Bunuh
di dalam al-Qur'an

 

 

Tidak lama selepas penciptaan manusia yang pertama dosa membunuh sesama sendiri telah berlaku. Ia keingkaran kedua oleh manusia terhadap perintah Allah, selepas Adam dan isteri makan daripada pohon yang dilarang.

Malah ia, bersama membuat kerosakan di bumi, telah diketahui akan dilakukan oleh manusia sebelum Adam dicipta lagi. Al-Qur'an meriwayatkan:

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan meletakkan di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau meletakkan di dalamnya orang yang akan membuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, sedang kami menyanjung dengan memuji-Mu dan memanggil Engkau Suci?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.'" (2:30)

Allah meneruskan rancangan-Nya mencipta manusia. Dengan itu tidak bermaksud Dia membenarkan perbuatan membunuh setelah diketahui manusia akan melakukannya. Larangan-Nya terhadap membunuh telah diketahui oleh dua anak Adam tetapi seorang daripada mereka mengingkari, kerana tidak bertakwa, atau tidak takut kepada-Nya. Ayat-ayat yang menjelaskan adalah:

"Dan kamu bacakanlah kepada mereka cerita dua orang anak Adam dengan sebenarnya; ketika mereka mempersembahkan satu qurban, lalu ia diterima daripada seorang daripada mereka, dan tidak diterima daripada yang lain. Seorang berkata, 'Sungguh, aku akan bunuh kamu,' Berkata yang lain, 'Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertakwa.
Sungguh, jika kamu menjulurkan tangan kamu kepadaku, untuk membunuhku, aku tidak akan menjulurkan tanganku kepada kamu untuk membunuh kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Pemelihara semua alam.
Aku menghendaki supaya kamu dipenuhi dosaku dan dosa kamu, dan menjadi orang Api; itulah balasan ke atas orang-orang yang zalim'" (5:27-29).

Api (neraka) pun sudah diketahui seawal itu, tetapi "Kemudian jiwanya (saudara yang zalim) mendorongnya untuk membunuh saudaranya, dan dia membunuhnya, dan menjadi antara orang-orang yang rugi" (5:30).

Pembunuhan manusia yang pertama adalah kerana dengki dalam melakukan ibadah, dan sifat tidak bertakwa serta zalim. Ia dilakukan semasa manusia masih dalam keadaan gelap dengan tidak mengetahui bagaimana mayat harus dikebumikan. Lalu Allah mengajar seperti berikut:

"Kemudian Allah mengirimkan seekor burung gagak, dengan mencakar-cakar di atas bumi, untuk memperlihatkan kepada dia bagaimana dia akan menyembunyikan mayat saudaranya yang mengaibkan. Dia berkata, 'Celakalah aku! Tidakkah aku mampu untuk menjadi seperti burung gagak ini, untuk aku menyembunyikan mayat saudaraku yang mengaibkan?' Dan dia menjadi antara orang-orang yang menyesal." (5:31)

Pembunuhan pertama disusuli dengan penyesalan daripada pihak pembunuh. Mungkin agak berbeza dengan hari ini di mana sesetengah pembunuhan dilakukan dengan bangga, atas nama agama dan Allah.

Membunuh disebut seiring perbuatan menyeru tuhan yang lain bersama Allah, dan berzina, dan dikategorikan sebagai dosa di sisi Allah menurut ayat di bawah:

"Yang tidak menyeru tuhan yang lain bersama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang Allah mengharamkan kecuali dengan patut, dan tidak juga berzina, kerana sesiapa yang berbuat demikian itu akan menemui harga dosa." (25:68)

Dosanya di sisi Allah amat berat. Demikian dijelaskan oleh ayat yang menyusul, berbunyi,

"Akan dilipatgandakkan azab untuknya pada Hari Kiamat, dan dia tinggal di dalamnya, terhina selama-lamanya." (25:69)

Pun begitu, Allah didapati Pengampun, Pengasih, dengan firman-Nya bermaksud,

"Kecuali orang yang bertaubat, dan percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan; bagi mereka itu, Allah akan menukarkan kejahatan-kejahatan mereka dengan yang baik, dan Allah adalah Pengampun, Pengasih." (25:70)

Pembunuh, penyekutu Tuhan, atau penzina, dikehendaki bukan sahaja bertaubat tetapi percaya kepada-Nya dan membuat kerja-kerja kebaikan untuk menukar kejahatan yang dilakukan dengan yang baik.

Selepas pembunuhan anak Adam Allah menetapkan bahawa:

"Oleh kerana itu, Kami menuliskan (menetapkan) untuk Bani Israil bahawa sesiapa membunuh satu jiwa, bukan untuk membalas atas satu jiwa yang dibunuh, dan bukan juga kerana kerosakan yang dilakukan di bumi, adalah seakan-akan dia telah membunuh manusia kesemuanya; dan sesiapa menghidupkannya, seakan-akan dia menghidupkan manusia kesemuanya. Rasul-rasul Kami telah pun datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang jelas, kemudian ramai antara mereka sesudah itu adalah orang-orang yang membazir (berlebihan) di bumi." (5:32)

Dua sebab membunuh diizinkan iaitu untuk membalas orang yang dibunuh dan membalas atas kerosakan yang dibuat di bumi. Membunuh seorang manusia diibaratkan membunuh semua manusia, tetapi, jika pembunuh dibiarkan hidup maka ia serupa menghidupkan semua manusia.

Membunuh disifatkan sebagai perbuatan membazir. Akan tetapi, manusia selepas itu berterusan dalam amalan membazir, dan ditambah dengan mengusir orang lain dari tempat tinggal serta menjadikan mereka tebusan. Al-Qur'an menyatakan:

"Kemudian kamu ini, kamu membunuh sesama sendiri dan mengusir segolongan kamu daripada tempat-tempat tinggal mereka, dengan bantu membantu terhadap mereka dalam dosa dan permusuhan, dan jika mereka datang kepada kamu sebagai tawanan, kamu tebus mereka, walaupun pengusiran mereka telah dilarang."

Sebab kejahatan-kejahatan tersebut dilakukan dinyatakan di dalam sambungan ayat di atas berbunyi,

"Adakah kamu mempercayai sebahagian al-Kitab, dan kamu tidak percaya kepada sebahagian yang lain? Maka apakah balasan ke atas orang-orang daripada kamu yang berbuat demikian itu, melainkan kerendahan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat, dikembalikan kepada azab yang paling keras, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat." (2:85)

Itu adalah juga sebab berlaku pembunuhan sesama sendiri dalam Islam hari ini - kerana hanya mempercayai sebahagian daripada al-Kitab! Perangai sesetengah manusia yang diberi al-Kitab tidak berubah dari zaman dahulu hingga ke zaman sekarang.

Pembunuhan tidak terhad kepada sesama sendiri, mereka juga membunuh rasul:

"dan setiap kali datang kepada kamu seorang rasul dengan apa yang jiwa kamu tidak menginginkan, kamu menyombongkan diri, dan sebahagian kamu mendustakan, dan sebahagian kamu bunuh?" (2:87)

Dan Nabi tidak dikecualikan daripada dibunuh, sebab hanya percaya kepada apa yang ada pada mereka, dan enggan percaya sesuatu yang baru. Allah mengisahkan:

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Percayalah kepada apa yang Allah menurunkan', mereka berkata, 'Kami mempercayai apa yang diturunkan kepada kami', dan mereka tidak percaya kepada apa yang sesudah itu, sedang ia yang benar, yang mengesahkan apa yang bersama mereka. Katakanlah, 'Mengapa pula kamu membunuh Nabi-Nabi Allah masa dahulu, jika kamu orang-orang mukmin?'" (2:91)

Lalu mereka menanggung akibat membunuh Nabi, seperti berikut:

"Dan, kehinaan dan kemiskinan ditimpakan kepada mereka, dan mereka dipenuhi beban kemurkaan Allah. Itu ialah kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh para Nabi tanpa patut. Itu ialah kerana mereka ingkar, dan mereka mencabuli." (2:61)

Pembunuhan Nabi dan rasul tidak berterusan hingga ke hari ini. Tetapi apa yang dilakukan adalah lebih besar iaitu mengada-adakan cerita-cerita yang buruk terhadap mereka. Contoh, hadis mengenai Nabi Musa yang dipetik daripada Lain yang dicari lain yang jumpa berbunyi,

Abu Hurairah r.a mengatakan bahwa Nabi saw, bersabda " Banu (turunan atau bangsa) Israil itu mendi bertelanjang, satu sama lain saling lihat melihat. Tetapi Nabi Musa mandi seorang dirinya. Mereka mengatakan : Demi Allah ! Tidak ada yang melarang Musa mandi bersama-sama dengan kita, kecuali kerana dia berpenyakit, buah pelirnya besar" Pada suatu kali Nabi Musa mandi, kainnya diletakkannya di atas batu. Lalu batu itu melarikan kain Nabi Musa, dan beliau dan beliau menyusulnya sambil berteriak: Kain-ku ... ! Hai, batu !
Sehingga oleh kerana itu, Bani Israil dapat melihat (aurat ) Nabi Musa, lantas mereka berkata, "Demi Allah Musa tidak berpenyakit apa-apa" Lalu Nabi Musa mengambil kainnya dan dipukulnya batu itu" Sahih Bukhari Jilid 1 No 177 ms. 109.

Atau hadis Nabi dengan Monyet, dan sebagainya. Fitnah yang dilakukan adalah lebih besar daripada pembunuhan.

Di samping Nabi, manusia yang menyuruh pada keadilan turut dibunuh. Firman-Nya,

"Orang-orang yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan membunuh Nabi-Nabi tanpa patut, dan mereka membunuh manusia yang menyuruh pada keadilan, maka berilah mereka berita gembira dengan azab yang pedih." (3:21)

Senarai pembunuhan dipanjangkan dengan kemasukan golongan anak-anak. Mereka dibunuh atas nama agama, menurut ayat bermaksud,

"Demikianlah sekutu-sekutu mereka menampakkan indah bagi kebanyakan orang yang menyekutukan supaya membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan agama mereka kepada mereka. Sekiranya Allah menghendaki, tentu mereka tidak membuatnya; maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka mengada-adakan." (6:137)

Dewasa ini anak-anak dibunuh dengan disuruh memegang senjata untuk membunuh orang-orang kafir yang menceroboh masuk ke dalam negeri, atau dibunuh bersama orang-orang dewasa dengan bom-bom daripada golongan sendiri, atau dibunuh kerana melakukan zina.

Sebab membunuh anak-anak selanjutnya dinyatakan dalam ayat berbunyi,

"Rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka dalam kebodohan, tanpa pengetahuan, dan mereka mengharamkan apa yang Allah merezekikan mereka, dengan mengada-adakan terhadap Allah; mereka sesat, dan tidak mendapat petunjuk yang benar." (6:140)

Mereka terkorban kerana ajaran agama yang sesat, tidak menurut ajaran Allah.

Al-Qur'an turut menyebut mengenai membunuh anak-anak kerana takut akan kemiskinan. Firman-Nya,

"Dan janganlah membunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan; Kami memberi rezeki untuk kamu dan mereka. Sesungguhnya pembunuhan mereka adalah kesalahan besar." (17:31)

Membunuh orang mukmin, dengan sengaja atau silap, juga menjadi isi kandungan al-Qur'an. Mengenai membunuh dengan silap ayat di bawah menjelaskan:

"Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan tersilap, dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan tersilap, maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi hendaklah dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka menyedekahkannya. Jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan kamu, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah memerdekakan seorang hamba yang mukmin, dan jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan kamu dengan perjanjian, maka ganti rugi hendaklah dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan memerdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak mendapatkannya, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah adalah Mengetahui, Bijaksana." (4:92)

Ganti rugi tidak ditetapkan oleh Allah lalu menjadikannya terbuka supaya disesuaikan dengan zaman dan keadaan. Namun pihak tertentu telah menetapkannya pula pada zaman dahulu dan diterima sebagai hukum Islam pada hari ini, walaupun didapati lapuk kerana antara yang dijadikan ganti rugi ialah unta dan wang emas. Maka manusia pada hari ini (yang menolak melontar batu sebagai hukuman bagi penzina) harus berpakat memikirkan ganti rugi yang sesuai lagi adil. (Sila rujuk Ayat 4:92 (bunuh) bukan Islam?)

Terhadap orang mukmin membunuh mukmin yang lain dengan sengaja pula Allah berfirman,

"Dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan Allah murka padanya dan melaknatkannya, dan menyediakan bagi mereka azab yang besar." (4:93)

Kelihatan tiada kemaafan diberi kepada mukmin yang membunuh mukmin lain dengan sengaja. Tiada ganti rugi disebut. Mungkin dia tergolong dalam kumpulan orang-orang yang patut dibunuh.

Pembalasan ke atas mangsa yang dibunuh tetap ada, menurut Allah, tidak kira orang merdeka, hamba atau wanita. Saudaranya pula boleh memaafkan pembunuh, dan boleh juga menuntut bayaran, dengan baik. Dengan itu adalah satu keringanan dan pengasihan daripada-Nya. Firman Tuhan,

"Wahai orang-orang yang percaya, dituliskan (ditetapkan) bagi kamu ialah pembalasan (qisas), mengenai orang yang dibunuh - orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita; tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh saudaranya, maka hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya dibuat dengan baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Pemelihara kamu, dan satu pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih." (2:178)

Allah telah menunjukkan keringanan dan pengasihan-Nya terhadap pembunuh. Sifat-Nya Yang Pengasih dituruti.

Mengambil nyawa manusia adalah haram kecuali orang-orang yang patut dibuat demikian. Firman Tuhan,

"Dan janganlah membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, kecuali dengan patut, dan sesiapa yang dibunuh dengan tidak adil, Kami memberikan walinya (warisnya) kuasa; tetapi janganlah dia membazir dalam pembunuhan; dia ditolong." (17:33)

Bagi orang yang dibunuh dengan tidak adil, walinya dinasihatkan supaya tidak membalas dengan yang serupa, iaitu dengan melakukan pembaziran.

Orang-orang yang mempunyai minda, termasuk para hakim (pada hemat penulis) harus bertakwa, kerana diingatkan iaitu dalam pembalasan ada peruntukan untuk tidak menghukum bunuh orang-orang yang membunuh. Firman Allah,

"Dalam qisas ada kehidupan untuk kamu, wahai orang-orang yang mempunyai minda, supaya kamu bertakwa." (2:179)

Kerana hanya membunuh orang-orang yang patut dibunuh, maka jumlah kematian umat seharusnya tidak ramai. Tidak seperti yang berlaku di dunia, khas dunia Islam, pada hari ini. Tiap-tiap hari terdengar berita orang-orang Islam dibunuh atau terbunuh dengan zalim, sama ada di tangan musuh atau di tangan saudara Islam sendiri.


Bacaan lanjut:
Kalimat Bunuh di dalam al-Qur'an


Penulis Bacaan
13 Okt 2008


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman