50. kenapa dalam banyak ayat Allah mengatakan "Kami" .... sebab ini menunjukkan banyak..... (ditambah perbincangan mengenai Aku)

Kamus Melayu mengertikan perkataan 'kami' kepada:

1. saya sekalian (saya dan rakan-rakan saya semua): sudah lama ~ menunggu awak di sini;
2. saya, aku: tidakkah ~ panjangkan cerita tersebut.

Seperti itu juga dapat dilihat kegunaan perkataan tersebut di dalam al-Qur'an. Pertama, menunjukkan jamak, dan kedua, satu, atau seorang sahaja.

Bagi yang pertama (saya dan rakan-rakan saya semua), oleh kerana Allah tidak mempunyai seorang rakan pun maka "Kami" di dalam al-Qur'an bermaksud Allah bersama para malaikat, atau hamba, atau ciptaan-Nya yang lain, dalam melakukan sesuatu.

Contoh ayat Kami yang bermaksud Allah berserta malaikat adalah:

"Dan Kami menurunkan kepada kamu ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan tiada yang tidak percaya kepadanya melainkan orang-orang yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." (2:99) dan,

"Orang-orang yang kepada mereka Kami memberikan al-Kitab membacanya dengan bacaannya yang benar, mereka mempercayainya; dan sesiapa yang tidak percaya kepadanya, merekalah orang-orang yang rugi." (2:121)

Ayat-ayat dan al-Kitab itu adalah ayat-ayat dan al-Kitab Allah. Mereka diturun dan diberikan khas kepada Nabi dan seluruh manusia amnya tidak oleh-Nya Sendiri tetapi melalui malaikat yang diutus atas arahan-Nya. 

Kami yang bermaksud demikian dapat dilihat dengan lebih jelas pada ayat berikut:

"Ini adalah ayat-ayat Allah Kami membacakan kamu dengan benar, dan sesungguhnya kamu adalah daripada para utusan." (2:252)

Selain diguna untuk menunjukkan Allah bersama atau melalui para malaikat-Nya, perkataan 'Kami' di dalam sesetengah ayat al-Qur'an diguna untuk menunjukkan Allah bersama hamba-Nya yang bergelar manusia pula. Contoh,

"Dan apabila Kami membuatkan Rumah untuk menjadi tempat berkunjung bagi manusia, dan tempat aman ....." (2:125)

Rumah tersebut telah dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail (2:127) tetapi di dalam ayat tadi dikatakan dibuat oleh "Kami".

Sama dengan ayat berfrasa "Kami merezekikan mereka". Allah tidak turun ke bumi untuk memberi rezeki kepada manusia tetapi, lazimnya, mereka diberi rezeki oleh-Nya melalui manusia lain, atau dengan usaha mereka sendiri. Misalan ayat yang dinyatakan itu berbunyi,

" Yang mempercayai yang ghaib, dan melakukan solat, dan menafkahkan (membelanjakan) sebahagian daripada apa yang Kami merezekikan mereka," (2:3).

Tidak ketinggalan adalah ayat-ayat yang mengandungi frasa "Kami menjelaskan ayat-ayat" seperti di bawah:

"Inilah jalan Pemelihara kamu, yang lurus; sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengingati." (6:126)

Penjelasan ayat-ayat Allah turut dilakukan oleh manusia yang mempunyai pengetahuan tertentu, seperti ilmu sains. Beberapa contoh penjelasan mereka, setelah kajian yang dibuat, dengan izin Allah, dapat dibaca di ruangan Penemuan.

Akhir sekali, Kami juga bermaksud Allah dengan ciptaan-Nya yang lain. Contoh pertama ialah ayat bermaksud:

" Dan apabila Kami membelah laut untuk kamu, dan Kami menyelamatkan kamu, dan menenggelamkan keluarga Firaun, sedang kamu memerhatikan." (2:50)

Telah ada satu pendapat bahawa laut yang terbelah itu disebabkan suatu komet yang lalu dekat dengan bumi. Laluannya, antara lain, menyebabkan laut terbelah. Komet tersebut dikatakan menghampiri bumi setiap beberapa ribu tahun (maaf, kami tidak ingat butirannya yang tepat).

Satu lagi contoh bagi kegunaan Kami yang bermaksud Allah bersama ciptaan-Nya ialah:

" Tidakkah mereka merenungkan bagaimana Kami memusnahkan sebelum mereka banyak generasi yang Kami telah meneguhkan di bumi ...." (6:6)

Generasi-generasi zaman purba telah dimusnahkan dengan banjir, gempa bumi, letupan gunung berapi dan sebagainya. (Sila lihat Bencana Alam - kemurkaan dari langit.)

Setakat itu sahaja penjelasan mengenai "Kami" bermaksud yang pertama, iaitu jamak.

Maksud Kami yang kedua, bukan jamak tetapi satu, diguna untuk mempamerkan sifat hormat atau lembut. Amalan tersebut terdapat juga di kalangan sesetengah masyarakat Melayu, di mana seseorang anak apabila berkata kepada ibu bapanya atau orang-orang tuanya menggunakan "kita" atau "kami", bukan "aku" atau "saya", untuk melahirkan tanda hormat dan kelembutan terhadap mereka, walaupun anak itu berkedudukan lebih tinggi daripada mereka dalam masyrakat.

Ayat al-Qur'an yang boleh dijadikan contoh atas maksud itu ialah:

"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam', lalu mereka sujud kecuali Iblis." (2:34)

Kami di atas tidak menunjukkan Tuhan itu lebih daripada satu tetapi bahawa Dia lembut terhadap makhluk ciptaan-Nya. Yang berkata kepada para malaikat itu hanya Tuhan yang satu, menurut ayat yang menyusul berbunyi,

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan meletakkan di bumi khalifah (pengganti).'" (2:30)

Satu lagi contoh:

" Dan, orang-orang yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)

Sekali lagi "Kami" tidak bermaksud bilangan lebih daripada satu. Tetapi sifat lembut. Seperti yang sedia maklum ayat-ayat adalah hanya ayat-ayat Allah yang satu. Dia menjelaskan:

"Dan percayalah kepada apa yang Aku menurunkan, yang mengesahkan apa yang bersama kamu, dan janganlah menjadi yang pertama tidak percaya kepadanya, dan janganlah menjual ayat-ayat-Ku untuk harga yang sedikit; dan kamu takutilah Aku." (2:41)

 "Janganlah mengambil ayat-ayat Allah dalam olok-olokan," (2:231)

"Jika kamu dapat melihat ketika mereka diberhentikan di hadapan Api, dan mereka berkata, 'Aduhai, sekiranya kami dapat dikembalikan, dan kami tidak mendustakan ayat-ayat Pemelihara kami supaya kami menjadi antara orang-orang mukmin.'" (6:27)

Demikian serba sedikit mengenai kegunaan 'Kami' di dalam al-Qur'an.

Aku pula, di samping bermaksud bilangan satu, diguna untuk ketegasan, seperti dapat dilihat pada ayat 2:41 yang baru disebut. Selain menunjukkan sikap keras terhadap perintah-Nya. Di bawah terdapat empat contoh ayat:

"Dia berkata, 'Wahai Adam, beritahu mereka nama-namanya', maka setelah dia memberitahu mereka nama-namanya, Dia berkata (kepada para malaikat setelah mereka menunjukkan ketidaksetujuan terhadap ciptaan Adam), 'Tidakkah Aku mengatakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib di langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu menampakkan dan apa yang kamu menyembunyikan?'" (2:33)

"Wahai Bani Israil (yang kerap tidak percaya kepada ayat-ayat Allah), ingatlah akan rahmat-Ku yang dengannya Aku telah merahmati kamu, dan tepatilah perjanjian-Ku dan Aku akan menepati perjanjian kamu, dan kepada-Ku-lah kamu berasa gerun." (2:40)

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya, supaya manusia tidak ada hujah terhadap kamu, kecuali orang-orang yang membuat kezaliman antara mereka; dan janganlah takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, dan supaya Aku menyempurnakan rahmat-Ku ke atas kamu, dan supaya kamu mendapat petunjuk." (2:150)

"Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan membetulkan, dan menunjukkan dengan jelas. Terhadap mereka, Aku akan menerima taubat; Aku Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih." (2:160)

Dengan serba sedikit juga penjelasan mengenai kegunaan Aku di dalam al-Qur'an dibuat di sini. Kami percaya ada pihak yang dapat memberi penjelasan lebih baik mengenainya dan "Kami" daripada yang di atas. Sudilah kirim kepada kami untuk kemanfaatan semua.

Balik ke senarai soalan