Sekutu Allah menurut al-Qur'an

 

Amalan menyekutukan Allah lazimnya dikaitkan dengan menyembah patung atau berhala. Akan tetapi, penjelasan daripada kitab al-Qur'an adalah lebih luas. Ia mengaitkan dengan apa saja, selain daripada Allah, yang dianggap berkuasa seperti Tuhan serta disembah atau ditaati. Oleh itu seseorang boleh terjerumus ke dalam lembah menyekutukan Allah tanpa disedari.

Untuk mengenali siapa atau apa yang disifatkan sebagai sekutu Allah, maka semua ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat-kalimat bersabit dengannya seperti sekutu, sembah, seru, patung, berhala, tuhan, pemelihara, jin, syafaat dan kotor telah dikaji.

Hasil daripada kajian tersebut ialah senarai di bawah yang mengandungi enam belas jenis sekutu Allah. Mereka adalah seperti berikut:


1. Patung atau Berhala:

Contoh ialah patung yang disembah oleh bapa Nabi Ibrahim dan yang diukir oleh pengikut Nabi Musa. Ayat-ayat-Nya adalah:

"Dan apabila Ibrahim berkata kepada bapanya, Azar, 'Adakah kamu mengambil patung-patung untuk tuhan-tuhan?'" (6:74).

"Kemudian dia mengeluarkan bagi mereka Anak Lembu yang hanya berjasad, berbunyi seperti lembu; dan mereka berkata, 'Inilah tuhan kamu, dan tuhan Musa, yang dia lupa'" (20:88).

Berhala juga terdapat semasa mengerjakan ibadah Haji (22:30) dan ia pun boleh jadi seorang insan yang dianggap tempat untuk mendapat rezeki (29:17).


2. Jin:

Maksud firman Allah:

"... mereka mengadakan bagi Allah, sebagai sekutu-sekutu, jin, padahal Dia yang mencipta mereka" (6:100).

Jin dibagaikan sekutu Allah untuk memperolehi kesenangan (6:128) dan perlindungan (72:6).


3. Nabi:

Maksud firman Allah:

"Dia tidak akan menyuruh kamu untuk mengambil malaikat-malaikat, dan Nabi-Nabi sebagai Pemelihara-Pemelihara; adakah Dia menyuruh kamu supaya tidak percaya setelah kamu muslim?" (3:80).

Nabi diangkat seperti Pemelihara (atau rab dalam bahasa al-Qur'an), atau Tuhan, dengan menganggapnya berkuasa menetapkan hukum agama, membuat orang dapat petunjuk, mempunyai kuasa syafaat, dan sebagainya.

Mengenai malaikat pula, kemungkinan ia dijadikan seperti Tuhan kerana disangka dapat memberi perlindungan, pertolongan, dll.


4. Mengambil kitab selain daripada al-Qur'an sebagai petunjuk:

Maksud firman Allah:

"Katakanlah, 'Perkara apakah yang paling besar dalam kesaksian?' Katakanlah, 'Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku memberi amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai. Adakah kamu benar-benar mempersaksikan bahawa ada tuhan-tuhan lain selain Allah?' Katakanlah, 'Aku tidak mempersaksikan.' Katakanlah, 'Dia hanyalah Tuhan Yang Satu, dan aku berlepas diri daripada apa yang kamu menyekutukan'" (6:19).

Di sini Allah disekutukan dengan mengambil kitab yang selain daripada Kitab-Nya, al-Qur'an. Atau, mengikuti petunjuk selain daripada petunjuk-Nya. Tiga ayat yang berikut menjelaskannya lagi. Perkataan-perkataan di dalam kurungan adalah selitan daripada penulis untuk menjelaskan maksud:

"Itulah petunjuk Allah; Dia memberi petunjuk dengannya kepada siapa yang Dia mengkehendaki daripada hamba-hamba-Nya; sekiranya mereka orang-orang yang mempersekutukan (yang mengambil selain daripada petunjuk Allah iaitu al-Qur'an), nescaya sia-sialah bagi mereka apa yang mereka telah buat" (6:88).

"Ikutlah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada Pemelihara kamu; tidak ada tuhan melainkan Dia, dan berpalinglah kamu daripada orang-orang yang menyekutukan (yang mengikuti selain daripada al-Qur'an)" (6:106).

"Ia (al-Qur'an) memberi petunjuk pada yang benar. Kami percaya kepadanya, dan kami tidak akan menyekutukan (tidak mengambil selain daripada al-Qur'an) Pemelihara kami dengan sesiapa" (72:2).


5. Pengantara, atau Syafaat:

Maksud firman Allah:

"Sesungguhnya kamu datang kepada Kami bersendirian, seperti Kami mencipta kamu pada kali pertama, dan kamu meninggalkan apa yang Kami mengurniakan kepada kamu di belakang punggung kamu. Kami tidak melihat bersama kamu pengantara-pengantara kamu, orang-orang yang kamu mendakwa untuk menjadi sekutu-sekutu antara kamu. Pertalian antara kamu diputuskan, dan apa yang kamu mendakwakan telah hilang daripada kamu" (6:94).

Pengantara diwujudkan untuk jadi penghubung di antara orang yang mewujudkannya dengan Tuhan. Lazimnya penghubung atau orang tengah itu adalah orang alim. Orang tengah seperti itu diharamkan dalam agama Allah, kerana yang mengantara hanyalah Allah sendiri. Firman-Nya:

"Dan berilah amaran dengannya kepada orang-orang yang takut bahawa mereka akan dikumpulkan kepada Pemelihara mereka; tidak ada bagi mereka, selain daripada Allah, seorang wali (pelindung) dan tiada juga seorang pengantara, supaya mereka bertakwa" (6:51).

Sila rujuk artikel "Syafaat - ada atau tiada?". Terima kasih.


6. Pelindung (wali) selain Allah:

Maksud firman Allah:

"Katakanlah, 'Siapakah Pemelihara langit dan bumi?' Katakanlah, 'Allah.' Katakanlah, 'Adakah kamu mengambil untuk kamu yang lain selain daripada Dia sebagai wali (pelindung) kamu yang tidak berkuasa untuk memanfaatkan atau memudaratkan diri mereka sendiri?' Katakanlah, 'Adakah orang yang buta dengan orang yang boleh melihat sama, atau adakah gelap dengan cahaya sama?' Atau, adakah mereka mengadakan bagi Allah sekutu-sekutu yang mencipta seperti ciptaan-Nya supaya ciptaan itu serupa kepada mereka?' Katakanlah, 'Allah Pencipta segala sesuatu, dan Dia Yang Satu, Yang Menakluki'" (13:16).

Tujuan mengadakan wali (pelindung) ialah untuk mendekatkan diri dengan Allah, seperti dijelaskan oleh sebuah firman Allah bermaksud:

"Tidakkah kepunyaan Allah agama yang tulus? Dan orang-orang yang mengambil wali-wali (pelindung-pelindung) selain daripada Dia - 'Kami hanya menyembah mereka supaya mereka mendekatkan kami dalam kedekatan dengan Allah' - sesungguhnya Allah akan menghakimkan antara mereka mengenai apa yang padanya mereka memperselisihkan. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam ketidakpercayaan" (39:3).

Perhatikan kegunaan perkataan "menyembah mereka" walaupun orang-orang itu mengaku adanya Allah dan tentu sekali menyembah-Nya. Ramai manusia telah dijadikan wali oleh sesetengah orang Islam supaya dapat mendekatkan diri dengan Tuhan.


7. Penolong selain Allah:

Maksud firman Allah:

"Namun begitu, mereka mengambil selain daripada Allah tuhan-tuhan supaya mereka ditolong" (36:74).

Perkataan "tuhan" di situ diguna sebagai sindiran oleh Allah. Kerana "pertolongan hanyalah daripada Allah, Yang Perkasa, Yang Bijaksana" (3:126).


8. Menyeru selain Allah:

Maksud firman Allah:

"Dan apabila orang-orang yang mempersekutukan melihat sekutu-sekutu mereka, mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, mereka inilah sekutu-sekutu kami, yang kami seru selain daripada Engkau.' Mereka melemparkan kembali kepada mereka ucapan, 'Sesungguhnya kamu sebenarnya pendusta-pendusta'" (16:86).

Yang diseru hanyalah manusia yang serupa dengan penyeru. Mereka tidak mengaku disekutukan dengan Allah pada hari kemudian. Mungkin yang diseru itu adalah orang alim juga, yang kononnya keramat, dan sudah meninggal dunia. Ayat-ayat berikut menjelaskannya:

"Orang-orang yang kepada mereka kamu seru, selain daripada Allah, ialah hamba-hamba yang serupa dengan kamu; serulah mereka dan hendaklah mereka menyahuti kamu, jika kamu berkata benar" (7:194).

"Dan orang-orang yang mereka seru, selain daripada Allah, tidak mencipta sesuatu sedang mereka sendiri diciptakan, Telah mati, tidak hidup, dan tidak menyedari bila mereka akan dibangkitkan" (16:20-21).


9. Orang alim:

Maksud firman Allah:

"Katakanlah, 'Perlihatkanlah kepadaku orang-orang yang kamu menghubungkan dengan-Nya sebagai sekutu-sekutu! Tidak sekali-kali; bahkan Dia Allah, Yang Perkasa, Yang Bijaksana'" (34:27).

Orang-orang yang difikirkan ada hubungan dengan Allah selalunya mereka yang tinggi darjatnya seperti nabi, rasul, para sahabat mereka, syeikh-syeikh dan sebagainya. Mereka disekutukan walaupun mereka sendiri berkehendakkan petunjuk daripada Allah! Firman-Nya:

"Katakanlah, 'Adakah daripada sekutu-sekutu kamu orang yang memberi petunjuk pada yang benar?' Katakanlah, 'Allah, Dia memberi petunjuk pada yang benar; dan yang manakah lebih wajar untuk diikuti - orang yang memberi petunjuk pada yang benar, atau orang yang tidak memberi petunjuk kecuali dia mendapat petunjuk? Mengapakah kamu, bagaimanakah kamu menghakimkan?'" (10:35).

Di akhirat nanti, orang-orang yang disekutukan dengan Allah tidak menyedari bahawa mereka telah disekutukan. Firman Allah:

"Dan pada hari Kami mengumpulkan mereka kesemuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan, 'Pergilah ke tempat kamu, kamu dan sekutu-sekutu kamu!' Kemudian Kami memisahkan antara mereka, dan sekutu-sekutu mereka berkata, 'Bukanlah kami yang kamu sembah,'" (10:28)


10. Habr atau ulama agama:

Maksud firman Allah:

"Atau, adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak mengizinkan?" (42:21).

Orang-orang yang memandai-mandai mensyariatkan sebagai agama adalah hanya para habr atau ulama agama. Mereka memakai gelaran seperti "Imam" atau "Maulana" atau "Syeikhul" dan sebagainya. Mereka juga diangkat sebagai pemelihara atau tuhan oleh pengikut-pengikut mereka, menurut ayat yang berikut:

"Mereka mengambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara selain daripada Allah ..... tidak ada tuhan melainkan Dia; Dia disanjung, di atas apa yang mereka menyekutukan" (9:31).

Oleh kerana ajaran manis mereka, atas nama Islam sebenar, serta kelalaian pengikut-pengikutnya, maka apabila dipanggil kepada Allah satu-satunya, pengikut-pengikutnya tidak percaya, tetapi jika mereka disekutukan dengan-Nya, mereka percaya pula. 

Kerana ajaran mereka juga pengikut-pengikut melawan Allah dengan cara menolak ajaran-Nya. Sila renungkan dua ayat yang berikut:

"Itu adalah kerana, apabila dipanggil kepada Allah satu-satunya, kamu tidak percaya; tetapi jika yang lain disekutukan dengan-Nya, maka kamu mempercayai. Putusan adalah bagi Allah, Yang Tinggi, Yang Besar" (40:12).

"Kemudian pada Hari Kiamat, Dia mengaibkan mereka, dengan berkata, 'Di manakah sekutu-sekutu-Ku, orang-orang yang kerana mereka kamu melawan?'" (16:27). 


11. Memecahkan agama kepada golongan atau mazhab:

Orang-orang yang memecahkan agama dan menjadi bergolongan atau mazhab adalah yang menyekutukan Allah, menurut ayat Allah di bawah ini:

"Berkesesalanlah kepada-Nya. Dan kamu takutilah Dia, dan lakukanlah solat, dan janganlah menjadi daripada orang-orang yang menyekutukan, Daripada orang-orang yang memecahkan agama mereka, dan menjadi golongan-golongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa yang di sisi mereka" (30:31-32).

Boleh jadi kerana kebanggaan tersebut, mereka yang menyekutukan benci kepada seruan agar jangan berpecah belah dalam agama, seperti bunyi firman Allah yang berikut:

"Dia mensyariatkan bagi kamu sebagai agama apa yang Dia mewasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami mewahyukan kamu, dan apa yang Kami mewasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: 'Lakukanlah agama, dan janganlah berpecah belah di dalamnya.' Amatlah benci bagi orang-orang yang menyekutukan pada apa yang kepadanya kamu menyeru mereka" (42:13).


12. Mengharamkan apa yang Allah tidak haramkan:

Maksud dua firman Allah:

"Orang-orang yang mempersekutukan akan berkata, 'Sekiranya Allah menghendaki, tentu kami tidak menjadi orang-orang yang mempersekutukan, dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami mengharamkan sesuatu'" (6:148)

"Orang-orang yang mempersekutukan berkata, 'Sekiranya Allah menghendaki, tentu kami tidak menyembah, selain daripada Dia, sesuatu, kami dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami mengharamkan, selain daripada Dia, sesuatu.' Begitulah orang-orang yang sebelum mereka telah buat; tiadalah atas rasul-rasul, melainkan untuk menyampaikan yang jelas" (16:35).

Ini sering berlaku kerana Rasul dikatakan mengharamkan sesuatu juga. Rasul tidak mengharamkan selain daripada apa yang Allah haramkan. Tugas rasul hanyalah menyampaikan mesej Allah. (Sila rujuk ayat 5:92 dan 24:54 juga). Kenyataan ini sukar diterima oleh ulama-ulama palsu dan pengikut-pengikutnya. Antara mereka, ada pula yang memperolok-olokkan ayat-ayat Allah tersebut.


13. Keinginan sendiri atau ego:

Maksud firman Allah:

"Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya (atau egonya) untuk menjadi tuhannya? Adakah kamu menjadi wakil kepada mereka?" (25:43).

Ego dijadikan tuhan dengan menurutinya sambil kehendak Allah tidak dipedulikan. Ada pula orang yang egonya didorong oleh sesuatu ilmu yang ada padanya. Firman Allah:

"Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah menyesatkan dia atas satu pengetahuan, dan meletakkan satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan meletakkan satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan memberi petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?" (45:23).


14. Anak yang salih:

Maksud firman Allah:

"Tetapi apabila Dia memberikan mereka anak yang salih, mereka mengadakan bagi-Nya sekutu-sekutu, pada apa yang Dia telah memberikan mereka. Tingginya Allah daripada apa yang mereka menyekutukan!" (7:190)

Bukankah ulama palsu mengajar bahawa anak yang salih (baik) itu dapat menolong ibu bapanya di alam barzakh dan di akhirat? Atau, bagaimana anak yang salih itu disekutukan dengan Allah?


15. Kebun atau harta kekayaan:

Terdapat orang yang menyekutukan Allah setelah dikurniakan-Nya kebun yang mendatangkan hasil lumayan, atau setelah dikurniakan harta kekayaan yang banyak.

Ayat-ayat berikut menceritakan bagaimana pemilik kebun menyekutukan Allah:

"Dan buatlah bagi mereka satu persamaan: dua lelaki - bagi seorang daripada mereka, Kami memberikan dua kebun anggur, dan mengelilingkan keduanya dengan pohon-pohon palma, dan di antara keduanya, Kami mengadakan sebuah ladang yang sudah disemai.

"Masing-masing daripada dua kebun itu mendatangkan hasilnya, dan tidak menzalimkan daripadanya sedikit pun; dan Kami memancarkan di celah-celahnya sebuah sungai. Maka dia mempunyai buah-buahan; dan dia berkata kepada temannya, sedang dia berbual-bual dengannya, 'Aku mempunyai lebih banyak harta daripada kamu, dan kumpulan yang lebih gagah.'

"Dan dia masuk ke kebunnya, dengan menzalimi dirinya sendiri; dia berkata, 'Aku tidak menyangka bahawa ini akan binasa selama-lamanya ........ dan jika aku benar-benar dikembalikan kepada Pemeliharaku, aku pasti akan mendapati tempat berbalik yang lebih baik daripada ini.'

"Berkata temannya sedang dia berbual-bual dengannya ...... "Kenapa, apabila kamu memasuki kebun kamu, kamu tidak mengatakan, 'Seperti yang Allah mengkehendaki; tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah'? Jika kamu melihat aku lebih sedikit daripada kamu dalam harta dan anak-anak" ......

"Dan buah-buahannya diliputi semuanya, dan pada waktu pagi dia memulas-mulas tangan-tangannya, kerana apa yang dia menafkahkan (membelanjakan) padanya, dan ia roboh di atas junjung-junjungnya, dan dia berkata, 'Aduhai, sekiranya aku tidak menyekutukan Pemeliharaku dengan sesiapa jua!'" (18:32-42).

Kerana sombong dan angkuh, dan melupakan kuasa Tuhan maka kebunnya dibinasakan.


16. Setelah diselamatkan daripada kecemasan atau penderitaan:

Ayat-ayat Allah yang berkaitan berbunyi:

"Katakanlah, 'Allah menyelamatkan kamu daripadanya, dan daripada segala kecemasan; kemudian kamu menyekutukan'" (6:64).

"Kemudian, apabila Dia menghilangkan penderitaan daripada kamu, tiba-tiba segolongan antara kamu menyekutukan Pemelihara mereka," (16:54).

"Apabila mereka naik ke kapal, mereka berseru kepada Allah, dengan menuluskan agama mereka untuk-Nya; tetapi apabila Dia telah menyelamatkan mereka ke darat, tiba-tiba mereka menyekutukan," (29:65).

"Apabila penderitaan menyentuh manusia, mereka menyeru Pemelihara mereka dengan berkesesalan kepada-Nya; kemudian, apabila Dia merasakan kepada mereka pengasihan daripada-Nya, tiba-tiba segolongan daripada mereka menyekutukan Pemelihara mereka," (30:33).

Bagaimana pula Allah disekutukan setelah Dia menyelamatkan daripada kecemasan atau penderitaan? Adakah dengan mengadakan majlis-majlis kesyukuran yang mengingati orang-orang mati serta menyedekahkan amalan dan bacaan kepada mereka, atau menyanjung Nabi, atau kedua-duanya sekali? Mungkinkah juga kerana ego yang menyatakan mereka terselamat kerana kebijaksanaannya?

Senarai sekutu Allah yang dikumpul daripada ajaran al-Qur'an berakhir dengan contoh keenam belas di atas. Namun, perbincangan mengenainya dipanjangkan sedikit lagi, untuk menyebut, antaranya, mengenai dosa menyekutukan Allah. Itu lebih baik dijelaskan dengan ayat Allah sendiri berbunyi,

"Allah tidak mengampunkan apa-apa yang dengan-Nya disekutukan, dan Dia mengampunkan yang selain itu kepada siapa yang Dia mengkehendaki. Sesiapa menyekutukan Allah, sungguh dia mengada-adakan dosa besar" (4:48).

Dosa orang-orang yang menyekutukan Allah tidak diampun mungkin kerana mereka adalah najisa atau najis dalam bahasa Melayu. Kalimat itu muncul hanya sekali di dalam al-Qur'an dan ia ditujukan kepada orang-orang yang menyekutukan Allah. Bagi mereka tidak patut diminta ampun atas dosa mereka, oleh sesiapa saja, termasuk Nabi sendiri. Dua ayat yang berikut menjelaskannya:

"... orang-orang yang menyekutukan adalah najis" (9:28).

"Tidak patut bagi Nabi, dan orang-orang yang percaya, meminta ampun bagi orang-orang yang menyekutukan, walaupun mereka sanak saudara yang dekat, setelah menjadi jelas bagi mereka bahawa mereka itu akan menjadi orang-orang Jahim" (9:113).

Bisikan untuk menyekutukan Allah adalah halus, sehingga kebanyakan daripada orang-orang yang mengaku percaya, atau beriman, pun terperangkap dengannya. Renungkanlah ayat berikut:

"Dan kebanyakan mereka tidak mempercayai Allah, melainkan mereka menyekutukan-Nya" (12:106).

Barangkali mereka inilah yang tidak mengaku mempersekutukan Allah di akhirat kelak tatkala ditanya oleh Allah. Firman-Nya:

"Dan pada hari Kami mengumpulkan mereka kesemuanya, kemudian Kami berkata kepada orang-orang yang mempersekutukan, 'Di manakah sekutu-sekutu kamu yang kamu mendakwakan?' Kemudian tiadalah pertikaian mereka, melainkan mereka berkata, "Demi Allah, Pemelihara kami, bukanlah kami orang-orang yang menyekutukan'" (6:22-32).

Sumpah bohong mereka boleh jadi dilakukan di dunia ini juga. Mereka tidak mengaku bahawa mereka sedang menyekutukan Allah. Allah disanjung di atas apa-apa yang mereka mempersekutukan!


Penulis Bacaan
31 Julai 2002


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman