Kalimat taubat di dalam al-Qur'an
Taubat lahir daripada akar ta wau ba, yang daripadanya terbit tiga
kalimat iaitu taba, matab, dan tawwab. Diturunkan di sini semua ayat yang mengandungi kalimat-kalimat
tersebut:
2:37. Lalu Adam menerima kata-kata tertentu daripada Pemeliharanya, dan
Dia menerima taubatnya; sesungguhnya Dialah Yang Menerima Taubat,
Yang Pengasih.
2:54. Dan apabila Musa berkata kepada kaumnya, "Wahai kaumku, kamu telah menzalimi diri-diri kamu sendiri dengan pengambilan Anak Lembu kamu, maka bertaubatlah kepada Pencipta kamu, dan bunuhlah diri-diri kamu sendiri (sesama sendiri). Itu lebih baik bagi kamu di sisi Pencipta kamu, dan Dia akan menerima taubat kamu; sesungguhnya Dialah Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih."
2:128. Wahai Pemelihara kami, buatlah kami muslim (tunduk patuh) kepada Engkau, dan daripada keturunan kami, umat yang muslim kepada Engkau; dan perlihatkanlah kepada kami peribadatan kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih.
2:159. Orang-orang yang menyembunyikan bukti-bukti yang jelas, dan
petunjuk yang Kami menurunkan, setelah Kami memperjelaskan kepada manusia di
dalam al-Kitab, mereka dilaknati Allah, dan mereka dilaknati para
pelaknat,
2:160. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan membetulkan,
dan menunjukkan dengan jelas. Terhadap mereka, Aku akan menerima taubat;
Aku Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih.
2:187. Dihalalkan bagi kamu, pada malam puasa, bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagi kamu, dan kamu, pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu mengkhianati diri-diri kamu sendiri, dan menerima taubat kamu, dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka, dan carilah apa yang Allah menuliskan (menetapkan) untuk kamu. Dan makan dan minumlah, sehingga benang putih menjadi jelas bagi kamu daripada benang hitam, pada fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sampai malam, dan janganlah mencampuri mereka sedang kamu bertekun (iktikaf) di masjid. Itulah had-had (hudud) Allah; janganlah keluar daripadanya. Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia supaya mereka bertakwa.
2:222. Mereka menanyai kamu mengenai haid. Katakanlah, "Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan janganlah mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka telah membersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah memerintahkan kamu." Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat, dan Dia menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka.
2:279. Tetapi jika kamu tidak buat, maka
ketahuilah pernyataan bahawa Allah akan berperang dengan kamu, dan rasul-Nya;
namun begitu, jika kamu bertaubat, kamu akan dapat harta kamu dengan
tidak menzalimi, dan tidak dizalimi.
(mengenai
riba)
3:89. Tetapi orang-orang yang bertaubat sesudah itu, dan membetulkan, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
3:90. Sesungguhnya orang-orang yang tidak
percaya sesudah keimanan mereka, dan kemudian bertambah dalam ketidakpercayaan
(kekafiran), maka taubat mereka tidak akan diterima; mereka itulah
orang-orang yang sesat.
(taubat tidak diterima)
3:128. Tidak ada daripada urusan itu bagi
kamu, sama ada Dia menerima taubat mereka, atau mengazab mereka; kerana
mereka adalah orang-orang yang zalim.
(bukan urusan
Nabi)
4:16. Dan apabila dua orang antara kamu
(lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika mereka
bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya;
Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima Taubat, Pengasih.
(homoseksual bertaubat)
4:17. Allah hanya menerima taubat
orang-orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan, kemudian dengan segera
bertaubat; Allah akan menerima taubat mereka, dan Allah adalah
Mengetahui, Bijaksana.
(taubat hanya diterima daripada
orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan)
4:18. Tetapi tidak diterima taubat
orang-orang yang melakukan kejahatan sehingga, apabila salah seorang antara
mereka didatangi kematian, dia berkata, "Sesungguhnya sekarang saya
bertaubat", dan tidak juga bagi orang-orang yang mati dengan tidak
percaya (kafir); bagi mereka, Kami menyediakan azab yang pedih.
(taubat tidak diterima)
4:26. Allah menghendaki untuk memperjelaskan kepada kamu, dan untuk memberi petunjuk kepada kamu pada sunnah (resam) orang-orang yang sebelum kamu, dan untuk menerima taubat kamu; Allah Mengetahui, Bijaksana.
4:27. Dan Allah menghendaki untuk menerima taubat kamu, tetapi orang-orang yang mengikuti hawa nafsu (syahwat), mereka menghendaki supaya kamu menyimpang dengan penyimpangan yang besar.
4:64. Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan bahawa dia patut ditaati, dengan izin Allah. Jika, apabila mereka menzalimi diri-diri mereka sendiri, mereka datang kepada kamu, dan meminta ampun kepada Allah, dan rasul meminta ampun untuk mereka, tentu mereka mendapati Allah, Menerima Taubat, Pengasih.
4:92. Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan tersilap, dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan tersilap, maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi hendaklah dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka menyedekahkannya. Jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan kamu, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah memerdekakan seorang hamba yang mukmin, dan jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan kamu dengan perjanjian, maka ganti rugi hendaklah dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan memerdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak mendapatkannya, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah adalah Mengetahui, Bijaksana.
4:145. Sesungguhnya orang-orang munafik
berada di dalam bahagian yang paling bawah di Api, dan kamu tidak mendapati bagi
mereka sebarang penolong.
4:146. Kecuali orang-orang yang bertaubat,
dan membetulkan, dan berpegang teguh kepada Allah, dan menuluskan agama untuk
Allah. Mereka itu adalah berserta orang-orang mukmin, dan Allah pasti akan
memberikan orang-orang mukmin upah yang besar.
(orang
munafik)
5:33. Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan
rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk membuat kerosakan - mereka dibunuh,
atau disalib, atau tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka dipotong
berselang-seli, atau mereka dibuang daripada bumi. Itulah suatu kerendahan bagi
mereka di dunia; dan di akhirat, bagi mereka azab yang besar.
5:34. Kecuali
orang-orang yang bertaubat sebelum kamu menguasai mereka. Maka ketahuilah
bahawa Allah Pengampun, Pengasih.
5:39. Sesiapa bertaubat sesudah
kezalimannya, dan dia membetulkan, Allah akan menerima taubatnya;
sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
(ayat 5:38
mengenai pencuri)
5:70. Dan Kami telah
mengambil perjanjian Bani Israil, dan Kami mengutus rasul-rasul kepada mereka.
Setiap kali datang kepada mereka seorang rasul, dengan apa yang jiwa mereka
tidak menginginkan, segolongan mereka mendustakan, dan segolongan lain mereka
bunuh.
5:71. Dan mereka menyangka bahawa tidak akan menjadi cubaan; mereka
menjadi buta, dan menjadi pekak. Kemudian Allah menerima taubat mereka;
kemudian mereka menjadi buta lagi, kebanyakan daripada mereka, menjadi pekak;
dan Allah melihat apa yang mereka buat.
5:73. Orang-orang yang tidak percayalah yang berkata, "Allah ialah yang
ketiga daripada yang Tiga." Tidak ada tuhan selain Tuhan Yang Satu. Jika mereka
tidak berhenti daripada apa yang mereka mengatakan, tentu akan menyentuh
orang-orang antara mereka yang tidak percaya, azab yang pedih.
5:74. Tidakkah
mereka bertaubat kepada Allah, dan meminta ampunan-Nya? Allah Pengampun,
Pengasih.
6:54. Dan apabila orang-orang yang
mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, "Salamun alaikum
(Kesejahteraan ke atas kamu)." Pemelihara kamu menuliskan (menetapkan) untuk
diri-Nya pengasihan, bahawa sesiapa antara kamu membuat kejahatan dalam
kejahilan, dan sesudah itu bertaubat, dan membetulkan, maka sesungguhnya
Dia Pengampun, Pengasih.
(salamun alaikum)
7:143. Dan apabila Musa datang pada waktu yang Kami menetapkan, dan Pemeliharanya berkata-kata dengannya, dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, perlihatkanlah kepadaku, supaya aku dapat melihat Engkau." Berkatalah Dia, "Kamu tidak akan melihat Aku; tetapi perhatikanlah gunung itu - jika ia tetap di tempatnya, maka kamu akan melihat Aku." Dan apabila Pemeliharanya menampakkan-Nya kepada gunung, Dia membuatnya hancur menjadi debu, dan Musa jatuh pengsan. Setelah dia terjaga, dia berkata, "Engkau disanjung! Aku bertaubat kepada Engkau; aku yang pertama antara orang-orang mukmin."
7:153. Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan percaya, sesungguhnya Pemelihara kamu sesudahnya, Pengampun, Pengasih.
9:3. Satu pengisytiharan daripada Allah dan rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Besar, "Allah berlepas diri, dan rasul-Nya, daripada orang-orang yang menyekutukan. Maka jika kamu bertaubat, itu lebih baik bagi kamu; tetapi jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa kamu tidak dapat mengandaskan Allah." Dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang yang tidak percaya dengan azab yang pedih,
9:5. Kemudian, apabila bulan-bulan haram telah pergi, bunuhlah orang-orang yang menyekutukan di mana sahaja kamu mendapati mereka, dan ambillah mereka, dan tahanlah mereka, dan tunggulah mereka di tiap-tiap tempat untuk memerangkap mereka. Tetapi jika mereka bertaubat, dan jika mereka melakukan solat, dan memberikan zakat, maka biarkanlah mereka pergi jalan mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
9:11. Namun demikian, jika mereka bertaubat, dan melakukan solat, dan memberikan zakat, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengetahui.
9:15. Dan Dia menghilangkan kemarahan di dalam hati mereka; dan Allah menerima taubat sesiapa yang Dia mengkehendaki; Allah Mengetahui, Bijaksana.
9:27. Kemudian Allah, sesudah itu, menerima taubat siapa yang Dia mengkehendaki; Allah Pengampun, Pengasih.
9:74. Mereka bersumpah dengan Allah bahawa mereka tidak mengatakan, tetapi sesungguhnya mereka mengatakan kata ketidakpercayaan, dan mereka tidak percaya (kafir) setelah mereka islam. Mereka bermaksudkan apa yang mereka tidak akan capai, dan mereka mendendami hanya setelah Allah mencukupkan mereka, dan rasul-Nya, daripada pemberian-Nya. Maka jika mereka bertaubat, ia adalah lebih baik bagi mereka; jika mereka berpaling, Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat; di bumi mereka tidak ada wali (pelindung), dan tidak juga ada penolong.
9:102. Dan yang lain mengakui kesalahan-kesalahan mereka; mereka telah mencampuradukkan amalan yang baik dengan yang lain, yang jahat. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
9:104. Adakah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya, dan Dia mengambil sedekah, dan bahawa Allah, Dia Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih?
9:106. Dan yang lain ditangguhkan hingga perintah Allah, sama ada Dia mengazab mereka, atau menerima taubat mereka; Allah Mengetahui, Bijaksana.
9:112. Orang-orang yang bertaubat,
orang-orang yang menyembah, orang-orang yang memuji, orang-orang yang
berpergian, orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, orang-orang yang
menyuruh pada yang baik dan melarang daripada kemungkaran, dan orang-orang yang
menjaga had-had Allah - dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang
mukmin.
(orang mukmin)
9:117. Allah menerima taubat Nabi, dan penghijrah-penghijrah, dan penolong-penolong, yang mengikutinya dalam saat kesukaran, setelah hati segolongan daripada mereka hampir-hampir menyimpang; kemudian Dia menerima taubat mereka; sesungguhnya Dia Lembut kepada mereka, Pengasih.
9:118. Dan kepada tiga orang yang ditinggalkan, sehingga apabila bumi terasa sempit bagi mereka, dengan segala keluasannya, dan jiwa mereka terasa sempit bagi mereka, dan mereka menyangka bahawa tidak ada tempat perlindungan daripada Allah kecuali kepada-Nya, kemudian Dia menerima taubat mereka supaya mereka juga bertaubat; sesungguhnya Allah, Dia Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih.
9:126. Tidakkah mereka melihat bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun? Namun begitu, mereka masih tidak bertaubat, dan tidak juga mereka mengingati.
11:3. Dan, "Hendaklah kamu meminta ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, dan Dia akan memberi kesenangan yang baik kepada kamu hingga satu tempoh yang dinyatakan, dan Dia memberi daripada pemberian-Nya kepada setiap orang yang mempunyai kelebihan. Tetapi jika kamu berpaling, aku takut untuk kamu akan azab hari yang besar.
11:52. Dan, wahai kaumku, mintalah ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya, dan Dia akan mengutus langit dengan hujan lebat kepada kamu, dan Dia akan menambahkan kamu dalam kekuatan ke dalam kekuatan kamu; dan janganlah kamu berpaling sebagai orang-orang yang berdosa."
11:61. Dan kepada Tsamud, saudara mereka Salleh; dia berkata, "Wahai kaumku, sembahlah Allah. Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia. Dialah yang menumbuhkan kamu daripada bumi dan menetapkan kamu di dalamnya; maka mintalah ampun kepada-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Pemeliharaku dekat, dan menyahuti."
11:90. Dan mintalah ampun kepada Pemelihara kamu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya; sesungguhnya Pemeliharaku Pengasih, Penyayang."
11:112. Maka hendaklah kamu berlaku lurus, sebagaimana kamu diperintahkan, dan sesiapa yang bertaubat bersama kamu; dan janganlah kamu melampaui batas; sesungguhnya Dia melihat apa yang kamu buat.
13:30. Demikianlah Kami mengutus kamu kepada satu umat yang sebelumnya beberapa umat telah berlalu untuk membacakan mereka apa yang Kami mewahyukan kamu; namun begitu, mereka tidak percaya kepada Yang Pemurah. Katakanlah, "Dia Pemelihara aku; tidak ada tuhan melainkan Dia. Kepada-Nya aku mempercayakan (tawakal), dan kepada-Nya aku bertaubat."
16:119. Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu - bagi orang-orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan membetulkan - sesungguhnya Pemelihara kamu sesudah itu, Pengampun, Pengasih.
19:59. Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang
mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan
menemui kesalahan,
19:60. Kecuali orang yang bertaubat, dan percaya,
dan membuat kerja kebaikan; mereka itu, mereka akan masuk Taman (Jannah), dan
mereka tidak akan dizalimi sedikit pun,
20:82. Sesungguhnya Aku, Yang Pengampun kepada orang yang bertaubat, dan percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan akhirnya mendapat petunjuk."
20:122. Setelah itu Pemeliharanya memilihnya, dan menerima taubatnya, dan Dia memberinya petunjuk.
24:4. Dan orang-orang yang membalingkan kepada wanita-wanita yang
berkahwin, dan kemudian tidak mendatangkan empat saksi, maka sebatlah mereka
lapan puluh sebatan, dan janganlah terima sebarang kesaksian mereka
selama-lamanya; mereka itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan
perintah Tuhan).
24:5. Kecuali orang-orang yang bertaubat selepas itu,
dan membetulkan, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
24:10. Tetapi kerana pemberian Allah kepada kamu, dan pengasihan-Nya, dan bahawa Allah Menerima Taubat, Bijaksana!
24:31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang nampak daripadanya; dan hendaklah mereka meletakkan penudung mereka pada dada mereka, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa suami mereka, atau anak lelaki mereka, atau anak lelaki suami mereka, atau saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara lelaki mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka, atau perempuan mereka, atau apa yang tangan kanan mereka memiliki, atau lelaki yang melayan mereka yang tanpa mempunyai keinginan seks, atau kanak-kanak kecil yang belum mengerti aurat (bahagian-bahagian sulit) perempuan; dan janganlah juga mereka menghentakkan kaki mereka supaya perhiasan mereka yang tersembunyi diketahui. Dan bertaubatlah semua bersama kepada Allah, wahai orang-orang mukmin, agar kamu beruntung.
25:68. Yang tidak menyeru tuhan yang lain bersama Allah, dan tidak
membunuh jiwa yang Allah mengharamkan kecuali dengan patut, dan tidak juga
berzina, kerana sesiapa yang berbuat demikian itu akan menemui harga
dosa.
25:69. Akan dilipatgandakkan azab untuknya pada Hari Kiamat, dan dia
tinggal di dalamnya, terhina selama-lamanya.
25:70. Kecuali orang yang
bertaubat, dan percaya, dan membuat amalan (kerja-kerja) kebaikan; bagi mereka
itu, Allah akan menukarkan kejahatan-kejahatan mereka dengan yang baik, dan
Allah adalah Pengampun, Pengasih.
25:71. Dan sesiapa bertaubat, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dia benar-benar bertaubat kepada Allah dalam taubat.
28:67. Tetapi bagi orang yang bertaubat, dan percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, mudah-mudahan dia termasuk orang-orang yang beruntung.
33:24. Supaya Allah membalas orang-orang yang benar kerana kebenaran mereka, dan mengazab orang-orang munafik, jika Dia mengkehendaki, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Pengampun, Pengasih.
33:73. Supaya Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan, dan orang-orang lelaki yang menyekutukan dan orang-orang perempuan yang menyekutukan; dan supaya Allah menerima taubat orang-orang mukmin lelaki, dan orang-orang mukmin perempuan. Allah adalah Pengampun, Pengasih.
40:3. Pengampun kesalahan, Penerima taubat, Keras dalam pembalasan sewajar-Nya, Yang Mewah; tidak ada tuhan melainkan Dia, dan kepada-Nya kepulangan.
40:7. Mereka yang membawa Arasy, dan mereka
di sekelilingnya menyanjung dengan memuji Pemelihara mereka, dan mempercayai-Nya, dan
mereka meminta ampun untuk orang-orang yang percaya, "Wahai Pemelihara kami,
Engkau merangkumi segala sesuatu dalam pengasihan dan pengetahuan; maka
ampunilah orang-orang yang bertaubat, dan mengikuti jalan Engkau, dan
lindungilah mereka daripada azab Jahim.
(doa
malaikat)
42:25. Dia yang menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya, dan memaafkan kejahatan-kejahatan; Dia mengetahui apa yang kamu buat.
46:15. Kami mewasiatkan manusia, bahawa dia
berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan
melahirkannya dengan susah payah; pengandungannya dan penyusuannya tiga puluh
bulan. Sehingga, apabila dia sampai dewasa, dan sampai empat puluh tahun, dia
berkata, "Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas
rahmat Engkau, yang dengannya Engkau merahmati aku dan bapa dan ibuku, dan
supaya aku membuat kerja-kerja kebaikan yang memuaskan hati Engkau, dan
betulkanlah aku, dan juga pada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat
kepada Engkau, dan aku termasuk orang-orang yang muslim (tunduk
patuh)."
(doa umur 40 tahun)
49:11. Wahai orang-orang yang percaya,
janganlah sesuatu kaum mengejek kaum yang lain, yang mungkin lebih baik daripada
mereka; dan jangan juga perempuan-perempuan memperolok-olokkan
perempuan-perempuan yang mungkin lebih baik daripada mereka. Dan jangan mencari
kesilapan diri-diri (sesama) kamu, dan jangan juga menghina satu sama lain dengan
nama-nama gelaran. Satu nama yang buruk ialah fasiq setelah iman. Dan sesiapa
tidak bertaubat, maka mereka itu, merekalah orang-orang yang
zalim.
(jangan mengejek)
49:12. Wahai orang-orang yang percaya, jauhilah kebanyakan sangkaan; sebahagian sangkaan adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan jangan juga mengumpat satu sama lain; adakah salah seorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Kamu membencinya! Dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Menerima Taubat, Pengasih.
58:13. Adakah kamu takut, sebelum
pembicaraan rahsia kamu, untuk mendahulukan sedekah? Jika kamu tidak
mengerjakan, dan Allah menerima taubat kamu, maka lakukanlah solat, dan
berikanlah zakat, dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya. Allah menyedari apa
yang kamu buat.
(pembicaraan rahsia dengan Nabi)
66:4. Jika kamu berdua (isteri Nabi) bertaubat kepada Allah, hati kamu pasti condong, tetapi jika kamu bantu membantu terhadap dia, maka Allah, Dia Pelindungnya, dan Jibril, dan yang salih di kalangan orang-orang mukmin; dan sesudah itu, malaikat-malaikat adalah penyokong-penyokongnya.
66:5. Mungkin, jika dia (Nabi) menceraikan kamu, Pemeliharanya akan menukarkan dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang muslim, yang mukmin, yang patuh, yang bertaubat, yang warak, yang berpergian, yang janda, dan yang dara.
66:8. Wahai orang-orang yang percaya,
bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang tulus hati; mungkin
Pemelihara kamu akan melepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan
memasukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Pada
hari apabila Allah tidak mengaibkan Nabi dan orang-orang yang percaya bersama
dia, cahaya mereka mengalir di hadapan mereka, dan di sebelah kanan mereka; dan
mereka berkata, “Wahai Pemelihara kami, sempurnakanlah bagi kami cahaya kami,
dan ampunilah kami; sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu.”
(taubat yang tulus hati)
73:20. Pemelihara kamu mengetahui bahawa kamu berjaga-jaga hampir dua per tiga malam, atau separuhnya, atau satu per tiganya, dan segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah menentukan malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak akan menjumlahkannya, dan Dia menerima taubat kamu. Maka bacalah daripada Al-Qur’an semudah yang dapat. Dia mengetahui bahawa antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi, mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah daripadanya semudah yang dapat. Dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah kepada Allah satu pinjaman yang baik. Apa sahaja kebaikan yang kamu mendahulukan untuk jiwa kamu, kamu akan mendapatinya di sisi Allah yang lebih baik, dan upah yang lebih besar. Dan mintalah ampunan Allah; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
85:10. Orang-orang yang menganiayai
orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan, dan kemudian tidak
bertaubat, maka bagi mereka azab Jahanam, dan bagi mereka, azab yang
membakar.
(jangan menganiayai mukmin lelaki dan
perempuan)
110:3. Maka sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu, dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dialah yang menerima taubat.
Terkini Artikel
Perpustakaan
Bacaan E-Mail
Hiasan Keratan
Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman