48. pada surah 17 ayat 2 terjemah BACAAN ada tertinggal kalimat kata "Dan" pada awal kalimat ayat, karena kalimat tersebut adalah sebagai kata sambung dari ayat 1 surah 17.
Beberapa terjemahan al-Qur'an lain juga didapati tidak menulis perkataan 'Dan' pada permulaan ayat tersebut, (17:2). Perkataan itu seterusnya didapati ditinggalkan di beberapa ayat lain yang bermula dengannya. Boleh jadi ia ditinggalkan untuk menyedapkan lagi bunyi terjemahan, walaupun mungkin dengan membuat kesilapan.
Dan tersebut diterjemah daripada perkataan wa. Dan ia pula bukan satu-satunya maksud bagi perkataan itu. Kamus memberi beberapa maksud bagi wa, selain dan atau and dalam bahasa Inggeris, seperti:
and also bermaksud dan juga
and ..... too dan ..... juga, atau, dan ..... pun
with dengan
while semasa, sementara, ketika,
sewaktu
as sebagai, dll.
when bila, ketika, apabila, jika, jikalau
whereas manakala, sementara, sedangkan
by oleh, dll.Dan, dalam sumpah yang berbunyi wallah, wa menjadi demi pula (demi Allah). Demikian adalah antara pengertian wa yang lain.
Maka wa di 17:2 tidak semestinya bermaksud dan. Ia boleh bermaksud yang selain daripada itu seperti dan juga dan sebagainya.
Sebab dan diminta untuk dimasukkan ke dalam ayat 17:2 adalah kerana ia dikatakan berfungsi sebagai penyambung bagi ayat 17:1. Untuk lebih jelas, diturunkan ayat-ayat tersebut di bawah ini:
"Dia disanjung, yang memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam hari dari Masjidil Haram ke masjid yang lebih jauh di mana sekitarannya Kami memberkati, supaya Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Melihat." (17:1)
"Dan Kami memberikan Musa Kitab, dan membuatnya satu petunjuk bagi Bani Israil, 'Janganlah mengambil untuk kamu sebarang wakil selain daripada Aku.'" (17:2)
Dengan berbuat demikian, maka sesetengah pihak menyimpulkan bahawa hamba Allah yang diperjalankan itu adalah bukan Nabi Muhammad tetapi Nabi Musa.
Pendapat tersebut agak menarik tetapi (dengan maaf) kami sukar menerimanya atas beberapa sebab. Pertama, sebab kehadiran Masjidil Haram di ayat 17:1. Ia didapati tidak berkait langsung dengan Nabi Musa di dalam kesemua 15 ayat yang mengandunginya (kecuali mungkin ayat 17:1 tadi). Sila lihat ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat tersebut:
"Kami melihat kamu membalik-balikkan wajah (muka) kamu (Muhammad) ke langit; sungguh Kami akan memalingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka; Allah tidak lalai daripada apa yang mereka mengerjakan." (2:144)
"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat." (2:149)
"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya, supaya manusia tidak ada hujah terhadap kamu, kecuali orang-orang yang membuat kezaliman antara mereka; dan janganlah takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku ....." (2:150)
"Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menjumpai mereka, dan usirlah mereka dari mana sahaja mereka mengusir kamu; penganiayaan (fitnah) adalah lebih besar daripada pembunuhan, dan janganlah memerangi mereka di Masjidil Haram sehingga mereka memerangi kamu di dalamnya. Kemudian, jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Itulah balasan ke atas orang-orang yang tidak percaya." (2:191)
"Sempurnakanlah Haji dan umrah kerana Allah; tetapi jika kamu dihalangi, maka pemberian yang mudah didapati, dan jangan mencukur kepala kamu sehingga pemberian itu sampai di tempat korban. Jika sesiapa antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban. Apabila kamu berasa aman, sesiapa yang menikmati umrah sehingga Haji, maka hendaklah pemberiannya daripada yang mudah didapati, atau jika dia tidak mendapati sesuatu, maka berpuasalah tiga hari dalam Haji, dan tujuh apabila kamu kembali. Itulah sepuluh, genap; demikian itu adalah bagi orang yang keluarganya tidak hadir di Masjidil Haram. Dan takutilah Allah, dan ketahuilah bahawa Allah keras dalam pembalasan sewajarnya." (2:196)
"Mereka menanyai kamu mengenai bulan haram dan berperang padanya. Katakanlah, 'Berperang padanya adalah sesuatu yang berat, tetapi untuk menghalangi daripada jalan Allah, dan tidak percaya kepada-Nya, dan Masjidil Haram, dan mengusir penduduknya daripadanya, adalah lebih berat pada pandangan Allah; dan penganiayaan (fitnah) adalah lebih berat daripada pembunuhan.' Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu hingga mereka memalingkan kamu daripada agama kamu, jika mereka boleh ......" (2:217)
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah melanggar tanda-tanda Allah, dan bulan-bulan haram, dan pemberiannya, dan rantai leher, dan juga orang-orang yang mengunjungi Rumah Suci yang bermaksud untuk mencari daripada Pemelihara mereka, pemberian dan kepuasan hati. Tetapi, apabila kamu telah menyelesaikan, maka burulah binatang buruan. Janganlah kerana kebencian pada suatu kaum yang menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, mendesak kamu untuk mencabuli. Tolong-menolonglah kamu dalam ketaatan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa, dan permusuhan. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya." (5:2)
"Tetapi, apakah yang mereka ada, bahawa Allah tidak akan mengazab mereka, apabila mereka menghalangi daripada Masjidil Haram, padahal mereka bukanlah wali-walinya (pelindung-pelindungnya)? Pelindungnya hanyalah orang-orang yang bertakwa tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui." (8:34)
"Bagaimanakah ada bagi orang-orang yang menyekutukan satu perjanjian dengan Allah dan rasul-Nya, kecuali orang-orang yang dengan mereka kamu membuat perjanjian di Masjidil Haram; selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, kamu berlakuluruslah terhadap mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa." (9:7)
"Adakah kamu mengira bahawa pemberian air kepada orang-orang haji, dan pemakmur Masjidil Haram, sama seperti orang yang percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan berjuang di jalan Allah? Mereka tidaklah sama pada pandangan Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (9:19)
"Wahai orang-orang yang percaya, orang-orang yang menyekutukan adalah najis (kotor); maka janganlah membenarkan mereka mendekati Masjidil Haram selepas tahun mereka ini ....." (9:28)
"Dia disanjung, yang memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam hari dari Masjidil Haram ke masjid yang lebih jauh di mana sekitarannya Kami memberkati, supaya Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Melihat." (17:1)
"Orang-orang yang tidak percaya, dan menghalangi daripada jalan Allah dan Masjidil Haram, yang Kami membuatkan sama kepada manusia, yang bertekun di dalamnya dan yang berkhemah, dan sesiapa yang menghendaki untuk tidak menghormatinya dengan kezaliman, Kami akan merasakan kepadanya azab yang pedih." (22:25)
"Mereka adalah orang-orang yang tidak percaya, dan mereka menghalangi kamu daripada Masjidil Haram, dan pemberian yang ditahan daripada sampai di tempat korbannya ....." (48:25) dan,
"Sesungguhnya Allah menjadikan benar visi rasul-Nya, dengan benar: 'Kamu akan memasuki Masjidil Haram, jika Allah mengkehendaki, dengan aman, kepala kamu tercukur, rambut kamu dipotong pendek, tanpa berasa takut.' Dia mengetahui apa yang kamu tidak tahu, dan membuatkan sebelum itu, satu kemenangan yang dekat." (48:27)
Lantas, daripada ayat-ayat di atas, adalah sukar untuk mengaitkan Nabi Musa dengan Masjidil Haram. Tetapi Nabi Muhammad boleh.
Nabi Musa telah, diceritakan oleh Allah, "menghadap-Nya" sebanyak dua kali. Pertama, setelah baginda meninggalkan keluarga untuk mendapatkan api, dan kedua, setelah meninggalkan saudaranya Harun dan kaumnya untuk diberi "Papan" oleh Allah.
Adakah kedua-dua tempat yang menjadi titik permulaan perjalanan Nabi Musa untuk diperlihatkan ayat-ayat Allah itu sama? Ini susah untuk dipastikan. Sekiranya tidak sama maka akan ada dua Masjidil Haram di kaki Gunung Sinai pada hari ini.
Tempat baginda bertolak sukar untuk dikenalpasti. Kalau ada pun tempatnya yang ditunjuk orang maka ia hanya sangkaan belaka. Sementara Masjidil Haram yang menjadi tempat bertolak itu adalah sebuah tempat yang sudah diketahui umum seperti dijelaskan oleh ayat berbunyi "Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka" (2:144, iaitu ayat yang pertama disebut di dalam senarai di atas).
Seperti yang dapat difahamkan daripada ayat-ayat di atas, Masjidil Haram berhubung rapat dengan amalan Haji. Kalau dakwaan mengenai Nabi Musa itu benar, maka di kaki Gunung Sinai, pada hari ini, haruslah terletak juga Rumah Suci dan tempat-tempat lain yang berkaitan dengan Haji.
Justeru, kami tidak setuju perkataan 'dan' dimuatkan di dalam ayat 17:2 untuk mengaitkan dengan Nabi Musa sebagai hamba yang telah diperjalankan untuk diperlihatkan sebahagian daripada ayat-ayat-Nya.
Akan tetapi, kami setuju jika 'dan' di situ diganti dengan 'dan juga' atau 'dan ........ juga'. Dengan itu kelihatan seperti ada persamaan di antara Nabi Muhammad dengan Nabi Musa. Sesungguhnya memang ada persamaan di antara mereka. Firman Tuhan:
"Sesungguhnya Kami mengutus kepada kamu (semua) seorang rasul sebagai saksi ke atas kamu, sebagaimana Kami mengutus kepada Firaun seorang rasul." (73:15)
Malah, Kitab yang dibawa oleh mereka juga kelihatan sama kerana tiada kitab lain yang mampu memberi lebih petunjuk daripada Kitab mereka. Firman-Nya lagi,
"Katakanlah, 'Datangkanlah sebuah Kitab daripada Allah yang lebih memberi petunjuk daripada keduanya (Taurat dan al-Qur'an), dan ikutlah ia, jika kamu berkata benar.'" (28:49)
Usaha meletakkan 'dan' di 17:2 untuk mengaitkan Nabi Musa, bukan Nabi Muhammad, dalam perjalanan untuk diperlihatkan sebahagian daripada ayat-ayat Allah (17:1) akan, pada hemat kami, memalingkan orang (kalau tidak ramai sedikit) daripada Masjidil Haram yang sebenar. Kegiatan itu adalah berat di sisi Allah kerana boleh dianggap sebagai menghalangi orang lain daripada Masjid tersebut yang menjadi sebahagian daripada agama. Firman Tuhan,
"Orang-orang yang tidak percaya, dan menghalangi daripada jalan Allah dan Masjidil Haram, yang Kami membuatkan sama kepada manusia, yang bertekun di dalamnya dan yang berkhemah, dan sesiapa yang menghendaki untuk tidak menghormatinya dengan kezaliman, Kami akan merasakan kepadanya azab yang pedih." (22:25)
49. Mengenai ayat Rum 30:18, adakah yg dimaksudkan zohor juga adalah waktu solat.
Ayat yang disebut bermaksud,
"Bagi-Nya segala puji di langit dan di bumi, pada waktu petang dan waktu zuhur kamu." (30:18)
Seperti yang dapat dilihat, perkataan 'solat' tidak tercatat tetapi hanya frasa segala puji. Frasa diterjemah daripada kalimat alhamdu, yang sama seperti di ayat 2 surah Faatihah berbunyi alhamdu lillaahi rabbi -l'aalamiina.
Oleh yang demikian, ayat di atas tidak mengandungi maksud solat zuhur. Solat itu turut tidak disebut di dalam semua ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan solat.
Waktu zuhur disebut sekali lagi di dalam al-Qur'an. Kali ini ia bermaksud waktu aurat, atau waktu menanggalkan pakaian untuk berehat, bukan untuk solat. Firman-Nya,
"dan apabila kamu menanggalkan pakaian kamu pada waktu zuhur (tengah hari)" - 24:58
Menurut sesetengah pendapat pula, waktu zuhur adalah baik untuk tidur sekejap, atau sepicing, setelah bekerja setengah hari, kerana mutu kerja selepas rehat tersebut akan menjadi baik.
Lantaran itu, daripada petunjuk Allah, dapat difahamkan bahawa waktu zohor adalah masa untuk berehat dan memuji-Nya sahaja. Makan dan minum yang lazim dilakukan pada waktu itu tidak perlu disebut kerana ia merupakan kehendak individu apabila tidak berpuasa.