Utusan Malaysia, Sabtu 15 Julai 1995, muka 3
Ayat 45:6 disebut dalam berita di atas kerana telah lahir suatu kebimbangan di kalangan pihak tertentu, dan terjemahannya turut menjadi sebab untuk mengharamkan Bacaan!
Ayat tersebut di dalam Bacaan diterjemahkan seperti berikut:
"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami membacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan mempercayai?" (45:6).
Akan tetapi, "Dr. Hamid memberitahu ayat ke 6 dalam surah 45 sebenarnya berbunyi: 'Itulah ayat-ayat Allah yang kami membacakannya kepadamu dengan sebenarnya; maka dengan perkataan manakah lagi mereka akan beriman sesudah (kalam) Allah dan keterangan-keterangan-Nya.'"
Oleh itu, perkataan hadis ditukarkannya menjadi perkataan, dan perkataan aayaatihii (ayat-ayat-Nya) kepada keterangan-keterangan-Nya.
Selanjutnya beliau berkata:
"Ini menunjukkan beliau (penulis) menganggap al-Quran itulah hadis dan sengaja dilakukannya untuk menolak hadis Nabi.
Kata beliau, perkataan 'Hadis' dalam ayat tersebut sebenarnya merujuk kepada ayat Allah dan tidak bermakna sama sekali menyuruh kita menolak hadis Nabi.
"Dalam konteks ayat itu, ayat al-Quran tidak boleh diterjemah sebagai Hadis. Hadis kita gunakan cuma untuk kata-kata Nabi sahaja," ujarnya yang kesal dengan kesilapan itu.
Di sini, beliau kelihatan seperti takut kepada bayang-bayang sendiri. Penulis tidak langsung menyatakan, di dalam Bacaan, seperti yang dibayangkannya, iaitu kalimat "hadis Nabi". Di dalam Bacaan tidak terdapat perkataan "hadis Nabi." Apa lagi dengan "menolak hadis Nabi"!!
Penulis amat memahami makna perkataan hadis yang digunakan di dalam al-Qur'an (sila click di sini), dan bagi ayat itu penulis memahaminya sebagai "tidak ada perkataan lain selain daripada al-Qur'an yang harus dipercayai untuk diguna sebagai petunjuk".
Kenyataan beliau bahawa "perkataan 'Hadis' dalam ayat tersebut sebenarnya merujuk kepada ayat Allah" adalah tidak logik, dan sengaja dibuat untuk mengelirukan orang ramai. Kalau begitu, beliau memahami ayat tersebut seperti "... maka dengan ayat Allah (Hadis) apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan mempercayai?" Pengertian serupa ini sukar diterima akal.
"Boleh jadi, jika mereka tidak mempercayai HADIS ini, kamu membinasakan diri kamu dengan kesedihan kerana mereka" (18:6).
"Allah menurunkan HADIS yang paling baik sebagai sebuah Kitab, yang serupa dalam pengulangannya, dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka; kemudian kulit mereka dan hati mereka menjadi lembut pada mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengannya Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki ..." (39:23).
"Maka adakah kamu berasa hairan dengan HADIS ini, dan kamu ketawa, dan kamu tidak menangis" (53:59-60).
"Apa, adakah kamu menganggap HADIS ini rendah?" (56:81).
"Maka tinggalkanlah Aku bersama orang yang mendustakan HADIS ini! Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit dari arah yang mereka tidak mengetahui" (68:44).
Maka al-Qur'an adalah juga al-Hadis, seperti al-Furqan, al-Bayan, an-Nur dan sebagainya.
Kenyataan beliau yang terakhir "Hadis kita gunakan cuma untuk kata-kata Nabi sahaja," amatlah dikesali kerana mendustakan bahasa Arab ajaran Tuhan (di dalam al-Qur'an) demi untuk memaksa orang ramai percaya kepada sesuatu yang tidak disebut di dalam al-Qur'an, iaitu hadis Nabi. Inilah kebimbangannya.
Halaman Utama Terkini Artikel Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman