Kebanyakan Manusia

 

 

Manusia dicipta lemah. Lalu diringankan dalam tugas terhadap Allah. Tetapi dalam kelemahan dan keringanan itu dia menjadi suatu makhluk yang degil, suka menentang, dan paling banyak membantah. Dia juga mempunyai sifat tergesa-gesa, selalu risau dan gelisah, kedekut, tidak berterima kasih, melampaui batas dan paling jahat sekali ialah kafir kepada Tuhannya.

Demikian dinyatakan Tuhan mengenai sifat-sifat yang menjadi pakaian lazim pilihan manusia. Sifat-sifat tersebut dapat diketahui daripada ayat-ayat berikut:

"Allah menghendaki untuk meringankan kamu kerana manusia itu diciptakan lemah." (4:28)

"Dan Dia memberikan kamu segala yang kamu minta kepada-Nya. Jika kamu menghitung rahmat Allah, kamu tidak dapat menjumlahkannya; sesungguhnya manusia sangat aniaya, berdegil dalam ketidakpercayaan." (14:34)

"Dia mencipta manusia daripada setitis mani; dan tiba-tiba, dia menjadi penentang yang nyata." (16:4)

"Manusia mendoa untuk kejahatan seperti dia mendoa untuk kebaikan; manusia adalah tergesa-gesa." (17:11)

"Manusia dicipta bersifat tergesa-gesa. Sungguh, Aku akan memperlihatkan kepada kamu ayat-ayat-Ku; maka janganlah kamu minta disegerakan." (21:37) Ayat-Ku di sini bermaksud azab-Ku.

"Katakanlah, 'Jika kamu memiliki perbendaharaan pengasihan Pemeliharaku, jika demikian, tentu kamu menahannya kerana takut menafkahkannya; dan manusia selamanya kedekut.'" (17:100)

"Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan; manusia adalah sesuatu yang paling banyak membantah." (18:54)

"Sesungguhnya manusia dicipta selalu risau dan gelisah," (70:19) 

"Binasalah manusia! Betapa tidak berterimakasihnya dia!" (80:17)

"Tidak sekali-kali! Sesungguhnya manusia melampaui batas," (96:6)

dan,

"Sesungguhnya manusia kafir kepada Pemeliharanya," (100:6).

Sembilan sifat yang disebut di atas adalah kelemahan yang terdapat pada manusia secara am. Antara sifat-sifat tersebut terdapat beberapa yang menjadi basahan bagi kebanyakan manusia pula. Namun begitu, al-Qur'an, dalam pengajarannya, telah dengan secara khusus menjelaskan sifat-sifat yang terdapat pada kebanyakan manusia.

Menurut al-Qur'an kebanyakan manusia bersifat:

1. Tidak berterima kasih (bersyukur) kepada Tuhan

Mereka tidak berterima kasih terhadap pemberian yang Tuhan kurniakan. Firman-Nya,

"Sesungguhnya Pemelihara kamu mempunyai pemberian kepada manusia; tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih." (27:73)

Terdapat empat lagi ayat yang membawa peringatan yang sama. Ayat-ayat tersebut pula memberi contoh pemberian-pemberian yang tidak disyukuri oleh kebanyakan manusia. Mereka adalah seperti berikut:

i. Kehidupan (tidak mati)

Firman-Nya, "Kemudian Dia menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih." (2:243)

ii. Rezeki yang diberi Allah dijadikan haram dan halal tanpa izin-Nya

Atau yang tidak disebut di dalam al-Qur'an. Firman-Nya, "Katakanlah, 'Adakah kamu memikirkan rezeki yang Allah menurunkan untuk kamu, dan kamu membuat sebahagiannya haram, dan sebahagiannya halal?' Katakanlah, 'Adakah Allah memberi izin kepada kamu, atau kamu mengada-adakan terhadap Allah?'
Apakah yang mereka menyangka, yang mengada-adakan dusta terhadap Allah pada Hari Kiamat? Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak berterima kasih.'" (10:59-60)

iii. Malam dan siang

Firman-Nya, "Allah yang membuatkan untuk kamu malam, untuk berehat padanya, dan siang, untuk melihat. Sesungguhnya Allah mempunyai pemberian kepada manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur (berterima kasih)." (40:61)

iv. Tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu

Firman-Nya, "Dan aku (Nabi Yusuf) mengikuti anutan bapa-bapaku, Ibrahim, dan Ishak, dan Yaakub. Tiadalah bagi kami untuk menyekutukan sesuatu dengan Allah. Itu adalah daripada pemberian Allah kepada kami, dan kepada manusia; tetapi kebanyakan manusia tidak berterima kasih." (12:38)

Dengan itu agama Islam yang percaya kepada Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesiapa jua adalah sebenarnya merupakan suatu pemberian daripada Tuhan.

Akan tetapi, kebanyakan daripada manusia yang mengatakan percaya kepada Allah namun didapati menyekutukan-Nya juga. Firman Tuhan, "Dan kebanyakan mereka tidak mempercayai Allah, melainkan mereka menyekutukan-Nya." (12:106)

(Sila lihat Al-Qur'an dan Sekutu Allah untuk mengetahui maksud sekutu yang sebenar. Terima kasih.)

Sifat tidak berterima kasih yang tersangkut pada kebanyakan manusia adalah balingan daripada Iblis atau syaitan. Lihat apa katanya kepada Tuhan, berbunyi, "Kemudian aku (Iblis) datang kepada mereka, dari hadapan mereka, dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka, dan dari kiri mereka; Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka berterima kasih." (7:17)

 

2. Fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)

Satu daripada sebab kebanyakan manusia menjadi fasiq ialah kerana enggan menghakimkan atau memutuskan menurut apa yang Tuhan turunkan. Firman-Nya,

"Dan hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka, dan berhati-hatilah terhadap mereka, supaya mereka tidak menggoda kamu daripada sebarang apa yang Allah menurunkan kepada kamu. Tetapi jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah menghendaki hanya untuk menimpakan kepada mereka kerana sebahagian daripada kesalahan mereka; sesungguhnya kebanyakan manusia fasiq." (5:49)

 

3. Tidak percaya

Kebanyakan manusia tidak percaya lalu mereka dipanggil bodoh. Firman-Nya,

"Walaupun Kami menurunkan malaikat-malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang mati berkata-kata dengan mereka, sekiranya Kami mengumpulkan kepada mereka segala sesuatu berhadapan muka, bukanlah mereka yang akan mempercayai, kecuali jika Allah mengkehendaki; tetapi kebanyakan mereka bodoh." (6:111)

Mereka tidak percaya kepada al-Qur'an, pertemuan dengan Tuhan dan peristiwa Saat yang akan berlaku.

i. Tidak percaya kepada al-Qur'an

Firman-firman-Nya,

"Maka janganlah kamu dalam keraguan daripadanya (al-Qur'an); ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai." (11:17)

"Walaupun kamu sangat menginginkan, tetapi kebanyakan manusia tidak mukmin (mempercayai)." (12:103)

"dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu adalah yang benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai." (13:1)

"Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan tetapi kebanyakan manusia menolak semua, kecuali ketidakpercayaan." (17:89)

ii. Tidak percaya kepada pertemuan dengan Tuhan di akhirat

Firman-Nya, "kebanyakan manusia tidak percaya kepada pertemuan dengan Pemelihara mereka." (30:8)

Mungkin ada yang percaya tetapi tidak percaya kepada penjelasan Allah mengenainya. Dan,

iii. Tidak percaya kepada Saat

Firman-Nya, "Saat pasti datang, tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai." (40:59)

 

4. Mengikuti sangkaan

Kebanyakan manusia tidak mengikuti ajaran al-Kitab yang diturunkan Allah tetapi mengikuti ajaran orang-orang yang dianggap alim. Ajaran mereka tiada lain tetapi hanya sangkaan sahaja. Dengannya mereka menyesatkan orang lain pula. Firman-Nya, 

"Jika kamu mentaati kebanyakan orang di bumi, mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah; mereka mengikuti hanya sangkaan, semata-mata dugaan." (6:116)

 

5. Tidak tahu

Kebanyakan manusia tidak tahu bahawa:

i. hanya Allah mengetahui bila Saat akan berlaku.

Firman-Nya, "Mereka menanyai kamu mengenai Saat, bilakah ia melabuhkan. Katakanlah, 'Pengetahuannya adalah hanya di sisi Pemeliharaku. Tiada yang akan mendedahkannya pada waktunya yang benar, melainkan Dia. Amatlah berat ia di langit dan di bumi; ia tidak akan datang kepada kamu melainkan dengan tiba-tiba.' Mereka menanyai kamu seakan-akan kamu benar-benar mengetahuinya. Katakanlah, 'Pengetahuannya adalah hanya di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.'" (7:187)

ii. Allah memenangi dalam urusan-Nya

Firman-Nya, "Allah memenangi dalam urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (12:21)

iii. Allah melarang menyembah nama-nama (orang) yang nenek moyang menamakan atau diri sendiri menamakan.

Firman-Nya, "Apa yang kamu sembah selain daripada Dia tiadalah melainkan nama-nama yang kamu sendiri menamakan, kamu dan bapa-bapa kamu; Allah tidak menurunkan kuasa mengenai mereka. Putusan hanyalah kepunyaan Allah. Dia memerintahkan bahawa kamu tidak menyembah sesuatu melainkan Dia. Itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (12:40)

Maka renungkanlah nama-nama yang ditaati dalam agama yang selain daripada Allah.

iv. Allah membangkitkan orang mati

Firman-Nya, "Mereka bersumpah dengan Allah dengan sumpah segenap hati, bahawa Allah tidak akan membangkitkan orang yang mati; tidak, ia adalah satu janji yang mengikat-Nya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (16:38)

v. Allah tidak memungkiri janji-Nya

Firman-Nya, "Janji Allah! Allah tidak memungkiri janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (30:6)

Satu daripada janji-Nya berbunyi, "Dan, orang-orang yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)

vi. tidak ada pertukaran dalam ciptaan Allah

Firman-Nya, "Maka tegakkanlah wajah kamu kepada agama, seorang yang lurus - keaslian Allah yang dengannya memulakan manusia. Tidak ada pertukaran dalam ciptaan Allah. Itulah agama yang betul; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (30:30)

Lantas, tidak ada pertukaran juga pada ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an.

vii. manusia dikumpulkan pada Hari Kiamat

Firman-Nya, "Katakanlah, 'Allah menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian Dia mengumpulkan kamu pada Hari Kiamat, yang tidak ada keraguan padanya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.'" (45:26)

viii. Nabi diutus sebagai pembawa berita gembira dan pemberi amaran

Firman-Nya, "Kami tidak mengutus kamu melainkan kepada seluruh manusia sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (34:28)

ix. Tuhan yang meluas dan menyempitkan rezeki manusia

Firman-Nya, "Katakanlah, 'Pemeliharaku menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.'" (34:36)

x. pengurniaan adalah ujian daripada Allah

Firman-Nya, "Apabila penderitaan menyentuh manusia, dia berseru kepada Kami; kemudian, apabila Kami mengurniakan kepadanya satu rahmat daripada Kami, dia berkata, 'Aku diberinya hanya kerana satu pengetahuan.' Tidak, ia adalah satu ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya." (39:49)

xi. ciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada ciptaan manusia

Firman-Nya, "Sungguh, ciptaan langit dan bumi adalah lebih besar daripada ciptaan manusia; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya." (40:57)

 

6. Lalai daripada ayat-ayat Allah

Kebanyakan manusia lalai daripada ayat-ayat Allah. Ayat-ayat Allah juga bermaksud tanda-tanda kebesaran-Nya. Firman-Nya, 

"Maka pada hari ini Kami menyelamatkan kamu (Firaun) dengan badan kamu, supaya kamu menjadi satu ayat bagi orang-orang yang sesudah kamu. Sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada ayat-ayat Kami." (10:92)

dan akhir sekali, kebanyakan manusia,

 

7. Benci pada yang benar

Benci kepada al-Qur'an, lalu mengambil ajaran kitab lain, misalannya. Firman Allah, 

"Kami telah mendatangkan kepada kamu yang benar, tetapi kebanyakan kamu benci pada yang benar." (43:78)

 

Sikap-sikap manusia yang merugikan dan yang menyelinap pada kebanyakan manusia terbentang sudah. Jika ada orang terasa dirinya berada dalam golongan majoriti manusia maka haruslah dia memikirkan untuk melepaskan diri dari mana-mana kumpulan sifat yang dia sedang menyarungi, walaupun sudah kian lama dan sudah selesa berada di dalamnya. Dan kembali kepada al-Qur'an yang kebanyakan manusia tidak pakai, tidak percaya.

Selamat meneruskan puasa.

 

Penulis Bacaan
18 Oktober 2004
Ramadan 1425


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman