuh seperti menyentuh tangan, atau melakukan persetubuhan ?.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Perkataan menyentuh di situ diterjemah daripada kalimat lamasa. Terdapat hanya dua ayat al-Qur'an yang mengandunginya. Satu lagi berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkanlah diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu menyentuh perempuan, dan kamu mendapati tiada air, maka bertayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu, dan tangan kamu dengannya. Allah tidak menghendaki untuk membuat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia menghendaki untuk membersihkan kamu, dan supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih." (5:6)

Konteksnya sama dengan yang pertama, yang disebut sahabat janggutputih di atas.

 

Apabila melihat kepada keadaan-keadaan lain yang segrup, iaitu sakit, dalam perjalanan, atau dari tandas, yang tidak berlaku setiap masa, maka menyentuh perempuan di situ adalah bukan seperti sentuhan biasa.

 

Kamus Hans Wehr menyatakan bila menyentuh digandingkan dengan perempuan ia bermaksud "to have sexual intercourse" atau "bersetubuh".

 

Mungkin ia berkaitan dengan junub yang disebut lebih awal di dalam ayat di atas. Menurut A Dictionary of Modern Written Arabic (Hans Wehr) kalimat tersebut bermaksud "in a state of major ritual impurity; not belonging to the tribe, not a kinsman .... the neighbour not belonging to the family" (muka surat 139).

 

Sementara Lexicon (Lane) dalam penjelasannya yang panjang lebar (halaman 465), ada menyebut "unta" dan "susu" di samping "by reason of sexual intercourse and discharge of the semen". Maka junub bermaksud berada dalam keadaan kotor dari segi peribadatan, misalan keadaan selepas persetubuhan dan sebarang kegiatan yang mengeluarkan air mani. Keadaan "kotor" sedemikian memerlukan seseorang untuk membersihkan diri atau mandi.

 

Terdapat dua lagi ayat mengandungi perkataan junub, tetapi bermaksud yang lain, iaitu jauh atau bukan kerabat (menurut Lexicon juga). Ayat-ayat dimaksudkan adalah:

4:36. Sembahlah Allah, dan janganlah menyekutukan sesuatu dengan-Nya. Berbuatbaiklah kepada ibu bapa, dan kepada sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran yang kerabat, dan jiran yang jauh (bukan kerabat), dan teman di sebelah kamu, dan musafir, dan apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong, membanggakan diri,

 

28:11. Dan dia berkata kepada saudara perempuannya, "Ikutlah dia", dan dia melihatnya dari jauh, sedang mereka tidak menyedari.

Menurut Concordance (H.E.Kassis) junub bermaksud "stranger, (adj) defiled; (with prep. 'an) from afar" (muka surat 598). Maka junub mengandungi dua makna yang berbeza, iaitu seperti disebut ayat-ayat di atas, dan kotor atau tercemar (defiled).

 

Pun begitu, terdapat pendapat yang mengatakan junub hanya bermaksud jauh. Pendapat itu diuji di sini dengan meletakkan perkataan "jauh" pada junub di dalam ayat wuduk kedua, seperti berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam (keadaan) jauh (junub), bersihkanlah diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu menyentuh perempuan, dan kamu mendapati tiada air, maka bertayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu, dan tangan kamu dengannya...." (5:6)

Maksudnya, jika kita dalam keadaan jauh (jauh daripada air, menurut pendapat tersebut) maka kita bersihkan diri (dengan air! seperti membasuh muka, tangan dan lain).

 

Atau jika mereka bermaksud bukan jauh daripada air, maka kami bertanya, jauh daripada apa (yang kita patut membersihkan diri, dengan air)?

 

Pendapat kami pula, ayat tersebut menyatakan diri (dalam junub) dibersihkan, sementara muka dan tangan hinggu siku dibasuh, dan kepala serta kaki hingga pergelangannya disapu - dengan air - dalam "wuduk" sebelum solat.

 

Jika tiada air, maka diri yang dalam junub, empat bahagian anggota badan tersebut menjadi dua sahaja, diri dalam keadaan sakit, atau dalam perjalanan, atau datang dari tandas, atau menyentuh perempuan - disuruh bertayamum sahaja dalam "wuduk" - sebelum melakukan solat.

 

Mencuit mengenai junub dan menyentuh perempuan yang sama-sama mengeluarkan air tertentu. Tapi ada sedikit perbezaan, kerana air dikeluarkan dalam junub bukan sahaja daripada menyentuh perempuan, malah daripada cara yang selain daripadanya jua.

 

Sayugia diingat, ayat-ayat wuduk tersebut adalah bagi orang-orang yang percaya yang mampu berdiri untuk solat. Bagi yang tidak mampu, misalan orang sakit serta terlantar di atas katil dan tidak boleh bangun, dia tidak perlu berwuduk, apatah lagi untuk bertayamum, sebelum melakukan solat.

 

Sekian pendapat kami.

 

Allah disanjung!


28 Nov 2009
dikemaskini 29.7.11

E-Mail

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman