Antara Ahli Kitab
Allah memberi petunjuk kepada manusia melalui Kitab-Nya. Kitab-Kitab petunjuk yang diturunkan dan disifat sebagai cahaya ada tiga, iaitu Taurat, Injil dan al-Qur'an. Golongan manusia yang menerima Kitab-Kitab tersebut dipanggil Ahli Kitab. Hari ini, ahli-ahli Kitab terdiri daripada orang-orang yang bergelar Yahudi, Kristian dan Islam.
Manusia pada mulanya adalah umat yang satu. Kemudian mereka berselisih. Mereka berselisih selepas menerima Kitab yang diturunkan kepada para Nabi. Mereka berselisih selepas bukti-bukti yang jelas, atau ayat-ayat Allah, datang kepada mereka kerana sifat angkuh yang menjadi pakaian bagi sesetenagh mereka. Firman Allah,
"Manusia adalah umat yang satu, kemudian Allah membangkitkan Nabi-Nabi sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran, dan Dia menurunkan bersama mereka Kitab dengan yang benar untuk Dia menghakimkan antara manusia mengenai apa yang mereka memperselisihkan. Hanya orang-orang yang diberikannya berselisih, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka, kerana keangkuhan antara mereka;" (2:213)
Perselisihan yang terbit mendorong kepada perpecahan. Orang-orang yang diberi al-Kitab berpecah belah setelah Bukti Yang Jelas tiba kepada mereka. Firman-Nya,
"Dan mereka tidak berpecah belah, orang-orang yang diberi al-Kitab, melainkan setelah Bukti Yang Jelas datang kepada mereka." (98:4)
Perpecahan itu juga disebabkan oleh sifat angkuh yang dipakai oleh sesetengah orang yang diberi al-Kitab, selepas mereka mendapat pengetahuan daripada Kitab. Firman-Nya,
"Mereka tidak berpecah belah kecuali setelah pengetahuan datang kepada mereka, kerana keangkuhan antara satu sama lain;" (42:14)
Agama pun pada mulanya satu, iaitu tunduk patuh kepada Tuhan atau dipanggil Islam. Wahyu yang disampaikan kepada semua Nabi (termasuk Nabi Muhammad) adalah sama (4:163). Kemudian orang-orang yang diberi al-Kitab berselisih setelah pengetahuan datang kepada mereka - juga kerana sifat angkuh yang hadir di kalangan mereka. Firman-Nya,
"Agama yang benar di sisi Allah ialah Islam (tunduk patuh), dan orang-orang yang diberi al-Kitab tidak berselisih, melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana keangkuhan antara mereka. Dan sesiapa yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan." (3:19)
Kerana itu, pada hari ini, agama yang satu berpecah menjadi tiga yang besar, dan di dalam yang tiga itu - Yahudi, Kristian, dan Islam - berpecah lagi kepada pelbagai fahaman atau mazhab. Perselisihan dan perpecahan didalangi oleh sesetengah orang yang diberi Kitab iaitu yang angkuh, yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.
Walhal, orang-orang yang diberi al-Kitab telah diperintah oleh Allah supaya percaya kepada apa yang diturunkan kepada mereka dan takut kepada-Nya. Firman Allah,
"Wahai orang-orang yang diberi al-Kitab, percayalah kepada apa yang Kami menurunkan, yang mengesahkan apa yang bersama kamu sebelum Kami menghapuskan muka-muka, dan memusingkannya di atas belakangnya, atau melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknati orang-orang Sabat, dan perintah Allah adalah dibuat." (4:47)
"Kami telah mewasiatkan kepada orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum kamu, dan kepada kamu, 'Takutilah Allah.' Jika kamu tidak percaya, maka kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi; Allah adalah Kaya, Terpuji." (4:131)
Selain itu, mereka membuat perjanjian untuk menyampaikan Kitab kepada manusia dan tidak menyembunyikannya sedikit pun. Tetapi mereka tidak menghormati perjanjian tersebut kerana mengutamakan keuntungan di dunia. Firman-Nya,
"Dan apabila Allah mengambil perjanjian orang-orang yang diberi Kitab, 'Hendaklah kamu memperjelaskannya kepada manusia, dan janganlah menyembunyikannya.' Tetapi mereka melemparnya ke belakang punggung mereka, dan menjualnya untuk harga yang sedikit - alangkah buruknya apa yang mereka menjualkan!" (3:187)
Adalah jahat apa yang mereka buat. Kejahatan yang dilakukan oleh segolongan manusia yang diberi Kitab terus dijelaskan di dalam al-Qur'an, seperti berikut:
Melempar Kitab Allah, tidak mahu tahu mengenainya:
"Apabila datang kepada mereka seorang rasul daripada Allah, mengesahkan apa yang bersama mereka, segolongan daripada mereka yang diberi Kitab melemparkan Kitab Allah ke belakang punggung mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui." (2:101)
Menyembunyikan yang benar sambil mengetahuinya:
"Orang-orang yang kepada mereka Kami memberikan al-Kitab, ......, dan sesungguhnya segolongan daripada mereka menyembunyikan yang benar, sedang mereka mengetahuinya." (2:146)
Ingin menyesatkan orang yang percaya:
"Ada segolongan daripada ahli Kitab menginginkan untuk menyesatkan kamu, tetapi tiada yang mereka menyesatkan melainkan diri-diri mereka sendiri, tetapi mereka tidak menyedari." (3:69)
Berpura-pura percaya supaya orang yang percaya kembali menjadi tidak percaya:
"Ada segolongan daripada ahli Kitab berkata, 'Percayalah kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang yang percaya pada permulaan siang, dan janganlah percaya pada akhirnya, supaya mereka kemudian kembali,' (3:72) dan,
Berdusta dengan mengatakan apa yang mereka kata adalah daripada al-Kitab atau Allah:
"Dan antara mereka (ahli Kitab), ada segolongan yang memutarbalikkan lidah mereka dengan al-Kitab supaya kamu menyangkanya daripada sebahagian al-Kitab, sedang ia bukanlah daripada al-Kitab; dan mereka berkata, 'Ia daripada Allah', tetapi ia bukanlah daripada Allah, dan mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya." (3:78)
Kejahatan yang mereka lakukan berterusan hingga ke hari ini dan telah sampai di negara ini. Mereka dilarang daripada ditaati oleh orang-orang yang percaya kerana mereka mampu mengembalikan orang-orang yang percaya, sesudah mereka beriman, kepada kekafiran atau ketidakpercayaan. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu mentaati segolongan daripada orang-orang yang diberi al-Kitab, mereka akan mengembalikan kamu, sesudah keimanan kamu, kepada orang-orang yang tidak percaya." (3:100)
Namun begitu, makanan mereka yang diberi al-Kitab adalah halal dimakan dan perempuan mereka halal dinikahi dalam ikatan perkahwinan oleh orang-orang yang percaya. Firman-Nya,
"Pada hari ini, benda-benda yang baik dihalalkan bagi kamu, dan makanan orang-orang yang diberi al-Kitab adalah halal bagi kamu, dan dihalalkan bagi mereka, makanan kamu. Begitu juga wanita-wanita yang mukmin, dalam pernikahan, dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu, jika kamu memberikan mereka upah mereka, dalam ikatan perkahwinan," (5:5)
Terdapat pula antara orang-orang yang diberi al-Kitab yang mengambil hanya sebahagian daripada isinya sahaja. Oleh kerana mereka memilih untuk mengambil sebahagian daripada Kitab sahaja, maka sebahagianlah yang Allah beri kepada mereka. Mereka ini jahat. Contoh kejahatan mereka adalah:
Mereka berpaling apabila Kitab Allah diseru untuk dijadikan hakim:
"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang diberi sebahagian al-Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya ia menghakimkan antara mereka, kemudian segolongan antara mereka berpaling, dan mereka memalingkan." (3:23)
Mereka percaya kepada Jibti dan Thagut. Pada hari ini nama-nama itu diganti dengan nama-nama (orang) lain, dan mereka berkata mereka lebih mendapat petunjuk daripada orang-orang yang percaya kepada Allah dan Kitab-Nya:
"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang diberi sebahagian al-Kitab mempercayai Jibti dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang yang tidak percaya bahawa mereka lebih mendapat petunjuk pada jalan daripada orang-orang yang percaya." (4:51)
Atau, dengan perkataan lain, apa yang mereka lakukan adalah hanya menyekutukan Allah:
"dan daripada golongan-golongan (yang Allah beri Kitab), ada yang menolak sebahagiannya. Katakanlah, 'Aku hanya diperintah untuk menyembah Allah, dan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya. Kepada-Nya aku berseru, dan kepada-Nya tempat kembali.'" (13:36)
Orang-orang yang mengambil sebahagian daripada Kitab adalah sesat, dan mereka selanjutnya menghendaki orang-orang yang percaya turut sesat. Mungkin dengan memaksa mereka supaya mengikuti mereka. Firman-Nya,
"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang diberi sebahagian al-Kitab membeli kesesatan, dan menghendaki bahawa kamu juga sesat daripada jalan?" (4:44)
Kepada ahli Kitab, Allah dan Nabi telah menyeru secara khas atas kejahatan mereka, seperti:
Mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan menyembunyikan yang benar, sedang mereka menyedarinya:
"Wahai ahli Kitab, mengapa kamu mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan kamu menyembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya?" (3:71)
Tidak percaya kepada ayat-ayat Allah:
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, mengapa kamu tidak percaya kepada ayat-ayat Allah? Allah saksi atas apa yang kamu buat.'" (3:98)
Menghalangi orang-orang yang percaya daripada jalan Allah; menginginkan ia jadi bengkok:
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, mengapakah kamu menghalangi daripada jalan Allah orang yang percaya, dengan menginginkannya menjadi bengkok, dan kamu sendiri saksi-saksi? Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat.'" (3:99) dan,
Berlebih-lebihan dalam agama, mengatakan terhadap Allah yang tidak benar, dan mengikuti orang dahulu yang sesat yang telah menyesatkan ramai manusia:
"Wahai ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama kamu, dan jangan kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar." (4:171)
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, janganlah berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan janganlah mengikuti keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan menyesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul.'" (5:77)
Malangnya mereka enggan mendengar apa yang telah diserukan sehingga ke hari ini. Keingkaran mereka juga dapat ditonton di negara ini.
Sesungguhnya kebanyakan daripada ahli Kitab adalah jahat, sebab mereka didapati:
Fasiq, atau tidak mempedulikan perintah Tuhan:
"Kamu adalah umat yang terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu mempercayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu yang lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq." (3:110)
Membuat dosa, permusuhan, dan makan yang haram:
"Kamu melihat kebanyakan antara mereka bersegera dalam dosa dan permusuhan, dan bagaimana mereka memakan yang haram; buruknya apa yang mereka buat!" (5:62)
Mengharamkan makanan yang tidak diharamkan Tuhan:
"Sekiranya mereka melakukan Taurat dan Injil, dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Pemelihara mereka, tentu mereka akan makan apa yang di atas mereka, dan apa yang di bawah kaki mereka. Antara mereka adalah umat yang adil, tetapi kebanyakan antara mereka, adalah jahat apa yang mereka buat." (5:66) dan,
Bertambah dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan setelah didatangkan ayat-ayat Allah
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, kamu tiada di atas sesuatu, sehingga kamu melakukan Taurat dan Injil, dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu.' Dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu akan menambah kepada kebanyakan daripada mereka dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan;" (5:68)
Seperti orang Kristian yang telah menubuhkan rahbaniyah (sistem berahib atau berulama) yang tidak disuruh Allah (57:27), di dalam Injil mahupun Taurat, orang-orang Yahudi dan juga Islam meletakkan kepercayaan mereka di tangan sarjana dan doktor agama atau habr mereka. Perbuatan itu tidak waras kerana kebanyakan daripada mereka memakan harta manusia dengan cara palsu, selain menghalangi daripada jalan Allah, iaitu dengan mengajar agama tidak menurut ajaran Tuhan. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan habr, dan rahib, sesungguhnya mereka memakan harta manusia dengan cara palsu, dan menghalangi daripada jalan Allah." (9:34)
Mereka yang mengambil keuntungan dunia mengatakan bahawa mereka akan diampunkan Tuhan. Demikian kata mereka yang diberi Kitab hingga ke hari ini. Lihat betapa salahnya mereka:
"Dan menggantilah sesudah mereka pengganti-pengganti yang mewarisi Kitab, dengan mengambil keuntungan daripada dunia yang rendah ini, dan mereka berkata, 'Kami akan diampunkan'; dan jika keuntungan yang serupa dengan itu datang kepada mereka, mereka akan mengambilnya. Bukankah perjanjian Kitab telah diambil daripada mereka, bahawa mereka tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar? Dan mereka mempelajari apa yang di dalamnya, bahawa tempat kediaman akhir adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu faham?" (7:169)
Menyentuh mengenai sikap kebanyakan daripada ahli Kitab terhadap orang-orang yang percaya kepada Kitab Allah. Sikap mereka didapati tidak menyenangkan, seperti:
Tidak menginginkan bahawa sebarang kebaikan diturunkan kepada orang-orang yang percaya:
"Orang-orang yang tidak percaya daripada ahli Kitab, dan orang-orang yang menyekutukan, tidak menginginkan bahawa sebarang kebaikan diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu, tetapi Allah memilih untuk pengasihan-Nya siapa yang Dia mengkehendaki; Allah mempunyai pemberian yang besar." (2:105)
Mereka dengki dan ingin supaya orang-orang yang percaya menjadi tidak percaya:
"Kebanyakan daripada ahli Kitab ingin sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu sebagai orang-orang yang tidak percaya setelah keimanan kamu kerana kedengkian dalam jiwa mereka sesudah yang benar menjadi jelas bagi mereka. Namun begitu, kamu maafkanlah, dan ampunkanlah, sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu." (2:109)
Mereka mengganggu orang-orang yang percaya:
"Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu, dan kamu akan mendengar daripada orang-orang yang diberi Kitab sebelum kamu, dan daripada orang-orang yang mempersekutukan, gangguan yang banyak; tetapi, jika kamu bersabar, dan bertakwa - sesungguhnya itulah urusan yang patut ditekadkan." (3:186)
Dan, mereka mendendami orang-orang yang percaya:
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, adakah kamu mendendami kami kerana kami percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan sebelumnya, dan bahawa kebanyakan kamu adalah orang-orang fasiq?'" (5:59)
Sikap-sikap tersebut memang dapat dikesan di kalangan ahli Kitab yang berada di dalam masyarakat Melayu hari ini.
Pun begitu, terdapat juga di kalangan orang-orang yang diberi Kitab, atau ahli Kitab, yang baik. Contoh:
Mereka membaca al-Kitab dengan bacaan sebenar lalu mempercayainya:
"Orang-orang yang kepada mereka Kami memberikan al-Kitab membacanya dengan bacaannya yang benar, mereka mempercayainya; dan sesiapa yang tidak percaya kepadanya, merekalah orang-orang yang rugi." (2:121)
Mereka membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam dan bersujud:
"Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan bersujud. Mereka mempercayai Allah dan Hari Akhir, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan mereka bersegera dalam kebajikan; mereka itulah orang-orang salih." (3:113-114)
Mereka percaya kepada apa yang diturunkan Allah, merendah hati kepada Allah, dan tidak menjual ayat-ayat Allah, misalan, menyembunyikannnya untuk keuntungan di dunia:
"Dan daripada ahli Kitab ada yang mempercayai Allah, dan apa yang diturunkan kepada kamu, dan apa yang diturunkan kepada mereka; mereka merendah hati kepada Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah untuk harga yang sedikit. Mereka itu, upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka; sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan." (3:199) dan,
Mereka membaca Kitab Allah, melakukan solat dan menafkah:
"Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitab Allah, dan melakukan solat, dan menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, mereka mengharapkan perdagangan yang tidak sia-sia," (35:29)
Kini sudah tiba masanya untuk hati orang-orang yang mengaku percaya ditundukkan kepada ayat-ayat Allah supaya ia tidak menjadi keras dan mereka tidak menjadi fasiq seperti yang telah berlaku pada orang-orang yang diberi al-Kitab dahulu. Firman-Nya,
"Tidakkah ia masanya untuk hati orang-orang yang percaya ditundukkan kepada Peringatan Allah, dan yang Benar, yang Dia menurunkan, dan mereka tidak menjadi seperti orang-orang yang telah diberi al-Kitab sebelumnya, dan tempohnya dirasakan terlalu panjang kepada mereka, lalu hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan mereka orang-orang fasiq?" (57:16)
Sekiranya ahli Kitab percaya dan bertakwa (takut kepada Tuhan) maka Taman Kebahagiaan menantinya di akhirat setelah kejahatan-kejahatn mereka dilepaskan Allah. Firman-Nya,
"Tetapi sekiranya ahli Kitab percaya dan bertakwa, tentu Kami melepaskan mereka daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan tentu Kami memasukkan mereka ke Taman Kebahagiaan." (5:65)
Tetapi, bagi mereka yang tidak percaya, dan yang mengambil ajaran selain daripada ajaran Allah, atau yang menyekutukan-Nya, mereka disifatkan pula sebagai seburuk-buruk makhluk, dan akan tinggal di dalam api Jahanam selama-lamanya. Firman Tuhan,
"Orang-orang yang tidak percaya daripada ahli Kitab, dan orang-orang yang menyekutukan berada di dalam api Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya; mereka itulah seburuk-buruk makhluk." (98:6)
Itu adalah ayat terakhir yang mengandungi kalimat ahli Kitab atau Kitab di dalam al-Qur'an. Ia merupakan peringatan terakhir bagi ahli Kitab. Turut menjadi peringatan ialah ayat yang menyebut mengenai tiga kategori manusia yang mewarisi Kitab Allah, berbunyi,
"Kemudian Kami mewariskan Kitab kepada mereka antara hamba-hamba Kami yang Kami pilih; tetapi antara mereka, ada yang menzalimi dirinya sendiri, dan antara mereka tidak bersungguh-sungguh, dan antara mereka ada yang mendahului dalam kebajikan dengan izin Allah; itulah pemberian yang besar." (35:32)
Justeru, terdapat tiga pilihan. Sama ada ingin menjadi orang yang menerima Kitab yang mendahului dalam kebajikan, dengan izin Allah, atau yang tidak bersungguh-sungguh, atau yang menzalimi diri sendiri seperti bersifat angkuh, atau yang mengambil hanya sebahagian daripada isi Kitab, atau seperti yang dilakukan oleh kebanyakan ahli Kitab.
Penulis Bacaan
24 Oktober 2004
Ramadan 1425
Halaman Utama Terkini Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman