Kalimat laut di dalam al-Qur'an


Laut diterjemah daripada kalimat BAHR dan YAMM. Kalimat kedua mempunyai dua makna, seperti diguna oleh ramai penterjemah, iaitu sea dan river atau laut dan sungai. Kami pilih sea (laut), dan sebabnya dihuraikan sebelum menyenaraikan ayat-ayat di bahagian ke-2.

 

Bahagian 1:
BAHR

Jamak bagi bahr ialah bihar dan abhur sementara jumlah ayat yang mengandunginya ialah 39. Mereka adalah seperti berikut:


2:50. Dan apabila Kami membelah laut untuk kamu, dan Kami menyelamatkan kamu, dan menenggelamkan keluarga Firaun, sedang kamu memerhatikan.

2:164. Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, dan kapal yang berlayar di laut dengan manfaat kepada manusia, dan air yang Allah menurunkan dari langit, dengannya menghidupkan bumi setelah ia mati, dan Dia menaburkan di merata-rata di dalamnya segala yang merayap, dan perkisaran angin dan awan yang dipaksakan antara langit dan bumi, sungguh, adalah ayat-ayat (tanda-tanda) bagi kaum yang memahami.

5:96. Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara. Tetapi diharamkan kepada kamu binatang buruan darat selama kamu dalam haram (ihram); dan takutilah Allah yang kepada-Nya kamu akan dikumpulkan.

6:59. Pada-Nya kunci-kunci pada yang ghaib; tiada yang mengetahuinya melainkan Dia. Dia mengetahui apa yang di darat dan laut, dan tiada sehelai daun yang jatuh melainkan Dia mengetahuinya. Tiada sebutir biji dalam kegelapan bumi, dan tiada satu benda, segar atau kering, kecuali di dalam Kitab yang jelas.

6:63. Katakanlah, "Siapakah yang menyelamatkan kamu daripada kegelapan darat dan laut?" Kamu berseru kepada-Nya dengan merendahkan diri dan dengan berahsia, "Sungguh, jika Engkau menyelamatkan daripada yang ini, kami akan menjadi di kalangan orang-orang yang bersyukur (berterima kasih)."

6:97. Dia yang membuatkan untuk kamu bintang-bintang supaya dengannya kamu mendapat petunjuk dalam kegelapan darat dan laut. Kami telah menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengetahui.

7:138. Dan Kami bawa Bani Israil menyeberangi laut, dan mereka datang kepada satu kaum yang bertekun pada patung-patung yang mereka ada. Berkata, "Wahai Musa, buatkanlah untuk kami satu tuhan seperti tuhan-tuhan yang mereka ada." Berkatalah dia, "Sesungguhnya kamu adalah kaum yang bodoh.

7:163. Dan tanyalah mereka mengenai bandar raya yang di tepi laut, apabila mereka mencabuli Sabat, apabila ikan-ikan mereka datang kepada mereka pada hari Sabat mereka dengan berenang ke pantai, tetapi pada hari yang mereka tidak menjaga Sabat, mereka tidak datang kepada mereka. Begitulah Kami menguji mereka kerana kefasiqan mereka.

10:22. Dia yang memperjalankan kamu di darat dan laut; dan apabila kamu di dalam kapal, dan ia berlayar bersama mereka dengan angin yang baik, dan mereka bergembira dengannya; lalu datang kepada mereka angin kencang, dan gelombang-gelombang datang kepada mereka dari segenap tempat, dan mereka menyangka bahawa mereka diliputi olehnya; mereka berseru kepada Allah, dengan menuluskan agama mereka untuk-Nya, "Jika Engkau menyelamatkan kami daripada yang ini, sungguh, kami akan berada di kalangan orang-orang yang berterima kasih."

10:90. Dan Kami bawa Bani Israil menyeberangi laut; dan Firaun dan tenteranya mengikuti mereka dengan angkuh dan pantas, sehingga apabila penenggelaman mengatasinya, dia berkata, "Aku percaya bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia, yang Bani Israil percaya; aku adalah antara orang-orang yang muslim."

14:32. Allah yang mencipta langit dan bumi, dan menurunkan dari langit, air; dengannya Dia mengeluarkan buah-buahan untuk menjadi rezeki kamu. Dan Dia menundukkan untuk kamu kapal-kapal untuk berlayar di laut dengan perintah-Nya; dan Dia menundukkan sungai-sungai untuk kamu.

16:14. Dia yang menundukkan untuk kamu laut, supaya kamu makan daripadanya daging yang segar, dan mengeluarkan daripadanya perhiasan-perhiasan untuk kamu pakai; dan supaya kamu melihat kapal-kapal membelahinya; dan supaya kamu mencari pemberian-Nya, dan supaya kamu berterima kasih.

17:66. Pemelihara kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal di laut supaya kamu mencari pemberian-Nya; sesungguhnya Dia adalah Pengasih terhadap kamu.

17:67. Dan apabila penderitaan menyentuh kamu di laut, maka sesatlah (hilanglah) orang-orang yang kamu seru, kecuali Dia; dan apabila Dia menyelamatkan kamu ke darat, kamu berpaling; manusia tidak berterima kasih (kafir).

17:70. Kami memuliakan Bani Adam dan membawa mereka di darat dan laut, dan merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan melebihkan mereka dengan berlebihan di atas kebanyakan daripada apa yang Kami cipta.

18:60. Dan apabila Musa berkata kepada budak suruhannya, "Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai di pertemuan dua laut, walaupun aku terus berjalan dalam masa yang panjang."

18:61. Kemudian, apabila mereka sampai di pertemuan mereka, mereka melupakan ikan mereka, dan ia mengambil jalannya ke laut, dengan mengorek lubang.

18:63. Berkata, "Apa pendapat kamu? Tatkala kita mengambil perlindungan di batu, lalu aku melupakan ikan; dan hanya syaitanlah yang membuat aku melupakannya, supaya aku tidak mengingatinya; dan ia mengambil jalannya ke laut dengan cara yang menakjubkan."

18:79. Mengenai kapal, ia kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut; dan aku menghendaki untuk merosakkannya kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil tiap-tiap kapal dengan paksa.

18:109. Katakanlah, "Sekiranya laut adalah dakwat untuk Kata-Kata Pemeliharaku, tentulah laut itu habis sebelum Kata-Kata Pemeliharaku habis, walaupun Kami mendatangkan pengisian semula yang serupa dengan itu."

20:77. Kami mewahyukan Musa, "Berjalanlah dengan hamba-hamba-Ku pada waktu malam; buatkanlah untuk mereka jalan yang kering di dalam laut, tanpa takut akan dipintas, dan tidak juga ketakut-takutan."

22:65. Tidakkah kamu melihat bagaimana Allah menundukkan untuk kamu segala yang di bumi, dan kapal-kapal yang berlayar di laut dengan perintah-Nya, dan Dia menahan langit supaya ia tidak jatuh ke atas bumi, kecuali dengan izin-Nya? Sesungguhnya Allah Lembut kepada manusia, Pengasih.

24:40. Atau, mereka seperti kegelapan di laut yang gelap, ditutupi gelombang besar yang di atasnya gelombang besar, yang di atasnya awan, kegelapan bertindih satu di atas yang lain; apabila dia mengeluarkan tangannya, hampir-hampir dia tidak dapat melihatnya. Dan kepada sesiapa yang Allah tidak membuatkan cahaya, tiadalah cahaya baginya.

25:53. Dan Dia yang membiarkan dua laut, yang ini bersih dan enak, rasanya menggembirakan, dan yang ini masin dan pahit, dan Dia meletakkan di antara mereka satu barzakh (tembok), dan satu larangan yang terlarang.

26:63. Kemudian Kami mewahyukan Musa, "Pukullah laut dengan tongkat kamu"; dan ia terbelah, dan tiap-tiap bahagian seperti gunung tinggi yang besar.

27:61. Atau, siapakah yang membuatkan bumi sebuah tempat yang tetap, dan meletakkan sungai-sungai di celah-celahnya, dan mengadakan untuknya gunung-gunung, dan meletakkan satu pemisah di antara dua laut? Adakah tuhan selain Allah? Tidak, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

27:63. Atau, siapakah yang memberi petunjuk kepada kamu dalam kegelapan darat dan laut, dan mengutus angin yang membawa berita gembira di hadapan pengasihan-Nya? Adakah tuhan selain Allah? Tingginya Allah daripada apa yang mereka menyekutukan.

30:41. Kerosakan telah nampak di darat dan di laut kerana tangan-tangan manusia sendiri mengusahakan, supaya Dia merasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka buat, supaya mereka kembali.

31:27. Sekiranya semua pokok yang di bumi adalah pena-pena, dan laut - tujuh laut sesudah itu untuk mengisi semula - namun demikian, Kata-Kata Allah tidak akan habis. Sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana.

31:31. Tidakkah kamu melihat bahawa kapal-kapal berlayar di laut dengan rahmat Allah, supaya Dia memperlihatkan kepada kamu sebahagian daripada ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi tiap-tiap orang yang sabar, yang berterima kasih.

35:12. Tidaklah sama antara dua laut; yang ini enak, rasanya menggembirakan, lazat untuk diminum, dan yang ini masin, pahit. Namun begitu, daripada kedua-duanya, kamu makan daging yang segar, dan mengeluarkan darinya perhiasan-perhiasan yang kamu pakai; dan supaya kamu melihat kapal-kapal membelahinya, supaya kamu mencari pemberian-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

42:32. Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah kapal-kapal yang berlayar di laut, yang seperti tanda-tanda perjalanan,

44:24. Dan tinggalkanlah laut itu tenang; merekalah tentera yang ditenggelamkan."

45:12. Allah, Dia yang menundukkan laut untuk kamu supaya kapal-kapal berlayar di atasnya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari pemberian-Nya, dan supaya kamu bersyukur (berterima kasih).

52:6. Dan laut yang melimpah,

55:19. Dia membiarkan dua laut yang bertemu bersama,

55:24. Bagi-Nya juga kapal-kapal yang berlayar, yang tumbuh di laut seperti tanda-tanda untuk perjalanan.

81:6. Apabila laut-laut dijadikan mendidih,

82:3. Apabila laut-laut melimpah-limpah,

 

Bahagian 2:
YAMM

Ia diberi dua maksud iaitu sea atau river, atau laut dan sungai, oleh ramai penterjemah al-Qur'an. Daripada 7 ayat yang mengandunginya, 2 menyebut mengenai kisah Nabi Musa dilempar ke laut semasa bayi oleh ibunya. Lazimnya penterjemah memberi maksud sungai, bukan laut, tetapi memandangkan kegunaan pada 5 ayat lain, yang konteksnya laut, maka Bacaan menyeragamkan makna yamm kepada laut.

Mungkin ibu Musa telah melemparkannya di tepi laut Mediterrean (atau Laut Merah) bukan sungai Nil.

Ayat-ayat mengandungi kalimat tersebut adalah:


7:136. Maka Kami melepaskan dendam kepada mereka, dan menenggelamkan mereka di dalam laut kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami, dan lalai terhadapnya.

20:39. 'Lemparkanlah dia ke dalam tabut (peti), dan lemparkanlah dia ke laut, dan biarkanlah laut melemparnya ke tebing. Seorang musuh-Ku dan musuhnya akan mengambilnya.' Dan Aku melemparkan kepada kamu kasih sayang daripada-Ku, dan supaya kamu dibentuk di bawah mata-Ku (pengawasan-Ku).

20:78. Firaun mengikuti mereka dengan tenteranya, tetapi mereka ditutupi oleh laut, mereka ditutup.

20:97. Berkata, "Pergilah! Bagi kamu dalam seluruh kehidupan dunia ini adalah untuk berkata, 'Jangan sentuh aku!', dan selepas itu ada janji temu bagi kamu yang kamu tidak mungkir. Lihatlah pada tuhan kamu, yang kamu tetap bertekun padanya! Sungguh, kami akan membakarnya dan menaburkan abunya ke dalam laut, bertaburan.

28:7. Maka Kami mewahyukan ibu Musa, "Susukanlah dia, kemudian apabila kamu takut terhadapnya, lemparlah dia ke laut, dan janganlah takut, dan jangan juga bersedih, kerana Kami akan mengembalikan dia kepada kamu, dan akan melantiknya seorang daripada para utusan."

28:40. Lalu Kami mengambil dia dan tenteranya, dan melemparkan mereka ke dalam laut; maka perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang zalim.

51:40. Maka Kami mengambil dia dan tenteranya, dan Kami melemparkan mereka ke dalam laut, dan dia disalahkan.

Kalimat Pilihan


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Keratan Akhbar
Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman