Amaran-Ku
"Wahai kamu yang berselubung, Bangun, dan berilah amaran!" (74:1-2). Ayat ini telah mengetuk fikiran semasa membaca al-Qur'an baru-baru ini walaupun peringatan yang berkaitan sudah lama ditulis sebagai sebuah artikel berjudul Bencana Alam - kemurkaan dari langit.
Bangun! Beri amaran! Adalah perintah Allah kepada Nabi. Tentu sekali baginda telah melaksanakannya dalam ketaatan dan takwa.
Memberi amaran, selain menyampaikan berita gembira, menjadi tugas para rasul dan utusan, supaya manusia tidak dapat berdalih lagi kepada Allah, dan supaya mereka yang percaya dan membetulkan diri tidak rasa takut dan tidak rasa sedih, terutama di akhirat. Firman-firman berkaitan berbunyi,
"Rasul-rasul sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran supaya manusia tidak ada hujah terhadap Allah selepas rasul-rasul; Allah adalah Perkasa, Bijaksana." (4:165)
"Kami tidak mengutus para utusan kecuali untuk membawa berita gembira, dan memberi amaran. Maka sesiapa yang percaya, dan membetulkan - tiada ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (6:48)
Rasul sebagai pemberi amaran diutus kepada tiap-tiap umat. Maka tiada umat di dunia ini yang tidak didatangi pemberi amaran. Lantaran itu semua manusia menerima amaran daripada Allah. Firman-firman-Nya,
"Tiap-tiap umat ada rasulnya" (10:47)
"dan tiada sesuatu umat melainkan telah berlalu di dalamnya seorang pemberi amaran." (35:24)
Pemberi amaran telah juga diutus ke bandaraya-bandaraya sementara Nabi Muhammad ke ibu bandaraya-bandaraya dan kawasan di sekitarnya. Ayat-ayat di bawah menjelaskan:
"Kami tidak mengutus seorang pemberi amaran ke sesebuah bandaraya melainkan orang-orangnya yang hidup mewah berkata, 'Kami tidak percaya kepada apa yang kamu diutus dengannya.'" (34:34)
"Inilah sebuah Kitab yang Kami menurunkan, diberkati, dan mengesahkan apa yang sebelumnya, dan supaya kamu (Muhammad) memberi amaran kepada ibu bandaraya-bandaraya, dan orang-orang di sekitarnya; dan orang-orang yang mempercayai akhirat mempercayainya, dan mereka yang memelihara solat mereka." (6:92)
Dengan itu dapat difahamkan iaitu orang-orang yang mempercayai amaran-amaran Allah atau ayat-ayat-Nya yang disampaikan melalui pemberi-pemberi amaran adalah mereka yang mempercayai akhirat, dan yang memelihara solat mereka.
Lazimnya amaran yang diberi mengandungi larangan mengadakan berserta Allah tuhan yang lain, atau larangan menyembah sesiapa saja selain daripada Dia. Larangan tersebut turut bermaksud tidak mengikuti sesiapa saja (dalam hal agama) kecuali Allah melalui Kitab-Nya. Larangan serupa itu, kadang kala, dituruti dengan sesuatu ancaman, seperti azab hari yang besar. Firman-firman-Nya,
"Dan jangan mengadakan berserta Allah tuhan lain; aku (Nuh) adalah seorang pemberi amaran yang jelas daripada-Nya kepada kamu." (51:51)
"Dan ingatlah saudara kepada Ad, apabila dia (Hud) memberi amaran kepada kaumnya di tepi bukit pasir - dan sesungguhnya pemberi-pemberi amaran telah berlalu di hadapannya dan belakangnya -'Jangan kamu menyembah siapa pun melainkan Allah! Sesungguhnya aku takut untuk kamu akan azab hari yang besar.'" (46:21)
Beberapa azab lain turut disebut di dalam al-Qur'an, misalan azab di akhirat, bencana yang keras, Hari Penyesalan, Hari Yang Dekat, halilintar atau angin ribut yang mengandungi batu. Kesemua ancaman yang disebut membawa maut, kecuali azab di akhirat. Ayat-ayat berikut memberi keterangan lanjut:
"Pada hari bumi ditukar kepada selain daripada bumi dan langit, dan mereka pergi kepada Allah, Yang Satu, Yang Menakluki. Dan kamu melihat orang-orang yang berdosa pada hari itu diikat bersama dalam belenggu.
Daripada gala-gala adalah baju-baju mereka, muka mereka ditutupi oleh Api. Kerana Allah akan membalas tiap-tiap jiwa atas usahanya; sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan.
Ini ialah satu penyampaian bagi manusia supaya mereka diberi amaran dengannya, dan supaya mereka mengetahui bahawa Dia Tuhan Yang Satu, dan supaya semua yang mempunyai minda mengingati." (14:48-52)"Yang betul, untuk memberi amaran akan bencana yang keras daripada-Nya, dan untuk memberi berita gembira kepada orang-orang mukmin yang membuat kerja-kerja kebaikan, bahawa bagi mereka upah yang baik," (18:2)
"Berilah mereka amaran dengan Hari Penyesalan apabila perkara diputuskan, sedang mereka dalam kelalaian, dan tidak mempercayai." (19:39)
"Dan berilah mereka amaran mengenai Hari Yang Dekat, apabila, tercekik dengan penderitaan, hati-hati berada di kerongkongan, dan orang-orang zalim tidak ada seorang sahabat setia, dan tidak ada pengantara untuk ditaati." (40:18)
"Tetapi jika mereka berpaling, maka katakanlah, 'Aku memberi amaran kepada kamu dengan halilintar yang serupa halilintar Ad dan Tsamud.'" (41:13)
"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia yang di langit tidak akan mengutus kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu, kemudian kamu akan mengetahui bagaimanakah dengan amaran-Ku?" (67:17)
Kebanyakan manusia tidak percaya kepada amaran Allah yang disampaikan oleh pemberi amaran. Antara mereka yang tidak percaya membantah dengan yang palsu, di samping mengambil amaran-Nya atau ayat-ayat-Nya sebagai olok-olokan. Demikian menurut firman berbunyi,
"Dan Kami tidak mengutus para utusan melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran. Namun begitu, orang-orang yang tidak percaya membantah dengan yang palsu supaya mereka menyangkal yang benar dengannya. Mereka mengambil ayat-ayat-Ku dan apa yang mereka diamarankan sebagai olok-olokan." (18:56)
Ada pula, selain tidak percaya mengatakan bahawa amaran-Nya adalah sesuatu sangat aneh, sementara yang lain mendustakannya sambil menyifatkan pemberi amaran, yang daripada kalangan mereka sendiri, sebagai orang yang sesat. Firman-firman-Nya,
"Tidak, tetapi mereka hairan bahawa seorang pemberi amaran datang kepada mereka daripada kalangan mereka; dan orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Ini adalah sesuatu yang sangat aneh!'" (50:2)
"Mereka berkata, 'Ia, benar; seorang pemberi amaran telah datang kepada kami; tetapi kami mendustakan, dengan berkata, ‘Allah tidak menurunkan sesuatu; kamu hanya dalam kesesatan yang besar.’” (67:9)
Selain daripada itu, terdapat pula manusia yang berpaling daripada amaran yang disampaikan, dan terdapat juga mereka yang menambahkan dalam pelarian mereka daripada ayat-ayat Allah setelah mendengar amaran daripada-Nya. Ayat-ayat yang menyatakan demikian berbunyi,
"Kami tidak mencipta langit dan bumi, dan apa di antara keduanya melainkan dengan yang benar, dan satu tempoh yang dinyatakan; tetapi orang-orang yang tidak percaya berpaling daripada amaran yang mereka diberi." (46:3)
"Mereka bersumpah dengan Allah dengan sumpah segenap hati bahawa jika seorang pemberi amaran datang kepada mereka, tentu mereka lebih mendapat petunjuk daripada mana-mana satu umat; tetapi apabila seorang pemberi amaran datang kepada mereka, ia hanya menambahkan mereka dalam pelarian," (35:42).
Telah disebut mengenai amaran kepada penduduk bandaraya, di mana orang-orangnya yang hidup mewah tidak percaya. Mereka tidak percaya kerana mengikuti kepercayaan bapa-bapa atau nenek moyang mereka. Firman-Nya,
"Begitulah, Kami tidak mengutus sebelum kamu seseorang pemberi amaran ke sesebuah bandaraya, melainkan bahawa orang-orangnya yang hidup mewah berkata, 'Sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami atas satu umat, dan kami atas bekas-bekas mereka.'" (43:23)
Sesuatu tindakan ada tindak balas. Antara balasan yang diterima di dunia kerana mendustakan amaran-Nya ialah mereka yang terlibat ditenggelamkan atau ditimpa suatu hujan yang buruk yang membawa maut. Peringatan-Nya berbunyi,
"Tetapi mereka mendustakannya; maka Kami menyelamatkan dia (Nuh) dan orang-orang bersama dia di dalam kapal, dan Kami melantik mereka sebagai pengganti-pengganti, dan Kami menenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami; kemudian perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang diberi amaran." (10:73)
"Dan Kami menghujani mereka (kaum Lut) dengan suatu hujan; dan adalah buruk hujan orang-orang yang diberi amaran." (26:173)
Contoh-contoh malapetaka yang menimpa dapat difahamkan daripada artikel yang telah disebut di atas. Di akhirat pula, manusia akan ditanya mengenai amaran yang diberi dan kemudian mereka yang berdosa dimasukkan ke dalam api Jahanam. Kisah selanjutnya berbunyi,
"'Wahai golongan jin dan manusia, tidakkah rasul-rasul datang kepada kamu sendiri yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat-Ku, dan memberi amaran kepada kamu mengenai pertemuan hari kamu ini?' Mereka berkata, 'Kami menyaksikan terhadap diri-diri kami sendiri.' Mereka ditipu kehidupan dunia, dan mereka menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri bahawa mereka adalah orang-orang yang tidak percaya.'" (6:130)
"Di dalamnya (api Jahanam) mereka menjerit, 'Wahai Pemelihara kami, keluarkanlah kami, dan kami akan membuat kerja-kerja kebaikan, selain daripada apa yang kami telah buat.' 'Apa, tidakkah Kami telah memberi umur yang panjang kepada kamu untuk mengingatkan padanya orang yang mengingati? Kepada kamu pemberi amaran telah datang; maka rasalah sekarang! Bagi orang-orang zalim, tidak ada penolong.'" (35:37)
"Dan hampir-hampir terpecah dengan kemarahan. Setiap kali sekumpulan dilemparkan ke dalamnya (Jahanam), penjaga-penjaganya menanyakan mereka, 'Tidakkah datang pemberi amaran kepada kamu?' Mereka berkata, 'Ia, benar; seorang pemberi amaran telah datang kepada kami; tetapi kami mendustakan...'" (67:8-9)
Demikian cerita di akhirat mengenai orang-orang yang diberi amaran. Amaran diberi kepada kaum yang belum diberi amaran supaya mereka mengingati, atau mendapat petunjuk, atau supaya mereka tidak lalai daripada ayat-ayat Allah. Firman-firman di bawah menjelaskan:
"Kamu tidak berada di tepi Gunung ketika Kami memanggil; tetapi kerana satu pengasihan daripada Pemelihara kamu, supaya kamu memberi amaran kepada kaum yang kepadanya tiada pemberi amaran telah datang sebelum kamu supaya mereka mengingati." (28:46)
"Atau, adakah mereka berkata, 'Dia mengada-adakannya'? Tidak, ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, supaya kamu memberi amaran kepada kaum yang kepadanya tiada seorang pemberi amaran telah datang sebelum kamu supaya mereka mendapat petunjuk." (32:3)
"Supaya kamu memberi amaran kepada kaum yang bapa-bapa mereka tidak diberi amaran, lalu mereka lalai." (36:6)
Juga dituju khas kepada golongan-golongan tertentu misalan mereka yang mengatakan Allah mempunyai seorang anak, atau kaum yang paling degil, atau mereka yang membuat kezaliman. Menurut firman-firman berbunyi,
"Dan untuk memberi amaran kepada orang-orang yang berkata, 'Allah mengambil kepada-Nya seorang anak.'" (18:4)
"Sesungguhnya Kami memudahkannya dengan lisan kamu supaya kamu memberi berita gembira dengannya kepada orang-orang bertakwa, dan memberi amaran kepada kaum paling degil." (19:97)
"Dan sebelumnya Kitab Musa, untuk satu imam, dan satu pengasihan; dan ini sebuah Kitab yang mengesahkan, dalam lidah (bahasa) Arab, untuk memberi amaran kepada orang-orang yang membuat kezaliman, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang berbuat baik." (46:12)
Namun begitu, bagi sesetengah orang, sama saja, sama ada diberi amaran atau tidak diberi amaran, mereka tidak akan percaya. Firman-Nya,
"Sama sahaja bagi mereka, sama ada kamu memberi amaran kepada mereka atau kamu tidak memberi amaran kepada mereka, mereka tidak mempercayai." (36:10)
Sudah diketahui bahawa amaran bermanfaat kepada orang-orang yang mempercayai akhirat dan memelihara solat mereka. Selanjutnya dijelaskan iaitu orang-orang yang turut dimanfaatkan dengan amaran daripada Allah adalah mereka yang takut kepada hari mereka dikumpulkan kepada-Nya, takut kepada-Nya yang dalam keadaan ghaib sambil mereka melakukan solat, yang mengikuti Peringatan atau ayat-ayat-Nya, dan yang takut pada amaran-Nya. Sila lihat ayat-ayat berikut:
"Dan berilah amaran dengannya kepada orang-orang yang takut bahawa mereka akan dikumpulkan kepada Pemelihara mereka; tidak ada bagi mereka, selain daripada Allah, seorang wali (pelindung) dan tiada juga seorang pengantara, supaya mereka bertakwa." (6:51)
"Kamu hanya memberi amaran kepada orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dalam keadaan ghaib, dan melakukan solat;" (35:18)
"Kamu hanya memberi amaran kepada orang yang mengikuti Peringatan, dan yang takut kepada Yang Pemurah dalam keadaan ghaib; maka berilah dia berita gembira dengan keampunan dan upah yang mulia." (36:11)
"Kamu hanya pemberi amaran kepada orang yang takut padanya." (79:45)
Nabi telah memberi amaran kepada orang-orang yang berada disekelilingnya. Namun tugas baginda tidak terhad di situ sahaja, malah, baginda ditugaskan untuk menjadi pemberi amaran kepada semua manusia atau semua alam. Firman Allah,
"Berkatnya Dia yang menurunkan Pembeza kepada hamba-Nya agar dia (Muhammad) menjadi seorang pemberi amaran bagi semua alam." (25:1)
Demikian itu kerana al-Qur'an yang diturunkan kepada baginda adalah juga untuk memberi amaran kepada sesiapa ia sampai, yang sehingga ke hari ini. Firman-Nya,
"Katakanlah, 'Perkara apakah yang paling besar dalam kesaksian?' Katakanlah, 'Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku memberi amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai." (6:19)
Tidak ketinggalan, Allah sendiri didapati turut memberi amaran melalui dua ayat-Nya yang berbunyi,
"Sesungguhnya Kami memberi amaran kepada kamu mengenai satu azab yang dekat, pada hari apabila seseorang akan melihat apa yang tangan-tangannya telah mendahulukan, dan orang yang tidak percaya akan berkata, 'Alangkah baiknya jika aku adalah tanah!'” (78:40)
"Maka Aku memberi amaran kepada kamu dengan Api yang menyala-nyala," (92:14)
Ayat yang kedua itu adalah ayat amaran terakhir di dalam al-Qur'an. Ia berkait rapat dengan ayat mengenai orang-orang yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat-Nya, berbunyi,
"Dan, orang-orang yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)
Amaran diberi dengan wahyu. Justeru, mana-mana amaran yang bukan daripada al-Qur'an adalah amaran yang direka oleh manusia tertentu, dan hendaklah tidak difikirkan langsung. Dan, akhir sekali, jangan lupa untuk memberi amaran kepada kerabat serta saudara yang terdekat:
"Katakanlah, 'Aku hanya memberi amaran kepada kamu dengan wahyu' tetapi orang-orang yang pekak tidak mendengar seruan apabila mereka diberi amaran.'" (21:45)
"Dan berilah amaran kepada kerabat kamu, sanak saudara yang terdekat." (26:214)
Mungkin inilah masa paling baik untuk sekali lagi memberi amaran daripada al-Qur'an!
Allah disanjung!
(Sila rujuk kalimat
Amaran
untuk keterangan sepenuhnya.)
Penulis Bacaan
11.11.11
Artikel /
English
Articles
Halaman Utama Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis
kepada
Pengurus Laman