Kebencian orang tidak percaya
Menurut al-Qur'an, antara golongan yang dikatakan di dalam hati ada penyakit ialah orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah dan tidak mentaatinya. Mereka benci akan ayat-ayat Allah lalu Dia "menjadikan sia-sia amalan-amalan mereka" (47:9).
Selain ayat-ayat Allah, mereka membenci seruan untuk mempercayainya jua serta orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat-Nya. Kebencian dapat dilihat dengan jelas, tidak dapat disembunyikan lagi, sebab Allah mengeluarkannya daripada jiwa mereka. Firman-Nya:
"Atau, adakah orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit menyangka bahawa Allah tidak akan mengeluarkan kebencian mereka?" (47:29)
Contoh kebencian tersebut dapat disaksikan di laman web ini setelah ayat-ayat al-Qur'an ditampilkan. Namun, ia bukan suatu yang baru. Nabi pun telah menyaksikannya dahulu, tatkala baginda menyampaikan ayat-ayat Allah, dan orang-orang yang tidak percaya, yang dikatakan juga tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Tuhan di akhirat, meminta agar didatangkan Qur'an yang lain, atau menyuruh baginda menukar isi kandungannya (10:15).
Kini, kitab yang selain daripada al-Qur'an atau yang kandungannya bertentangan dengan kandungan al-Qur'an sudah banyak dikarang dan diterbitkan, lalu permintaan ke atas mereka tidak kedengaran lagi. Justeru itu, untuk meneruskan usaha memadamkan cahaya Allah, orang-orang yang tidak percaya menghasut orang lain pula supaya tidak mendengarkan al-Qur'an.
Hasutan dibuat dengan pelbagai cara, seperti bercakap yang sia-sia untuk mengalahkan hujah yang berlandaskan al-Qur'an. Misalan, hujah untuk menyekat orang ramai daripada membaca dan mempercayai terjemahan al-Qur'an. Atau, soalan-soalan yang tidak waras mengenai al-Qur'an, atau hujah-hujah yang tanpa bukti daripada Allah atau mengguna konsep dan istilah dalam agama yang hebat-hebat bunyinya lagi kompleks demi mengalahkan hujah orang-orang yang menyeru agar kembali kepada ayat-ayat-Nya.
Walaupun orang-orang tidak percaya membenci, namun Allah akan menyempurnakan juga cahaya-Nya. Firman-Nya:
"Orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Janganlah mendengarkan Qur'an ini, dan bercakaplah yang sia-sia mengenainya supaya kamu dapat mengalahkan,'" (41:26).
"Mereka menghendaki untuk memadamkan, dengan mulut-mulut mereka, cahaya Allah; tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang tidak percaya membencinya." (61:8)
Sesungguhnya, mulut orang-orang yang tidak percaya bukan sahaja diguna untuk memadamkan cahaya Allah, malah, untuk menunjukkan kebencian terhadap orang-orang yang percaya, yang mereka bergiat untuk dihapus dan dideritakan dengan tidak berhenti-henti.
Sebenarnya, kebencian di mulut mereka tidak begitu besar berbanding apa yang disembunyikan di dalam dada mereka. Firman-Nya:
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengambil sebagai sahabat karib kamu daripada selain kamu. Mereka tidak berhenti-henti hendak menghancurkan kamu; mereka menginginkan untuk menderitakan kamu. Kebencian telah nyata daripada mulut mereka, dan apa yang dada mereka menyembunyikan adalah lebih besar." (3:118)
Mereka menyangka bahawa mereka sahaja yang boleh membenci sambil melupakan iaitu Tuhan juga boleh membenci. Kebencian-Nya pula adalah lebih hebat daripada kebencian mereka, yang tidak percaya, yang di dalam hati ada penyakit. Firman-Nya:
"Diumumkan (di akhirat) kepada orang-orang yang tidak percaya, 'Sungguh, kebencian Allah adalah lebih besar daripada kebencian kamu kepada satu sama lain, ketika kamu diseru kepada keimanan, dan kamu tidak percaya.'" (40:10)
Kebencian orang-orang yang tidak percaya terhadap orang-orang yang percaya dan seruan supaya mereka mempercayai ayat-ayat al-Qur'an yang tidak dipercayainya, adalah tidak sehebat kebencian Allah ke atas mereka. Kebencian Allah mengakibatkan mereka dipenjara di Jahim selama-lamanya.
Bacaan susulan:
Al-Qur'an - soalan, keraguan & benci kerana tidak kenal
Kalimat benci di dalam al-Qur'anPenulis Bacaan
Mac 2003
Halaman Utama Terkini Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman