Kalimat Bani di dalam al-Qur'an


Terdapat dua Bani (anak-anak) dengan nama khas di dalam al-Qur'an, iaitu Bani Adam dan Bani Israil. Ayat-ayat yang mengandungi mereka adalah seperti berikut:


Bani Adam

7:26. Wahai Bani Adam, Kami telah menurunkan kepada kamu suatu pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib kamu, dan (pakaian) perhiasan, dan pakaian takwa - itu lebih baik; itulah satu daripada ayat-ayat Allah, supaya mereka mengingati.

7:27. Wahai Bani Adam, janganlah syaitan menggoda kamu sebagaimana ia mengeluarkan ibu bapa kamu dari Taman, dengan melucutkan daripada mereka pakaian mereka, untuk memperlihatkan kepada mereka bahagian-bahagian aib mereka. Sesungguhnya ia melihat kamu, ia dan sukunya, dari mana kamu tidak melihat mereka. Kami membuatkan syaitan-syaitan wali-wali bagi orang-orang yang tidak mempercayai.

7:31. Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir.

7:35. Wahai Bani Adam, jika datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat-Ku, maka sesiapa bertakwa, dan membetulkan, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.

7:172. Dan apabila Pemelihara kamu mengambil daripada Bani Adam, daripada punggung mereka, keturunan mereka, dan menjadikan mereka saksi-saksi ke atas jiwa mereka, "Bukankah Aku ini Pemelihara kamu?" Mereka berkata, "Ia, kami menyaksikan"; supaya kamu tidak mengatakan pada Hari Kiamat, "Bagi kami, kami lalai mengenai yang ini."

17:70. Kami memuliakan Bani Adam dan membawa mereka di darat dan laut, dan merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan melebihkan mereka dengan berlebihan di atas kebanyakan daripada apa yang Kami cipta.

36:60. Tidakkah Aku membuat perjanjian dengan kamu, wahai Bani Adam, bahawa kamu tidak menyembah syaitan - sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu,

 

Bani Israil

2:40. Wahai Bani Israil, ingatlah akan rahmat-Ku yang dengannya Aku telah merahmati kamu, dan tepatilah perjanjian-Ku dan Aku akan menepati perjanjian kamu, dan kepada-Ku-lah kamu berasa gerun.

2:47. Wahai Bani Israil, ingatlah akan rahmat-Ku yang dengannya Aku telah merahmati kamu, dan bahawa Aku melebihkan kamu di atas semua alam,

2:83. Dan apabila Kami mengambil perjanjian Bani Israil: "Kamu tidak akan sembah sesuatu melainkan Allah, dan berbuatbaiklah kepada ibu bapa, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin; dan katakanlah yang baik kepada manusia, dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat." Kemudian kamu berpaling, kecuali sedikit daripada kamu, dan kamu memalingkan.

2:122. Wahai Bani Israil, ingatlah akan rahmat-Ku, yang dengannya Aku telah merahmati kamu, dan bahawa Aku melebihkan kamu di atas semua alam.

2:211. Tanyalah Bani Israil berapa banyaknya bukti-bukti yang jelas yang Kami telah memberikan mereka. Sesiapa menukar rahmat Allah setelah ia datang kepadanya, maka sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya.

2:246. Tidakkah kamu merenungkan pembesar-pembesar Bani Israil selepas Musa ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka, "Bangkitkanlah untuk kami seorang raja dan kami akan berperang di jalan Allah." Dia berkata, "Mungkin sekali, bahawa jika perang dituliskan (ditetapkan) bagi kamu, kamu tidak akan berperang?" Mereka berkata, "Mengapa kami tidak mahu berperang di  jalan Allah, yang telah diusir daripada tempat tinggal kami, dan anak-anak kami?" Maka, apabila perang ditetapkan kepada mereka, mereka berpaling, kecuali sedikit antara mereka; dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.

3:49. Untuk menjadi seorang rasul kepada Bani Israil, 'Aku datang kepada kamu dengan satu ayat (mukjizat) daripada Pemelihara kamu. Aku menciptakan untuk kamu daripada tanah liat yang seperti bentuk burung, kemudian aku menghembuskan ke dalamnya, dan ia menjadi seekor burung, dengan izin Allah, dan aku menyembuhkan orang buta, dan penyakit kusta, dan aku juga menghidupkan orang yang mati, dengan izin Allah, dan aku memberitahu kamu benda-benda yang kamu makan, dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kamu, jika kamu orang-orang mukmin.

3:93. Semua makanan halal bagi Bani Israil, kecuali apa yang Israil mengharamkan dirinya sebelum Taurat diturunkan. Katakanlah, "Datangkanlah Taurat itu, dan bacalah ia, jika kamu orang yang benar."

5:12. Allah telah mengambil perjanjian Bani Israil, dan Kami membangkitkan antara mereka dua belas ketua puak. Dan Allah berkata, "Aku berserta kamu. Sungguh, jika kamu melakukan solat, dan memberikan zakat, dan percaya kepada rasul-rasul-Ku, dan meneguhkan mereka, dan kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, Aku akan melepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan Aku akan memasukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Sesiapa yang tidak percaya sesudah itu antara kamu, sungguh, dia sesat daripada jalan yang betul."

5:32. Oleh kerana itu, Kami menuliskan (menetapkan) untuk Bani Israil bahawa sesiapa membunuh satu jiwa, bukan untuk membalas atas satu jiwa yang dibunuh, dan bukan juga kerana kerosakan yang dilakukan di bumi, adalah seakan-akan dia telah membunuh manusia kesemuanya; dan sesiapa menghidupkannya, seakan-akan dia menghidupkan manusia kesemuanya. Rasul-rasul Kami telah pun datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, kemudian ramai antara mereka sesudah itu adalah orang-orang yang membazir (berlebihan) di bumi.

5:70. Dan Kami telah mengambil perjanjian Bani Israil, dan Kami mengutus rasul-rasul kepada mereka. Setiap kali datang kepada mereka seorang rasul, dengan apa yang jiwa mereka tidak menginginkan, segolongan mereka mendustakan, dan segolongan lain mereka bunuh.

5:72. Merekalah orang-orang yang tidak percaya, yang berkata, "Allah, Dia ialah al-Masih putera Mariam." Berkata al-Masih, "Wahai Bani Israil, sembahlah Allah, Pemeliharaku dan Pemeliharamu. Sesungguhnya sesiapa menyekutukan Allah, Allah akan mengharamkannya Taman, dan tempat menginapnya ialah Api; orang-orang yang zalim tidak ada penolong-penolong."

5:78. Telah dilaknati orang-orang yang tidak percaya daripada Bani Israil oleh lidah Daud, dan Isa putera Mariam; itu adalah kerana keingkaran mereka, dan pencabulan mereka.

5:110. Ketika Allah berkata, "Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah dewasa, dan apabila Aku mengajar kamu al-Kitab, dan Kebijaksanaan, dan Taurat, dan Injil, dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku; dan apabila Aku menahan Bani Israil daripada kamu ketika kamu datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, lalu orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'

7:105. Sewajarnya, aku tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Aku datang dengan satu bukti yang jelas kepada kamu daripada Pemelihara kamu; maka utuskanlah bersamaku Bani Israil."

7:134. Dan apabila kemurkaan jatuh kepada mereka, mereka berkata, "Wahai Musa, mohonkanlah untuk kami kepada Pemelihara kamu dengan apa yang Dia menjanjikan kamu. Jika kamu menghilangkan daripada kami kemurkaan, sungguh, kami akan mempercayai kamu, dan kami akan mengutus bersama kamu Bani Israil."

7:137. Dan Kami mewariskan kaum yang dihina, semua yang di timur dan barat bumi yang Kami memberkati; dan sempurnalah pelaksanaan kata Pemelihara kamu yang paling baik kepada Bani Israil, kerana mereka bersabar; dan Kami membinasakan kerja-kerja Firaun dan kaumnya, dan apa yang mereka membangunkan.

7:138. Dan Kami bawa Bani Israil menyeberangi laut, dan mereka datang kepada satu kaum yang bertekun pada patung-patung yang mereka ada. Berkata, "Wahai Musa, buatkanlah untuk kami satu tuhan seperti tuhan-tuhan yang mereka ada." Berkatalah dia, "Sesungguhnya kamu adalah kaum yang bodoh.

10:90. Dan Kami bawa Bani Israil menyeberangi laut; dan Firaun dan tenteranya mengikuti mereka dengan angkuh dan pantas, sehingga apabila penenggelaman mengatasinya, dia berkata, "Aku percaya bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia, yang Bani Israil percaya; aku adalah antara orang-orang yang muslim."

10:93. Dan Kami menempatkan Bani Israil di sebuah penempatan yang sebenar, dan Kami merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik; maka mereka tidak berselisih sehingga pengetahuan datang kepada mereka. Sesungguhnya Pemelihara kamu akan memutuskan antara mereka pada Hari Kiamat mengenai apa yang mereka memperselisihkan.

17:2. Kami memberikan Musa Kitab, dan membuatnya satu petunjuk bagi Bani Israil, "Janganlah mengambil untuk kamu sebarang wakil selain daripada Aku."

17:4. Dan Kami telah menentukan bagi Bani Israil di dalam Kitab, "Kamu akan membuat kerosakan dua kali di bumi, dan kamu meninggi dengan peninggian yang besar."

17:101. Dan Kami telah memberikan Musa sembilan ayat, bukti-bukti yang jelas. Tanyalah Bani Israil apabila dia datang kepada mereka, dan Firaun berkata kepadanya, "Wahai Musa, aku menyangka kamu orang yang kena sihir."

17:104. Dan Kami berkata kepada Bani Israil selepas dia, "Tinggallah di bumi; dan apabila janji akhirat datang, Kami mendatangkan kamu sebagai khalayak ramai."

19:58. Mereka itulah orang-orang yang Allah telah merahmati ke atas mereka - para Nabi daripada keturunan Adam, dan daripada orang-orang yang Kami bawa bersama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israil, dan daripada orang-orang yang Kami telah memberi petunjuk dan Kami pilih. Apabila ayat-ayat Yang Pemurah dibacakan kepada mereka, mereka jatuh bersujud, dan menangis.

20:47. Maka pergilah kamu berdua kepadanya, dan katakanlah, 'Kami adalah rasul-rasul Pemelihara kamu, maka utuskanlah bersama kami Bani Israil dan janganlah mengazab mereka; kami datang kepada kamu dengan ayat daripada Pemelihara kamu; dan kesejahteraan ke atas orang yang mengikuti petunjuk!

20:80. Wahai Bani Israil, Kami telah menyelamatkan kamu daripada musuh kamu, dan Kami menemujanji dengan kamu di sebelah kanan gunung, dan menurunkan kepada kamu manna dan salwa.

20:94. Berkata, "Wahai anak ibuku, janganlah mengambil aku dengan janggut, atau kepalaku! Aku takut bahawa kamu akan berkata, 'Kamu telah memecahkan Bani Israil, dan kamu tidak mengendahkan ucapanku.'"

26:17. Maka utuslah bersama kami Bani Israil.'"

26:22. Itu adalah satu rahmat yang kamu berbudi kepadaku, bahawa kamu memperhambakan Bani Israil."

26:59. Demikianlah, dan Kami mewariskannya kepada Bani Israil.

26:197. Tidakkah ia satu ayat (tanda) bagi mereka bahawa ulama Bani Israil mengetahuinya?

27:76. Sesungguhnya al-Qur'an ini menceritakan kepada Bani Israil kebanyakan daripada apa yang mengenainya mereka memperselisihkan.

32:23. Sesungguhnya Kami telah memberikan Musa al-Kitab; maka janganlah kamu dalam keraguan mengenai pertemuan dengan-Nya; dan Kami membuatkan ia petunjuk bagi Bani Israil.

40:53. Dan Kami telah memberikan Musa petunjuk, dan Kami mewariskan Bani Israil, Kitab,

43:59. Dia hanyalah seorang hamba yang Kami merahmati, dan Kami membuat dia untuk menjadi satu contoh bagi Bani Israil.

44:30. Dan Kami menyelamatkan Bani Israil daripada azab yang hina,

45:16. Sesungguhnya Kami telah memberikan Bani Israil al-Kitab, dan Putusan, dan Kenabian, dan Kami merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan Kami melebihkan mereka di atas semua alam.

46:10. Katakanlah, "Apa pendapat kamu, jika ia adalah daripada Allah, dan kamu tidak percaya kepadanya, dan seorang saksi daripada Bani Israil menyaksikan atas yang serupa dengannya, dan dia percaya, dan kamu menyombongkan diri? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim."

61:6. Dan apabila Isa putera Mariam berkata, “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas aku, namanya Ahmad (dipuji).” Maka, apabila dia datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, “Ini, sihir yang nyata.”

61:14. Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolong aku bagi Allah?” Pengikut-pengikut yang setia berkata, “Kami akan menjadi penolong-penolong Allah.” Dan segolongan daripada Bani Israil percaya, dan segolongan tidak percaya. Maka Kami mengukuhkan orang-orang yang percaya terhadap musuh mereka, dan mereka menjadi orang-orang yang menguasai.

Kalimat Pilihan


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Keratan Akhbar
Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman